So This Is love
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 28 November 2017
Bagi yang mengikuti novel Hai Handsome! pasti mengenali akan watak Amar Taufiq yang jahat dan menjengkelkan tu kan? Namun bagi karya saya kali ini, anda semua pasti akan jatuh cinta dengan watak Amar Taufiq dari sisi yang lain. Pertemuannya dengan Mawar Hana telah mengubah diri dan kehidupannya secara 360 darjah. Kesedihan dan penderitaan kadang kala adalah permulaan bagi sebuah kebahagiaan. Ini yang Amar dan Hana perlu tempuhi sebelum mereka berdua sedar dan mengerti akan erti cinta sejati.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
267

Bacaan






Bab 4

Ketika tanganku sedang lincah memotong dadu bawang untuk menumis sambal udang, tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Aku membuka zip beg sandang yang aku letakkan di atas kerusi lalu telefon bimbit itu segera aku capai. Berkerut  dahiku ketika aku menatap nombor asing yang terpamer di skrin telefon. Nombor tersebut bukanlah dari talian telefon mudah alih. Mungkin panggilan daripada pentadbiran kolej agaknya, aku sekadar membuat andaian.

“Hello. Siapa di sana?” Aku menyapa.

“Siapa nama kau?” Suara lelaki yang bertanya di hujung talian sana mengejutkanku.

Aku memandang ke arah skrin telefon itu sebelum melekapkannya semula ke telinga. “Saya yang sepatunya tanya siapa anda  kerana anda yang menelefon saya.” Balasku masih di dalam nada sopan.

“Banyak bunyi pulak kau ni. Kau yang masak kat rumah aku kan sekarang ni? Aku tau bukan Mak Cik Norli yang masak untuk aku sepanjang minggu ni.” Nada suara mendatar di hujung talian sana itu membuatkan darahku tiba-tiba rasa berderau kerana aku sudah dapat mengagak siapa gerangan lelaki yang sedang berbual denganku itu tidak lain tidak bukan pastinya Tuan Amar!

Aku menelan liur sebelum mindaku mula menyusun ayat bagi menjawab soalan anak tuan rumah ini. Namun belum sempat aku membuka mulut, lelaki itu terlebih dahulu bersuara yang terus membuatkan aku terasa berpeluh-peluh.

“Aku  Amar Taufiq. Aku tahu kau yang masak untuk aku selama seminggu ni mengganti mak cik kau. Aku dapat nombor telefon kau ni pun daripada Mak Cik Norli. Nama kau siapa?” Kali ini suara lelaki itu sedikit meninggi.

“Errr...nama saya Hana, Tuan Amar. Macam mana tuan boleh tahu tentang tu? Tuan jangan salah faham ya, saya menggantikan Mak Lang saya sebab dia nak balik ke kampung selama dua minggu kerana adiknya bakal bernikah. Saya gantikan dia di rumah ni hanya memasak makanan tengah hari sahaja dan kawasan yang saya jejaki hanyalah di bahagian dapur sahaja.” Ujarku dalam cemas. Aku mengharapkan yang Tuan Amar tidak memarahiku atau lebih teruk lagi akan membuatkan Mak Lang kehilangan pekerjaan.

“Tak kisahlah apa pun. Aku nak adakan parti di rumah pada malam ni. Aku nak kau masak untuk tiga puluh orang tetamu. Sebelum pukul sembilan, aku nak semuanya tersedia. Aku nak masakan Western.” Lelaki itu mengeluarkan arahan yang tidak aku jangkakan.

Aku terdiam seketika sebelum membalas. “Tuan Amar...saya minta maaf. Saya hanya bantu Mak Lang saya untuk masak makanan tengah hari untuk tuan sahaja. Untuk lebih daripada itu saya tak berani nak buat.” 

“Kau kan orang gaji! Ikut aje lah arahan aku.” Tengkingannya itu mengejutkanku.

Aku semakin berpeluh-peluh apabila disergah sebegitu. Apakah yang harus aku lakukan kini? Yang mana satu harus aku turutkan, antara pesanan Mak Lang atau arahan Tuan Amar.

“Err...Tuan Amar, maaf sangat tapi saya tak boleh tunaikan permintaan tuan tu. Lagipun saya tak berani untuk terus ada di dalam rumah ini sehingga ke malam hari. Tambahan pula saya ke rumah tuan ni menaiki bas dan jika saya pulang lewat malam, susahlah saya. Saya mohon agar tuan memahami keadaan saya.” Aku merayu agar Tuan Amar dapat mempertimbangkan keadaanku.

“Kau nak aku berhentikan Mak Lang kau ke? Apasal kau ni susah sangat ni? Aku suruh kau masak aje, bukannya aku suruh kau tidur dengan aku pun perempuan kampung!” Sinis suara lelaki itu yang mula menjengkelkan hatiku.

Aku mahu menjawab tuduhan berbentuk penghinaannya itu namun aku batalkan niatku kerana aku terkenang akan Mak Lang. Aku tidak mahu mak cik aku berkemungkinan akan kehilangan kerja gara-gara aku tidak menuruti permintaan lelaki yang aku rasakan sangat sinis ini.

“Baik saya akan buat seperti yang tuan minta.” Balasku di dalam keterpaksaan.

“Duit untuk beli barang-barang masakan Western kau ambik dalam laci kat bilik aku di bahagian atas sebelah kanan. Kau ambil ada lima ratus ringgit ada aku letakkan kat situ.” Tuan Amar mengeluarkan arahan yang aku tidak berapa berkenan.

“Tuan Amar...saya ni tak berani nak masuk ke bilik tuan. Saya tak nak melebihi batas dan kawasan saya hanya di dapur rumah tuan sahaja. Apa kata tuan balik ke rumah tengah hari ini tuan serahkan sendiri wang tu pada saya.” Aku beralasan namun memberikannya cadangan.

Aku telah diajar oleh emak sejak dari kecil lagi supaya jangan sesekali mencerobohi privasi seseorang terutamanya melibatkan wang ringgit. Oleh kerana itu, aku tidak berani melakukan apa yang diminta oleh Tuan Amar untuk masuk ke biliknya dan mengambil wang di dalam laci.

“Aku tak balik tengah hari ni sebab ada mesyuarat. Kau masuk aje lah. Kalau kau nak mencuri pun ambik ajelah duit tu, aku tak kisah pun. Yang penting aku nak makanan untuk parti aku malam ni siap macam yang aku suruh. Kalau tak, siaplah kau dengan mak cik kau sekali aku cari.” Ugutannya itu membuatkan aku mengetap bibir.

Dasar anak orang kaya berlagak. Patutlah Mak Lang melarang aku untuk bertembung dengan lelaki itu, rupa-rupanya inilah maksud ‘hodoh’ yang cuba Mak Lang sampaikan kepadaku. Perangai lelaki itu yang menjengkelkan, angkuh, sombong dan prejudis.

“Tuan Amar balik pukul berapa ya?” Soalku kerana aku sebolehnya tidak mahu berada di rumah ini sewaktu parti malam ini berlangsung. 

Memanglah aku ini muka sahaja kelihatan moden namun peganganku masih lagi konservatif pada pegangan agama dan aku sentiasa mengingati akan pesanan emak agar sentiasa berhati-hati tinggal di kota raya ini. Menghabiskan masa dengan berparti atau berpeleseran bukanlah cara hidupku kerana bagiku lebih baik masa itu aku manfaatkan dengan menelaah buku-buku bidang perubatan.

“Kau tak payah sibuk tanya aku nak balik pukul berapa macam aku ini laki kau pulak. Ingat sikit...kau tu taraf orang gaji aje jadi tak payah nak sibuk pasal aku. Aku ni tak ingin nak pandang muka kau sikit pun. Satu lagi malam ni aku nak kau tunggu sampai parti habis dan kemas semua pinggan mangguk dan rumah aku sekali.” Ujar Tuan Amar kasar yang bagiku semakin melampaui batas itu.

Aku mengepal penumbukku kuat bagi menahan rasa geram dengan kata-kata kesat lelaki itu. Benar dia adalah tuan di dalam rumah ini tetapi itu tidak bermakna dia boleh bercakap sesuka hatinya tanpa mengira perasaan orang lain pula.

“Tuan Amar tak perlulah nak ingatkan siapa saya ni dengan menekan perkataan orang ‘gaji’ sebab saya sedar siapa saya. Hanya anak buah kepada tukang masak yang datang dari kampung tetapi itu tak bermaksud saya ni bodoh.” Aku memberanikan diri membalas kata-kata lelaki itu.

Lelaki di hujung talian sana tergelak sinis yang membuatkan telingaku terasa pedih. “Kau ni memang berani menjawab kan? Aku tak kira..yang aku tahu semua makanan yang aku pesan tadi siap sebelum pukul sembilan malam. Kalau kau tak sempat kejar bas malam ni bukan salah aku dan bukan masalah aku. Pandai-pandilah kau tidur kat bilik mak cik kau ke...tidur mana-mana ke tapi yang penting jangan muncul depan aku.” Katanya sebelum dia mematikan talian.

Turun naik nafasku menahan rasa amarah terhadap lelaki itu yang bagiku sangat keterlaluan. Tiba-tiba aku berasa sedih pula apabila mengenangkan kehidupan Mak Langku selama ini yang bekerja untuk lelaki itu. Pasti Mak Lang banyak menderita. Kasihan Mak Lang.  Amar Taufiq...satu nama yang aku tak akan mudah lupa sampai bila-bila. 

Aku memasukkan udang dan sayur-sayuran ke dalam peti ais. Tidak jadi untuk memasak kerana menurut Tuan Amar yang bongkak itu dia tidak pulang pada waktu tengah hari nanti. Kalau ikutkan rasa mahu sahaja aku memasukkan segenggam cili padi ke dalam sambal udang itu, biar nanti terbakar mulut lelaki puaka itu. 

Aku mengambil beg sandang di sisi kerusi lalu aku berjalan menuju ke arah tangga untuk naik ke tingkat atas rumah itu. Aku melangkah dengan berhati-hati kerana tidak mahu pula terlanggar apa-apa sahaja barang berharga milik tuan rumah ini. Tidak fasal-fasal aku kena mengganti rugi pula nanti. Bertambah mengamuklah Tuan Amar yang sombong itu. Aku mencebik tatkala teringat kembali bagaimana bongkaknya lelaki itu ketika berbual denganku di corong telefon sebentar tadi.

“Dah lah gemuk...hodoh...ada penyakit kulit, tak sedar diri sombong melangit.” Aku mengomel sendirian sambil kakiku memanjat anak tangga ke tingkat atas. 

Sampai di hadapan bilik yang dimaksudkan oleh lelaki itu, aku segera memegang tombol pintu lalu menolak perlahan daun pintu itu. Namun langkah kakiku terhenti tatkala  mataku terpaku memandang ke arah satu gambar besar yang tergantung di kepala katil di dalam bilik itu. Orang di dalam gambar itu adalah orang yang sama aku lihat memeluk bahu Aiman Reza di dalam foto yang terletak di atas kabinet di bahagian bawah beberapa hari yang lalu. Maknanya lelaki kacak berwajah seperti orang Korea itu sebenarnya adalah Tuan Amar! 

“Tapi kenapa Mak Lang beritahu aku yang wajah Tuan Amar hodoh, gemuk dan berpenyakit kulit pula?” Soalku bingung.

Aku menangguk-angguk sendirian tatkala aku memahami akan maksud perumpamaan yang dikatakan oleh Mak Lang tentang Tuan Amar. Memang benar apa kata Mak Lang tentang kehodohan lelaki itu. Perangainya yang menjengkelkan telah membuatkan wajah yang kacaknya berubah hodoh di mata orang lain.

“Sia-sia aje aku puji mamat hensem ni sejak beberapa  hari yang lalu. Rupa-rupanya dia adalah Tuan Amar yang buruk perangai.” Aku mencebik.

Aku melangkah ke arah almari berlaci yang terletak di sisi katil lelaki itu. Beg sandang yang aku bawa aku letakkan di sisi katil. Aku kemudian membuka laci pertama dan mataku terus membulat tatkala aku memandang ke arah not RM100 yang bergulung-gulung di dalam laci itu. Aku sempat menelan liur sebelum tanganku mencapai hanya sebanyak lima keping  sahaja wang kertas berwarna ungu itu. Namun ada sesuatu yang lebih menarik perhatianku. Aku terlihat akan sekeping foto wanita yang terselit di sebalik kad dan buku nota di dalam laci itu.

Aku capai dan aku tatap foto itu. Cantik! Pujiku di dalam hati. Wajah kacukannya mengingatkan aku kepada diri sendiri. Wajah gadis itu lebih kepada kacukan Latin atau Sepanyol namun aku akui yang gadis itu lebih cantik dariku. Aku memusingkan foto itu dan aku nampak ada sesuatu yang tertulis di bahagian belakang foto itu.

Maya...I miss you so much.  Dari hati  Amar Taufiq.” Aku menyebut baris ayat yang tertulis itu.

“Siapa gadis bernama Maya ni ya? Teman wanita Tuan Amar agaknya.” Aku sekadar membuat andaian.  

Tak mungkinlah wanita secantik itu teman wanitanya. Aku rasa mana ada wanita yang tahan dengan mulut Tuan Amar tu. Tak hormati kaum wanita langsung. Contohnya tadi ketika dia menelefonku, macam-macam penghinaan yang dihamburkan kepadaku. Lelaki macam tu elokknya hidup sendirian sampai ke tua tanpa berteman. Kalau iya pun dia berteman kelak, siapalah agaknya calon isterinya dia agaknya? Aku tumpang simpati sahajalah kepada sesiapa pun wanita itu. 

Aku mengomel di dalam hati sebelum aku beredar dari bilik lelaki itu.







Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku