ANTARA CINTA
Bab 8
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novelet
Paparan sejak 21 November 2017
Pertemuan tanpa diduga membaitkan cinta dua insan yang mempunyai personaliti yang bertentangan. Sering cuba untuk mengalahkan antara satu sama lain, membuahkan perasaan cinta yang diakhiri dengan pernikahan. Namun apa yang dirancang tidak berkesudahan seperti yang diharapkan. Di hari pernikahan, sejarah silam kembali menghantui kedua mempelai. Adakah mereka berjaya melepasi halangan yang menimpa?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
96

Bacaan






Kedinginan subuh dihujung minggu terasa begitu menyegarkan. Adriana segera meninggalkan keempukan tilam untuk bersegera kekamar mandi, bersiap-siap untuk menunaikan rukun Islam yang kedua. Selesai saja ia berwuduk, sayup-sayup kedengar muazin melaungkan azan subuh. Ia menyarungkan telekung yang dicapainya dari belakang pintu kamar. Ia bercermin dihadapan meja soleknya, memastikan tiada huraian rambut yang terlepas dari litupan telekung. Setelah pasti semuanya sempurna, dengan penuh khusyuk, ia mengangkat takbir....Allahuakbar....Allah maha besar.....

 

Selesai bersolat, dia terus menadah tangan memohon keampunan dari Allah subhanahu wataala semoga diampuni dosa terdahulu, dan memberi hidayah buat masa hadapan. Terasa lapang dadanya setelah tanggungjawabnya selesai. Sedang ia melipat sejadah, telefonnya berdering-dering minta di angkat. Siapa pula la yang menelefon pagi-pagi begini, desis hatinya. Dia melangkah longlai sambil mencapai telefonnya dari atas mejatulisnya.

 

“Assalamualaikum....” lembut memula bicara.

 

“Waalaikumsalam, dah solat subuh?” Ahhh.... suaraitu, kiranya Sang Arjuna yang kehausan dilautan pasir yang tandus, inilah sungai yang mengalir lesu membelah, memberi kedinginan yang nikmatnya tidak terkira.

Adriana bagaikan terpaku, kehilangan kata-kata. Dua minggu lamanya dia tidak menelefon, apatah lagi untuk berjumpa, tiba-tiba sahaja timbul.

 

Adriana seakan terdiam mendengar suara itu. Rindu.Itu sahaja yang boleh menjelaskan perasaannya terhadap kehilangan Adam selama dua minggu yang lalu. Jika itulah hasrat untuk membuat Adriana rindu, Adam berjaya. Dia berjaya mengujudkan suatu perasaan yang tidak mungkin dapat dijelaskan. Sekiranya ‘cupid’ itu ujud, maka busarnya memang tepat mengenai jantung gadis itu, kerana hatinya telah jatuh sekali lagi pada empunya suara, apabila Adam bertanyakan tentang solat subuh. Dari manakah datangnya manusia ini? Terlalu perfect!! 

“Adriana” sergah Adam, bila gadis itu terdiam tanpa kata-kata.

 

“Arr... eh... iya... sori...” tergagap-gagap dia membalas panggilan jejaka tersebut.

 

“Saya nak datang sarapan rumah awak, tolong buatkan kopi O ya? Nanti saya belikan roti canai. Pukul lapan saya sampai.” Dia lantas mematikan telefonnya.

 

Adriana terkebil-kebil, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Sesaat sungguh romantis, dan dalam sekelip mata, dia boleh menjadi manusia yang paling egois, seolah dunia ini miliknya!!! Hatinya ingin menjerit, dan ingin saja dia membaling telefon bimbitnya itu.  Namun fikirannya masih waras,membatasi kata hati. Mengapa harus telefon yang tidak bersalah itu yang harusdi hempaskan, sedangkan yang dimarah tidak tahu langsung akan perasaan yang membuak-buak itu. Sambil memerhatikan telefon tersebut, hatinya tersenyum,nakal. Hmmm.... buku akan bertemu ruasnya.... hatinya berkata-kata.

 

Mak Piah sibuk menggoreng bihun didapur, apabila Adriana memberitahu yang Adam mahu bertandang. Mulutnya becok mengerah Adriana mengeluarkan cawan porselin kesayangan yang disimpan didalam almari hiasan, untuk digunakan untuk meraikan tetamu yang tidak diundang. Adriana merengus sambil mengikut kehendak ibunya. Setelah membilas, membuang sisa-sisa habuk menunjukkan yang ianya jarang digunakan, Adriana mengelap dan menyusun di meja makan. Sebal sungguh hatinya. Hari minggu sepatutnya untuk releks, bukannya lebih stress!!

 

Selesai menyiapkan meja, dia sibuk membancuh airpula. Seteko teh susu telah diletakkan diatas meja makan. Tangannya mencapai sebutir mug besar, untuk membancuh kopi O buat tetamu istimewa. Suatu senyum nakal bermain dibibir. Inilah masanya untuk mengenakan Adam. Dia menoleh kearah pintu dapur memerhatikan ibunya sambil tangannya mengapai botol garam.Diceduknya sesudu besar garam untuk dibubuh kedalam kopi Adam, ahh.... terlalu klise pulak, desisnya. Dia meletak semula botol garam tersebut dan dicapainya pula balang gula.

 

Satu sudu, dua sudu, tiga, empat, lima, enam sudu.... dia mengira jumlah gula yang di masukkan kedalam kopi yang disediakan untuk Adam. Rasakan! Getusnya puas, sambil mengacau sudu didalam cawan kopi.

 

Dialaskan dengan piring, dia menatang kopi tersebut kemeja makan. ‘Grandfather clock’ yang terletak diruang tamunya,berdeting menandakan jam lapan pagi. Sejurus selepas itu, terdengan deruan enjin dihadapan rumahnya.

 

Adriana menoleh tatkala Adam memberi salam.Senyumannya terbeku diwajah sebaik saja melihat wajah itu. Suara ibu danayahnya seolah tidak kedengaran, walaupun hakikatnya mereka riuh melihat kedatangan Adam. Lelaki itu terus menghampirinya sambil tersenyum dan terusm enghulurkan bungkusan makanan yang dipegangnya.

 

“Roti canai” katanya sepatah, seolah-olah tiada apa-apa yang perlu diperkatakan..

 

“Kalau saya minta secara baik, tolong hidangkan roti canai ini dalam pinggan boleh?”  lembut sekali bicaranya seolah-olah hanya untuk pendengaran Adriana. Seperti disihir, Adriana menyambut bungkusan tersebut, dan menuju kedapur. Telinganya sempat menangkap bisikan halus dariAdam; “rindu kamu.”

 

Oh hati, janganlah engkau cair sekarang! Janganlah hampakan tuanmu yang satu ini..... hatinya berbisik. Bagaikan dalam filem gerak perlahan, Adriana menyiapkan seperti yang dipinta Adam. Dipikirannya bermain seribu satu macam persoalan

 

Menuju kearah meja makan, ayah dan ibunya rancak berbual. Sebaik saja dia melabuhkan punggung, ibunya tidak sabar-sabar memberitahunya yang Adam baru saja selesai mengerjakan umrah. Itu menjelaskan kenapa kepalanya botak!

 

Adriana menoleh kearah Adam, meminta kepastian.Dilihatnya Adam hanya tunduk, sambil tangannya menyuap bihun yang digoreng olehibunya tadi.

 

“Ini kopi Adriana buat untuk kamu, hmmmm.... dah tak panas lagi..” ibunya menghulur mug kopi sambil disambut oleh Adam.

 

Adriana ingin menjerit, meminta agar dia tidak meminumnya, rasa bersalah menyelubungi dirinya. Adam mengenyitkan sebelah matanya pada Adriana seraya terus meminum kopi tersebut.  Seteguk demi seteguk dia minum, sehingga selesai.

 

“Sedap makcik, manis”

 

Rasa bersalah makin menebal didada. Maka bila saja Adam mengajaknya untuk keluar, segera dia mengiakan.

 

Selesai saja sarapan tadi, Adam memohon kebenaran daripada kedua ibubapanya untuk keluar bersama Adriana. Old fashion sungguh, getus Adriana tetapi akibat rasa bersalah dengan insiden kopi O tersebut, tanpa banyak protes, dia segera bersiap, ala kadar sahaja.


 Adriana bersandar kemas disamping Adam. Sesekali dia menoleh memerhatikan Adam yang sedang memandu. Dia cuba membiasakan diri dengan fizikal diri Adam yang baru. Kelihatan sungguh tenang.

Kereta dipandu terus meluncur laju menuju destinasi.

 

Tiba ke Awana Genting, dia memberhentikan kereta dan menyerah kunci pada valet. Adriana membuntutinya menuju kedalam restoran. Waitress yang menanti dipintu bagaikan telah diberitahu tentang kedatangan Adam terlebih dahulu, terus sahaja berjalan kearah suatu sudut yang agar terlindung, tapi mempunyai pemandangan yang indah menghadap padang golf.

 

Diam.

 

Adriana serba salah. Walaupun pandangan matanya dilemparkan terhadap padang golf yang terbentang luas, dia dapat merasakan kehangat mata Adam yang merenungnya.

 

“Kenapa tenung saya?”  

 

“Rindu” balas Adam ringkas.

 

Diam.

 

“Kalau rindu, kenapa tak telefon?”               

 

“Saya nak awak pun faham erti rindu”

 

“Okey, you’ve made your point! So, what’s next?”jawab Adriana selamba, cuba menggaburi perasaan gugup.

 

“Cari jalan penyelesaian”

 

Alamak, dia bermain seribu satu soalan la pulak,getus Adriana geram. Sepatah ditanya sepatang dijawab. Mahu saja dia berhujah tentang ‘open ended questions’ yang seharusnya membawa pengertian yang lebih besar  dan mendalam terhadap sesuatu soalan itu.

 

“Okeylah Encik Adam. Apa jalan penyelesaian yang awak dapat, dengan berdiam diri selama dua minggu?”

 

Adam tersenyum. Masih menawan, walaupun dengan keadaan botak. Cuba bayangkan Hithrik Roshan botak, wah! Sejauh itu fikirannya melayang.

 

“Lebih kurang dua minggu saya mencari ketenangan di tanah suci, dan setiap hari juga saya mendapat jawapan yang menuju kearah yang sama. Jangan tanya apa petunjuk itu, cuma cukup kalau saya katakan yang arah memang terbentang luas, untuk saya mencapai maksud saya”

 

Berkerut-kerut dahi Adriana cuba mengupas ayat tersebut untuk kefahamannya, ternyata gagal. Sekarang dia berkira-kira pula untuk mempersoalkan kesahihan ‘open ended questions’ untuk menjelaskan pekara sebenar.

 

“Masih tak paham” Adriana tersengih, sambil mencapai gelas minuman. Ayatnya memang berbelit, tiada hujung pangkal, dan bukan senang nak dianalisiskan. Terkekeh-kekeh dia ketawa didalam hati.

 

“ Kita kahwin”

 

Mujur tidak tersembur minuman yang dimulutnya, tak tertelan, kembung pipinya umpama ikan buntal yang diserang musuh, sambil matanya terjegil memandang Adam.

Kini giliran Adam pula untuk tersengih,memerhatikan gelagat Adriana. Sungguh tidak dia sangka, sejauh manapun halatujunya, pulang juga pada yang asal. Gadis yang baru dikenalinya itu ternyata lain daripada yang lain.

 

“Awak sudah gila ke?” sembur Adriana, sebaik saja menelan minuman yang berada dimulutnya. Bagai tak percaya dengan kata-kata yang didengari daripada Adam tadi. Hanya orang yang hilang akal akan berbuat seperti apa yang Adam lakukan. Kahwin? Setelah hanya mengenalinya lebih kurang sebulan?Memang tak masuk akal, getus Adriana geram.

 

Adam hanya tersenyum kambing, sambil mencapai gelas yang berada didepannya. Diteguknya minuman dengan tenang, seolah-olah tidak mengambil pusing dengan ungkapan Adriana tadi. Dengan perlahan, dia meletakkan minumannya ke atas meja.

 

Adriana masih merenungnya, menanti jawapan. Mahu rasanya dia mencekik-cekik Adam agar segera menelan minumannya, supaya dia dapat menerangkan maksud sebenar, kata-katanya tadi.

 

“Awak sudi berkahwin dengan saya?” tanya Adam lagi, meminta kepastian dari Adriana setelah dilihatnya Adriana masih merenung dirinya.

 

“Kenapa awak suka mainkan perasaan orang ye? Awak tahu tak apa yang sudah awak lakukan” tegur Adriana secara sinis. Orang sebegini harus diajar. Dengan rupa paras yang segak, pasti ramai gadis-gadis yang terkulai dengan rayuannya. Adakah dia akan menjadi mangsa yang seterusnya? Getus Adriana geram.

 

“Cuba awak lihat muka saya ni. Awak rasa saya main-main ke?” jawab/jelas Adam lembut. Adriana hanya mengeleng-gelengkan kepalanya. Difikiranya masih bercelaru dengan sikap Adam hari itu.

 

“Kenapa awak nak kahwin? Dengan saya pulak tu?Kalau pun awak dah terdesak sangat, takkanlah awak tak ada girlfriend?” tegur Adriana seakan-akan menduga Adam. Dia berharap sangat yang Adam akan memikirkan alternatif lain, sekiranya dia benar-benar ingin berkahwin.

 

Adam hanya tersenyum. Tegar sungguh hati gadis inifikirnya.

 

“Awak ada teman lelakikah?”

 

“Itu bukan soalnya. Persoalannya kenapa awal timbulkan soal kahwin, sedangkan awak tak kenal pun saya. You’re not being fair...

 

Ada perkembangan, desis Adam. Suara Adriana seolah-olah memohon simpati. Dia harus selesaikan persoalan ini sekarang.

 

 “Saya suka dan menyayangi awak, dan saya rasa itu sudah cukup kukuh untuk melamar awak.Kalau tiada aral, keluarga saya akan kerumah awak bila-bila masa saja, dalam minggu ini.” Terang Adam dengan panjang lebar.

 

“Saya harap, awak sudi terima,” jelas Adam dengan  penuh harapan.

 

Adriana masih menenung wajah Adam tanpa berkelip.Dia masih masih tidak percaya dengan tindakan Adam itu. Untuk melamarnya pada saat-saat begitu, tidaklah begitu memberangsangkan, fikir Adriana. Tetapi entah mengapa, dia tetap menimbangkan permintaaan Adam. Sudah gilakah ia?Menimbangkan hasrat Adam untuk menyuntingnya.

 

“Adriana, Adriana......” panggil Adam lembut,apabila dilihatnya gadis itu merenung, ‘menembusi’ dirinya. Bagaikan baru tersedar dari mimpi, Adriana menggeleng-gelengkan kepalanya, sambil tersenyum.

 

“Katalah....” mulanya perlahan. Dia berdehem beberapa kali, membetulkan suaranya.

“Katalah saya setuju dengan tindakkan gila awak ini, apa yang awak dapat?”

 

“Saya dapat awak!!” berderai tawa Adam,seolah-olah lucu benar jawapannya itu. Adriana memasamkan muka. Geram dengan tawa Adam, yang dirasakan memainkannya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku