JUJUR SAJA SAYANG
PULANG
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 November 2017
Kerana luka yang terlalu dalam, aku membawa diri ke Kota Paris. Biarkan saja aku tenang di sini, mencari kedamaian hati yang telah lama menghilang. Sebagaimana hilangnya dirimu, begitu juga aku. Mereka selama ini berpura-pura. Sehingga sanggup memisahkan kasih, sayang dan cinta aku padamu. Biarlah masa yang menentukan sampai bila aku harus begini. Kota Paris seakan menjadi saksi bahawa cinta agung aku kembali berputik, bertaut dalam jambangan indah yang pasti tidak akan kulupakan. Kota Paris, tanah kelahiranku. Di sini juga bersemi apa yang kucari selama ini. Terima kasih kerana dirimu kembali ke sini, Paris!
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
137

Bacaan






 Perkenalan aku dan Hanna adalah secara kebetulan. Itu yang aku percaya. Setakat ini, hubungan kami atas dasar seorang doktor dan pesakitnya. Walaupun tidak dinafikan yang aku mula jatuh cinta padanya, namun aku terpaksa akur juga untuk memadamkan perasaan itu. Kerana sejujurnya, aku tidak pernah bertanyakan latar belakang Hanna di luar. Kelak, nanti dituduh busybody pula. 

Aku sedar siapa aku dimatanya. Walaupun Hanna tidak pernah menyatakan sebarang kata, tetapi aku tidak akan tersilap langkah untuk cepat melatah mempercayai dan meyakinkan diri aku sendiri yang dia turut menyayangi aku. Biarlah masa berlalu begitu sahaja dan hati ini mati dengan sendirinya. Aku reda.

"Tetapi, kenapa Hanna begitu bersungguh-sungguh terhadap aku?" getusku.

...

"Amboi... jauhnya mengelamun. Apa yang awak termenungkan tu, Cairil?" tegur Hanna. 

Hanna yang sedang memandu keretanya itu terus mencuit aku yang asyik melemparkan pandangan ke luar jendela. Aku ketawa kecil saat lamunanku terhenti kerana diganggunya.

"Hahaha, tak ada apa-apa. Saja tengok-tengok ladang teh yang menghijau tu... cantik!"

Aku cuba berdalih, walaupun bukan itu sebenarnya yang sedang kufikirkan. Masa yang tersisa semakin mencemburui aku untuk bersama. Entah bagaimana kehidupan aku selepas ini nanti tanpa bayangannya lagi. 

"Nanti, awak boleh tengok puas-puas."

"Apa maksud awak, Hanna?"

Hanna ketawa lalu berkata, "Rumah awak kan dalam ladang teh, Cairil."

"Eh, awak tau ke mana rumah saya ni? lupa pula saya nak tanya tadi" tanya aku. 

Hanna tidak menjawab soalan aku itu tetapi dibalasnya dengan anggukan sahaja. Kebetulan ketika itu pula keadaan jalan yang berliku-liku menyukarkannya untuk berbual-bual panjang seperti biasa.

"Hanna... ."

"Ya, Cairil. Kenapa?"

"Err... apa lagi yang awak tahu tentang saya?"

"Saya tahu banyak tentang awak... ." 

"Apa yang awak tahu?"

"Begini, awak jangan risau tentang kehidupan selepas ni sebab Datin Khalsom akan tengok-tengokkan awak nanti," Hanna mencuri pandang lalu tersenyum.

"Datin Khalsom?" tanya aku penuh keliru. 

Aku yang berada di kerusi penumpang semakin tidak senang duduk. Punggungku seperti terbakar menunggu jawapan balasnya. Lama kutunggu tetapi pertanyaan aku itu masih belum berjawab. Aku memberanikan diri untuk bertanya kepada Hanna sekali lagi. 

"Siapa Datin Khalsom, Hanna?" 

Hanna menoleh lalu membalas pertanyaanku, "Dia tu mak tiri awak yang garang macam harimau. Aum!"

Hanna mengajuk dengan menggayakan bagai seekor harimau yang sedia untuk membaham mangsanya. Aku hanya tertawa melihat keletahnya itu. Jauh dalam fikiran, aku sangat sangsi terhadapnya. 

"Betul ke, Hanna?"

"Betul, Cairil. Sejak mak awak meninggal dunia, ayah awak menduda lebih kurang tiga tahun dan berkahwin lain dengan Datin Khalsom tu. Macam saya cakap tadi, mak tiri awak tu garang sikit. Tak mesra langsung!" jelas Hanna.

"Hmm... tapi kenapa sepanjang enam minggu saya di hospital, dia tak pernah datang jenguk ye? Saya ni ada buat salah dengan dia ke Hanna?" soalku lagi.

"Itu saya kurang pastilah, Cairil. 

 Aku terdiam. Hampir sepuluh minit masing-masing mendiamkan diri.

"Cairil, kita dah nak sampai dah. Sikit je lagi ni, selepas satu selekoh ke kanan tu lah rumah awak. Tapi saya hantar awak sampai depan simpang tu je tau," Hanna bersuara.

"Awak tak nak singgah dulu? secawan teh ke, sebagai tanda terima kasih saya pada awak," pelawaku.

"Err... tak apa. I need to go. Maaf ya saya tak dapat singgah." 

Matanya meliar saat menurunkan aku di situ. Langkahnya pula diatur laju. Cepat-cepat Hanna menutup pintu kereta dan meminta izin untuk berlalu pergi. 




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku