Reality Override
BAB 4
Genre: Fantasi
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Disember 2017
Sebab akan membawa kepada akibat. Akibat tidak akan terjadi tanpa adanya sebab. Itu hukum alam. Hukum yang menggerakkan alam. Alam harus bergerak mengikut Sains atau Sains yang menerangkan tentang hukum alam? Bagaimana kalau alam ini sudah melanggar hukum? Bolehkah perkara yang bercanggahan dengan Sains berlaku? Bagaimana kalau ada manusia yang mampu memanipulasi realiti dan menentukan 'akibat' untuk sesuatu 'sebab'? Bolehkah ia berlaku? Adakah ia masih Sains?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
29

Bacaan






BUNUH DIRI

September 2024, Wilayah Eurasia Cawangan Nusantara

Aira sedang berjalan seorang diri di tebing sebuah bumbung bangunan pencakar langit. Kakinya melangkah perlahan mengelilingi tebing bangunan tersebut tanpa sekelumit rasa gayat atau takut. Sebelah tangannya memegang lemah telefon pintar miliknya. Sedikit longgar sahaja pegangannya akan menyebabkan telefon pintar itu terjatuh.

"Anda mahu tak menyumbang sesuatu kepada dunia ini? Anda mahu tak menggembirakan dan membahagiakan orang-orang di sekeliling anda? Anda ingin menyebarkan keamanan ke serata dunia?" Gadis itu merintih sendirian. Sayu sahaja suaranya. Linangan air mata mengiringi rintihannya yang sayu.

"Tahu tak bagaimana caranya? Ada suatu perkara di dunia ini, jika kita lakukannya, semua orang pasti bahagia. Dunia ini akan menjadi aman dan tenteram jika kita semua melakukannya," sambungnya lagi sambil mengalunkan melodi penuh melankolik.

Orang ramai sudah berkumpul di bawah bangunan, memerhatikan tingkah Aira sejak dari tadi. Dalam kumpulan orang ramai itu, ibu dan bapa Aira turut berada di situ. Kedua-duanya kelihatan cemas sekali. Jelas tergambar pada wajah masing-masing. Bomba, polis dan ambulans sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Jangan lakukannya! Jangan jadi bodoh Aira! Fikirkan orang yang masih sayang pada kau!" Tiba-tiba sahaja satu suara menerjah di ruangan mindanya. Suara itu bukan datang dari luar, sebaliknya datang dari dalam dirinya sendiri, seperti yang dialami oleh insan yang selalu bermonolog.

Aira yang sedang berjalan itu berhenti melangkah. Dia seperti dikejutkan sesuatu.

"Ya, aku tak boleh pentingkan diri. Dalam dunia ni masih ada lagi orang yang sayang pada aku," balas Aira pada suara itu, seolah-olah suara itu bukan dia yang bercakap.

Sebelah kakinya diangkat untuk turun dari tebing tersebut. Keinginannya untuk membunuh diri tadi terbantut dek disergah suara dari dalam kepalanya itu.

Walau bagaimanapun, baru sahaja dia hendak melangkah, muncul satu lagi suara lain membantutkan niat Aira. Langkahnya dimatikan. Kali ini suara itu mirip suara seorang perempuan. Kedengaran begitu dalam. Apa yang pelik, suara itu sama betul dengan suaranya.

"Aira, usah percayakan manusia yang kononnya sayangkan kau tu. Mereka nak selamatkan kau bukannya ikhlas pun. Mereka cuma taknak diburu rasa bersalah kerana gagal selamatkan kau sahaja. Hakikatnya, mereka bukannya sayangkan kau pun," kata suara itu.

Di kirinya, kelihatan suatu susuk tubuh mirip Aira menjelma secara tiba-tiba. Alangkah terkejutnya Aira tatkala dia menyedari kehadiran manusia yang serupa dengan dirinya ibarat kembarnya atau klonnya. Riak wajah manusia itu lebih menakutkan. Dia sedang berdiri di situ, tersenyum sinis memandang Aira.

Gadis yang serupa Aira itu menggamit tangan Aira untuk memandang wajahnya. Aira menatap gadis yang serupa dengan dirinya dalam-dalam. Kemudian gadis misteri itu mendorong Aira untuk naik semula ke tebing bangunan untuk terjun dari situ. Badan mereka berdua berpusing untuk menghadap jalan raya di bawah.

"Aira, jangan dengar cakap dia. Dia tak wujud. Dia cuma halusinasi yang dihasilkan otak kamu je, Aira." Kata-kata Dr. Arif, doktor yang merawatnya kembali terngiang-ngiang di telinga Aira. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia teringat akan lelaki itu.

"Dr. Arif?" soal Aira di dalam hatinya

Aira yang teringat akan pesanan Dr. Arif ingin melangkah turun dari tebing bangunan itu tetapi dihalang manusia yang serupa dengan dirinya itu.

"Aira, buat apa kau nak dengar cakap lelaki tu. Kau tak ingat apa yang dia katakan pada kau? Lelaki itulah yang menolak mentah-mentah segala dakwaan aku. Lelaki itulah yang ingin menghapuskan aku dari hidup kau. Lelaki itulah yang menafikan kewujudan aku, sedangkan aku ini sebahagian dari diri kau. Lelaki itu jugalah yang tuduh kau sebagai gila," kata manusia itu lagi bertalu-talu kepada Aira. Dia dapat membaca segala apa yang difikirkan Aira kala ini.

Mulut manusia itu didekatkan dengan telinga Aira. Kata-katanya itu menyusup satu-persatu ke telinga Aira lalu menyentuh lubuk hatinya yang paling dalam.

Aira menatap pemandangan bandar yang berada di bawah kakinya. Sayup-sayup sahaja kelihatan orang ramai sedang berkumpul di bawah. Kesemuanya kelihatan cemas sekali melihat adegan mengerikan itu. Sebuah jaring telah disediakan di bawah oleh pihak bomba untuk menyambut tubuh Aira sekiranya dia terjun.

"Aira, apa lagi yang kau tunggu? Kalau kau hidup lagi kat atas dunia ni bukannya ada makna lagi, kan? Bukannya ada siapa pun yang sayangkan kau kat dunia ni. Semua orang bencikan kau. Semua orang mahukan kau mati." Kata-kata manusia yang serupa dengannya itu bergema dalam ruang mindanya. Kata-katanya itu begitu menusuk kalbunya. Aira merasakan seperti ada besi tajam yang mencucuk dadanya saat kata-kata itu menyapa gegendang telinganya.

"Orang macam kau ni tak payah hidup lagi bagus!"

"Sepatutnya orang tak guna macam kau ni bunuh diri ramai-ramai lagi bagus! Biar aman sikit dunia ni!"

"Entah! Agaknya sebab orang macam kau ni wujudlah, dunia kita jadi huru-hara macam ni! Sebab tu kalau kau perasan, kat mana mereka berada di situlah huru-hara yang akan berlaku, di situlah perang berlaku!"

"Ni semua kau punya pasallah bangsat! Anak bini aku semua mati! Patutnya kau je yang mati, bukan keluarga aku!"

"Pergi bunuh diri ramai-ramai lagi bagus!"

Satu demi satu kata-kata nista yang dilemparkan ke arahnya terngiang-ngiang di telinga. Jelas benar terakam dalam ingatannya lalu dimainkan semula bersama emosi yang sedang bergelojak. Air liurnya ditelan kelat.

"See? Aku dah kata kan? Semua orang dalam dunia ni mahukan kau mati. Sengaja aku mainkan semula satu-persatu memori tu semua agar kau mengerti nasihatku ini."

Manusia itu berbicara dengan nada bersahaja seolah-olah apa yang dikatakannya itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan. Dia tiba-tiba sahaja berjalan di sekeliling Aira dengan matanya masih lagi tertancap pada Aira. Walaupun tiada apa-apa berada di hadapan Aira, manusia itu boleh berjalan seperti biasa seperti ada daratan di bawahnya. Dia sedang terapung di udara. Sahlah dia bukan manusia normal.

Anak mata Aira tepat menikam ke arah manusia yang sedang bercakap dengannya sekarang. Renungan tajam diberikan olehnya. Setiap butir bicaranya dihadam Aira satu-persatu. Langkah manusia itu tiba-tiba dihentikan. Dia berhenti betul-betul di hadapan Aira.

"Aira, sekarang aku ingin tanya pada kau, bagaimana lagi kau harus lakukan agar dapat membahagiakan semua orang?" Manusia itu mula ingin bersoal jawab pula dengan Aira.

"Bunuh diri." Itu jawapan Aira.

"Jika kehidupan kita ini menyusahkan semua orang dan bawa huru-hara serata dunia, apa yang patut kau lakukan?" Satu lagi soalan diajukannya.

"Bunuh diri." Jawapan yang sama diberikan Aira.

"Jika semua orang meminta kau untuk mati, apa yang patut kau lakukan?"

"Bunuh diri." Aira masih lagi memberi jawapan yang sama.

"Kau tahu kenapa aku cakap macam tu?"

"Sebab semua manusia di dunia ni bencikan aku. Kalau aku terus hidup, aku akan menyusahkan mereka semua. Kewujudan orang macam aku ni hanya bawa bala je pada orang lain, malah pada dunia ni. Kelahiran aku di dunia ni melanggar fitrah kejadian manusia. Orang macam aku ni tak sepatutnya wujud pun. Aku patut mati je. Aku patut...." Aira tidak sanggup lagi untuk meneruskan kata-katanya.

Manusia yang berada di hadapan Aira menunduk lalu mendekatkan mulutnya ke telinga Aira. Dia membisikkan sesuatu untuk menyambung kata-kata Aira yang terputus, "Bunuh diri."

Tangan manusia itu mengusap lembut muka Aira yang dilanda kemurungan.

"Aira! Jangan dengar suara tu! Jangan bunuh diri, Aira! Tolong jangan lakukannya!" Kedengaran satu suara berteriak dari arah belakang. Teriakan itu mengganggu perbualan Aira dengan manusia mirip dirinya.

Aira seperti dikejutkan sesuatu. Dia tersedar, lalu menoleh ke belakang. Dia ingin turun dari tebing bangunan itu. Dia ingin melihat siapakah gerangan manusia yang memanggilnya tadi. Manusia yang berada di hadapannya ini dipedulikan.

Kelihatan seorang lelaki lewat 20-an sedang bersusah payah untuk memanjat bumbung bangunan itu. Lelaki itu merupakan Dr. Arif, doktor yang merawat Aira. Dia berjaya mencari jalan untuk memanjat bumbung bangunan tersebut untuk menghalang Aira daripada melakukan perbuatan terkutuk itu. Tanpa membuang masa, dia terus meluru ke arah Aira yang berada di tebing bangunan.

"Ah, bodoh! Ada saja orang nak halang jalan aku!" marah manusia yang menyerupai Aira itu.

Dia yang berada di belakang Aira terus menghilangkan dirinya lalu muncul di hadapan Aira semula. Serentak itu, masa seperti diberhentikan secara tiba-tiba. Kesemua yang berada di sekelilingnya kelihatan kaku, termasuklah Dr. Arif yang sedang menerpa ke arah Aira.

"Usah dengar kata-kata manusia lain. Aku sudah katakan berkali-kali, yang mereka takkan percaya dan faham masalah kita. They are so self-centered. Mereka fikir mereka tahu segala-galanya. Mereka fikir mereka sahaja yang betul. Mereka semualah yang menuduh kau gila selama ini. Kau sudah lupa ke?" Dia terus-menerus cuba menghasut Aira.

"Sekarang, aku mahu tanya kau. Siapa yang selama ini faham semua masalah kau?" Sekali lagi manusia itu mengajak Aira untuk bersoal jawab dengannya.

"Kau."

"Siapa yang sudi dengar semua luahan perasaan kau?"

"Kau."

"Siapa yang pujuk kau setiap kali kau sedih?"

"Kau."

"Siapa yang tolong kau selama ni setiap kali kau ditimpa masalah?"

"Kau."

"Siapa yang selamatkan kau setiap kali kau ditimpa bahaya?"

"Kau."

"Jadi, kata siapa yang patut kau dengar? Aku atau dia?" soal manusia itu sambil menuding jarinya ke arah dirinya dan tubuh Dr. Arif yang sedang membeku saat ini.

"Kau." Itu sahaja jawapan yang terpacul keluar dari bibir Aira.

"Sekarang, kau dah faham kan apa yang patut kau lakukan?"

Soalan itu dibalas Aira dengan memusingkan tubuhnya untuk menghadap jalan raya. Sebaik sahaja Aira menggerakkan tubuhnya, masa kembali berjalan seperti sediakala. Dr. Arif pula terus meluru ke arah Aira. Pada waktu itu, sebelah kaki Aira sudah diangkat untuk terjun ke bawah.

"Aira! Jangan!" teriak Dr. Arif mula panik.

Walau bagaimanapun, dia telah terlambat, Aira telah pun terjun ke bawah. Tatkala dia berjaya sampai ke tebing bangunan, kedua-dua tangannya hanya menangkap angin sahaja. Dia duduk tertunduk, kecewa kerana tidak berjaya menyelamatkan Aira. Air mata mengalir deras di pipinya.

Sementara itu, manusia yang menyerupai Aira tadi melihat tubuh Aira yang sedang jatuh dengan senyuman sinis. Langsung dia tidak berasa bersalah akan perbuatannya itu. Dia melihat pula ke arah Dr. Arif yang masih lagi terduduk dan kecewa. Kemudian dia memandang pula sekumpulan manusia yang berada di bawah. Dia memandang mereka dengan penuh benci. Lambat-lambat tubuhnya menghilang begitu sahaja di udara.

Bunyi riuh-rendah orang ramai yang menjerit ketakutan dari bawah mengiringi perjalanan Aira. Angin menderu-deru bertiup menampar kasar tubuh Aira yang sedang menjunam ditarik graviti. Jauh sungguh dirasakan perjalanannya. Perjalanan untuk menuju kematian. Bunuh diri. Itulah keputusan yang telah diambil Aira saat ini.

*****************

Tubuh Aira mendarat di atas jaring keselamatan yang telah pun disediakan di bawah. Pihak bomba telah pun bersiap-sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Pada hari itu, tiba-tiba sahaja mereka mendapat panggilan daripada ibu Aira bahawa ada seseorang ingin membunuh diri di lokasi yang disebutkan. Ambulans juga telah disediakan bagi membawa Aira pergi untuk menerima rawatan susulan.

Sebaik sahaja tubuh Aira mendarat di atas jaring keselamatan, orang ramai yang berada di situ terus mengerumuninya untuk mengetahui apa yang berlaku. Walau bagaimanapun, pegawai kesihatan yang berada di situ lebih cepat bertindak untuk mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku. Bunyi siren dari bomba, polis dan ambulans bergema di ruang udara mengiringi kekecohan yang sedang berlaku.

Aira hanya membiarkan tubuhnya dibawa pegawai kesihatan ke dalam ambulans. Dia masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Terkejut kerana dia masih tidak mati lagi.

********************

"Aira, kenapa kau lakukannya? Bukankah perbuatan bunuh diri tu berdosa? Kenapa kau sia-siakan hidup kau? Perjalanan hidup kau masih panjang lagi, banyak lagi yang kau perlu tempuhi." Kedengaran suara seorang perempuan mirip suaranya menyapa lembut telinganya, selembut bayu yang bertiup di tepi pantai.

Aira menoleh untuk melihat ke arah punca suara itu. Kelihatan seseorang yang mirip dirinya, tetapi dia bukan manusia yang tadi. Kali ini, dia tidak lagi menyimpulkan senyuman sinis seperti tadi. Sebaliknya, wajahnya sayu sahaja melihat tubuh Aira yang sedang menjunam. Wajahnya muram sekali seperti kecewa dengan keputusan yang diambil Aira. Lantunan suaranya begitu lembut tetapi sayu. Barangkali dia manusia lain, tidak sama seperti yang tadi. Tubuhnya sama-sama menjunam ditarik graviti seperti Aira. Manusia itu kekal berada di sisi Aira sehinggalah tubuh Aira berjaya mendarat di atas jaring keselamatan.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 0 | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku