Reality Override
BAB 3
Genre: Fantasi
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Disember 2017
Sebab akan membawa kepada akibat. Akibat tidak akan terjadi tanpa adanya sebab. Itu hukum alam. Hukum yang menggerakkan alam. Alam harus bergerak mengikut Sains atau Sains yang menerangkan tentang hukum alam? Bagaimana kalau alam ini sudah melanggar hukum? Bolehkah perkara yang bercanggahan dengan Sains berlaku? Bagaimana kalau ada manusia yang mampu memanipulasi realiti dan menentukan 'akibat' untuk sesuatu 'sebab'? Bolehkah ia berlaku? Adakah ia masih Sains?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
102

Bacaan






MEMORI ILHAM

Masa satu jam telah pun berlalu. Sudah tiba masanya untuk mereka semua menyerahkan kertas soalan kuiz kepada pensyarah. Ilham menyerahkan kertas soalan kuiz dengan hati yang berat.

Dalam hatinya terdetik, soalan-soalan yang diberikan dalam kuiz itu teramatlah susah. Tahap kesukarannya luar biasa sekali. Malah, bukan Ilham sahaja yang berfikiran seperti itu, perasaan yang sama juga turut dialami oleh pelajar-pelajar yang lain. Sungguh, soalan-soalan yang ditanyakan dalam kuiz sebentar tadi seperti tidak pernah diajarkan sebelum ini di dalam mana-mana kelas yang diikutinya. Malah, dalam setiap buku yang dibacanya juga seperti tidak pernah memberitahu mengenai mana-mana soalan dalam kuiz tadi. Semuanya kelihatan janggal.

Setelah kesemua kertas soalan kuiz dikutip, Prof. Zahran terus melangkah keluar dari kelas mereka tanpa mengucapkan apa-apa. Setelah bayang pensyarah itu tidak kelihatan, kebanyakan daripada pelajar-pelajar melepaskan keluhan. Ilham turut merengus kasar, tanda dia tidak berpuas hati dengan kuiz yang dijawabnya sebelum ini.

"Weyh, kau boleh jawab tak soalan tadi?" Seperti mana-mana ujian dan kuiz, pasti akan ada beberapa orang pelajar menanyakan soalan lazim sebegini kepada rakan masing-masing.

"Entahlah. Tah apa-apa yang aku jawab tadi," balas rakannya kedengaran pasrah.

"Samalah dengan aku ni. Apa benda tah yang ditanya tadi. Satu pun aku macam tak pernah dengar," balas si penanya tadi. Kata-kata itu dilontarkan dengan penuh kemarahan dan kekecewaan.

"Betul tu. Aku setuju dengan kau. Soalannya susah gila nak mati, kot," sampuk seorang lagi pelajar yang turut berada di situ mengiakan kata-kata dua orang rakannya.

Ilham tidak mempedulikan perbualan rakan-rakannya. Dia terus sahaja mengemaskan barang-barangnya untuk pulang ke bilik memandangkan selepas ini tidak ada kelas. Langkah mula diatur untuk keluar dari dewan kuliah itu. Kelas yang seterusnya pada waktu petang. Jadi, dia ada banyak masa lapang sebelum ke kelas seterusnya. Itu pun jika dia berasa rajin untuk hadir ke kelas lagi pada waktu petang. Selalunya kelas pada lewat petang sebegitu tidak akan dihadiri dek kemalasan yang melanda.

"Lainlah kalau budak genius tu kot." Tiba-tiba sahaja salah seorang daripada mereka bersuara sambil menjeling ke arah Ilham yang kebetulan lalu berhampiran mereka.

Serentak dengan itu, kedua-dua orang lagi rakannya turut melemparkan renungan tajam kepada Ilham. Secara spontan, Ilham mematikan langkahan kakinya sebaik sahaja mendengar kata-kata rakan sekelasnya itu.

"Genius? Aku genius ke?" desis Ilham di dalam hati.

Dia langsung tidak menoleh ke arah rakan sekuliahnya yang sedang bercakap. Dia tiada niat pun untuk berbalas kata dengan mereka semua. Kalau ikutkan Ilham memang kurang rapat dengan sesiapapun di dalam kelasnya. Dia berasa agak kurang selesa untuk bersama mereka. Bahkan, Ilham memang seorang yang kurang bersosial sejak di bangku sekolah lagi. Walaupun bukan salah dia pun dia menjadi seperti itu. Entah kenapa semua orang sentiasa menjauhinya sejak dia belajar di sekolah rendah sampailah ke universiti.

Ilham meneruskan langkahan kakinya setelah berhenti sejenak. Kakinya dihentak-hentak ke lantai sambil dia menghayun langkahnya. Barangkali dia marah dengan kata-kata yang dilemparkan ke arahnya tadi.

***

Bam!

Pintu dihempas kasar oleh Ilham sebaik sahaja dia memasuki kamarnya. Mahu bergegar satu aras dibuatnya dek hempasan pintu itu yang begitu kuat. Orang yang tidur mati pun boleh terjaga dengan dentuman pintu itu. Beg yang dibawanya dihempas kasar ke lantai. Habis terkeluar isi di dalamnya kerana beg itu tidak dizip dengan sempurna.

Ilham terus menyandarkan dirinya di belakang pintu. Tubuhnya yang sedang menyandar melorot ke bawah perlahan-lahan menyebabkan kakinya melunjur ke hadapan. Lututnya dirapatkan ke tubuhnya lalu dipeluk dengan kedua-dua tangannya. Ilham menunduk merenung masa hadapannya yang kian kelam sambil memikirkan berbagai-bagai masalah yang menimpa dirinya.

Kertas-kertas yang berhamburan di atas lantai dibiarkan begitu sahaja. Begitu juga dengan meja belajarnya yang dipenuhi dengan beberapa buah buku dan alat-alat tulis yang berselerakan. Dia tidak sempat mengemasnya sebelum pergi ke kelas kerana kesuntukan masa. Mungkin juga dia memang sengaja tidak mahu mengemasnya kerana dia tiada motivasi untuk berbuat begitu.

Sejujurnya Ilham berasa amat kecewa dengan keputusannya sejak akhir-akhir ini. Entah kenapa, pencapaian akademiknya semakin lama semakin merosot sejak kebelakangan ini. Dia sendiri pun tidak tahu apa puncanya. Sudah puas dia cuba mencari puncanya dan memperbaiki semula keputusannya namun segala usahanya menemui jalan buntu. Semakin kuat dia berusaha, semakin teruk pula pencapaiannya dalam akademik. Segala usahanya sia-sia belaka.

Satu rengusan kasar dilepaskan.

"Lainlah kalau budak genius tu kot." Kata-kata itu masih lagi terngiang-ngiang di dalam kepalanya.

"Genius ke? Dia kata aku ni genius?" tanya Ilham semula kepada dirinya. Jari telunjuknya dituding ke arah dadanya sendiri.

"Kalau betul aku ni genius kenapa susah sangat aku nak jawab soalan tadi?"

"Kalau betul aku ni genius kenapa susah sangat aku nak faham apa yang aku belajar kat kelas?"

"Kalau betul aku ni genius kenapa result aku ni makin lama makin teruk?"

Nada suaranya naik seoktaf demi seoktaf setiap kali kata-kata itu terpacul keluar dari bibirnya.

"Kalau betul aku ni genius kenapa aku masih stuck kat sini lagi? Aku sepatutnya dah capai macam-macam dalam hidup. Paling kurang dah ada PHD sekarang, atau pun dah bentang research paper aku kat mana-mana!" Ilham mengakhiri bicaranya dengan oktaf yang tertinggi.

Senyap. Hanya bunyi kipas siling yang memecahkan keheningan di dalam biliknya. Tiada sesiapapun yang berada di situ untuk menjawab soalannya. Ilham terdiam seketika. Penat memarahi dirinya sendiri.

"Tak, aku tak boleh teruskan macam ni. Aku kena buktikan yang aku ni betul-betul genius seperti yang mereka katakan," kata Ilham setelah lama mendiamkan diri. Dia menjadi bersemangat secara tiba-tiba.

Ilham terus bangun untuk menuju ke arah selonggok kertas yang berselerakan tadi. Dia membelek satu-persatu kertas tersebut. Matanya merenung sekilas setiap kertas-kertas ujian dan kuiz untuk melihat markahnya. Kertas-kertas ujian dan kuiz yang dikumpulkan itu merupakan soalan-soalan ujian dan kuiznya sebelum ini sejak dari awal semester.

Ilham meletakkan semula kesemua kertas-kertas itu. Dia mengambil pula beberapa helai kertas yang penuh dengan segala jenis persamaan Fizik dan Matematik. Dia merenung satu demi satu kertas-kertas tersebut. Setiap persamaan yang tertulis di dalamnya ditenung penuh makna. Dahi Ilham berkerut seribu melihat segala persamaan yang cuba diterbitkannya. Dia cuba untuk memahami maksud tersirat di sebalik setiap persamaan itu.

Setiap persamaan dalam Fizik itu pasti mempunyai maksud yang tersirat. Maksud yang akan menerangkan segala konsep dalam Fizik serta hukum yang menggerakkan dunia ini. Dengan kata lain, persamaan itulah yang akan menerangkan tentang alam itu sendiri. Barangsiapa yang dapat memahami maksud tersirat di sebalik setiap formula dan persamaan Fizik, pasti dia akan memahami bagaimana alam ini bergerak, bagaimana alam ini berfungsi serta bagaimana alam ini bertindak balas. Itu apa yang Ilham percaya sekurang-kurangnya.

Oleh sebab itulah dia seboleh-bolehnya mahu memahami segala jenis persamaan Fizik agar dia mampu memahami konsep dalam Fizik dengan lebih mudah. Ilham percaya itulah yang menjadi punca dia tidak mampu memahami pelajarannya. Dia masih lagi lemah dalam memahami konsep-konsep asas.

Buku-buku yang dibiarkan terbentang di atas meja Ilham ambil untuk diletakkan di atas lantai berhampiran dengan kertas-kertas yang berselerakan. Buku-buku itu semua dibuka di hadapannya. Buku itu merupakan Buku Quantum Mechanics, Nuclear Physics, Elementary Particle, dan beberapa buah buku Fizik yang lain. Kertas-kertas contengan yang penuh dengan persamaan turut diletakkan bersama.

Persamaan-persamaan yang tertulis di atas kertas Ilham tatap dengan penuh makna. Dalam masa yang sama, otaknya ligat memikirkan apa interpretasi fizikal pada setiap persamaan tersebut. Dia cuba mengaitkannya dengan segala konsep yang dipelajarinya. Dia cuba menafsirkan setiap parameter yang membentuk sebuah persamaan. Dia cuba menghubung kaitkan setiap persamaan dengan persamaan yang lain. Dia cuba memahami konsep-konsep asas dalam Fizik dan mengaplikasikannya.

Otaknya cuba memahami apa yang dimaksudkan dengan daya, tenaga, kuasa, momentum, kerja, masa, jarak dan beberapa parameter yang lain. Selepas itu dia cuba pula menghubung kaitkan setiap parameter tersebut. Setelah itu, konsep-konsep dalam Fizik cuba diaplikasikan untuk memastikan sama ada dia benar-benar faham akannya.

Tidak cukup dengan itu, segala prinsip, teori, dan hukum dalam Fizik cuba ditafsirkan sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat. Satu demi satu ayat yang tertulis di dalam buku-buku itu cuba Ilham hadam sampai dia pasti dia benar-benar faham akannya. Satu pun dia tidak mahu tertinggal. Proses itu dia lakukan berulang kali sampailah otaknya sudah tepu untuk menerima informasi lagi. Itu pun dia mahu terus memaksa otaknya untuk terus berkerja. Bagi Ilham, dia tiada masa untuk dibazirkan hatta untuk berehat sedikitpun.

Selang beberapa minit kemudian, dia masih lagi tidak berganjak dari tempatnya. Dia masih lagi melakukan perkara yang sama. Kepalanya mula berasa sakit. Sebelah tangannya mengurut kasar kepalanya dengan harapan kesakitannya akan hilang. Jari-jemarinya memicit dengan kuat dahinya. Sementara itu, sebelah tangannya masih lagi tidak melepaskan kertas-kertas contengan tadi.

Walau bagaimanapun, kesakitan di kepalanya tetap tidak mahu surut sedikitpun. Malah, kesakitan yang dirasakannya menjadi semakin lama semakin kuat. Setiap kali dia cuba meneruskan proses berfikir, setiap kali itulah kesakitannya bertambah.

Ilham baring terlentang di atas lantai, dikelilingi buku-buku yang berselerakan. Dia akhirnya mengalah dengan kesakitan yang dialaminya. Mungkin sudah tiba masanya untuk dia berehat. Matanya merenung kipas siling yang ligat berpusing.

"Penat!" keluh Ilham.

"Makin teruk aku belajar, makin keliru aku dibuatnya," rungut Ilham lagi. Lontaran suaranya kedengaran amat lemah dan tidak bersemangat.

"Mungkin aku dah sampai limit kemampuan otak aku kot. Aku dah tak mampu untuk pergi lebih jauh dari ni."

Sebelah tangannya diangkat perlahan-lahan lalu diletakkan di atas dahinya. Panas. Itu yang dirasakan belakang tapak tangannya sebaik sahaja menyentuh dahinya. Sejak kebelakangan ini kesihatannya sering terganggu dek rungsing memikirkan pelbagai masalah.

Kepalanya yang merenung siling dikalihkan ke kiri. Buku-buku yang masih berselerakan berhampiran dengannya menjamu pandangan mata. Sebelah tangannya mencapai Buku Quantum Mechanics yang berada paling hampir dengannya. Buku itu ditutup untuk melihat kulitnya.

"Quantum Mechanics," gumam Ilham sambil membelek-belek buku itu. Buku itu diletakkan kembali ke lantai.

"Sebenarnya apa yang menyebabkan aku begitu obses dengan Quantum Physics ni?"

"Sebenarnya apa yang menyebabkan aku tertarik sangat nak ambil bidang ni?"

"Sebenarnya apa yang menyebabkan aku yakin sangat aku mampu untuk ambil bidang ni?"

"Sebenarnya apa yang menyebabkan aku perasan aku ni genius dan mampu untuk pergi lebih jauh dari ni?"

Satu demi satu persoalan itu timbul di benak fikirannya. Dia mula menyoal kembali apa yang menyebabkan dia begitu berminat dalam bidang Fizik sehingga akhirnya dia menjadi sebegini. Namun begitu, tiada siapa yang berada bersamanya untuk menjawab semua persoalan itu.

"Genius? Aku genius ke? Hmmh, perasan! Kau memang kuat perasan selama ni Ilham Hakimi." Ayat terakhirnya dilontarkan dengan nada sinis sekali.

Matanya perlahan-lahan dilelapkan. Ilham terlena bersama buku-bukunya kerana terlampau penat memerah otaknya dan menggerakkan sel-sel neuronnya. Otak Ilham sudah penat dipaksa untuk berkerja berterusan.

***

"Akim, kamu dah besar nanti nak jadi apa?" tanya seorang wanita kepada anaknya yang masih kecil. Usianya dalam lingkungan lima tahun.

"Ahli fizik mak!" jawab kanak-kanak berwajah polos yang dipanggil Akim itu dengan penuh yakin.

Akim merupakan panggilan kepada Ilham Hakimi semasa dia masih kanak-kanak. Rakan-rakan sekolahnya pula memanggil Ilham dengan panggilan Hakimi. Dia pun tidak berapa ingat sejak bila dia mula dipanggil dengan nama Ilham.

"Ahli fizik?" Wanita itu bertanya semula inginkan kepastian. Dahinya dikerutkan.

"Yup, ahli fizik!" Kanak-kanak itu mengiakan pertanyaan ibunya.

"Tapi, kenapa ahli fizik?" tanya ibunya semula mahukan lebih penjelasan.

"Sebab Akim cuba nak cari jawapan di sebalik setiap soalan-soalan yang selalu muncul dalam kepala Akim ni." Akim mengetuk-ngetuk kepalanya sendiri dengan jari telunjuk.

"Soalan? Soalan dalam kepala? Apa maksud Akim?" Ibunya tidak faham apa yang dimaksudkan Ilham atau lebih dikenali sebagai Akim pada waktu itu.

"Soalanlah. Mak pun tak alami juga ke?" tanya Ilham selamba seolah-olah apa yang dialaminya normal.

***

"Segala apa yang kita lihat di depan mata kita tak sama dengan yang sebenarnya."

"Ruang dalam dunia ni sebenarnya bukan berterusan sebaliknya ia terbahagi kepada beberapa bahagian kecil, lalu apa yang ada di celah setiap bahagian ruang tu?"

"Apa pula yang akan terjadi kalau bahagian-bahagian ruang tu semakin jauh?"

"Dunia lain wujud di antara celah-celah ruang dalam dunia kita dan pintu untuk ke dunia itu ada kat tengah-tengah ruang. Macam mana tu nak bayangkan?"

"Segala pernyataan dalam sains mesti disokong dengan bukti. Bukti mesti datang dalam bentuk eksperimen untuk menguji betul ke tak pernyataan tu."

"Jika pernyataan tu dalam bentuk yang tak boleh diuji dalam makmal, bagaimana kita ingin membuktikannya?"

***

Kelopak mata Ilham dibuka perlahan. Panahan cahaya matahari yang menyusup masuk melalui tingkap biliknya menyilaukan pandangan mata Ilham. Mata Ilham melilau ke kiri dan ke kanan untuk memastikan keadaannya sekarang. Buku-buku yang berselerakan di sekelilingnya menjadi perkara pertama yang dilihatnya.

Ilham bangun perlahan-lahan. Kepalanya berasa sedikit sakit tatkala dia cuba untuk bangun. Matanya dilirikkan ke arah tingkap biliknya. Lama dia merenung tingkap yang sudah ditembusi panahan cahaya matahari sebelum bersuara, "Siang. Mungkin aku tertidur masa aku tengah study agaknya."

Mindanya mengimbas semula apa yang dipaparkan dalam mimpinya beberapa ketika yang lalu iaitu memori silamnya. Kenangan itu telah terlalu lama berlalu sehinggakan dia hampir sahaja melupakannya. Mungkin, otaknya menganggap bahagian memori ini tidak penting dan telah dimasukkan dalam senarai untuk dilupuskan. Namun begitu, mimpi yang dialaminya sebentar tadi mungkin memberi petanda kepada sesuatu yang amat penting. Sesuatu yang tidak patut dilupakannya. Sesuatu yang amat berharga buat dirinya. Sesuatu yang mengubah kehidupannya 360 darjah sekaligus menentukan hala tuju kehidupannya.

"Apa sebenarnya yang aku mimpikan tadi?" Ilham masih kurang mengerti dengan apa yang dialaminya dahulu semasa kanak-kanak. Mahu sahaja dia mengembara ke masa lalu untuk mengetahui apakah yang berlaku sebenarnya pada masa lalu.

"Ilham." Entah kenapa perkataan itu yang terbit dari bibirnya tika ini. Sama seperti namanya. Kebetulan pula.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 0 | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku