MAJLIS BULAN MENGAMBANG
Bab 03
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Disember 2017
Sekumpulan budak-budak tanpa sengaja telah melibatkan diri mereka dalam ritual berkaitan syaitan yang mengubah hidup mereka sepenuhnya. Secara luaran, mereka kelihatan seperti sekumpulan budak mentah yang tidak tahu apa-apa, namun pengalaman yang mereka miliki mengatasi kebanyakan orang yang lebih dewasa. 18PL.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
258

Bacaan






BAB 03 – PENGAIL MASA

MATAHARI hampir hendak terbit. Arip sudah pun bangkit dari katilnya sejam yang lalu. Dia sudah lupa hari ini hari apa. Malam tadi dia bermimpi sesuatu yang aneh. Mimpi tentang sekumpulan budak mengajaknya menyeru hantu. Dia tidak pasti di mana lokasi kejadian.

“Arip, cepatlah. Kita sudah mahu berangkat ni. Bersiap cepat- cepat.” Makcik dan pakcik Arip sudah menunggu di ruang bawah. Arip cepat-cepat mandi dan bersiap.

Arip anak tunggal dalam keluarganya. Ibu dan ayahnya sudah meninggal dunia beberapa tahun lepas, jadi Arip tinggal dengan pakcik dan makciknya yang merupakan adik kepada ibu kandungnya. Memandangkan mereka berdua tidak ada anak, Arip dilayan bagaikan anak kandung mereka.

“Kita nak ke mana ni, pakcik?” Arip terkebil-kebil melihat pakcik dan makciknya.

“Aaa.. apa Arip dah lupa hari ni, Arip akan daftar di sekolah asrama?” Pakciknya mengemas beg Arip di bonet kereta.

“Arip masuk asrama?” Arip menggaru-garu kepalanya.

“Ya, Arip. Arip dapat masuk asrama hari ini. Arip yang mohon nak masuk dulu kan? Arip yang nak sangat masuk yang ada sekolah bola sepak tu.” Makcik Saharah sudah pun duduk di kerusi depan.

“Bukan ke Arip dah masuk asrama minggu lepas?”

“Arip... Arip mengigau lagi ke? Dah, cepat duduk dalam kereta ni.” Makcik Saharah menggeleng kepala.

Mereka bertiga berangkat, merentasi kawasan kampung dan kemudian melalui sebuah jalan di tepi sungai. Arip teringatkan cerita yang diceritakannya di dalam mimpi.

Arip melihat ke tebing sungai. Tidak ada kelibat Si Kaki Pancing. Dia berfikir sejenak, kemudian dia mendekatkan dirinya ke arah Pakcik Asrap yang sedang memandu.

“Pakcik, pakcik ingat lagi tak cerita Kaki Pancing?”

“Ya?” Pakcik Asrap menyahut, masih terus memandang ke hadapan. Tangannya tetap memegang stereng.

“Pasal mayat orang mati tepi sungai? Pakcik pernah cerita dulu tu...”

“Oh, cerita tu. Legenda tempat ni. Kenapa tiba-tiba Arip tanya?”

“Betul ke Si Kaki Pancing tu wujud?”

“Itu cuma cerita untuk menakut-nakutkan budak-budak je, Arip. Tak nak bagi mereka leka memancing dekat tebing sungai tu. Sungai tu kan bahaya, ada buaya.”

“Buaya?” Arip berkerut dahi.

Pakcik Asrap ketawa berdekah-dekah. Dia cuma berjenaka.

“Kau layanlah pakcik kau ni, Arip.” Makcik Saharah tersenyum sambil memandang ke luar.


PERJALANAN selama hampir satu jam itu berakhir apabila kereta yang dipandu Pakcik Asrap memasuki perkarangan sebuah sekolah. 

“Assalamualaikum. Di mana pejabat sekolahnya, encik?” Pakcik Asrap menurunkan cermin tingkap keretanya.

Seorang pengawal keselamatan yang berusia sekitar empat puluhan menyambut.

“Terus saja, sampai tempat ‘parking’. Blok A, tingkat bawah. Ikut papan tanda.” Pengawal itu tersenyum biarpun dia berwajah garang. “Daftar anak?”

“Ya... ya...” Pakcik Asrap berlalu pergi selepas bersalaman dengan pakcik jaga tersebut.

Urusan pendaftaran berjalan dengan lancar. Arip dimasukkan ke kelas Tingkatan Satu Bitara. Setelah meletakkan begnya di asrama, Arip diminta terus masuk ke kelas pada hari itu juga.

Pakcik Asrap dan Makcik Saharah mengundur diri. Mereka berjanji akan datang pada hujung minggu untuk melihat keadaan Arip.

“Pelajar-pelajar sekalian, hari ini kita ada pelajar baru. Mohon sambut pelajar baru kita ini ya?” Cikgu Tingkatan Satu Bitara, Cik Adalia namanya. Orangnya masih muda dan sangat cantik.

Guru yang ada di dalam kelas ketika itu berhenti mengajar untuk seketika. Kebetulan terdapat satu tempat duduk yang kosong. Arip diminta duduk di situ.

Selepas mengucapkan terima kasih kepada guru yang sedang mengajar, Cik Adalia berlalu pergi. Guru matapelajaran terus mengajar. Subjek Matematik. Lima minit sebelum kelas tamat, baru dia meminta Arip memperkenalkan diri.

“Baiklah pelajar-pelajar sekalian. Cikgu beransur dulu.” Semua murid bangun dan mengucapkan terima kasih.

Arip memandang ke sebelah kanannya. Dia melihat seorang pelajar berbadan agak tegap. Arip terperanjat. Dia kenal budak ini.

“Pingun?” Tiba-tiba nama itu terpacul keluar dari mulut Arip.

“Eh, macam mana kau kenal nama aku?” Pingun kebingungan. “Oh, kau mesti pernah tengok aku main bola masa aku jaringkan dua gol hari tu. Ha! Ha! Ha! Memang aku dah agak...”

Arip terdiam. Matanya terbeliak.

“Kenapa kau tengok aku macam tu, budak baru?” Pingun memandang Arip dengan wajah yang pelik.

“Er.. tak ada apa-apa.” Arip tunduk.

“Eh, layan kau ni sampai terlupa aku nak keluar rehat.” Pingun cepat-cepat meninggalkan tempat duduknya.

Arip mengekori Pingun dari belakang. Sebagai budak baru, dia betul-betul berharap ada seseorang yang boleh menjadi penunjuk jalan tetapi entah bagaimana, Arip bagaikan sudah biasa dengan kawasan sekolah ini.

Arip melihat Pingun berkumpul dengan beberapa orang budak. Arip terpegun. Semua budak yang berkumpul bersama-sama dengan Pingun itu adalah budak yang sama yang dlihatnya di dalam mimpinya. Dia berdiri tercegat, mengingati semula isi kandungan mimpinya.

Seorang budak berbadan bulat, menyedari diri mereka diperhatikan. Dia bercakap sesuatu ke arah Pingun. Pingun memandang ke arah Arip. Arip serba-salah. 

Pingun melambai-lambai dan mengajak Arip menyertai mereka. Teringatkan kejadian yang menyeramkan di dalam mimpinya, Arip cuba mengelakkan diri, semasa berpusing ke belakang, tanpa sengaja Arip terlanggar seorang pelajar perempuan.

Dulang berisi pinggan dan gelas yang dipegang pelajar perempuan itu terhempas ke lantai. Merah padam muka Arip dengan apa yang terjadi.

“Maaf... maaf!” Arip secara spontan cuba mengemas dan mengangkat semua barang-barang yang jatuh ke dalam dulang.

“Aduii... jalan tak nampak orang!” Garang betul budak perempuan tersebut. “Aku tengah lapar ni, aku makan pula budak ni!”

“Rosa, kau jangan marah-marah sangat. Dia ni budak baru.” Pingun mengheret Arip berlalu pergi.

“Maaf... maaf...” Arip masih lagi rasa bersalah. Dia memandang gadis yang berbadan tinggi dan ramping itu.

“Kau mesti hati-hati. Budak perempuan tu ganas tau. Kau silaplah dah cari pasal dengan Rosa,” bisik Pingun.

“Tunggu!!!” Rosa menjerit sambil melangkah ke arah Arip.

Rosa berlari laju ke arah Pingun dan Arip. 

“Kau ada bawa duit tak?” Pingun bertanya. Arip menggeleng. “Kalau macam tu baik kau lari dulu!”

Kedua-dua mereka pun berlari laju meninggalkan Rosa. Begitulah bagaimana Arip menjadi kawan baik dengan Pingun. Mereka sampai di satu tempat tersorok.

“Kenapa kita kena takut dengan budak perempuan tu?” Arip masih kelihatan pucat.

“Sebab dia raksasa paling ganas di sekolah ni. ”


MASA rehat tamat begitu sahaja. Arip bernasib baik dia sudah bersarapan pagi tadi. Dia terlupa mengambil dompet yang disimpannya di dalam beg pakaiannya di asrama. Dia masih kebingungan. Bingung sebab apa yang dilalui hari ini adalah hampir sama dengan apa yang pernah dilaluinya beberapa hari yang lalu.

Ada orang kata, ini dipanggil ‘deja vu’ atau perasaan pernah melalui sesuatu peristiwa atau suasana yang serupa. Namun apa yang peliknya, hari ini ialah hari pertama Arip bertemu dengan Pingun tetapi Arip rasa sudah pun pernah menemui Pingun dan lain-lain. Cuma, dia tidak pernah ada masalah dengan gadis yang bernama Rosa itu sebelum ini.

Arip masih rasa bersalah. Dia perlu menggantikan harga bayaran makanan dan minuman Rosa yang telah dia tumpahkan.

Petang itu, semasa semua pelajar sedang beriadah, Arip berjalan-jalan seorang diri mencari Rosa. Nasib Arip baik, apabila dia melihat gadis itu seorang diri, termenung di kawasan meja batu di pinggir padang sekolah.

“Err... Rosa?” Arip berdiri beberapa meter daripada Rosa.

“Kau datang juga akhirnya, Arip...” Rosa tercengang melihat Arip. “Kau tentu tahu apa yang berlaku bukan?”

“Tahu apa?” Arip bingung.

“Tentang hari ini...” Nada suara Rosa beremosi.

“Hari ini?” Arip bertambah bingung. Dia tidak pernah berurusan dengan Rosa sebelum ini.

“Kau ada rasa tak sesuatu yang pelik tentang hari ini?” Rosa curiga, dia bimbang jika Arip tidak tahu.

“Pelik? Ya... ada?” Arip teringatkan apa yang telah berlaku hari ini.

“Kau sudah ada cara untuk menghalang perkara itu daripada berlaku sekali lagi?” Rosa memandang Arip dengan pandangan mengharap.

“Perkara apa?” Arip semakin bingung.

“Kau sudah lupa?” Rosa tampak agak kecewa.

“Lupa apa?” Dada Arip berdebar-debar.

“Kita kena halang Si Kaki Pancing daripada membunuh kita semua sekali lagi!” Kata-kata Rosa membuatkan kedua-dua belah lutut Arip menggeletar.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
BAB 01 | BAB 02 | Bab 03 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku