JUJUR SAJA SAYANG
HANNA
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 November 2017
Kerana luka yang terlalu dalam, aku membawa diri ke Kota Paris. Biarkan saja aku tenang di sini, mencari kedamaian hati yang telah lama menghilang. Sebagaimana hilangnya dirimu, begitu juga aku. Mereka selama ini berpura-pura. Sehingga sanggup memisahkan kasih, sayang dan cinta aku padamu. Biarlah masa yang menentukan sampai bila aku harus begini. Kota Paris seakan menjadi saksi bahawa cinta agung aku kembali berputik, bertaut dalam jambangan indah yang pasti tidak akan kulupakan. Kota Paris, tanah kelahiranku. Di sini juga bersemi apa yang kucari selama ini. Terima kasih kerana dirimu kembali ke sini, Paris!
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
181

Bacaan






 Aku terjaga dari lena yang cukup panjang. Siang dan malam hanyalah sebuah nama yang tidak memberi sebarang makna kepadaku lagi. Jelas aku kebingungan, sehinggakan tidak tahu sudah berapa lama kumenjadi penghuni di sini. Bagiku, hospital ini tidak ubah seperti memenjarakan aku dari dunia luar. Di dalam bilik ini, hanya menempatkan katilku, tidak bercampur dengan pesakit lain. 

"Kenapa aku ditempatkan di bilik ni?" aku tertanya sendirian.

Di sisi katilku terdapat jambangan bunga yang sering bertukar. Entah ke berapa kali, aku kurang pasti tetapi aku dapat mengecamnya. Begitu juga dengan buah-buahan, sentiasa segar dan silih berganti. 

"Siapa sajalah yang selalu menghantar buah-buahan dan bunga-bunga ni ya? Tapi tak nampak pulak sesiapa pun yang datang melawat aku," aku bertambah kusut.

Ternyata apa yang berada disekelilingku ketika ini terasa begitu asing. Masa yang berlalu pula seakan bergerak sangat perlahan. Saat terjaga, aku hanya bersaksikan siang penuh dengan pancaran mentari dan beralih malam yang dipagari bintang nun jauh di atas sana. 

Sehingga ke hari ini, aku masih gagal mengenali siapa diriku sendiri, apatah lagi keluarga dan kehidupan di masa lalu. Sepanjang di sini, tiada seorang pun ahli keluarga yang datang melawat. Aku kurang pasti, sama ada aku ini sebatang kara atau disisihkan oleh mereka. 

Doktor mengatakan ingatan lampau aku terganggu, namun akan pulih seperti sediakala cuma memakan sedikit masa. 

...

"Argh!" 

Aku melepaskan rasa yang terbuku itu dengan menghentak-hentak tanganku di kepala. Entah ke berapa kali aku menjerit dan berkelakuan sebegitu tidak pernah aku kira. Aku sudah mulai bosan dengan dugaan ini semua. Aku mahukan ingatanku masa lalu dan kaki yang mampu untuk melakukan segala-galanya. 

"Aku bosan!"

Tiba-tiba pintu bilikku dibuka. Lalu seorang doktor wanita dan diiringi dengan dua orang jururawat mendekatiku. Dia bersuara dengan nada yang sangat lembut menasihatiku.

"Tuan Cairil... tolong jangan buat macam tu ya. Kalau Tuan Cairil nak cepat baik dan... nak cepat balik ke rumah, kena dengarlah nasihat saya, boleh?"

Dengan tangan masih melekap dikepala, perlahan-lahan aku kerling ke arah doktor itu. Cantik orangnya, bertudung litup menutupi seluruh wajah manisnya. Cukup sempurna di pandang mata. Wajah bujur sirih, hidung mancung, mata yang sedikit bulat dan kening tebal juga dijaga rapi. Kulitnya yang kuning langsat itu masih tetap cantik walaupun tanpa memakai mekap tebal sehinggakan membuat sesiapa sahaja yang memandang pasti merasa tertawan.

"Awak siapa?"

"Nama saya Doktor Hanna Nadia," dia memperkenalkan dirinya lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Oh, Doktor Hanna Nadia."

Aku tersenyum dan dia pun begitu.

"Err... Doktor Hanna Nadia ni, baru lagi ke kat sini?" mulutku terasa ringan untuk bertanya.

"Ya, Tuan Cairil. Saya baru sahaja habis study. Oh ya, mulai hari ni, Tuan Cairil di bawah seliaan saya ya... ."

"Doktor seriuskah, atau sengaja nak menyedapkan hati saya saja?"

"Ya, saya seriuslah. Nampak saya bergurau ke?" 

Berbunga-bunga rasanya apabila mendengarkan penjelasannya itu. Manakan tidak, pertama kali sahaja aku terpandang raut wajahnya yang mempersonakan itu sudah cukup untuk aku melupakan seketika penderitaan yang ditanggung.

"Saya nak buat permintaan, boleh?" pintaku.

"Apa ya, Tuan Cairil? Kalau saya mampu tunaikan, Insya-Allah... saya cuba," balasnya. 

"Jangan bertuan-tuan dengan saya boleh? Panggil saja Cairil."

"Hahaha! okay, Cairil panggil saja saya Hanna... tak payah berdoktor-doktor. Deal?"

"Hanna? sedap namanya, begitu juga orangnya," getusku.



----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku