JUJUR SAJA SAYANG
HALAU
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 November 2017
Kerana luka yang terlalu dalam, aku membawa diri ke Kota Paris. Biarkan saja aku tenang di sini, mencari kedamaian hati yang telah lama menghilang. Sebagaimana hilangnya dirimu, begitu juga aku. Mereka selama ini berpura-pura. Sehingga sanggup memisahkan kasih, sayang dan cinta aku padamu. Biarlah masa yang menentukan sampai bila aku harus begini. Kota Paris seakan menjadi saksi bahawa cinta agung aku kembali berputik, bertaut dalam jambangan indah yang pasti tidak akan kulupakan. Kota Paris, tanah kelahiranku. Di sini juga bersemi apa yang kucari selama ini. Terima kasih kerana dirimu kembali ke sini, Paris!
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
159

Bacaan






Sementara itu, berita yang aku meninggalkan mama tiriku dengan keadaan tergesa-gesa telah sampai ke telinga Datin Karmila dan Dhya. Aku tidak hairan jika berita sepanas itu segera sampai kepada mereka berdua, tambahan lagi mama tiriku dan Datin Karmila adalah adik beradik. Arwah bapaku berkahwin dengan mama tiriku itu namun tidak dikurniakan anak. Manakala perkahwinan Datin Karmila dengan bekas suaminya yang merupakan ayah Hanna, telah melahirkan Dhya. Jarak usia antara Hanna dan Dhya cuma sembilan tahun. Kerana tamakkan harta peninggalan arwah bapaku, mereka berpakat menyingkirkan Hanna dari menjadi suri hatiku dan sebaliknya ingin menjodohkan aku dengan Dhya. Tambahan Hanna itu cuma anak kepada bekas suami Datin Karmila yang tidak mempunyai apa-apa pertalian dengan mereka. Kejam!

Aku meminta Pak Ayub membawakan luggage besar itu turun dari bilikku ke kereta, tetapi tidak disangka Datin Khalsom telah keluar dari biliknya secara tiba-tiba. Maka bertali arus soalan bagaikan peluru berpandu hinggap ke corong telingaku. Namun kerana marah dengan sikapnya dan mereka yang cuba meruntuhkan rumah tanggaku sebelum ini, aku nekad untuk berdiam diri. 

Pak Ayub turut menjadi sasaran Datin Khalsom. Masih tetap sama, dia hanya menggelengkan kepala. Sengaja aku merahsiakan dari pengetahuan Pak Ayub buat seketika. Kerana aku tidak mahu dia terlepas kata sebelum aku sempat terbang meninggalkan Cameron Highland.

"Sekali kau keluar dari rumah ni, jangan kau jejakkan kaki ke sini lagi!" bentak Datin Khalsom dari balkoni tingkat satu rumah.

Aku memandang tepat ke arahnya. Perasaan geram bercampur baur. Jikalau kuturutkan rasa hati, mahu saja aku yang menghalaunya keluar. Arwah bapaku tidak pernah mewasiatkan sebarang harta kepadanya. Tambahan pula, dia hanya mama tiriku yang baru dikahwini beberapa tahun yang lepas. Setelah kematian bapaku, segala urusan perniagaan dan ladang teh telah diserahkan kepada aku melalui peguam yang dilantik terdahulu. 

"Aku adalah pewaris tunggal Palas Tea Plantation & Company LTD. Tetapi aku pula yang dihalau?" aku membalas.

Pucat wajah Datin Khalsom ketika itu. Mungkin dia tidak menyedari yang sikap Tuan Cairil sebelum kemalangan dan  sekarang adalah berbeza. Dan mungkin juga, dia tidak menyedari bahawa ingatanku telah kembali pulih sepenuhnya.

"Aku bukan Pak Turut lagi!" tegasku. "Kerana Pak Turut akulah, Hanna hilang!" lantang aku membuka mulut.

"Bukan hal aku nak jaga Hanna, entah-entah dia lari pasal kau tu cacat!" perli Datin Khalsom itu memedihkan telingaku. 

"Muka kalau macam mat salleh sekalipun, tapi kaki tu tak boleh buat apa-apa... tak guna jugak," sindirnya lagi.

Aku hanya bertindak mendiamkan diri lalu meminta Pak Ayub menghidupkan enjin kereta. Dia menurutinya. Namun, sesekali dia menjeling ke arah Datin Khalsom dengan perasaan yang gusar. 

"Pak Ayub jangan risau. Selama ni gaji Pak Ayub saya yang bayar, bukan mama tiri saya. Jalankan kerja Pak Ayub macam biasa," jelasku.

Tanah Cameron Highland aku tinggalkan dengan kenangan yang retak seribu dan tidak pernah terlupakan oleh kotak fikiran. 

...

Semuanya bermula pada satu petang saat hujan gerimis di Ringlet. Pak Ayub menungguku di kereta sementara aku keluar ke kedai berhampiran untuk membeli hadiah untuk Hanna. Hampir sebulan lamanya Hanna menghilang begitu sahaja. Jadi, aku tergerak hati untuk memujuknya dengan memberikannya hadiah yang tidak seberapa iaitu coklat.

Hatiku gembira saat membawa bungkusan hadiah yang telah siap dibalut itu. Senyum dan gembira aku tidak berpanjangan, hujan gerimis petang itu menjadi satu mimpi ngeri. Aku terleka. Ketika melintas jalan yang agak sibuk, ditambahkan pula dengan berkerusi roda begini sehingga membataskan penglihatan pemandu kereta; telah menyebabkan aku dilanggar. 

Silap aku kerana melintas jalan sehingga terlupa untuk memandang ke kanan dan ke kiri. Kerana kemalangan itu, kepalaku telah terhentak di atas jalanraya. Kejadian itu disedari Pak Ayub tetapi tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Lalu aku segera dibawa ke klinik yang berhampiran untuk rawatan susulan. 

Kesakitan yang kutanggung itu membuatkan aku menjerit. Terbayang-bayang cahaya putih seakan menyinari peluput mata. Otakku seakan bergegar kuat. Lalu, memori suatu masa dahulu menerjah satu persatu. Wajah-wajah orang yang tersayang, mereka yang mengkhianati, kenangan pahit manis sering bertukar-tukar menyinggah lalu di ingatan. 



----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku