Reality Override
BAB 12
Genre: Fantasi
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Disember 2017
Sebab akan membawa kepada akibat. Akibat tidak akan terjadi tanpa adanya sebab. Itu hukum alam. Hukum yang menggerakkan alam. Alam harus bergerak mengikut Sains atau Sains yang menerangkan tentang hukum alam? Bagaimana kalau alam ini sudah melanggar hukum? Bolehkah perkara yang bercanggahan dengan Sains berlaku? Bagaimana kalau ada manusia yang mampu memanipulasi realiti dan menentukan 'akibat' untuk sesuatu 'sebab'? Bolehkah ia berlaku? Adakah ia masih Sains?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
66

Bacaan






KEPUTUSAN

Aira berjalan mundar-mandir di dalam bilik tidurnya. Dalam otaknya sekarang ligat memikirkan tentang apa yang diberitahu oleh suara itu dan apa yang disampaikan dalam berita semalam. Dia cuba mengaitkan berita itu dengan dirinya.

Dia hairan benar. Apa yang suara itu maksudkan dengan ada kaitan dengan dirinya? Siapa mereka berempat itu? Mereka semua langsung tiada kaitan dengan dirinya. Dia juga langsung tidak mengenali mereka semua.

Aira berhenti sejenak untuk memulakan sesi soal jawab dengan suara itu.

"Eh, suara! Apa yang kau maksudkan hari tu dengan berita tu? Siapa mereka berempat tu? Apa pula kaitannya dengan aku ni?" soal Aira bertubi-tubi kepada suara itu. Dia mula memanggil suara itu dengan nama panggilan suara.

"Kau akan tahu nanti. Kalau aku terangkan sekarang bukannya kau faham pun," balas suara itu.

Aira merengus kasar. Dia hilang sabar dengan sikap suara itu yang seolah-olah sengaja mempermainkannya.

"Okey, okey. Aku akan terangkan serba sedikit. Mereka berempat tu ada persamaan dengan kau," jelas suara itu setelah menyedari Aira marah akan dirinya.

"Persamaan? Apa maksud kau?" Berkerut dahi Aira mendengar jawapan itu.

"Ya. Mereka ada kuasa sama macam kau," jelas suara itu tanpa berselindung.

"Kuasa?" Bertambah pening Aira dibuatnya.

"Ya, mereka diburu disebabkan tu. Sebab tulah kau kena lebih berhati-hati lepasni. Sebab kau akan jadi sasaran mereka lepasni."

"Siapa mereka tu?" soal Aira mula menunjukkan minatnya.

"Eurasia," beritahu suara itu tanpa berselindung.

"Eurasia? Bukan ILF ke? Seperti yang diberitakan." Aira menyoal semula, inginkan penjelasan lebih terperinci.

"Bukan. Mereka jadikan ILF sebagai kambing hitam untuk tutup kesalahan yang mereka lakukan," terang suara itu seperti seorang penganalisis politik.

ILF ialah singkatan bagi Islamic Liberation Front, iaitu salah satu kumpulan bersenjata yang ingin menuntut kemerdekaan daripada Eurasia. Kumpulan ILF telah berjaya membebaskan beberapa buah wilayah di rantau Asia Tenggara. ILF, seperti namanya, memperjuangkan khilafah Islam sebagai ideologi mereka. Pihak Eurasia seringkali menjadikan ILF sebagai kambing hitam untuk menutup kesalahan mereka.

"Jadi, lepasni kau kena lebih berhati-hati." Suara itu memberi pesanan terakhir sebelum menghilangkan diri.

Aira tidak mengerti dengan apa yang cuba disampaikan suara itu. Kalau boleh dia ingin mengorek lebih banyak maklumat daripada suara itu.

"Apa yang dia maksudkan dengan kuasa tu?" soal Aira seorang diri sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

***

"Ilham Hakimi!" Nama itu dipanggil Prof. Zahran untuk menyerahkan kertas kuiznya tempoh hari. Spontan, Ilham terus bangun lalu berjalan menuju ke arah Prof. Zahran untuk mengambil kertas tersebut. Perlahan sahaja langkahnya tanpa semangat. Matanya juga pudar daripada memancarkan sinar kehidupan. Satu demi satu langkah diatur sampailah dia berada di hadapan Prof. Zahran. Kertas itu diambil tanpa dilihat markahnya. Langkah diatur untuk kembali ke tempatnya semula.

Sedang Ilham berjalan ke tempatnya, kedengaran suara seseorang menegurnya, "Ilham, berapa kau dapat? Mesti markah kau tinggi, kan?"

Ilham terus mematikan langkahnya lalu menoleh ke arah orang yang menegurnya tadi. Kemudian, dia memandang sekilas ke arah kertas soalan kuiznya itu. Markah yang terpamer di kertas itu ditenung dengan rasa tidak percaya. Gelap dunianya seketika tatkala dia melihat markah yang diperolehinya. Sejujurnya, Ilham tidak pernah dapat markah seteruk ini sebelum ini.

Ilham hanya menggeleng sekilas sambil mengukir senyuman pahit sebagai jawapan kepada pertanyaan rakannya tadi.

"Berapa? Mesti tinggi markah kau kan? Yalah, kau kan genius," tanya kawan sekuliahnya itu lagi sekali.

"Takdalah, sikit je," balas Ilham sedih dan kecewa. Dia kemudian menyambung semula perjalanannya yang terhenti tadi.

Setelah sampai di tempat duduk, kertas itu dipandang Ilham sekali lagi. Setiap jawapan yang salah dan betul diperhatikan satu-persatu. Kebanyakan jawapan yang diberikannya salah. Hancur luluh hati Ilham dibuatnya tatkala melihatnya. Penat dia memerah otaknya untuk memikirkan jawapan tetapi hanya sedikit sahaja yang betul. Itu pun, kebanyakannya seperti markah kasihan sahaja.

Ilham merasakan seperti segala penat keringatnya tidak dihargai langsung. Malah, dia berasa sungguh bodoh saat ini. Dia berasa dialah manusia paling bodoh di kelasnya walaupun sebelum ini keadaan menunjukkan sebaliknya. Dia merasakan seolah-olah kepintaran yang dimilikinya telah hilang lesap entah ke mana. Dia merasakan kepintarannya itu seperti dirampas orang lain. Begitu pedih apa yang dirasakan Ilham kala ini, ibarat seorang raja yang kehilangan takhtanya.

***

"Wah, sem lepas kau dapat four flat? Wah, congrats Ilham!"

"Ilham, aku tak fahamlah Einstein Postulate ni. Boleh kau terangkan tak? Kau kan pandai."

"Ilham, boleh terangkan kat kami tak pasal time dilation dan length contraction?"

"Weyh, cuba kau terangkan kat aku pasal wave-particle duality ni."

"Macam mana kau derive equation ni? Boleh terang kat aku tak?"

"Ilham, terangkan kat aku pasal Energy Level Diagram,"

"Wah, kau dapat A-plus subjek Math Method Dua? Susah tu!"

"Kau ni memang geniuslah Ilham!"

***

Markah kuiz yang baru diperoleh ditenung Ilham dengan penuh rasa kecewa. Bukannya Ilham tidak mahu bersyukur dengan keputusan yang baru diterimanya, bukannya dia tidak mahu reda, tetapi dia berasa susah hati dengan pencapaian akademiknya yang semakin merosot saban waktu. Secara tiba-tiba sahaja keputusan ujian dan kuiznya merosot tanpa sebab yang jelas. Ilham sendiri sudah penat mencari puncanya.

Sebelum ini, Ilham begitu cemerlang dan menyerlah sekali pencapaiannya dalam akademik. Semua orang di dalam kelasnya mengaku tahap kebijaksanaannya. Semua orang menjadikan Ilham sebagai sumber rujukan tatkala ada kemusykilan melanda. Malah, sampai ke satu tahap, orang menggelarkan Ilham sebagai genius kerana tahap kebijaksanaan yang dimilikinya.

Ilham Hakimi, dia bukan seperti orang lain. Tahap kebijaksanaannya luar biasa. Dengan mudahnya dia mampu memahami konsep-konsep dalam Fizik. Dengan mudahnya dia mampu menangkap segala apa yang diajarkan dalam kelas. Dengan mudahnya dia mampu mengingat dan memahami segala apa yang dipelajarinya dengan hanya sekali baca sahaja.

Walau bagaimanapun, itu semua dahulu, tatkala dia mula-mula menjejakkan kakinya ke menara gading. Kala itu, semua orang masih bersemangat lagi untuk menuntut ilmu. Kala itu, Ilham dengan bangganya mengaku bahawa dia amat mencintai ilmu dan amat meminati bidang Fizik.

Dengan yakinnya Ilham menyatakan impiannya untuk menjadi seorang Ahli Fizik suatu hari nanti. Dengan yakinnya Ilham menyatakan keinginannya untuk mencipta satu teori atau model baru dalam Fizik bagi merungkai permasalahan yang wujud dalam Fizik. Dengan model atau teori itu, Ilham menyatakan niatnya untuk menyumbang sesuatu kepada dunia.

Akan tetapi, apa yang telah terjadi sekarang? Segala cita-cita, impian dan keinginannya musnah. Sedikit demi sedikit, Ilham semakin tidak faham dengan apa yang dipelajari di kelasnya. Dia semakin payah untuk menghadam segala apa yang dibaca dalam buku. Dia semakin sulit untuk memahami konsep-konsep baru dalam Fizik.

Segala persamaan dan formula Fizik hanya dilihat Ilham seperti simbol yang tiada makna, atau seperti bahasa asing dari planet lain. Langsung dia tidak mampu memahami semua persamaan itu, apatah lagi segala konsep Fizik yang baru dipelajarinya. Tidak kisah walau berapa kali dia cuba membaca dan mengulangkaji semula pelajaran di kelasnya, dia tetap tidak mampu memahami walau satu pun. Sungguh, dia benar-benar sesat untuk memahami lagi ilmu Fizik.

Lama-kelamaan, keadaan ini memberi kesan kepada keputusan peperiksaannya. Saban hari, pencapaian akademiknya semakin lama semakin merosot. Bukannya Ilham tidak cuba untuk melakukan sesuatu. Sudah puas dia cuba berbagai-bagai cara. Sudah puas dia mencari penyelesaiannya. Sudah puas dia cuba mencari puncanya, namun Ilham tidak ketemu penyelesaiannya.

Maka terperangkaplah Ilham dalam gaung kegagalan yang dalam tiada berpenghujung.

Tidak pula Ilham teringin untuk menyuarakan masalahnya kepada sesiapa terutama sekali ibu dan bapanya. Dia tidak mahu membuat mereka risau. Cukup-cukuplah dia menyusahkan mereka dengan menampung segala perbelanjaan Ilham di universiti.

Hendak diberitahu rakan-rakannya? Jauh sekali. Dia tidak mahu kelihatan bodoh di hadapan rakan-rakannya. Bayangkanlah, seorang rakan sekuliah yang selama ini anda hormat dan kagumi sebagai pelajar paling pintar dalam kelas tiba-tiba sahaja merosot pencapaian akademiknya.

Mahu merendahkan sayapnya untuk bertanya kepada rakan-rakannya? Ilham terasa seperti menjilat ludahnya sendiri tatkala memikirkan soal itu. Malu, itu yang dirasakannya tatkala membandingkan dirinya dengan rakan sekuliah yang lain. Betapa teruk dia jatuh, sehingga sebahagian daripada mereka telah mampu memotong Ilham dalam pencapaian akademik. Takhtanya sebagai pelajar paling pintar telah dirampas.

Walau bagaimanapun, dia tidak kisah memikirkan soal itu. Bukan takhtanya sebagai pelajar paling pintar yang dirisaukannya. Bukan itu tujuan dia menuntut ilmu, untuk menunjuk-nunjuk dan memperlekeh orang yang jahil. Dia hanya teringin merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang saintis. Bagaimana dia ingin menjadi seorang saintis jika keputusannya teruk sebegitu?

Maka, tenggelamlah Ilham seorang diri, lemas dalam melayari bahtera kehidupannya sebagai seorang pelajar universiti.

Ilham bagaikan burung yang telah patah sayapnya, lalu berkeinginan untuk terbang bebas semula di udara. Akan tetapi, burung itu tidak mampu. Sayap yang telah patah tidak mampu diperbaiki lagi. Langit membiru yang asalnya menjadi tempat permainannya, kini hanya mampu direnung dengan hati yang sayu lagi pilu. Burung-burung lain yang terbang bebas hanya mampu diperhatikan dengan hati terasa sakit bak dihiris-hiris. Cemburu tatkala melihat burung-burung lain mampu terbang bebas di udara.

Ilham bagaikan telah tersesat di sebatang jalan yang serba gelap. Segala cahaya yang sepatutnya menerangi perjalanan Ilham terpadam satu demi satu. Maka berjalanlah Ilham tanpa arah tujuan.

Betullah kata pepatah, malu bertanya, sesat jalan. Ilham telah tersesat dalam perjalanannya untuk memahami ilmu Fizik tetapi dia enggan bertanya. Dia malu. Dia berasa malu untuk menunjukkan kelemahannya. Dia tidak boleh menerima hakikat yang dia telah jatuh. Dia tidak boleh menerima hakikat yang dia telah pun berada di bawah dalam roda kehidupan. Dia berasa takut akan dipandang rendah oleh rakan sekuliahnya seandainya dia berterus terang.

Maka, tersesatlah Ilham dalam perjalanannya untuk menuntut ilmu, ditinggalkan keseorangan dalam kegelapan tanpa sebarang cahaya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 0 | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku