DARI KOTAK HATI
GUBUK
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 01 Disember 2017
DARI KOTAK HATI ... kau faham apa itu ikhlas? berdosakah aku apabila meninggalkan dia hanya kerana hatinya tidak lagi ikhlas? Aku bukanlah seorang lelaki suci yang tidak mengenal erti dosa tetapi aku masih jujur untuk menjadi teman yang ikhlas! bukan salahku, jika pelangi pelbagai warna itu gugur dari kaki langit saat hadirnya terik mentari diwaktu selepas hujan? Persoalkan sahaja tentang masa yang terlewat itu lalu memadamkannya dari kesaksian di peluput matamu. Menghilang bukan bererti melupakan tetapi terpendamkan dalam ruang hati yang sangat dalam.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
161

Bacaan






Lima tahun sebelum itu.

     Sawah padi mulai masak menguning. Bagaikan ladang emas, keindahannya tidak ternilaikan dengan sebuah kata-kata. Sesayup mata memandang, petak-petak sawah itu seperti tiada berpenghujung. Terlalu luas. Kelihatan sang kelicap berterbangan keriangan dalam kumpulannya. Sesekali hinggap di beting padi, lalu memakan unggas-unggas kecil yang menjadi santapan rujinya. Keriuhan sang kelicap berteriakan antara satu sama lain telah mencuri pandangan Adam. Dia tersenyum sendirian kerana terbuai dek perasaannya.

    

     "Hoi! kau buat apa?" jerkahan Sofea itu telah menyebabkan sang kelicap bertempiaran lari. Adam pula hampir gugur jantung diperlakukan sebegitu.

     "Kau ni, nak sangat aku kena sakit jantung ke? Terkejut tau tak!" Adam berseloroh.

     "Alahai kau ni, macam tu pun nak terkejut. Lainlah kalau aku campak lipas!" berdekah-dekah Sofea mentertawakan Adam.

     "Lipas jangan buat main-main ya! Aku memang tak suka lipas. Serius aku geli. Kau buat lagi macam haritu, campak lipas kat aku... memang lepas ni aku tak nak kawan dengan kau dah."

Adam menyingkap kembali kejadian beberapa hari yang lepas, apabila Sofea dengan selambanya mencampakkan lipas mati itu ke arahnya. Apalagi, bertempiklah Adam kerana terkejut lalu bertindak dengan terjun ke dalam sawah padi itu. Sofea hanya mentertawakan Adam yang dipenuhi dengan lumpur. Hanya kelihatan mata putih Adam menjengkel sambil mencekak pinggang ke arahnya. Adam mengejar Sofea di sepanjang beting padi itu lalu dilumurkan lumpur padanya. Dia menjerit tetapi tidak dihiraukan Adam.

     "Dah, tak payah cerita lagi. Menyampahlah dengan kau, Adam," potong Sofea dengan penuh jelingan.

     "Kau bawak apa tu? Macam sedap je bau. Berkeroncong dah perut aku ni, hoi!" Adam menyelak tudung tupperware itu.

Seperti petang-petang hari yang lain, memang itulah rutin mereka berdua. Bersantai di gubuk tengah sawah sambil menikmati juadah yang dibawa. Nyaman angin petang yang berhembus sepoi-sepoi bahasa lalu ditambah pula cuaca yang agak redup, sudah cukup membuatkan hati merasa tenang.

     "Sabar! Tangan kau bersih tak? Cuci dulu sana," Sofea menjentik tangan Adam.

     "Tangan aku bersihlah! Bising betul kau ni, Sofea," Adam mengherdik.

Sofea mengajuk percakapan Adam itu dengan memek muka yang cukup melucukan. Lalu dibukanya tudung tupperware berwarna hijau itu. Bau harum juadah yang dibawa itu membuatkan Adam menghidunya sambil menutup mata.

     "Cucur bilis dengan daun bawang. Aku tau ni kesukaan kau, kan?" Sofea menyengih, matanya pula dikerlipkan berulangkali.

     "Wah! Gila punya sedap ni. Kau tak payahlah nak tersengih macam badut depan aku, boleh?" Adam menjamah cucur itu dengan penuh berselera.

     "Nak bergurau pun tak boleh... ," perlahan nada Sofea ketika itu. Lalu dia berpaling dari Adam.

     "Ni nak mintak pujuk ke, nak mintak kaki? Makan cepat! Nanti aku makan habis baru tau," Adam memperli Sofea.

Adam bukanlah seorang yang pandai memujuk. Lagi-lagi bila berhadapan dengan kerenah seorang perempuan seperti Sofea.

Mereka berdua bukanlah pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta tetapi hanya berstatus sepasang sahabat karib setia.

     "Jangan makan semua, tinggalkan aku sikitlah! Pujuk pun tak nak, kalau aku tau... baik aku goreng cucur lipas. Baru padan dengan muka kau," Sofea kembali berpaling ke arah Adam dengan mulutnya membebel-bebel.

     "Kau ni apa kejam sangat? Kau sebut lagi sekali pasal lipas, aku balik!" Adam mengugut Sofea pula.

     "Hoi, lelaki macam kau kalau merajuk memang buruk... , tak percaya kau buatlah. Lepas tu, kau tengok cermin macamana rupanya," Sofea menyindir Adam lagi. Sedikit pedas.

Mereka berdua ketawa terbahak-bahak sambil menikmati kedamaian petang itu

Mereka berdua ketawa terbahak-bahak sambil menikmati kedamaian petang itu. Matahari semakin menunduk ke ufuk barat. Sinarnya pula meredupkan suasana. Masa yang berlalu seakan terlalu cepat dirasakan. Rasanya baru sahaja mereka di situ tetapi entah kenapa hari itu terasa begitu berlainan.

     "Kau dah nak balik?" tegur Adam apabila melihat Sofea mengenakan seliparnya yang diletakkan di hujung gubuk itu.

     "Baliklah, wahai Encik Adam. Gila kau, senja-senja macam ni tak pandai nak balik. Burung pun tau balik sarang. Aku ni anak dara tau tak!" Sofea kerling dengan pandangan sinis.

     "Kalau macam tu, aku pun nak baliklah. Aku jadi malu dengan burung," Adam bergegas menyarungkan seliparnya. Dia hanya membontoti Sofea di sepanjang beting sawah itu.

     "Esok kau datang? kalau rajin, buatlah lagi cucur bilis daun bawang macam tadi. Tak puas aku makan," tanya Adam.

Langkah diatur dengan berhati-hati. Mata tertumpu ke arah kaki ketika memijak beting. Tetapi mulut yang menghubungkan antara mereka.

     "Cucur lagi? Bagi duit, aku beli tepung dengan ikan bilis! Dah lah ikan bilis tu mahal," laju Sofea menjawab.

     "Amboi, macam tak ikhlas je bagi aku makan-makan selama ni. Kau nak berapa Ringgit?" Adam mengeluarkan dompetnya.

Sofea memberhentikan langkahnya. Pinggangnya dicekak. Ada dengusan yang kedengaran. Matanya pula membutang memandang tepat ke arah Adam.

     "Kenapa tenung aku macam tu? Ambil duit ni. Beli barang untuk buat cucur, esok. Aku serius ni!" Adam berulangkali menghulurkan duit berwarna kuning telur itu kepadanya.

     "Aku bergurau je, Adam! Aku tampar kau nanti masuk lagi dalam petak sawah tu," sindir Sofea.

     "Jahat! Ambil cepat duit ni. Aku nak balik cepat ni, nanti terlepas solat maghrib."

Adam memasukkan duit itu ke dalam belas plastik yang dipegang Sofea. Motorsikal yang diletakkan Adam di bawah perdu buluh itu dihidupkan. Sofea pula membonceng basikal kerana jarak rumah antara mereka berbeza.

     "Ambil duit kau ni semula. Aku bergurau je tadi. Kau ni hati tisu betullah Adam!" tegur Sofea.

     "Hati tisu apa pulak? Dah, ambil je. Anggap aku belanja kau untuk seminggu."

Adam menyengih. Lalu dia meninggalkan Sofea. Tetapi dalam masa yang sama, dia mencuri-curi memandang Sofea melalui cermin motorsikalnya itu. Ada kerisauan dihatinya.

Di persimpangan jalan besar itu, Adam memberhentikan motorsikalnya. Dia menunggu Sofea.

     "Kata nak balik cepat tadi?" sapa Sofea.

     "Memang nak cepat, aku cuma nak cakap yang...  esok kita jumpa lagi ya," Adam mengingatkan Sofea.

Entah kenapa dia berterus-terang seperti itu. Mungkin kerana rindukan cucur ikan bilis daun bawang masakan Sofea atau sebaliknya.

Sofea memandang Adam kehairanan. Berkerut dahinya apabila mendengar Adam berkata begitu. Kerana itulah kali pertama dia berbuat demikian. Tidak mahu terlalu memikirkannya, Sofea menganggap itu hanyalah sekadar gurauan dari Adam.

     "Ya, aku tau lah. Dah, baliklah cepat. Nanti mak kau bising pulak," Sofea bersuara.

     "Kau tu, tunggang basikal hati-hati. Ingat tau, cucur aku esok!" jerit Adam lalu meninggalkan Sofea yang sedang mengayuh basikal di belakangnya.

Sofea tersenyum.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | GUBUK | KOBAH | RAHSIA | NAZAR | KUPERGI | CURI |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku