Zon Senja
Zon Senja
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 02 Disember 2017
Mesteri Alam Ghaib
Penilaian Purata:
257

Bacaan







               Bakar berlari susup sasap menelusuri belukar yang semakin tebal. Tanpa di sedari langkahnya sudah semakin hilang arah, semakin lama  semakin jauh masuk ke dalam hutan. Suasana sekeliling juga semakin gelap bila cahaya matahari petang sukar menembusi kanopi semulajadi yang melindungi lantai hutan. Bahagian bawah masih terasa dingin dan lembab.

               Lariannya semakin lemah.  Nafasnya semakin pendek.  Dia tercungap-cungap.

               Langkahnya diperlahankan bila diyakini dirinya sudah selamat. Kudratnya juga sudah kendur. Bunyi gonggongan dan salakan anjing penjejak sudah tidak kedengaran. Namun kini dia ditemani pula oleh nyanyian sang cengkerik hutan dan kumpulan riang-riang yang bersorak kuat, berdesing di atas dahan pepohon hutan yang tinggi menjulang awan. Sesekali kedengaran tingkahan burung liar memecah suasana sunyi di dalam hutan hujan tropika yang berbalam-balam.

               Bakar tersandar di perdu sepohon pokok berbanir. Dia mahu berehat seketika bagi menghilangkan kepenatan yang teramat sangat.  Sudah lebih enam jam dia diburu oleh pasukan polis.

               Dia menanggalkan jaket dan kemudian mengesat peluh yang berjurai di muka dengan hujung leher baju t-nya yang sudahpun basah lencun. Nafasnya masih kedengaran turun naik dengan pantas. Tekaknya terasa perit dan kering.

               Diperhatinya bahagian kaki seluar jeansnya yang koyak dan basah. Kasut sukan yang disarungnya juga sudah ternganga luas, berlubang di bucu hadapan.  Dia tidak mengingati, entah berapa kali dia jatuh tergolek ke dalam jurang dan sungai.

               Dia mengeluarkan sesuatu dari dalam begnya pula. Di kautnya dengan tangan kanan dan di angkat separas wajah.  Dia tersenyum puas bila melihat kilauan cahaya kuning padu yang terbit dari juraian gelang dan rantai emas.  Setelas puas menilik, di masukkannya semula ke dalam beg sandang.  Dia menimbang-nimbang dan cuba menganggar berat barang berharga itu. Tadi, dia berjaya mengaut sebanyak tujuh dulang barang kemas di sebuah premis yang menjual barangan bernilai itu. 

               Dia cuba mengagak harga barang kemas itu. Dia menganggarkan setidak-tidaknya nilai emas yang dirompak lebih sejuta ringgit. Jika dia bekerja sebagai pengimpal, sampai mati pun belum tentu dia dapat merasa habuan sebanyak itu.

               Bakar tersenyum lagi. Barang kemas yang disamun itu sudah lebih dari cukup untuk ditukarkan dengan wang bagi menjalani rawatan kanser anak bungsunya di luar negara.  Selebihnya akan digunakan sebaik mungkin.

               Dia teringat pula tentang nasib Yem dan Rudin. Mereka berdua tidak berjaya meloloskan diri bila pihak polis dengan cepat dapat menghidu perbuatan jenayah mereka. Mereka terkepung, namun dia bernasib baik kerana dia sempat terjun dari kereta dan dapat merampas sebuah motorsikal dari seorang lelaki.

               Tadi cuping telinganya dapat menangkap bunyi beberapa das tembakan. Dia tidak tahu nasib rakan-rakannya itu, entah hidup atau sudah mati. Mengenangkan perkara itu dia merasa kesal dan serba salah.  Mereka bertiga bukanlah perompak yang mahir dan profesional.  Mereka melakukannya kerana terdesak dan ingin mencuba.

               Hari semakin gelap.  Matahari sudah tidak kelihatan.  Bakar tersedar dari lena yang menyeksakan bila beberapa ekor nyamuk sudah mula mengerumuni mukanya.  Dia terkejut dan segera mencari dahan-dahan kayu kering yang boleh dijadikan unggun api. Ketakutan mula menyelubungi. Nasib menyebelahinya bila pemetik api masih berada di dalam kocek seluarnya.

               Beberapa hari berlalu. Bakar berjalan sendirian di dalam hutan.  Hanya sebatang kayu sebesar lengan menjadi senjatanya.  Pisau belatinya sudah hilang, tercampak entah ke mana ketika berusaha melarikan dari buruan pihak berkuasa.

               Badannya semakin lemah dan tidak bermaya. Tiada buah-buahan yang boleh dimakan. Tekaknya hanya dibasahi dengan air embun yang bertakung di atas daun keladi hutan. Dia sudah tidak tahu ke mana arah tuju.  Kini sudah tiga hari dia berada di dalam hutan. Dia merasakan sudah beberapa kali dia melalui jalan yang sama.  Keadaan itu membuatkannya benar-benar takut dan insaf.

               Semalam, dari jauh, cuping telinganya dapat menangkap bunyi salakan anjing namun bunyi itu hilang tiba-tiba. Jika pihak berkuasa dapat menjejaki dan memberkasnya pun dia pasrah. Sekurang-kurangnya dia dapat keluar dari perangkap hutan itu dan dapat menyambung hidupnya semula walau dalam penjara. Dia tidak rela dikepung dan dipenjara oleh alam semulajadi dan hutan tebal yang menakutkan itu.

               Bakar terbaring lesu. Dia sudah tidak mampu melangkah lagi. Dia buntu dan hampir menangis. Jalan keluar yang dicari sudah tidak ditemui.  Dia merasakan hutan itu begitu kejam, sukar ditembusi dan  kelihatan menggerunkan.

               Diperhatikan dengan bersunguh-sungguh.  Hutan itu bukan seperti hutan biasa yang pernah dilihatnya sebelum ini.  Rimbunan pokok serta juntaian akar dan dahannya seperti pohon yang tumbuh di alam lain.  Suasana kelam dan suram menyelubungi kawasan hutan bila cahaya matahari dilindungi oleh daun-daun pokok kayu yang lebar dan berlapis-lapis.  

               Dia mengiringkan tubuh dan meniarap pula.  Dia cuba bergerak dengan merangkak perlahan-lahan. Ancaman serangan binatang buas atau binatang berbisa sudah tidak difikirkan lagi.  Bayangan wajah anak-anak dan isterinya mula muncul difikiran, membuatkannya ingin segera pulang ke rumah. 

          “Tolong!!!, tolong!!!”, suaranya bergema seketika, berbalam-balam.

          “Tolong!, tolong, hoooo waaaahhh...toooloonggg!”, tiada sahutan balas. Hanya kedengaran bunyi lotong yang riuh-rendah di atas dahan pokok, mungkin terkejut mendengar pekikan Bakar.

          “Ya Allah tolong...tolonnnngggg akuuuu!”. Bakar cuba menjerit  sekuat hati namun tekaknya semakin terasa perit. Suaranya hanya bergema di sekitar tempatnya berada. 

               Suasana sunyi menyelubungi semula.

               Senja datang lagi. Warna hutan semakin gelap. Bakar mula menangis.  Kini dia sendiri tidak pasti sama ada dia dapat berjumpa dengan anak dan isterinya semula atau tidak.

               Sepasang rama-rama yang bersaiz besar berlegar-legar di atas kepalanya.  Terbang bersaing dahulu-mendahului. Bakar hanya memerhatikan sahaja gelagat pasangan rama-rama itu.

               Tiba di suatu kawasan, rama-rama yang terbang di hadapan ghaib dengan tiba-tiba.  Begitu juga dengan pasangan rama-rama yang terbang di belakangnya. Bakar menenyeh-nenyeh kedua biji matanya dengan hujung jari.  Dia kehairanan dan tertanya-tanya sendiri. Bakar mahu memastikan kebenaran. Dia mengepal tanah dan dibalingnya ke arah kawasan tersebut. Dicuba sekali lagi. Perkara yang berlaku tetap sama.

               Pelik!. Ketulan tanah itu tidak jatuh ke tanah tetapi ghaib entah ke mana, seperti ada satu zon kawasan di alam yang berlainan. Benarkah apa yang sedang dilihatnya atau hanya mainan perasaannya saja?.  Namun begitu dia perlu segera mengumpul kayu api untuk dijadikan unggun sebagai peneman dan penjaganya pada setiap malam. Perkara aneh itu akan disiasat pada keesokan hari.

               Malam itu Bakar sukar hendak melelapkan mata. Peristiwa waktu senja tadi merungsingkan fikirannya.  Dia merasakan bahawa dia kini sedang berada di pintu sempadan dua alam.  Mungkin perkara itu jugalah yang menyebabkan dia tidak dapat mencari jalan keluar dan hanya berpusing-pusing beberapa kali di tempat yang sama.  Keadaannya yang begitu terdesak menyebabkan dia tidak sabar mahu merungkai misteri itu.

               Kicauan burung mengejutkan lenanya.  Pagi itu, Bakar berusaha mengagahkan diri mencari sumber air.  Mujur sahaja dia menjumpai sebuah periuk kera yang menakung air.  Cukup untuknya menghilangkan dahaga. Dia kembali ke tempat asalnya semula. Dia mencari kawasan yang sesuai. Di galinya tanah menggunakan serpihan kulit pokok.  Dia mahu menyembunyikan barang kemas yang dirompak.

               Bakar masih termenung jauh. Dia memikirkan tentang kejadian semalam. Tidak lama kemudian, dia mencampakkan serpihan kulit kayu tadi ke kawasan yang membingungkannya. Namun peristiwa seperti semalam tidak berlaku. Serpihan kulit kayu kelihatan melayang jatuh ke atas tanah. Di balingnya sekali lagi ke kawasan yang sama dengan sepuntung kayu reput.  Keadaan serupa berlaku. Dia memikirkan sesuatu. Mungkin ia tidak kena dengan masa dan waktunya!.

               Bakar terjaga dari lena ketika senja sudah merangkak tiba. Seekor burung yang pulang petang terbang melintasinya dan kemudian hilang lenyap di zon yang sama.  Kini dia tahu alam itu memang wujud.  Alam ghaib yang wujud ketika senja menjelma.

               Bakar mendekati kawasan itu. Perlahan-lahan dia menghulurkan sebatang kayu sebesar ibu jari. Hujung kayu itu ghaib seperti ditelan sesuatu yang tidak kelihatan.  Dadanya berdegup kencang.

               Bakar memberanikan diri menjongolkan kepalanya masuk ke dalam kawasan itu. Alangkah terperanjatnya dia, bila di hadapannya terbentang sebuah perkampungan melayu lama yang wujud di sebuah perlembahan, di tengah-tengah kawasan belantara.  Cuping telinganya dapat menangkap bunyi paluan dan tiupan alat muzik tradisi lama, nun sayup-sayup di kejauhan, bagaikan sedang meraikan kedatangan waktu senja.

               Kelihatan dari jauh kerlipan lampu pelita di beberapa buah rumah dan bakaran jamung di pinggir jalan bagi menerangi beberapa sudut kawasan yang semakin ditelan kegelapan.  Binaan rumah masih berlantai dan berdinding kayu hutan manakala bahagian atasnya pula dilindungi dengan jerami atau rumbia. Lorong-lorong kecil bertanah liat dilitupi lalang dan rumput tebal.

               Bakar juga dapat melihat beberapa kelibat penghuninya yang berpakaian melayu lama. Lelaki berpakaian melayu longgar dan dilapisi kain pelikat lusuh yang labuh hingga ke betis manakala kaum perempuannya pula berpakaian kebaya labuh dan berkerudung selendang nipis berbunga kasar. Keadaan perkampungan kelihatan aman dan damai dihiasi dengan tanaman dan pohon kelapa. Keadaannya sangat berbeza dengan keadaan di luar kawasan zon itu. Suasana sekitar dan kehidupan mereka sama seperti kehidupan masyarakat melayu lama yang hidup pada zaman awal abad ke 20 iaitu diawal tahun 1900.

               Bakar tahu, apa yang sedang dilihatnya itu bukanlah kehidupan di alam yang nyata seperti yang sedang dialaminya sekarang. Ia adalah alam makhluk yang satu lagi. Alam yang sangat jarang ditemui oleh manusia biasa.  Mana ada kampung melayu yang wujud di tengah-tengah hutan belantara!. 

               Bakar menarik semula kepalanya dari kawasan itu. Dia tertanya-tanya sendiri, perlukah dia melangkah masuk atau berserah sahaja nasibnya di dalam hutan tebal yang menyeksakan dan tiada jalan keluar itu?.

               Dia semakin bingung. Bunyi penghuni hutan yang menakutkan dan tubuhnya yang semakin lemah, keletihan, ditambah pula dengan keadaan perutnya yang pedih kerana sudah empat hari tidak diisi dengan makanan, membuatkan dia tidak mahu berfikir panjang lagi. Dia membuat keputusan mahu meminta bantuan dari ‘penduduk lama’ tersebut.  Dia tidak mahu mati reput bersendirian tanpa kubur di hutan belantara itu.  

               Bakar menggali semula beg yang sudah ditimbus. Dibersihkan dan disandangnya semula beg tersebut sambil mengetatkan ikatan dipinggangnya agar tidak mudah tercicir. Sayang rasanya untuk dia meninggalkan hasil rompakan yang sangat bernilai itu. Kerana disebabkan semua  itulah dia terdampar di tengah hutan selama empat hari tanpa makanan.  Dia pasti jika ditinggalkan, barang itu tidak mungkin dapat ditemui semula.  Dia menanggalkan kasutnya yang sudah rosak dan dicampakkan di perdu sepohon pokok.

               Bakar memberanikan diri melangkah masuk ke alam yang tidak pernah diketahui dan dijelajahi oleh manusia. Harapannya hanyalah mahu meminta pertolongan dari masyarakat lama itu.

               Dengan diselubungi perasaan takut dan gementar, Bakar berhati-hati berjalan menuju ke sebuah rumah yang agak besar dan diterangi oleh beberapa buah pelita.  Dia memberi salam beberapa kali.  Tidak lama kemudian salam bersahut namun dalam bahasa yang tidak begitu jelas. 

               Tuan rumah seorang lelaki berusia lebih enam puluhan, bertubuh sederhana.  Rambut dan jambangnya melebat separas bahu. Dia kelihatan terkejut dengan kehadiran tetamu asing yang tidak diundang.  Dia membeliakkan matanya yang hitam bulat. Bulu keningnya panjang melentik.

               Ditenungnya Bakar dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas. Dia nampak gelisah lalu berdehem beberapa kali memanggil anak isterinya. Isteri dan seorang perempuan muda menghampiri orang tua itu.  Mereka juga kelihatan terperanjat. Wajah mereka kelihatan ketat. Tidak sedikit pun mengukir senyuman.

               Tanpa dipinta Bakar menyatakan dirinya tersesat dan mahu meminta pertolongan penduduk di situ mencari jalan keluar.

               Orang tua itu menjemputnya naik sambil menunjukkan sebuah tempayan kecil di tepi tangga sebagai isyarat agar dia mencuci dahulu kakinya sebelum mendaki anak tangga.  Mata Bakar meliar.  Dilihatnya rumah itu tiada dihiasi sebarang perabut.  

               Di bahagian tengah rumah kelihatan sebuah singgahsana yang diperbuat dari tembaga kuning, ditabiri kain cindai, semuanya siap dengan kelengkapan bantal-bantal dari baldu emas, seperti sebuah tempat istirahat atau upacara.

               Di satu sudut kelihatan rak pakaian yang digantung dan sidaian beberapa helai pakaian lusuh yang belum kering. Sepasang tengkorak rusa yang bertanduk panjang dan bercabang melekap di dinding rumah. Di beberapa sudut tergantung kain kuning dan kulit haiwan yang ditulis dengan ayat yang tidak difahami, panjang berjela seperti cacing.  Ada bentuk, simbol seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

               Bakar memperkenalkan diri. Anehnya mereka bertiga tidak banyak bertanya malah tidak banyak bercakap namun tetap melayan Bakar selayaknya sebagai seorang tetamu. Mereka seolah-olah sudah tahu akan kehadirannya.

               Bakar yang duduk bersila di atas tikar mengkuang dihidangkan makanan enak dari dulang yang penuh dengan lauk pauk. Seperti memang sudah disiapkan, khusus disediakan untuknya.

               Lauk-pauk dan buah-buahan di isi di dalam pinggan tembikar dan dulang perak serta tembaga berukir.  Semua jenis pinggan mangkuk itu tidak pernah dilihat oleh Bakar.  Bakar tidak berfikir panjang. Dia makan dengan sepuasnya.  Bakar tersandar kekenyangan.  Dia hampir terlena.

               Orang tua itu memanggil isteri dan anaknya masuk ke dalam bilik.  Mereka seperti sedang berbincang sesuatu.  Bakar memasang telinga. Dari jauh dia mendengar bunyi sesuatu yang ganjil dan menakutkan.  

     “Grrrr...ghrrrr...krappp...kruppp...ghoarrr...shirrr....shruuppp, ktap..ktap.” 

               Dari jauh dia dapat melihat orang tua itu sedang mengasah sesuatu manakala isteri dan anak perempuannya sedang memegang sesuatu di dalam mulut.

               Bakar mengesyaki ada perkara pelik yang sedang dilakukan oleh keluarga itu.  Perlahan-lahan dia merapati bilik, memberanikan diri mengintai dari celah rekahan dinding. Tiba-tiba sahaja bulu romanya berdiri tegak, meremang.

               Ketiga-tiga makhluk telah berubah wajah. Kulit muka mereka kelihatan sudah kendur, menggeleber ke bawah, bergelombang dan berbonjol-bonjol seperti sudah berusia ribuan tahun. Wajah yang sungguh menggerunkan.  

               Orang tua itu sedang mencuci kukunya yang panjang meruncing manakala anak dan isteri lelaki itu sedang menganga luas, mengasah taring masing-masing dengan sejenis alat yang tidak diketahuinya.

               Ya Allah, mereka bukanlah makhluk seperti yang difikirkannya, mereka semua mempunyai taring!.

               Badan Bakar mulai menggeletar dan berpeluh. Lututnya terasa longgar. Dia sudah tersalah langkah. Dia perlu segera beredar dari situ.

               Bakar melompat keluar melalui pintu. Dia berlari sekuat hatinya. Namun tanpa diduga dia telah dikejar oleh beberapa makhluk yang begitu menakutkan.  Bunyi pekikan yang halus dan nyaring kedengaran bergema, seolah-olah mengajak rakan-rakan lain menghambat mangsa yang telah tersesat masuk ke dalam kampung mereka.

               Semakin jauh dia berlari, semakin lemah tenaganya. Dia tiada arah yang hendak dituju.  Di hadapannya hanya hutan tebal yang gelap.  Dia terperangkap.  Makhluk aneh semakin menghampiri.  Dia kini menjadi buruan di alam nyata dan di alam ghaib. Dalam kekalutan itu dia teringatkan Allah Yang Maha Pencipta.  Dengan segera dia mengalunkan azan dengan sekuat-kuat hatinya.  Selesai azan dia jatuh terjelepuk tidak sedarkan diri lagi.

               Bakar tersedar bila dikejutkan oleh seseorang. Badannya terasa sakit di sana sini. Perlahan-lahan dibuka kelopak matanya yang berat. Tanpa diduga dia sedang dikepung oleh pasukan polis yang menjejakinya.  Dia ditemui terbaring lemah di tepi sebatang sungai bersama sebuah beg sandang berisi barang rompakan yang masih erat terikat di belakangnya.  Bakar melemparkan senyuman pahit.

               Tapak kakinya terasa pedih lantas diperhatikan kedua belah kakinya.  Dia berkaki ayam. Ya, dia tidak memakai kasut.  Dia sedar dia bukanlah bermimpi.  Tekaknya terasa mual bila teringatkan makanan yang dimakannya senja semalam.   

 

 

 

 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku