DARI KOTAK HATI
RAHSIA
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 01 Disember 2017
DARI KOTAK HATI ... kau faham apa itu ikhlas? berdosakah aku apabila meninggalkan dia hanya kerana hatinya tidak lagi ikhlas? Aku bukanlah seorang lelaki suci yang tidak mengenal erti dosa tetapi aku masih jujur untuk menjadi teman yang ikhlas! bukan salahku, jika pelangi pelbagai warna itu gugur dari kaki langit saat hadirnya terik mentari diwaktu selepas hujan? Persoalkan sahaja tentang masa yang terlewat itu lalu memadamkannya dari kesaksian di peluput matamu. Menghilang bukan bererti melupakan tetapi terpendamkan dalam ruang hati yang sangat dalam.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
115

Bacaan






     Layar malam menebarkan sayapnya. Larut kegelapan itu pula tidak dipagari bintang. Tanda awan akan menangis menggugurkan airmatanya ke tanah Pendang tidak lama lagi. Tiada juga dingin angin yang menyapa. Kehangatan di malam kelam itu menyebabkan Adam lebih selesa berlenggeng.

Putung rokok daun tembakau digulungnya perlahan-lahan. Jari-jemarinya kelihatan malas, tetapi dipaksa juga. Putung itu disuakan ke hujung bibir lalu korek api dinyalakan. Pandangannya dilemparkan ke halaman rumah yang ternyata cukup sunyi. Sesekali kedengaran cengkerik melagukan irama merdunya. Adam terbuai dalam dunianya sendiri.

Cawan dan piring kaca yang berlaga di atas dulang itu mencuri perhatian Adam. Zara dengan penuh berhati-hati langkahnya membawa seteko kopi dan biskut kering untuk dijamah mereka sekeluarga. Adam melorotkan kembali pandangannya ke luar.

     "Abang... minumlah," pelawa Zara.

Air kopi di dalam teko tembaga itu dituangnya perlahan. Masih panas walaupun dibancuh lewat petang tadi.

     "Mak mana?" tanya Adam sambil mengambil sekeping biskut itu lalu dicicahnya ke dalam kopi.

     "Ada, kat dapur... ."

Zara meninggalkan Adam bersama dulang ditangan. Ketika di pintu tengah, dia berselisih dengan ibunya yang sedang menjengah ke arah Adam. Zara terus ke dapur manakala Mak Wan pula mengambil tempat di sisi Adam.

     "Minum mak?" Adam mempelawa. Cawan kosong itu dituangnya kopi lalu dilapik dengan piring.

     "Hmm, letak je situ dulu."

Mak Wan duduk bersimpuh di tangga. Tangan kanannya menongkat dagu. Raut wajahnya seakan ada kegusaran yang belum diselesaikan.

     "Mak kenapa? Dari petang tadi Adam balik, sampailah sekarang... mak nampak macam kusut," soal Adam.

Mak Wan mencapai kopi itu lalu dihirupnya. Usai seteguk dua limpas ditekak, diletaknya kembali ke atas piring itu. Dia memandang Adam. 

     "Sofea."

     "Apa sebenarnya masalah dengan Sofea? Cuba mak berterus-terang, kan senang," balas Adam.

     "Petang tadi, Mak Ani marah-marah mak. Katanya mak tak pandai didik kau. Pasal Sofea kerap sangat jumpa kau kat gubuk tu, dituduhnya kita beri ubat guna-guna," jelas Mak Wan. 

Adam menyedut rokok daun itu dalam-dalam. Ada marah tergambar dalam gerak lakunya. Bagaikan merapi, dia masih dapat menahan rasa itu dari memuntahkan laharnya. 

     "Apa yang Mak Ani merepek? Semiskin-miskin kita, tak pernah lagi nak buat macam tu lah, mak!" Matanya meliar.

     "Kita ni tak setaraf mereka. Kita pipit, nak... . Manalah layak nak terbang sama tinggi dengan enggang."

Mak Wan cuba memujuk Adam. Dia tahu, marah anaknya itu hanya sementara. Kelak sejam dua, sejuklah semula. Mak Wan membelai rambut Adam. Manakala Adam hanya membiarkan sahaja, ibunya berbuat begitu. 

Fikiran Adam melayang. Selorohnya pada petang tadi supaya membawa cucur ikan bilis daun bawang keesokan hari nampaknya akan terkubur. Dapat dibayangkan, Sofea tidak akan datang ke gubuk itu nanti. Pasti keluarga Sofea juga melarang keras untuk berjumpanya lagi. 

     "Adakah tadi senyuman selamat tinggal darinya? Sampai hati kau, Sofea," getus Adam.

     "Kau kecewa, Adam?" tanya Mak Wan, perlahan.

Adam hanya mengangguk kecil. Dia mengerling lalu dilentokkan kepalanya ke bahu ibunya. Mak Wan terus mengusap-usap rambut anak lelakinya itu. Ada jurai airmata yang gugur dari kelopak wanita yang separuh abad itu lantas mengenai Adam.

     "Mak menangis? Dah lah mak... , jangan macam ni," tegur Adam yang agak terkejut.

     "Sedih, Adam... ."

Adam berpaling lalu dengan spontan mengambil baju yang tersidai di bahunya itu dan dilap air mata Mak Wan. Ibunya cuba menepis perlahan tangan Adam. Dia berasa malu apabila anaknya melakukan sebegitu. 

     "Dulu... sewaktu kau dan Sofea masih bayi, kami sepakat nak jodohkan kau berdua."

Adam tersentak dengan kenyataan yang meluncur dari mulut ibunya. Lantas, mengingatkan Adam pada peristiwa yang berlaku ketika masih bersekolah menengah terurai akhirnya. Dan, kejadian itu juga masih segar dalam ingatannya.

     JAM menunjukkan tepat pukul 1.00 petang. Deringan loceng itu membuatkan kesemua murid Tingkatan Lima Kekwa bergegas mengemas beg masing-masing. Bunyi kerusi kayu yang diangkat lalu diterbalikkan ke atas meja membingitkan lagi suasana. Ada antara mereka yang berlari-lari menuju ke luar kelas untuk beratur dan memberi ucapan selamat pulang. 

Adam pula masih mengemas begnya. Rakan-rakan sekelasnya mengejek kerana sikap Adam yang terlalu perlahan itu. Sofea yang duduk di sebelahnya bersuara.

     "Cepatlah, Adam!"

Adam tidak berkata apa-apa. Dia hanya menjeling tajam. Rakan-rakannya yang sudah beratur di luar mula mengejek Adam dan Sofea. Guru Matematik, Cikgu Suryana tidak mampu menghalang mereka kerana berada di luar kawalannya. 

     "Hoi, lembut! Apa yang terhegeh-hegeh lagi tu?"

     "Darailah kau ni! Aku nak balik cepat."

     "Nak bercinta dengan Sofea, bukan sekarang!"

     "Sofea, kau ada hati ke dengan pondan tu!"

Sofea yang tidak dapat menahan amarahnya lalu bertindak meluru ke arah mereka yang mengejek tadi. Beg sandang yang digalasnya itu dijadikan senjata untuk memukul mereka. Cikgu Suryana cuba menghalang tetapi kerana baran Sofea yang membuak-buak, secara tidak langsung turut menjadi mangsanya.

Adam tergamam. Dia tidak melakukan apa-apa untuk meleraikan pergaduhan itu. Sebaliknya, hanya berdiri di tepi meja dengan tangan menutup mulutnya. 

     "Lepaskan!" Jerit Sofea yang meronta-ronta minta dilepaskan.

Satu tamparan hinggap di pipi gebunya. Sofea terdiam seketika. Kesemua murid Tingkatan Lima Kekwa juga terkedu seribu bahasa. Bapa Sofea, Pak Zain berdiri di hadapannya. Di sebelah Pak Zain pula ialah Pak Lah iaitu bapa Adam. Kebetulan mereka berdua adalah tukang kebun sekolah itu. 

     "Aku tak pernah didik kau jadi kurang ajar macam ni, Sofea!" tengking Pak Zain.

     "Sabar Zain, tak manis orang tengok tu... ," pujuk Pak Lah.

Mata Pak Zain membulat. Laju Pak Lah menariknya ke tepi supaya bertenang. Kelihatan Pak Zain cuba menepis tangan rakannya itu. Pak Lah bersabar. 

     "Dah lama aku pendam. Sekarang juga, aku nak putuskan apa yang pernah kita janjikan dulu!" jerit Pak Zain.

     "Hal kecik macam ni, usahlah kau buat keputusan terburu-buru, Zain... ," pujuk Pak Lah lagi.

     "Kecik kau cakap? Kau tengok Adam tu. Lembut!" bentak Pak Zain.

     "Bukan kehendak aku, Zain. Itu semua anugerah Allah! Aku reda... ."

     "Kau reda, tapi aku? Tidak!" 

Pak Zain meninggalkan bapa Adam di situ lalu menuju ke arah Sofea. Direntapnya tangan anaknya itu lalu dibawa pulang ke rumah. Manakala Pak Lah pula hanya memandang ke arah Adam. Dengan perasaan yang lemah, Adam menuju mendapatkan bapanya. Dia takut tetapi diberanikan juga. 

     "Maafkan Adam, abah. Sebab Adam, abah dan Pak Zain bertekak tadi," Adam bersuara.

Tangan bapanya itu ditarik lalu dicium berulangkali. Pak Lah menjadi sayu. 

     "Kau tak salah apa-apa, Adam. Dah... kau pergi beratur dulu. Abah tunggu kat sini," Pak Lah berbicara dengan tenang.

Rakan-rakan sekelasnya tidak bersuara. Ada yang tertunduk dan ada pula yang memandang ke arah lain. Mereka tahu, kerana sikap mengejek itu tadi telah menyebabkan pertelingkahan yang sedemikian rupa. 

     "Cikgu Suryana, saya bagi pihak Sofea nak minta maaf."

     "Tak apalah... kamu tak salah pun. Kawan-kawan kamu yang melampau sebenarnya."

     "Tapi cikgu... ."

     "Dah, cikgu faham. Kamu masuk dalam barisan dulu. Kawan-kawan dah lama tunggu nak balik," potong Cikgu Suryana.

Sepanjang perjalan pulang itu, Adam dan Pak Lah membisu. Tiada satu perkataan pun yang dibualkan antara mereka. Tidak seperti hari-hari yang berlalu, kebiasaannya Adam rancak berceloteh. 

Adam berserabut. Masih segar dalam ingatannya, Pak Zain ada menyebut tentang untuk memutuskan janji yang pernah termetrai sejak dulu lagi. 

     "Janji? Janji apa!" getus Adam.

Dahinya berkerut. Mahu sahaja dia menanyakan kepada bapanya tetapi takut jikalau dimarahi pula. Ada kesedihan diraut wajah bapa kesayangannya itu. 

     "Abah... ," Adam membuka mulut.

     "Ada apa, Adam?" Pak Lah sesekali menoleh.

     "Err... , tak ada apa-apa."

Pertanyaan itu terbantut apabila kereta yang dipandu Pak Lah mula memasuki ke halaman rumah mereka. Dia tidak mahu memanjangkan hal itu. Dan, sebolehnya dia tidak mahu perkara itu sampai ke pengetahuan ibunya nanti. 

     "Adam!"

Suara Mak Wan memanggil berulangkali mengejutkannya dari lamunan itu. Adam terpinga-pinga seketika. Kedua-dua tangannya diusap ke muka lalu beristighfar kepada Tuhan. 

     "Adam tak perasan, mak."

     "Kau menungkan apa sampai tak dengar mak panggil?"

     "Adam... . Adam teringatkan kisah abah dengan Pak Zain bertekak tu," tergagap-gagap Adam menjelaskan kepada ibunya.

     "Hal lepas jugak yang kau nak kenang-kenangkan, Adam!" tambah Mak Wan.

     "Sekarang, baru Adam tahu apa maksud ayah Sofea dulu. Adam sedar yang Adam tak sempurna macam lelaki lain. Tambahan lagi, kita ni hidup susah. Tak macam mereka, orang berada."

     "Dahlah, nak... . Hari dah jauh malam. Tutup pintu tu, tidurlah! Esok pagi kau nak kerja."




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | GUBUK | KOBAH | RAHSIA | NAZAR | KUPERGI | CURI |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku