JUJUR SAJA SAYANG
INTAI
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 November 2017
Kerana luka yang terlalu dalam, aku membawa diri ke Kota Paris. Biarkan saja aku tenang di sini, mencari kedamaian hati yang telah lama menghilang. Sebagaimana hilangnya dirimu, begitu juga aku. Mereka selama ini berpura-pura. Sehingga sanggup memisahkan kasih, sayang dan cinta aku padamu. Biarlah masa yang menentukan sampai bila aku harus begini. Kota Paris seakan menjadi saksi bahawa cinta agung aku kembali berputik, bertaut dalam jambangan indah yang pasti tidak akan kulupakan. Kota Paris, tanah kelahiranku. Di sini juga bersemi apa yang kucari selama ini. Terima kasih kerana dirimu kembali ke sini, Paris!
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
116

Bacaan






Banglo mewah di hujung jalan itu masih tetap sama, sunyi tidak berpenghuni. Hanna pula menghilangkan diri sejak semalam. Selepas kejadian di restoren itu, kelibat Hanna tidak lagi kelihatan. Begitu juga di tempat kerjanya, Hanna gagal melaporkan diri pada pagi itu. 

Aku masih di dalam kereta. Memerhatikan banglo mewah itu dari jauh. Hujan pula masih turun rintik-rintik, cuaca kelihatan mendung dan suram. Begitu juga raut wajah aku, dirundung kesuraman yang tidak tergambarkan oleh kata-kata. Siapa yang tidak merasa terkesan, apabila seseorang yang disayangi menghilangkan diri secara tiba-tiba. Ditambah pula, dia pergi begitu sahaja!

"Pak Ayub kenal Hanna?" aku mengajukan pertanyaan itu kepadanya. 

Dari cermin pandang belakang, dia melihat aku yang duduk di kerusi penumpang. 

"Saya tidak kenal, Tuan Cairil. Saya baru sebulan bekerja dengan Datin Khalsom, ibu tiri tuan itu," jawabnya dengan penuh hati-hati.

"Kenapa mama ambil pemandu lagi ya sedangkan sebelum ni dah ada Wak Karjo?" aku memutarkan persoalan yang sedang ligat bermain di benak fikiranku kali ini. 

"Sebetulnya Wak Karjo tidak menjadi pemandu Datin Khasom lagi, tuan. Dia ditugaskan oleh datin untuk menjadi pembantu peribadinya sahaja." 

Jawapan yang meluncur laju dari mulut Pak Ayub itu benar-benar membuatkan aku sedikit terkejut. Tetapi aku biarkan sahaja perasaan itu berlalu seperti biasa. 

"Baiklah Pak Ayub, tolong rahsiakan kemana kita pergi dan apa kita lakukan dari pengetahuan datin, boleh?" ujarku lagi. 

Aku tidak mahu rahsia ini pecah dan sampai ke pengetahuannya. Pak Ayub hanya mengangguk tanda faham. 

"Kemana Hanna pergi?" getusku. 

"Dah la Pak Ayub, hantarkan saya ke balai polis sekejap." 

Aku memutuskan untuk bertemu dengan Inspektor Rashid. Hampir terlupa sebenarnya, kerana terlalu memikirkan Hanna dan juga kematian Wak Karjo yang mengundang seribu satu tanda tanya.

Kereta itu meninggalkan banglo elit yang menjadi kediaman Hanna. Aku hanya menjeling ketika melintasinya. Entah, hati aku berkata Hanna berada di dalam rumah itu dan menyembunyikan diri dari dunia luar. Mahu sahaja aku memecahkan pintu rumah itu dan mencarinya di segenap ruang yang ada. Tetapi aku masih bersabar. Aku sedar, aku hanyalah seseorang yang tidak mempunyai apa-apa pertalian dengannya. Jika aku melakukan apa yang aku fikirkan, nescaya akulah manusia yang paling berdosa. Dan, sudah tentu Hanna tidak akan memaafkan aku lagi. Aku tidak akan sesekali menambah dosa aku padanya lagi. Cukuplah semalam, dia berkecil hati lantas meninggalkan aku dengan begitu sahaja. Aku tidak sanggup merobek lukanya lagi.

"Tuan Cairil... tuan!" Pak Ayub memanggil namaku. 

Entah ke berapa kali, aku kurang pasti. Sehinggakan dia terpaksa meninggikan suaranya itu. Aku tersedar dari lamunan yang panjang lalu mengusap-usap mukaku sendiri.

"Astagfirullah... , kita dah sampai? Saya tak perasan betul, jauh saya berkhayal," aku mengomel sendirian. 

Pak Ayub hanya mampu tersenyum. 

"Err... Pak Ayub... macamana saya nak keluar ni?" aku memperlinya.

"Allahu-Akbar... maaf tuan, saya lupa yang tuan berkerusi roda... sekejap!" Pak Ayub tersentak. 

Lantas dia bergegas keluar dari kereta lalu membukakan pintu dan membantu aku duduk ke atas kerusi roda itu. Ini merupakan kali pertama aku meminta bantuannya sebagai pemandu peribadi aku. Sebelum ini, Wak Karjo telah biasa dengan apa kemahuanku.

"Pak Ayub tunggu saja di kereta, parkir di sana. Saya boleh pergi sendiri ke balai," ujarku.

Kerusi roda itu aku kayuh perlahan-lahan. Betapa seksanya hidup begini. Sungguh, aku mahu hidup seperti dahulu. Meskipun aku tidak dapat mengingati apa yang terjadi dan kisah silamku, namun aku mahu hidup yang dulu. Berdiri atas kakiku sendiri dan melakukan apa sahaja yang aku ingini tanpa mengharapkan bantuan sesiapapun. Lalu, aku teringatkan saranan Dhya supaya menjalani psioterapi di luar negara dengan segera.

"Adakah aku perlu meredakan keadaan ini dengan membawa diri?" getusku.



----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku