Veteran superstar
BAB 1
Genre: Keluarga
Kategori: Novelet
Paparan sejak 23 November 2017
Mengisahkan mengenai Zaki, seorang lelaki 50 an tetapi telah lama memasang angan-angan untuk menjadi penyanyi terkenal.Kegilaan Zaki dalam bidang nyanyian turut diketahui oleh saudara-mara, malah ada yang menyokong impian Zaki, tidak kurang juga yang memandang sinis kepadanya termasuklah isteri dan anak perempuannya. Oleh kerana minat yang mendalam dalam bidang nyanyian, membuatkan dia begitu obsess dalam menjaga suara.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
239

Bacaan






Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kelihatan dedaunan meliuk lentuk mengikut irama sang bayu. Sesekali kenderaan seperti motor dan kereta melintas di jalan dan menimbulkan bunyi enjin yang kedengaran dalam pelbagaiversi.Preet..preett…preettt…vrom..vrooom...

            Apabila  terdengar sahaja bunyi enjin kenderaan, Zaki berhenti menyanyi. Mulutnya mendecit tanda tidak berpuas hati kerana bunyi itutelah mengganggu moodnya yang sedang berbunga-bunga.

            “Apa la kacau mood aku saja. Ni mesti sebab jealous dengan suara aku ni. Mentang-mentang suara aku ni merdu. ” Zaki mengomel sendirian sambil pandangannya masih ke arah jalan bertar di hadapan rumahnya. Sempat pula dia memuji dirinya sendiri.

            Kelihatan beberapa ekor ayam mematuk-matuk tanah dan ada juga yang berkokok. Hal ini membuatkan Zakiterus hilang teruja untuk terus menyanyi mengikut irama di radio. Perlahan-lahan Zaki bangun dari kerusi dan membetulkan pinggang dengan menggerakkan badannya sebentar ke kiri dan sebentar pula ke kanan. Zaki berasa sedikit lega dan dia terus menghampiri radio yang berada tidak jauh dengannya apabila kedengaran siaran yang sedikit terganggu.

            “Hai..radio pun tahu penat abang. Yang abang ni tak penat-penat ke sejak tadi menyanyi? “ MunculMaznah dari pintu sambil membawa dulang menuju ke arah meja bulat yang tidak jauh dengan suaminya. Cepat-cepat Zaki mengalihkan radionya yang diletakkan diatas meja yang sama. Maznah menggeleng-geleng kepala melihatkan aksi suaminya itu yang kelihatannya amat menyayangi radio buruknya itu.

            “Nanti radio ni rosak kalau terkena air kopi awak tu.” Zaki memahami pandangan Maznah yangseolah-olah tidak berpuas hati dengan tindakannya tadi.

            “Ish..ish.. macam la air kopi saya ni boleh berjalan. Kalau boleh berjalan pun memang saya suruh je air kopi saya ni masuk dalam radio awak. Biar cepat rosak.” Sengaja Maznah berkata begitu. Memang sudah lama Maznah geram dengan kerenah suaminya ini.

            Zaki menjeling ke arah Maznah. Memang isterinya ini ada sahaja perkataan yang dibalasnya. Zaki mematikan terus radionya dan menutup suis. Zaki meletakkan radionya di atas lantai tidak jauh dengannya. Zaki memang sudah lama tahu bahawa Maznah tidak menggemari hobinya yang satu ini lebih-lebih lagi apabila Maznah turut mendapat sokongan daripada anak dara kesayangannya, Sofea. Sofea merupakan anak kedua mereka yang berusia 19 tahun yang masih lagi menunggu masa untuk menyambung pelajaran dimana-mana institusi. Hanya Nazrul sahaja yang menyokong hobi Zaki dan menjadi pengubat hati Zaki. Zaki pula merupakan anak sulung mereka berusia 21 tahun tetapi memilih untuk tidak menyambung pelajaran selepas tamat tingkatan 6. Apa yang menjadi kesukaan Nazrul adalah sama dengan apa yang digemari Zaki ibarat pepatah mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

            “Merajuk la tu sampai kopi saya pun dah tak mahu minum.” Maznah melirik ke arah suaminya yang masih lagi tidak mengusik kopi yang dibuatnya.

            Beberapa minit kemudian muncul pula Sofea dari muka pintu sambil membawa dulang dan berlenggang menuju ke arah kedua ibu bapanya. Sofea tersenyum-senyum meletakkan beberapa pinggan kuih muih  di atas meja. Sofea sedar tumpuan ibu-bapanya kini sedang terarah ke arahnya.

            “Jemput makan mak,ayah..” pelawa Sofea dengan penuh sopan lalu terus mengambil tempat bersebelahan dengan ibunya.

            Zaki menjeling sekilas ke arah kuih yang dihidangkan Sofea. Ada yang berwarna merah jambu, ada yang berwarna kuning dan ada yang berwarna ungu. Cukup menarik warna-warna yang digunakan tetapi tetap menimbulkan sangsi di hati Zaki.

            “Kuih apa ni?” tanya Zaki yang sedikit sebanyak turut tertarik dengan kejadian kuih tersebut.

            “Ish abang ni. Kuih ni pun tak tahu. Ni lah namanya kuih Nona Manis. Kan cantik namanya tu.” JawabMaznah menjawab bagi pihak anaknya.

            “Apa-apa je lah. Nono ke Nano ke..Cuma yang nak tau, sedap ke ni?” jujur Zaki bertanyakan soalan itu kepada Sofea dan turut merubah riak wajah Sofea yang sedang tersenyum sejak tadi. Air muka Sofea berubah keruh.

            “Rasa la dulu bang.Komen tu kemudian la.” Jawab Maznah yang tidak mahu suaminya itu berterusan bertanyakan soalan yang pastinya membuatkan Sofea panas punggung.

            Zaki tidak memandang ke arah wajah Sofea tetapi tangannya tetap cuba mengambil salah satu kuih yangt erhidang. Maznah sejak tadi menyedari perubahan air muka anak kesayangannyaitu dan turut mengikut langkah suaminya yang kini sedang menyuap kuih nona manis ke dalam mulut.

            Berdebar-debar Sofea menantikan maklum balas jujur daripada kedua ibu bapanya itu memandangkan ini merupakan kali pertama dia membuat kuih Nona Manis.

            “Manis sangat la.”Terlontar kata-kata itu daripada mulut Zaki yang baru sahaja menyuap kuih ke mulut. Segera dia meletakkan semula kuih di atas pinggan.

            Terjengket sedikit bahu Sofea apabila terdengarkan kata-kata ayahnya secara tiba-tiba itu. Maznah yang baru sahaja mengunyah kuih tersebut turut tersentak.

            “Manis sangat ke ayah?”tanya Sofea yang mula gelabah dan terus mengambil kuih di atas meja. Segera dimasukkan kuih itu ke dalam mulutnya dan mengunyah dengan berhati-hati untukmemastikan apa yang dikatakan oleh ayahnya itu adalah benar.

            “Ok la ni ayah. Ayah saje je nak kenakan Sofea kan.” Sofea yakin benar bahawa kuih yang dibuatnya ini tidaklah terlebih manis seperti yang dikatakan oleh ayahnya itu. Sofea mula menarik muka masam. Ada-ada sahaja ayahnya ini.

            “Tak percaya tanya lah mak kau.” Zaki menjeling ke arah Maznah yang sejak tadi tidak membuka mulut.

Tumpuan Sofea kini tertumpu kepada ibunya. Kini ibunya sahajalah menjadi harapan buatnya untuk memberikan komen yang diharap-harapkan. Sofea berharapagar jawapan ibunya akan bertentangan dengan jawapan ayahnya sebentar tadi.

            Maznah yang menyedari pandangan Sofea itu cuba bersikap bersahaja. Sofea mula berdebar ibarat menanti keputusan juri dalam pertandingan Master Chef. Zaki pula nampaknya hanya makan separuh daripada sebiji kuih yang sempat dikomennya sebentar tadi. Zaki pantas menghirup kopi yang sudah lama dihidang dihadapannya oleh Maznah.

            “Ni pun manis! Berapa kilo gula letak dalam ni? ” terlontar kata-kata itu daripada mulut Zaki sebaiksahaja air kopi yang dihirupnya memasuki rongga kerongkong.

            “Nak saya cepat-cepat kena kencing manis ke ni?” sambung Zaki lagi.

            Maznah yang baru sahaja berkira-kira  untuk memberikan maklumbalas untuk kuih Nona Manis mula terbantut hasratnya sebaik sahaja mendengar kata-kata yang tidak disangka oleh suaminya. Maznah terus memandang Zaki yang seperti tidak berperasaan itu.

            “Sebelum ni tak ada pula abang komen kopi yang saya buat. Kenapa tiba-tiba hari ni lain macam pula bunyinya?” tanya Maznah yang masih lagi terkejut dengan kejujuran kata suaminya sebentar tadi.

            “Alang-alang dah jadi juri ni biarlah jadi juri keseluruhan. Tak adil pula kalau kopi awak tu saya tak komen.Hakikatnya memang kopi awak ni terlebih gula.”

            Sofea terus ketawa tetapi segera menutup mulut dengan tapak tangan sebaik sahaja melihat jelingan Maznah yang disertai dengan wajah yang masam mencuka. Sofea memang tahu bahawa ayahnya itu adakalanya suka mengusik ibunya dengan kata-kata yang agak ‘lepas’ dan seolah-olah seperti tidak berperasaan. Zaki meletakkan cawan di atas meja.Masih ada lebih dari separuh baki air kopi di dalam cawan.

            Zaki mengambil radio kesayangannya lalu mengepit dan membawa masuk ke dalam rumah.. Sebentar kemudian Zaki keluar semula dengan kunci di tangan.

            “Nak pergi mana pula tu?” tanya Maznah yang masih menjerut rasa tetapi masih juga ingin tahu ke mana suaminya ingin pergi apabila melihat Zaki mencapai motor yang diparkir dihadapan rumah.

            “Keluar.” Jawab Zakisepatah lantas terus menghidupkan enjin motor.

            Maznah masih memuncungkan mulut. Bukan itu sebenarnya jawapan yang dimahukan. Sepatah sahaja jawapan daripada Zaki menandakan bahawa Zaki tidak berminat untuk meneruskan perbualan.Biarlah ke mana sahaja suaminya itu mahu pergi. Maznah sendiri masih belum sempat merawat hatinya sendiri kini.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
BAB 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 | Bab 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku