Terima Kasih, Solehah
Prolog
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 05 Disember 2017
Izzamuddin menjalani kehidupan yang susah hanya kerana tidak mengucapkan kalimah suci syukur kepada gurunya. Kekesalan itu ditambah lagi apabila dia terlibat dalam kemalangan yang menempa maut kepada gurunya. Mikhail yang selalu mendampinginya selalu dipesan agar mengucapkan "Terima Kasih".
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
46

Bacaan






Ampang, Kuala Lumpur - 26 November 2017


SUARA hilai tawa bergema menghiasi atmosfera di dalam gudang yang kelihatan gelap dan kusam. Hanya ada satu sumber cahaya dari mentol yang tergantung dengan wayar di siling gudang itu dan hanya memfokuskan cahaya kepada sebuah meja. Maka terhasillah sebuah situasi ala-ala suspek disoal siasat dalam filem detektif hitam putih. Sepi mengambil alih setelah gelak tawa dihentikan. Keindahan malam tidak dapat diamati oleh Dato Muhammad Dani bin Hisyamuddin kerana sudah seharian beliau dikurung di dalam gudang yang menjadi persoalan di benaknya. Dato Muhammad Dani, tokoh korporat yang berjaya atas syarikat pelaburan emas yang digelar MD Diamond. Beliau tidak dinafikan sebagai seorang yang berstatus tinggi dan berjaya membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa. Namanya sering disebut-sebut dari kedai kopi hingga ke ambang parlimen sekalipun. Bukan cercaan atau umpatan tetapi semuanya memuji-muji dan mengangkat namanya.

"Apa... apa kau nak?" setelah sekian lama sepi menemani diri, akhirnya Dato Muhammad Dani berani bersuara bagi mendapatkan jawapan yang tidak mampu dikerahkan di benaknya sendiri.

"Kau rasa?" persoalannya hanya dijawab lembut serta diikuti dengan hilai tawa yang kedengaran garau seperti dibuat-buat sebagai satu penghinaan.

"Aku, tokoh korporat yang berusaha! Aku tak main kotor, tak rasuah! Aku bukan mereka yang berkolar putih! Aku tak bersalah! Kenapa tangkap aku? Siapa yang bayar kau?" panjang lebar hujah yang disampaikan oleh Dato Muhammad Dani untuk membela dirinya yang dianggap tidak melakukan sebarang jenayah. Walaupun begitu, kata-katanya benar. Dia berkerja mengikut acuan agama Islam.

Hujah yang panjang lebar itu hanya dibalas dengan bunyi cebikan perlahan. Jenayah berkolar putih dari segi kata lain membawa maksud jenayah yang dilakukan oleh seseorang terhormat dan berstatus tinggi dalam suatu perkerjaan. Jenayah korporat seperti penipuan, rasuah, perdagangan orang dalam, penggelapan wang, jenayah komputer, pencurian identiti, dan pemalsuan merupakan jenayah yang mudah dilaksanakan oleh mereka kerana pangkat yang berjaya mengaburi mata orang lain.

"Ya, kau memang tidak buat." setelah lama sunyi memamah keadaan, akhirnya satu suara menerpa ke dalam telinga Dato Muhammad Dani. Suara itu diiringi dengan bunyi tepuk tangan perlahan sebagai satu sorakan untuk hujah yang disampaikan.

"Tapi kau tak bersyukur!" suara itu kembali dengan nada marah. DIA yang dari tadi bersembunyi di dalam kegelapan melepaskan satu tembakan dengan pistol Glock 18 tepat mengenai bahu kanan Dato Muhammad Dani. Dalam keadaan tangannya terikat ke belakang, dia tidak mampu melakukan apa-apa selain mengaduh kesakitan yang perit. Sementara darah merah pekat meruak keluar membasahi baju putihnya yang kini berlumuran dengan darah. Dia mula mengaum dan menitiskan air mata atas kesakitan yang diamatinya.

"A... apa maksud kau?" dalam keperitan, Dato Muhammad Dani masih mampu bersuara. Persoalan itu berjaya menarik DIA untuk menampilkan diri di kawasan bercahaya. Bersut hitam ala-ala ahli korporat dan bertopeng putih seperti Phantom of the Opera bagi menyembunyikan identitinya.

"Kalimah syukur pada tuhan, Alhamdulillah. Kalimah syukur pada manusia, terima kasih." DIA mula berkias dengan nada lembut seolah-olah semua perkara sebelum ini tidak pernah berlaku.

"Biar aku bercerita" penculik psiko ini terus bersuara apabila melihat Dato Muhammad Dani masih lagi tercengang dan kelihatan bingung. Lagur tapak kakinya mendekati ke arah Dato Muhammad Dani dan terus duduk di atas kerusi yang tersedia bertentangan dengan tokoh korporat itu.

"Tunggu! Kau siapa sebenarnya?" lantas Dato Muhammad Dani bersuara sebaik sahaja DIA menghenyakkan punggungnya ke atas kerusi kayu tersebut.

"Izzamuddin"



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku