JUJUR SAJA SAYANG
FINAL
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 November 2017
Kerana luka yang terlalu dalam, aku membawa diri ke Kota Paris. Biarkan saja aku tenang di sini, mencari kedamaian hati yang telah lama menghilang. Sebagaimana hilangnya dirimu, begitu juga aku. Mereka selama ini berpura-pura. Sehingga sanggup memisahkan kasih, sayang dan cinta aku padamu. Biarlah masa yang menentukan sampai bila aku harus begini. Kota Paris seakan menjadi saksi bahawa cinta agung aku kembali berputik, bertaut dalam jambangan indah yang pasti tidak akan kulupakan. Kota Paris, tanah kelahiranku. Di sini juga bersemi apa yang kucari selama ini. Terima kasih kerana dirimu kembali ke sini, Paris!
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
167

Bacaan






Hari ini genap enam bulan aku dan Hanna kembali bercinta. Dan buat pertama kalinya juga pada hari ini, aku dan Hanna kembali ke Malaysia bersama-sama. Kaki mula melangkah keluar dari pesawat Malaysia Airlines saat pintu itu dibuka. Ada debar di dalam dadaku. Aku atur langkah pertama itu dengan memuji kebesaran Tuhan Yang Maha Kuasa, kerana perkenan-Nya kedua-dua kakiku sudah pulih sepenuhnya. 

Ada hal yang tertangguh perlu aku selesaikan di tanah bertuah, Cameron Highland. Usai urusanku itu, aku nekad untuk kembali pulang ke Kota Paris. Lagipun, Hanna cuma mengambil cuti selama dua minggu sahaja. Tiada apa lagi yang mahu kukenangkan di sini. Coretan duka yang mencalit hati masih segar terasa, bagaikan baru semalam hal itu berlaku rasanya. 

Kuala Lumpur International Airport masih tetap sama. Cuma aku sahaja yang berbeza. Jika dahulu Pak Ayub menghantar aku dengan berkerusi roda tetapi kini aku mampu berdiri dan berjalan dengan sempurna. Terbayang raut wajah Pak Ayub yang benar-benar meruntun jiwa, kerana bagiku dia bagaikan seorang bapa.

"Assalamualaikum, Pak Ayub. Ada di mana sekarang?" aku menghubunginya.

"Waalaikumussalam, Tuan Cairil. Ada ni di parkir lantai tiga. Nak saya ambil di mana ya?" lembut tuturkata Pak Ayub.

"Oh, tak apa. Saya dengan Hanna ke sana saja. Lagipun, barang kami tak banyak," jelasku pula.

Hanna tersenyum. Ada riang diwajahnya. Aku tahu, dia pasti merindukan Malaysia. Cuma keadaan yang memaksa untuknya pergi jauh kerana mahu melihat aku bahagia. Tetapi bukan itu yang kurasa. Aku tidak temukan bahagia itu di sini kerana rasa itu ada pada dirinya.

"Sayang tak nak beli apa-apa dulu ke?" pelawaku.

"Taklah, abang. Ni hah buah tangan dari Paris pun dah melebihi dari cukup," Hanna menolak.

"Kalau macam tu, jomlah! tak sabar pulak abang nak balik Cameron Highland."

Dari kejauhan, terbentang luas Ladang Palas milikku yang kini aku amanahkan untuk diuruskan Pak Ayub. Suasana persekitarannya, masih tetap sama seperti mula-mula aku tinggalkannya. Tiada yang berubah sedikit pun. Pintu rumah agam itu aku buka, perlahan-lahan aku mengintainya ke dalam. Kelihatan seorang pembantu rumah sedang menyuapkan bubur ke mulut Datin Khalsom. Dia terkejut melihat aku dan Hanna di balik pintu itu.

"Mama?" 

Aku meluru ke arahnya. Tangannya kucium. Sejuk. Kulihat wajahnya tidak seperti dulu lagi, semakin cengkung kerana sakitnya itu. Dia hanya mampu duduk di atas kerusi roda. 

"Kau balik? mama ingat kau dah lupakan tempat ni," pedas sindirannya. 

Ada genang di kelopak mata Datin Khalsom. Aku tidak pasti, apa yang sedang difikirkannya saat itu. 

"Hanna pun ada?" tanya Datin Khalsom.

"Ya, mama," jawab Hanna ringkas.

Hanna mengucup tangannya lalu dicium pipi tua itu berulangkali.

"Mama gembira kamu semua dah balik. Mama sebenarnya sunyi!"

"Tapi mama... kami balik ke sini sekejap saja. Selepas dua minggu, kami akan pulang ke Paris," balasku.

Datin Khalsom terdiam. Tiada kata darinya. Lagipula, dia sedar aku hanyalah anak tirinya sahaja.

"Tak apalah kalau dah macam tu. Kau tak nak jenguk Datin Karmila dan Dhya?" tanya Datin Khalsom.

"Taklah mama. Cukuplah mereka buat onar pada kita dulu. Cairil bukan membenci tapi biarlah mereka dalam penjara sana. Itu yang mereka mahukan sebenarnya."

Hanna tertunduk sambil merangkul erat Datin Khalsom.

"Mama faham. Mama juga serik. Sampai hati mereka buat mama macam tu dulu... sedih hati mama, Cairil."

Aku memujuk Datin Khalsom dari terus menangis. 

"Mama... Cairil nak bagitahu sesuatu."

"Apa dia, nak... ."

"Kami akan bernikah semula. Lusa. Buat majlis kecil-kecilan di rumah Hanna," aku membuka cerita kepada Datin Khalsom.

"Jemput mama, tak?"

"Mama... !" Hanna menyampuk.

"Mama tumpang gembira. Apa yang baik, kau buatlah. Mama pun tak lama dah di dunia ni," sayu sahaja kata-katanya.

"Jangan cakap macam tu, mama," aku menasihatinya.

Hanna mendapatkan Datin Khalsom lalu dipeluknya, erat. Juraian air mata mereka berdua menyentuh hatiku. Datin Khalsom sudah tidak seperti dulu lagi. Dia benar-benar telah berubah. 

Selain pulang ke Malaysia kerana untuk melangsungkan perkahwinan aku bersama Hanna, tanah ladang dan rumah agam ini akan bertukar tangan kepada pemilik yang baharu tidak lama lagi. Ya, aku nekad untuk menjualnya. Begitu juga rumah Datin Karmila akan turut dijual. 

Manakala rumah yang diduduki Pak Ayub masih kekal menjadi milik Hanna. Aku menjual kesemua bahagianku kerana ingin memulakan kehidupan baru di Kota Paris. Aku juga ingin membeli firma pengiklanan yang pernah menjadi tempat arwah ibuku bekerja satu masa dahulu di sana. 

Aku sebenarnya perlukan perubahan yang besar dalam hidup ini bagi melupakan kenangan lalu yang menyakitkan jiwa. Datin Khalsom pula, aku tidak persiakan begitu sahaja. Aku dan Hanna telah berbincang untuk menempatkannya bersama Pak Ayub. Memandangkan rumah Hanna itu besar, maka tiada masalah dan Pak Ayub juga bersedia menerimanya. 

"Tahun ni, kita semua pergi umrah ya?" aku memberitahunya.

"Alhamdulillah, terima kasih Cairil!" Datin Khalsom memaut bahuku lantas diciumnya aku.

Aku dan Hanna merasa tersentuh dengan perubahannya. Ya, mama dah banyak berubah. Baru kini kumerasakan nikmatnya kasih sayang seorang mama.

...

Hari yang dinantikan tiba jua. Dengan jumlah jemputan kira-kira 100 orang, tampak meriah di laman perumahan elit itu. Bertemakan putih, kelihatan bersih dan cantik dipandang. Rumput yang menghijau menambahkan lagi seri pemandangan ketika itu. 

Datin Khalsom menjadi orang yang paling gembira pada hari itu. Dialah penyambut tetamu di muka pintu. Diminta berehat ke dalam rumah tetapi dia enggan. Katanya, biarlah ini menjadi kenangan yang termanis dalam hidupnya sebelum menutup mata buat selama-lamanya. Aku hanya tersenyum saat mendengarkannya. Ya, aku terkesan dengan kata-kata itu.

Tok kadi mengambil tempat. Aku juga turut duduk bersila di hadapannya. Lalu kukerling ke sisi kananku. Hanna berbaju kurung serba putih, cantik. 

Masa berlalu begitu cepat, tok kadi menghulurkan tangannya lalu disambutku. Dengan bersaksikan tetamu yang hadir, aku menyahut lafaz nikah itu dengan penuh yakin.

"Aku terima nikahnya, Hanna Nadia Bte Dato Kamaruzzaman dengan mas kahwinnya RM87,878 tunai."

Alhamdulillah, inilah kisah hidupku. Akhirnya, aku menjadi suami Hanna untuk kali kedua yang sah. Terima kasih Hanna sebab sudi menerima aku sekali lagi. Perjalanan yang kita berdua tempuh selama ini, ternyata sukar. Namun Tuhan telah merencanakan bahagia di hujungnya. 

Hanna mencium tanganku. Lalu kumembalas dengan mengucup dahinya pula. Kubisikkan sesuatu ke telinganya untuk diingati selalu sehingga ke akhir waktu.

"I Love You so much, Doktor Hanna Nadia."

...


Apartment n°7, Bourse - Grands Boulevards

Perlahan-lahan aku menutup naskah Jujur Saja Sayang, kisah perjalanan hidupku dan Hanna. Semuanya ada tertulis disitu. Kenangan yang terpatri itu sedikit pun tidak tertinggal untuk kutuliskan. Bukan sahaja kisah aku, tetapi juga Hanna termuat di dalamnya. Kerana dia adalah sebahagian dalam hidupku pertama dan terakhir.

"Abang... tak siap lagi? dah lewat ni. Anak-anak dah bising nak ajak keluar ke Eiffel Tower," Hanna menegurku dari belakang.

"Ya Allah, hampir terlupa pulak! Ni hah, abang baca balik naskah Jujur Saja Sayang tentang kisah kita berdua dulu-dulu ni. Dah enam tahun berlalu, cepatkan?" balasku.

"Abang nak bukukan ke?" tanya Hanna.

"Ya, macam tu lah nampaknya. Abang rasa kisah kita ni unik," balasku.

"Ya lah, abang buatlah apa yang terbaik. Hanna ikutkan saja. Hati sayang ni rindu pula pada arwah mama... ," Hanna meluahkan isihatinya.

"Datin Khalsom... ya, samalah. Abang pun rindukannya," aku terasa sedikit sebak.

"Eh, Raffeq, Raffael. Sini cepat! tukar baju. Babah nak belanja makan aiskrim Vanilla di Eiffel Tower," Hanna memanggil kedua-dua anak kembarnya.

Aku hanya menjeling manja ke arah Hanna. Ya, aiskrim Vanilla menjadi kenangan yang pasti tidak luntur dari ingatan. 

...

TAMAT

...

   

Tak pernah ku menduga
Gelora jiwa sesali dada
Aku jatuh dan aku merindu tanpa kepastian
Bagaimanakah nantinya
Aku dapat merasakan
Rasa cinta di hatiku
Hanyalah untukmu kekasihku


Mendung dalam sinar matamu
Kenangan duka masa lalu
Kepasrahan...


( korus )
Tak ku hiraukan panas mentari lagi
Demi cinta kurela menanti
Takkan goyang walau badai kan melanda
Seribu tahun kutetap setia
Lupakanlah dukamu yang silam
Hulur tanganmu sambut kasihku
Mari bersama kita melangkah
Membina cinta abadi 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku