MAJLIS BULAN MENGAMBANG
BAB 01
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Disember 2017
Sekumpulan budak-budak tanpa sengaja telah melibatkan diri mereka dalam ritual berkaitan syaitan yang mengubah hidup mereka sepenuhnya. Secara luaran, mereka kelihatan seperti sekumpulan budak mentah yang tidak tahu apa-apa, namun pengalaman yang mereka miliki mengatasi kebanyakan orang yang lebih dewasa. 18PL.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
362

Bacaan






BAB 01 – KUMPULAN MAJLIS BULAN MENGAMBANG

DARI bingkai tingkap sebuah bilik kosong, bulan sedang mengambang penuh. Sekumpulan budak-budak berusia sekitar tiga belas tahun duduk bersila, membentuk satu bulatan, mengelilingi sebatang lilin yang bernyala jingga. Jelas sekali pertemuan itu telah dirancang lebih awal.

“Baiklah, siapa mahu bercerita dahulu?” Kecik yang berbadan agak bulat, bersuara.

“Apa kata kau suruh Arip bercerita dahulu. Dia budak baru.” Pingun menepuk bahu Arip. “Arip, kau ada apa-apa nak kongsi.”

“Kongsi apa?” Arip yang berbadan kurus dan berambut botak terpinga-pinga.

“Arip, kau tahu tak apa tujuan kita berkumpul malam ni?” Kecik merenung Arip dengan wajah serius. Matanya bulat, sepet dan kecil.

“Tak.” Arip memandang ke arah kawan-kawannya dengan wajah serba-salah. “Kau yang ajak aku ikut.”

“Pingun, kenapa kau ajak Arip?” Kecik berlagak seperti ketua biarpun badannya yang paling kecil antara semua yang ada di situ.

“Sebab kau cakap malam ni kena ada lima orang.” Pingun yang merupakan pemain bola sepak sekolah, berpeluk tubuh sambil mencebikkan bibirnya.

“Arip, kau serius nak masuk kumpulan kita orang?” Kecik bertanya lagi kepada Arip dengan nada serius.

“Apa yang menariknya kalau aku ikut kumpulan kau orang ni?” Arip memandang kawan-kawannya yang berada di sekitarnya.

“Kau akan jadi saudara sehidup dan semati kami. Apa-apa masalah yang kau hadapi, kita hadap bersama-sama.” Pingun bersuara. Kecik, Budiman dan Syukri mengangguk-angguk.

“Hm, bunyi macam menarik. Apa lagi kelebihan yang aku dapat?” Walaupun Arip berkata demikian, wajahnya masih kelihatan selamba.

“Kau dapat main kutu dengan kita orang. Bayaran sepuluh ringgit sebulan. Kemudian, kau boleh kongsi cerita-cerita seram dengan kami setiap kali malam bulan mengambang.” Budiman, yang bertindak selaku bendahari kumpulan itu menambah. “Lima puluh darab dua belas bulan dah enam ratus ringgit seorang tau.”

“Baiklah, kalau begitu, aku setuju. Apa aku kena buat sekarang?”

“Syukri, kau setiausaha kumpulan kita. Kau ada bawa tak surat perjanjian tu?” Kecik dan ahli-ahli yang lain memandang ke arah Syukri.

“Ada… ada. Aku selalu bawa.” Syukri mengambil begnya, membuka zip beg tersebut, mengeluarkan sekeping sampul surat plastik. Dia mengeluarkan sekeping kertas kanvas bertulisan dakwat.

“Sekarang, kami nak kau baca ikrar yang tertulis dalam surat ni, kemudian gunakan jarum ni, cucuk ibu jari kanan kau sampai keluar darah dan cop pada surat ni.” Dengan bersahaja, Syukri menyatakan syarat-syarat mendaftar menjadi ahli kumpulan mereka.

“Aku kena guna darah?” Arip membeliakkan matanya.

“Ya, kata saudara sehidup semati. Darah kau dan darah kami adalah bukti. Takkan takut, kot?” Kata-kat Syukri seolah-olah mencabar Arip.

“Baiklah. Aku baca sekarang…” Arip mengambil surat perjanjian dan mula membacanya.

“Aku berjanji akan menjadi saudara sehidup semati dengan nama-nama di bawah ini. Aku berjanji akan taat setia, menjaga rahsia, sanggup hidup senang dan susah dan tidak akan sekali-kali mengkhianati saudara-saudara aku yang tertera namanya di bawah ini. Jika aku mengkhianati salah seorang daripada nama-nama di bawah ini, aku rela dipanah petir atau dimakan mayat hidup. Dengan ini aku bersetuju seikhlas hati, menyertai Kumpulan Majlis Bulan Mengambang.” Arip menelan air liurnya selepas habis membaca isi kandungan tersebut.

“Sekarang, cop ibu jari kau di baris bawah nama Pingun.” Arah Syukri.

Arip merenung mata jarum yang tajam itu. Mata jarum itu seakan-akan bunyi berdengung, sesekali memancarkan cahaya. Jantung Arip berdegup kencang.

Pingun lantas memegang pergelangan tangan Arip, dan mencucuk ibu jari Arip.

“Aduh!” Arip mengerutkan keningnya dan memandang Pingun yang berwajah serius.

Syukri membentangkan surat tersebut di atas lantai. Kesemua ahli kumpulan tersebut mendekatkan diri mereka ke arah Arip.

Arip membongkok memandang surat tersebut, melihat baris namanya yang telah ditulis oleh Syukri.

“Ini semua tulisan kau rupanya, Syukri. Cantik tulisan kau.” Arip tersengih.

“Cepatlah Arip.” Kecik dan ahli-ahli kumpulan Majlis Bulan Mengambang tidak sabar-sabar menunggu Arip mengesahkan keahliannya.

Dengan ibu jarinya yang menggeletar, Arip menekankan perut ibu jarinya ke atas kertas putih tersebut.

Ahli-ahli Majlis Bulan Mengambang masing-masing meletakkan tangan mereka ke atas bahu Arip.

“Selamat datang saudara baru kami!” Kata-kata itu diulang sebanyak lima kali, sempena menyambut ahli kelima kelab tersebut.

“Setiap ahli dalam kumpulan kita ada pangkat masing-masing. Aku ketua sebab panggilan aku Kecik. Pingun penolong ketua sebab nama dia Pingun. Syukri setiausaha kita, sebab nama dia Syukri.”

“Oh, aku ingat sebab tulisan dia cantik.” Arip tiba-tiba mencelah. Semua ahli merenung Arip. Arip serba-salah.

“Budiman pula bendahari kumpulan kita sebab nama dia Budiman. Kau pula Arip adalah… Abdi kumpulan kita sebab nama kau Arip.” Kecik selesai menjelaskan tentang struktur organisasi kumpulan Majlis Bulan Mengambang.

“Kenapa abdi, bukankah ahli lebih baik?” Arip mula mempersoalkan status yang diberikan kepadanya.

“Nasib kaulah Arip, sebab nama kau Arip.” Mudah sahaja jawapan yang diberikan oleh Kecik. “Baiklah, mari kita mulakan upacara bercerita seram kita.”

“Pangkat abdi, macam-macamlah kumpulan ni,” getus Arip sambil menggeleng-geleng kepala. Arip menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya semula untuk melegakan perasaannya.

“Baiklah, kalau mengikut adat, apabila ada ahli baru maka ahli baru tersebut wajib menjadi orang pertama memulakan cerita seramnya.” Syukri membacakan salah satu rukun Majlis Bulan Mengambang.

“Arip… mulakan.” Kecik memandang Arip. Lagaknya betul-betul seperti seorang majikan berpangkat besar di sebuah syarikat antarabangsa.

“Hmm. Aku ada banyak cerita seram tetapi cerita yang macam mana kamu nak dengar?” Ahli-ahli kelab Bulan Mengambang memandang Arip dengan mata terkebil-kebil.

“Ceritakan satu yang paling istimewa.” Budiman menggosok-gosok tapak tangannya. Udara malam semakin sejuk. Angin malam bertiup makin kencang.

“Baiklah. Aku mahu bercerita tentang orang mati yang mayatnya ditemui di tepi sungai.” Arip teragak-agak.

“Bagus. Bagus… ceritakan yang itu.” Budiman mendekatkan dirinya kepada Arip.

“Oh, ya. Rukun kita yang kedua, tidak kira apa pun yang berlaku, semua saudara Majlis Bulan Mengambang tidak boleh berpecah atau keluar daripada bulatan yang telah kita buat ini.” Syukri menunjukkan garisan garam bercampur lada hitam yang telah dibuat mengelilingi mereka semua.

“Kenapa?” Arip mula berasa ada sesuatu yang tak kena.

“Sebab bulatan serbuk garam dan lada hitam ini akan melindungi kita daripada apa-apa yang mungkin datang menyertai kita malam ini.”

“Wah, kau jangan takutkan aku!” Arip menggigil ketakutan. “Betulkah, Pingun?”

“Kau cuma bercerita sajalah.” Pingun dan yang lain-lain tersenyum. “Kami semua adalah saudara sehidup dan semati kau sekarang, takkan tinggalkan engkau tak kira apa pun yang terjadi.”

Arip mengangguk-angguk. Mereka semua yang ada di sini adalah saudara sehidup semati dengannya sekarang. Masing-masing sudah bersumpah dengan darah dari ibu jari masing-masing.

“Ceritanya begini…”




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
BAB 01 | BAB 02 | Bab 03 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku