Reality Override
BAB 6
Genre: Fantasi
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Disember 2017
Sebab akan membawa kepada akibat. Akibat tidak akan terjadi tanpa adanya sebab. Itu hukum alam. Hukum yang menggerakkan alam. Alam harus bergerak mengikut Sains atau Sains yang menerangkan tentang hukum alam? Bagaimana kalau alam ini sudah melanggar hukum? Bolehkah perkara yang bercanggahan dengan Sains berlaku? Bagaimana kalau ada manusia yang mampu memanipulasi realiti dan menentukan 'akibat' untuk sesuatu 'sebab'? Bolehkah ia berlaku? Adakah ia masih Sains?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
56

Bacaan






KEMBAR DENGAN KUASA PELIK

Wilayah Autonomi

Kabus masih lagi menyelimuti kawasan hutan belantara itu pada pagi hari. Bunyi kicauan burung melagukan melodi indah menjadi muzik latar semula jadi buat pentas hutan belantara. Di tengah-tengah hutan yang tebal itu, dua orang manusia dengan beraninya meredah hutan tersebut tanpa sekelumit rasa takut atau risau mereka akan tersesat.

"Abang! Kat depan sana ada air terjunlah. Jom pergi sana!" ajak si gadis kepada orang yang dipanggil abang itu.

"Baiklah. Zalfa tunjukkan jalan," balas si abang.

Gadis yang dipanggil Zalfa tadi terus menarik tangan abangnya untuk menuju ke arah air terjun yang dimaksudkan. Abangnya pula hanya akur mengikut langkah adiknya. Sepasang adik-beradik kembar itu pun terus berjalan meredah hutan belantara.

Zalfa Dayana, gadis berusia 22 tahun itu dikatakan boleh mendengar bisikan alam. Bisikan itu memperihalkan segala khasiat perubatan pada setiap bahagian dalam tumbuh-tumbuhan, dari akar sampailah ke daun. Bisikan itu didengarinya tatkala dia berada berhampiran dengan pokok-pokok. Maka, dia menganggap bisikan itu datang dari pokok-pokok yang ingin berbicara dengannya.

Dengan ilmu perubatan yang diberikan oleh pokok-pokok itu semua, dia boleh menjadi pengamal perubatan jika dia mahu. Akan tetapi, dia tidak mahu. Dia takut tiada sesiapa yang akan mempercayainya selain dirudung rasa bersalah dengan anugerah yang dimiliki olehnya.

Zafran Dasuki, nama diberi kepada si abang. Dia bukan manusia biasa. Dia boleh berkomunikasi dan memahami apa yang dituturkan oleh haiwan. Comel, kucing kesayangannya selalu menjadi peneman bicara. Akibatnya, Zafran seringkali dianggap tidak siuman kerana disalah anggap sedang bercakap seorang diri.

Mereka berdua adik-beradik kembar, dengan Zalfa si adik, manakala Zafran ialah abangnya. Mereka berdua ada seorang lagi abang, Zaqwan Danial. Ketiga-tiganya menuntut di Universiti Teknologi Malaysia. Abang mereka sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Kejuruteraan Perisian. Memandangkan sekarang cuti semester, mereka berdua pulang ke kampung dan tinggal bersama datuk mereka.

Derapan kaki yang melangkah semakin lama semakin hampir ke arah bunyi air terjun yang semakin jelas kedengaran. Bukan bunyi deruan air terjun itu yang menjadi pandu arah mereka berdua. Sebaliknya, Zalfa sendiri memang mahir dan tahu akan jalan yang patut dilaluinya. Dia arif benar akan selok-belok di hutan tersebut walaupun baru kali pertama dia menjejakkan kakinya ke kawasan ini.

Bila ditanya gadis itu, dari mana dia mengetahui jalan-jalan di dalam hutan tersebut, dia pasti akan memberi jawapan yang susah untuk dipercayai sesiapa.

"Pokok-pokok tu semua yang bagitahu Zalfa. Mereka yang tunjukkan jalan selama ni. Jadi, papa dan mama tak perlulah risau kalau Zalfa merayau lagi dalam hutan," beritahu Zalfa dengan selamba kepada ibu dan bapanya yang amat risau akan kehilangannya.

Ya, Zalfa memang faham benar. Memang tiada sesiapa pun yang mempercayainya selama ini kecualilah dua orang abangnya, Zafran dan Zaqwan.

Dari kejauhan, sudah kelihatan air terjun dari celah-celah pepohonan yang berada di hutan belantara tersebut. Sayup-sayup kedengaran bunyi air menderu turun. Zalfa terus menarik tangan abangnya supaya mereka cepat sampai ke destinasi yang ingin dituju. Zafran pula hanya akur diperlakukan sebegitu oleh adiknya.

Pemandangan air terjun yang terhampar di hadapan dua adik-beradik kembar itu membuatkan masing-masing terpanar seketika. Sejujurnya, inilah kali pertama mereka melihat pemandangan sebegitu. Sebelum ini, mereka tidak berpeluang untuk menikmati keindahan alam. Konflik berpanjangan yang melanda wilayah mereka antara kumpulan pemberontak dan Eurasia menyebabkan mereka tidak dapat untuk melaksanakan aktiviti sebegitu.

Zafran terus berjalan menghampiri air terjun. Dia terus membongkok lalu memasukkan tangannya ke dalam air. Air dicedok menggunakan kedua-dua tangannya lalu diraup ke muka. Rasa nyaman lagi menyegarkan menjalar ke segenap inci tubuh tatkala air itu bersentuhan dengan wajahnya.

Zalfa pula memilih untuk melepaskan lelah di atas batu yang berhampiran. Senyuman dikuntum di bibirnya sambil memerhatikan gelagat abangnya. Setelah puas menyegarkan badan, Zafran mendongak melihat pemandangan indah yang terhampar di hadapan mata, menikmati keindahan ciptaan Tuhan.

"Subhanallah," ucap Zafran memuji keindahan ciptaan Allah.

Pasangan kembar itu senyap seketika, tidak melafazkan sebarang bicara, membiarkan alam sahaja berbicara mengisi keheningan. Di air terjun itu, mereka berdua mahu melepaskan lelah seketika setelah penat menghabiskan rutin seharian mereka di dalam hutan.

"Abang," panggil Zalfa memecah kesunyian.

Zafran yang masih asyik menikmati pemandangan di hadapannya terus menoleh untuk memandang adik kembarnya.

"Kenapa semua orang bencikan kita?"

"Sebab kuasa pelik kita ni ke?"

"Kenapa dengan mudahnya orang menghukum kita?"

Soalan-soalan itu dilemparkan Zalfa dengan penuh sayu sambil memerhati kedua-dua telapak tangannya. Zafran pula tidak menjawab soalan adik kembarnya. Dia hanya mendengar sahaja dari tadi.

Zafran bangun lalu berjalan menghampiri adiknya. Sebuah batu yang berada di sebelah batu tempat Zalfa duduk menjadi tempat untuk dia melabuhkan punggungnya. Wajah Zalfa ditatap Zafran penuh makna.

"Masyarakat memang mudah menghukum," lafaz Zafran dengan mendatar. Hanya itu sahaja jawapan yang keluar dari mulut Zafran sebagai jawapan kepada soalan-soalan yang dilemparkan adiknya.

Zalfa merenung wajah abangnya semula, bersetuju dengan pendapat yang diluahkan abangnya.

"Ya, betul kata abang," balas Zalfa mengiakan. Mendalam sungguh suaranya. Zalfa memandang semula ke arah air terjun di hadapannya.

***

Zafran sedang menyandarkan diri di pangkal sebatang pohon rendang. Dia sedang asyik memerhatikan adiknya, Zalfa dari kejauhan. Zalfa dilihat sedang ralit mencatatkan sesuatu pada buku nota yang sentiasa dibawa bersamanya setiap kali dia masuk ke hutan.

Sesekali bibir mungil Zalfa melafazkan bicara seolah-olah dia sedang bercakap dengan seseorang. Perlahan sahaja suaranya, tidak mampu didengari dengan jelas butir bicaranya oleh Zafran yang sedang memerhati. Akan tetapi, tidak kelihatan sesiapa pun di sekitarnya sebagai peneman bicara, seolah-olah dia sedang bercakap seorang diri.

Itu pada zahirnya sahaja. Hakikatnya, dia sedang berbicara bersama pokok-pokok yang berada di sekitar hutan, memperihalkan khasiatnya. Apa yang dibicarakan pokok-pokok itu akan dicatat dalam buku notanya.

Setelah puas mencatat, Zalfa menutup buku notanya. Dia kemudian berjalan meninggalkan tempat itu untuk menuju ke arah pokok seterusnya. Melihatkan keadaan itu, Zafran terus menegakkan tubuhnya.

"Zalfa, jangan pergi jauh sangat!" pesan Zafran meninggikan suaranya agar mampu didengari adiknya.

"Yalah. Zalfa tahu cari jalan sendiri. Abang tak payahlah risau," sahut Zalfa tanpa menoleh. Perjalanannya diteruskan.

Melihatkan adiknya yang tidak mendengar nasihat, dia bingkas bangun lalu mengejar Zalfa. Setelah berada di sisi Zalfa, Zafran terus memegang tangan adiknya, menghalang gadis itu daripada meneruskan perjalanannya.

"Zalfa, bahayalah kalau Zalfa pergi jauh sangat!" nasihat Zafran risau akan tingkah adiknya.

Zalfa menghentikan hayunan langkahnya lalu berpaling. Wajah abang kembarnya ditatap.

"Kenapa?" soal Zalfa memohon penjelasan.

"Entahlah. Abang rasa tak sedap hati pula tiba-tiba," terang Zafran menzahirkan kerisauannya.

"Abang jangan risaulah. Insya Allah Zalfa tak sesat. Zalfa kan ada pokok-pokok tu semua tunjukkan jalan." Zalfa menunjukkan pokok-pokok yang berada di sekelilingnya.

"Bukan pasal tu. Abang cuma risau kalau...." Bicaranya terputus di situ. Kemudian disambung semula, "Takda apa-apalah."

Zafran cuba meredakan rasa galau di hatinya. Zalfa sudah memandang pelik wajah abangnya.

"Kalau macam tu, boleh teman Zalfa ke pokok depan sana tu?" Buku nota yang dibawanya dipeluk erat ke dada. Jarinya ditudingkan ke arah sebatang pokok yang menjadi destinasinya.

"Boleh," balas Zafran ringkas.

***

Tidak jauh dari tempat mereka berdua berada, sebuah khemah didirikan untuk sepasukan penyelidik yang ditugaskan untuk menyiasat suatu fenomena di kawasan hutan tersebut. Beberapa orang Askar Eurasia dilihat sedang berjalan mundar-mandir mengawal kawasan di sekitar.

Berhampiran khemah tersebut, terdapat sebuah meja diletakkan di situ. Pelbagai peralatan canggih berada di atas meja tersebut termasuklah sebuah komputer riba. Dr. Qarin dilihat sedang ralit memerhatikan data-data yang terpapar di skrin komputer riba miliknya.

Salah seorang daripada askar yang berkawal di kawasan sekitar menghubungi rakan sepasukannya melalui alat telekomunikasi yang dipasang di telinga.

"Laporkan situasi." Askar itu memberi arahan. Dia kemudian diam sejenak untuk memberi laluan kepada askar itu memberi laporannya. Wajahnya kelihatan tegang sekali, menunjukkan keseriusan perbualan mereka.

Usai habis mendengar laporan dari rakan sepasukannya, dia mematikan alat telekomunikasinya lalu berjalan ke arah Dr. Qarin. Memandangkan Dr. Qarin merupakan ketua pasukan penyelidik yang ditugaskan di situ, dia harus memberitahu akan apa yang dilaporkan rakan sepasukannya sebentar tadi. Dr. Qarin yang masih lagi memerhatikan skrin komputer riba miliknya, terus menoleh ke arah askar yang berjalan ke arahnya.

"Kenapa? Ada masalah ke?" soal Dr. Qarin dapat menghidu sesuatu.

"Ada dua orang awam dikesan di kawasan kerja lapangan," lapor askar itu tanpa berlengah.

"Dua orang awam? Hmm, menarik." Dr. Qarin menggumam. Dia mula menerbitkan teori di mindanya.

"Doktor, apa kita nak buat dengan mereka? Perlu ke kita hapuskan mereka?" soal askar itu, bersedia menunggu arahan seterusnya.

"Biarkan mereka. Aku nak uji hipotesis aku ni sama ada betul atau tak. Kenal pasti identiti kedua-dua orang awam ni berserta butir peribadi mereka. Kat mana mereka dikesan?" Dr. Qarin mengajukan soalan.

"Di koordinat 1103," beritahu askar itu senada.

"Baiklah, jauhkan askar-askar kita dari koordinat 1103 dalam radius 100 meter. Aku tak mahu ada pemboleh ubah lain yang mengganggu eksperimen aku nanti," arah Dr. Qarin lagi.

"Baiklah." Askar itu menurut arahan.

***

Zalfa dan Zafran beristirahat di bawah sebatang pokok yang rendang, menikmati keindahan alam. Kedua-duanya mendongak ke atas, merenung langit nan membiru yang dilitupi dedaunan dari pohon-pohon di hutan. Puas sudah Zalfa mencatat segala maklumat khasiat perubatan tumbuh-tumbuhan yang diperolehnya melalui bisikan-bisikan yang didengar. Buku nota miliknya diletakkan di sisi.

"Abang!" panggil Zalfa memecah keheningan.

"Ya?" balas abangnya sambil menatap permukaan langit.

"Abang pernah terfikir tak?" Soalannya tergantung di situ. Berat benar dirasakan Zalfa kala ini untuk menanyakan soalan itu.

"Abang pernah terfikir tak, dari mana kuasa kita ni datang?" Akhirnya soalan itu keluar jua dari mulut Zalfa.

Zafran menegakkan tubuhnya lalu menatap wajah adik kembarnya, ingin memberi fokus pada perbincangan.

"Maksud Zalfa, kuasa abang untuk memahami bahasa haiwan? Dan kuasa Zalfa untuk mengetahui segala khasiat pokok-pokok melalui bisikan-bisikan tu?" Zafran mengajukan semula soalan, ingin kepastian betulkah apa yang difikirkan adiknya.

Zalfa hanya mengangguk laju sebagai jawapan.

Zafran menghembus kasar nafasnya lalu berbicara, "Betul, Zalfa. Abang pun terfikir perkara yang sama macam Zalfa. Lagi banyak dari Zalfa sendiri."

Zalfa turut menegakkan tubuhnya, tertarik dengan apa yang dikatakan abangnya. "Apa yang abang fikirkan?"

"Yalah, macam, dari mana kuasa ni datang? Macam mana kita boleh dapat kuasa ni? Kenapa kita boleh dapat kuasa ni? Kenapa tak orang lain? Dan...."

Zalfa dan Zafran berpandangan lalu berbicara serentak, "Apa signifikannya kuasa kita ni?"

Jeda. Suasana hening seketika. Kedua-duanya tiada jawapan untuk soalan yang baru dilemparkan seketika tadi. Kedua-dua adik beradik kembar itu bersandar semula di pangkal pokok, lalu melepaskan keluhan serentak. Langit nan membiru itu direnung semula, seolah-olah ilham akan sampai jika mereka terus memerhatikannya.

***

Dr. Qarin berjalan di sekitar kawasan di mana dua orang awam dikesan tadi. Dia turut diiringi dua orang Askar Eurasia. Matanya melilau ke kawasan persekitaran, mencari kalau-kalau ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Sedang dia asyik memerhatikan, dua biji matanya menangkap sesuatu yang menarik perhatiannya. Sebuah objek asing ditemui berhampiran pangkal sebatang pokok.

Dr. Qarin terus menghampiri objek asing itu. Dua orang askar yang bersamanya turut menyusuli langkah Dr. Qarin. Dr. Qarin membongkok untuk mengamati objek asing itu. Sarung tangan dikeluarkan lalu dipakai Dr. Qarin. Dia mengambil objek asing itu yang merupakan sebuah buku nota.

"Buku nota?" soal Dr. Qarin hairan.

Dia menyemak satu-persatu kandungan di dalam buku nota tersebut. Helaian demi helaian dibuka. Setiap apa yang tertulis di dalamnya dibaca satu-persatu.

"Ah! Mungkinkah ini... milik penyelidik yang pernah datang tempat ni. Tapi, kenapa cara dia mencatat kelihatan pelik? Nama saintifik tumbuhan tak dicatatkan. Active substance dalam setiap tumbuhan juga tak diterangkan secara spesifik. Tapi sebaliknya hanya dicatatkan khasiat perubatan berserta penyakit yang boleh dirawat pada setiap tumbuhan. Hmmm... pelik!" gumam Dr. Qarin.

Bagi Dr. Qarin, catatan dalam buku nota ini kelihatan begitu aneh. Catatannya tidak kelihatan seperti ditulis seorang penyelidik, tetapi maklumatnya agak terperinci.

"Hmmm, takpalah. Biar aku simpan buku ni untuk dianalisis. Kesahihan maklumat yang terkandung dalam buku ni akan mengesahkan hipotesis aku," sambung Dr. Qarin lagi.

Dia bingkas bangun untuk meninggalkan tempat itu, bersama dua orang askar yang datang bersamanya.





Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 0 | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku