Reality Override
BAB 15
Genre: Fantasi
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Disember 2017
Sebab akan membawa kepada akibat. Akibat tidak akan terjadi tanpa adanya sebab. Itu hukum alam. Hukum yang menggerakkan alam. Alam harus bergerak mengikut Sains atau Sains yang menerangkan tentang hukum alam? Bagaimana kalau alam ini sudah melanggar hukum? Bolehkah perkara yang bercanggahan dengan Sains berlaku? Bagaimana kalau ada manusia yang mampu memanipulasi realiti dan menentukan 'akibat' untuk sesuatu 'sebab'? Bolehkah ia berlaku? Adakah ia masih Sains?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
100

Bacaan






TAWARAN

Tetamu yang hadir secara tiba-tiba ke rumah mereka itu dipersilakan duduk di sofa di ruang tamu rumah mereka. Hanya seorang sahaja yang masuk ke rumah Raimi sementara yang lain hanya menunggu di luar.

Raimi dan Marisa duduk bersebelahan dengan ibu dan bapa masing-masing. Kedua-duanya senyap tidak terkata. Pandangan mata ditancapkan ke lantai tetapi minda masing-masing sudah menerawang jauh ke tempat lain. Air liur diteguk kelat. Debaran di dada bertambah kencang menanti apakah yang bakal diucapkan sang tetamu.

Dengan tenang lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari dalam begnya. Dua keping sampul surat dikeluarkan lalu diserahkan kepada Marisa dan Raimi.

"Nah, ini untuk Cik Marisa dan ini untuk Encik Raimi," ucap lelaki itu masih dengan nada tenangnya.

Marisa mengambil surat itu tanpa teragak-agak manakala Raimi pula kaku menatap sampul surat yang dihulurkan kepadanya.

"Raimi!" Panggilan dari bapanya yang berada di sebelah menyentakkan Raimi. Terhenjut sedikit bahunya dek terlalu terkejut.

"Ah!" sahut Raimi akan panggilan ayahnya dalam keadaan terpisat-pisat.

"Kenapa?" soal Othman mula berasa hairan akan tingkah anaknya.

"Ha... takda apa-apa," balas Raimi lalu mengambil sampul surat yang dihulurkan kepadanya.

Marisa yang tidak sabar-sabar untuk mengetahui isi kandungan surat itu terus membukanya tanpa disuruh.

"Ish, ish! Buruk benar perangai minah ni," komen Raimi di dalam hati.

"Ehem." Lelaki itu berdehem sebentar membuka bicara. "Kamu berdua boleh baca isi kandungan surat tu," katanya dengan tenang.

Marisa yang telah terlebih dahulu membaca surat itu tanpa disuruh membeliakkan matanya secara tiba-tiba. Mulutnya juga menganga luas.

Raimi yang baru hendak membuka sampul surat itu turut terkejut sama. Seraya itu, dengan cepat dia membuka sampul surat tersebut untuk membaca apa yang terkandung dalam surat itu. Begitu kelam-kabut tindakannya itu. Surat itu hampir sahaja terjatuh dari tangannya.

Setelah lipatan surat itu dibuka, isi kandungannya dibaca penuh hati-hati.

"Hah!" Raimi turut berkongsi rasa terkejut bersama Marisa tatkala dia membacanya. Kemudian dia membacanya lagi sekali untuk memastikan dia tidak tersilap baca.

Lelaki itu pula hanya tersenyum tenang menanti reaksi mereka berdua. Kopi yang dihidangkan di atas meja dicicipnya dengan penuh ketenangan.

"Maaf mencelah, tuan ni siapa sebenarnya dan apa tujuan tuan datang ke mari?" Othman yang senyap sedari tadi tiba-tiba bersuara, tidak tahan lagi untuk terus menunggu lelaki ini berterus terang.

"Oh, maafkan kecuaian saya. Saya terlampau teruja sehingga lupa memperkenalkan diri pula. Saya sebenarnya wakil dari Universiti Eurasia Kampus Nusantara dan kedatangan saya ke sini untuk sampaikan sendiri surat tawaran kepada anak encik," jelas lelaki itu masih dengan nada tenangnya.

"Surat tawaran?" Othman hampir tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

Amran dan isterinya pula sudah berpandangan sesama sendiri, juga berasa hampir tidak percaya. Mata masing-masing membuntang luas.

"Ya, anak encik ditawarkan untuk menyambung pengajian di universiti kami. Yuran pengajian dan segala kos berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kami. Tak perlu risau pasal soal kewangan," jelas lelaki itu dengan panjang lebar, seperti mengetahui akan soalan yang bakal diajukan kepadanya.

Kali ini giliran Raimi dan Marisa pula berpandangan. Rasa terkejut mereka belum habis lagi sudah ditambah pula dengan mendengar penerangan tambahan dari lelaki ini.

"Bi... bi... biar betul!" Raimi tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya lalu disuarakan. Bergema suaranya satu rumah.

"Ya," balas lelaki itu ringkas dan tenang.

"Err... maafkan saya. Tuan pasti ke tuan tak tersilap orang ni? Maksud saya, bukan ke universiti tu tempat untuk budak-budak genius je. Tapi..., saya ni... biasa-biasa je." Marisa menunduk malu sambil melaga-lagakan dua hujung jari telunjuknya. Mukanya merona merah menahan malu. Seluruh badannya pula terasa bahang tiba-tiba walaupun kipas dipasang dengan kelajuan maksimum di ruang tamu itu.

"Tersilap? Tak, kami pasti kami dah buat penilaian yang tepat. Lagipun...." Kata-katanya terhenti di situ. "Pihak Eurasia takkan sia-siakan kebolehan macam kamu berdua ni." Dia menyambung bicara dengan nada yang direndahkan pada hujung katanya.

"Hah, apa?" Raimi ingin tahu apa yang dituturkan lelaki itu dengan suara perlahan.

"Jadi, macam mana? Setuju tak dengan tawaran kami ni?" Lelaki itu tidak mempedulikan pertanyaan Raimi sebaliknya dia mengajukan pula soalan.

"Hah, macam mana Marisa?" Amran menggesa jawapan daripada anak perempuannya.

"Terima saja tawaran ni, Raimi. Bukan senang tau nak dapat tawaran ni." Giliran Othman pula memujuk anaknya.

Raimi berasa serba salah untuk menjawabnya. Baginya, tawaran ini datang secara tiba-tiba tanpa disangka. Dia tidak bersedia untuk menerimanya. Walau bagaimanapun, dia tiada sebab lagi untuk menolaknya memandangkan soal kewangan bukan menjadi masalah lagi.

"Ah, cakap pasal soal kewangan! Macam mana pula dengan Fiya? Dia dapat juga ke? Dia lebih layak untuk dapat kot. Memandangkan dia tu prodigy." Tiba-tiba sahaja soal sepupunya yang mendapat tawaran dari universiti yang sama melintas di fikiran.

"Ada apa-apa yang tak kena ke, Encik Raimi?" soal lelaki itu sambil melemparkan pandangan tajam ke arah Raimi, seperti boleh membaca persoalan yang bermain di mindanya.

"Ah...." Raimi berasa teragak-agak pula untuk menyuarakannya.

Marisa terus memandang wajah sahabat sejak kecilnya itu, cuba membaca fikirannya.

"Kenapa, Raimi? Kamu tak berminat ke?" soal Othman salah faham.

"Ah, tak. Sebenarnya... dua tiga hari lepas sepupu saya ada dapat tawaran ke universiti ni juga, course Medic. Adakah dia juga ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti?" Raimi menyuarakan apa yang terbuku di hati.

"Siapa nama sepupu kamu tu?" Lelaki itu mula menunjukkan minat.

"Izati Syafiyah Binti Adam Bakri." Raimi menyebutkan nama penuhnya dengan satu nafas.

"Kejap. Nanti saya semak rekodnya." Lelaki itu menyemak fail yang berada di hadapannya di atas meja.

"Ha, dia tu. Jangan risau. Dia juga akan turut ditanggung sepenuhnya seperti kamu berdua. Sebenarnya pihak kami nak berikan surat tawaran kepada kamu bertiga sekaligus. Tapi surat tu tak sampai sebab posmen yang dipertanggungjawabkan untuk hantar surat ni telah dibom masa dalam perjalanan untuk sampai ke rumah kamu berdua. Jadi, tujuan saya datang ke sini adalah untuk sampaikan surat tawaran ni dengan tangan saya sendiri. Saya nak pastikan ia betul-betul sampai," jelas lelaki itu dengan tenang.

"Hai, sampaikan jadi posmen pun tak selamat sekarang ni ya." Sempat lagi Amran membuat lawak.

Lawak Amran hanya disambut dengan pandangan kosong menikam tepat ke mukanya dari semua orang yang berada dalam rumah itu.

"Okey, okey. Sorry. Bergurau je tadi," tutur Amran setelah menyedari lawak hambarnya tidak kena tempat.

"Wow, beriya benar mereka ni ya! Sampai sanggup datang sini jauh-jauh menempuh ranjau, onak dan duri semata-mata nak sampai ke sini," ulas Raimi di dalam hati siap dengan bunga bahasanya.

"Posmen tu terperangkap dalam pertempuran antara pihak Eurasia dan pemberontak." Tanpa dipinta, lelaki itu memberi maklumat tambahan.

"Macam takda perasaan je orang ni," komen Marisa pula di dalam hati.

Memandangkan wilayah yang mereka duduki merupakan wilayah autonomi, pertempuran antara kumpulan bersenjata yang menguasai wilayah ini dan Eurasia seringkali melanda dan menggugat kestabilan. Akibatnya, ramai yang telah menemui ajal sebelum sempat sampai ke destinasi dek terperangkap dalam konflik tersebut.

"Hah, Marisa! Macam mana? Berangan jauh dah sampai mana? Ke bulan ke?" Soalan Qamariah, ibu Marisa mengejutkan gadis itu. Belakang badannya turut ditepuk lembut ibunya.

"Taklah mak. Dah sampai Galaksi Andromeda." Marisa loyar buruk.

"Marisa, seriuslah sikit," bisik Raimi malu dengan tindakan rakannya itu.

"Aku terima je tawaran ni. Kau macam mana?" Tiba-tiba sahaja Marisa menyatakan penerimaannya.

"Ya, saya sudi menerima tawaran ini tuan. Takda sebab untuk saya tolak tawaran ini. Lagipun, rugi kalau saya sia-siakan tawaran ni." Dengan penuh berbesar hati Raimi menerimanya.

"Baiklah. Kalau itu jawapan kamu berdua. Saya ucapkan terima kasih kerana sudi luangkan masa bersama dengan pihak kami. Nanti, pada tarikh yang dah diberitahu dalam surat tawaran tu, pihak kami akan escort kamu berdua sepanjang perjalanan. Kamu cuma perlu buat preparation je. Baiklah, kami pulang dulu."

Lelaki itu mengemaskan semua barangnya sebelum beransur pulang. Dia sambung berbual dengan ibu dan bapa mereka berdua di luar. Raimi dan Marisa pula ditinggalkan di ruang tamu.

"Hah! Ingatkan kenapa tadi," keluh Raimi lalu menyandar di sofa.

Marisa di sebelah hanya senyap tidak terkata. Dia masih tidak mempercayai apa yang berlaku sebentar tadi.

"Aku mimpi ke ni? Aku mimpi ke ni? Kalau ini mimpi, bangunkan aku segera dari mimpi indah yang tak seberapa nak indah ni." Marisa menepuk-nepuk pipinya yang gebu, ingin memastikan sama ada dia sedang bermimpi atau tidak.

"Marisa, kalau kau mimpi sekarang, kenapa aku boleh ada dalam mimpi kau pula ni? Ke kau yang masuk dalam mimpi aku sebenarnya?" sampuk Raimi merumitkan situasi.

"Jadi betullah ni realiti. Bukan mimpi, kan?" soal Marisa buat sekian kalinya, ingin memastikan andaiannya betul.

***

"Hah, lega betul rasanya! Penat juga berurusan dengan RO ni. Terutama Subjek 019. Nasib baik mereka tak syak apa-apa," luah lelaki itu yang telah pun masuk ke dalam perut kereta. Dia kemudian mengeluarkan sapu tangan dari dalam poket seluarnya lalu mengelap peluh yang mengalir di dahinya.

Kereta yang dinaikinya terus meluncur laju, menelusuri jalan raya.

***

Pekat malam melatari suasana. Rintik-rintik hujan turun membasahi bumi lalu membentuk lopak-lopak air di sana-sini. Di tengah kesibukan kota, para penghuninya sibuk menjalani rutin harian masing-masing hingga ke lewat malam. Matahari yang telah melabuhkan tirainya tidak menjadi penghalang buat penghuni kota daripada meneruskan aktiviti mereka.

Di tengah kesibukan kota itu juga kelihatan seorang gadis sedang berlari seorang diri. Dia sedang melarikan diri daripada sesuatu. Sesekali kakinya memijak lopak-lopak air begitu sahaja sehingga memercikkan air ke kakinya. Akan tetapi dia tidak peduli itu semua. Dia tiada masa untuk itu. Keselamatannya lebih penting saat ini.

Dia terus berlari, berlari dan berlari.

Dia berlari sehingga melewati sebuah lorong yang sempit dan gelap. Dia berhenti sejenak, mengambil sedikit masa untuk mengatur semula pernafasannya. Dia mengintai sebentar dari balik tempat persembunyiannya, berharap kedudukannya tidak dapat dikesan di tempat ini.

"Tak, aku tak boleh berhenti di sini. Aku kena terus lari supaya mereka tak dapat tangkap aku." Gadis itu berkata sendiri.

Dia kemudian meneruskan perjalanannya ke hujung lorong. Langkahnya terhenti tatkala sampai di hujung lorong. Terdapat longgokan sampah yang menghalang laluannya. Ketinggian longgokan sampah itu lebih kurang sama dengan ketinggiannya. Gadis itu tidaklah terlalu tinggi dan tidaklah terlalu rendah.

Dia menoleh ke belakang. Memikirkan sama ada patut atau tidak dia berpatah balik dan mencari jalan lain atau meneruskan perjalanannya. Jika dia tiada pilihan lain, nampaknya terpaksalah dia mengharungi longgokan sampah itu.

Dari hujung lorong, iaitu dari arah dia datang, beberapa orang yang mengejarnya telah pun berada di situ. Kaki mereka diatur ke arah gadis itu, dengan kelajuan sederhana. Tidaklah terlalu perlahan dan tidaklah terlalu laju. Mereka tahu bahawa gadis itu tiada cara lagi untuk melarikan dirinya.

Gadis itu yang berasa terkejut akan kehadiran mereka, perlahan-lahan mundur ke belakang, sehinggalah tubuhnya bersentuhan dengan longgokan sampah di belakangnya. Langkahnya terhenti. Dia terkejut. Dia faham situasinya kini. Dia sudah tiada jalan lagi untuk melepaskan diri.

Mata gadis itu melilau ke kiri, kanan, atas dan bawah demi mencari jalan lain untuk melepaskan diri. Tiba-tiba suatu idea terbit di mindanya. Dia berpusing ke belakang, menghadap longgokan sampah yang berada di belakang, lalu memanjat longgokan sampah tersebut.

Di belakang longgokan sampah itu terdapat sebuah pagar besi yang perlu dilepasinya. Tanpa berfikir panjang, dia terus memanjat pagar itu. Sampai sahaja di atas, dia berhadapan dengan dua pilihan. Sama ada terus terjun ke bawah atau mencapai apa-apa sahaja untuk dipanjat.

Gadis itu menunduk untuk melihat ke bawah. Dari atas pagar itu hingga ke tanah, terlalu tinggi untuk dia terus terjun. Dia tidak berani. Tulangnya mungkin patah sekiranya dia terjun. Dia memandang pula sekelilingnya. Terdapat banyak paip dan saluran untuk dicapainya. Dengan berhati-hati, tangannya cuba untuk mencapai paip tersebut bagi membolehkan dia memanjatnya.

Berhampiran dengannya, terdapat pula sebuah laluan yang agak sempit di antara dua buah bangunan. Laluan itu merupakan bumbung yang menyambungkan dua bangunan tersebut. Laju sahaja sebelah kakinya diangkat untuk berpijak di bumbung itu. Dia kemudian terus melarikan diri di atas bumbung itu. Nasib baiklah bumbung itu cukup kuat untuk menampung tubuhnya.

Sekumpulan lelaki yang mengejar gadis itu tidak berputus asa. Sebahagian daripada mereka cuba memanjat longgokan sampah untuk mengejar gadis itu. Sebahagian yang lain pula mencari jalan lain untuk mendapatkan gadis tersebut. Gadis itu pula terus berlari. Segala bumbung bangunan yang dijumpainya akan dipanjat selagi boleh.

Gadis itu terus berlari, berlari dan berlari.

Dia terus memanjat, memanjat dan memanjat. Cekap sahaja dia melakukan segalanya ibarat seorang ahli akrobatik.

"Tolonglah. Tolonglah, siapa yang dapat mesej ni. Tolonglah larikan diri. Mereka sedang mengejar kita," ujar gadis itu seolah-olah dia sedang bercakap atau menyampaikan mesej kepada seseorang.

Mata Aira dibuka luas. Pemandangan siling biliknya yang serba gelap menjadi perkara pertama yang dilihatnya. Dadanya berdegup kencang seperti baru habis berlari marathon 10 km. Seluruh tubuhnya pula sudah dibasahi peluh.

Dalam keadaan masih tercungap-cungap, Aira bangkit dari katilnya.

"Ah, aku diburu mimpi itu lagi!"



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 0 | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku