PELUPA YANG TIDAK PERNAH LUPA
PELUPA YANG TIDAK PERNAH LUPA
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 07 Disember 2017
Fadil seorang yang pelupa. Dia sering kali mudah lupa akan sesuatu perkara. Tetapi, dia tidak pernah lupa akan satu peristiwa yang baginya begitu berharga dan sangat bermakna.
Penilaian Purata:
209

Bacaan






BAHU kanan saya dicuit seseorang. Lalu dengan pantas saya menoleh ke belakang.

“Dah lama kau kat sini?” Fadil menyoal saya.

“Baru lagi. Duduklah.” Saya menyuruh Fadil duduk di atas kerusi yang disediakan di sebelah kiri saya.

Hari ini adalah hari Rabu dan di dalam jadual waktu pembelajaran kami, waktu petang, kami tidak ada kelas. Hanya ada di waktu pagi sahaja. Selepas makan tengahari dan selepas solat zohor, kami akan menghabiskan masa menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah kami di perpustakaan.

Kawan saya ini sedikit lewat ke perpustakaan kerana selepas solat zohor tadi, dia pergi berjumpa dengan pensyarah kami di pejabat kerana ada hal yang hendak diuruskannya.

“Apa cerita permohonan asrama kau?” soal saya pula.

“Beres. Banyak juga maklumat yang aku kena isi. Tadi, aku lupa alamat rumah aku. Nasib baik ada kad pengenalan. Dekat kad pengenalan kita kan ada alamat rumah kita,” kata Fadil seraya tersenyum.

“Hm, aku kenal kau Dil. Kau ni asyik lupa saja,” kata saya lagi.

Sebenarnya, Fadil baru sahaja selesai dalam permohonan dia untuk masuk ke kolej kediaman atau lebih mesra dipanggil asrama. Sebelum ini, Fadil menginap di rumah sewa bersama kawan-kawan yang lain. Dia memilih untuk menginap di asrama kerana dia sudah tidak tahan dengan masalah kecurian yang berlaku di kawasan rumah sewanya itu.

“Aku harap... aku dapat satu bilik dengan kau nanti.” Fadil memasang impiannya.

“Berapa kali kau nak ulang ayat ni ha?” tanya saya.

Fadil ketawa bila saya menanyanya begitu. Saya pun ikut ketawa. 

Saya sambung buat tugasan saya. Fadil pula tidak membawa apa-apa tugasan. Dia datang hanya membawa komputer ribanya sahaja. Dengan komputer ribanya itu, saya tahu, pasti dia akan menonton filem. Filem-filem barat akan menjadi pilihannya. 

Fadil memandang ke hadapan. Dagunya bertongkat tangan kanannya. Dia melamun lagi. Seperti biasa, sebelum dia memulakan apa-apa kerja, pasti dia akan melamun duhulu. Apa yang dilamunkannya itu hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu.

“Dzaki, cuba kau lihat meja dekat hujung sana.” Fadil berhenti melamun dan cuba menegur saya lagi. 

Tangan kanannya yang menongkat dagunya tadi itu menyentuh bahu kiri saya. Tangan kirinya mengarahkan saya untuk melihat meja yang berada di hujung sekali – di bahagian penjuru perpustakaan. Saya akur dengan arahannya.

“Apa yang ada? Orang pun tak ada kat situ. Janganlah main-main. Aku nak fokus buat kerja ni.” Saya tidak mempercayainya.

Saya menentang apa yang dia lihat. Saya tidak endahkannya. Fadil memang suka menakut-nakutkan orang. Terutama kawan-kawannya.

“Aku betul-betul ni. Ada orang tertinggal jam tangan. Cuba kau lihat atas meja tu.” Sekali lagi Fadil menyuruh saya melihat ke arah meja yang ditunjuknya itu.

Saya lihat dengan teliti. Ya, memang ada seutas jam tangan di atas meja itu. 

“Betullah kata kau. Pergilah ambil. Nanti kita boleh buat pengumuman tentang kehilangan barang,” kata saya.

Tanpa membuang masa, Fadil terus menuju ke arah meja itu. Dalam beberapa detik, dia kembali semula dan berdiri di sebelah kanan saya.

“Bak aku tengok!” Saya meminta jam tangan itu daripada Fadil.

Fadil menghulurkan jam tangan itu kepada saya. Kini, jam tangan itu berada di tangan saya. Saya tenung jam tangan itu dengan sepenuhnya. Rupa jam tangan itu seperti jam tangan perempuan. Seluruh badan jam tangan itu berwarna merah dan ia kelihatan jam tangan yang mahal. Memang cantik.

“Jom, kita buat pengumuman tentang jam tangan ni,” kata Fadil.

“Jom,” kata saya pula.

Saya cepat-cepat menyimpan semula kesemua tugasan yang saya lakukan tadi ke dalam beg saya. Fadil pula menyimpan semula komputer riba yang tidak sempat dibukanya itu ke dalam begnya.

“Dzaki, lepas kita selesai saja buat pengumuman tentang jam tangan ni, aku nak ajak kau pergi kafe. Kita pergi minum. Aku hauslah. Boleh?” pinta Fadil.

“Hm, okey juga. Boleh!” Saya setuju dengan Fadil.

Kami pun menuju ke pintu keluar perpustakaan. Tidak sampai lima langkah perjalanan, datang seorang perempuan ke arah kami berdua. Perempuan itu kelihatan sebaya dengan kami.

“Maaf, tadi saya ada nampak awak berdua ada ambil jam tangan dekat meja hujung sana. Saya rasa itu adalah jam tangan saya,” kata perempuan yang berbaju kemeja kotak-kotak itu.

“Jam tangan ini?” soal saya kepadanya untuk kepastian dan pada waktu itu jam tangan itu berada di tangan kanan saya – tangan kanan saya bersama jam tangan itu sedikit ke depan supaya perempuan itu boleh melihat dengan lebih jelas.

“Ya, jam tangan inilah yang saya maksudkan. Saya ada tertinggal tadi,” kata perempuan itu lagi.

Saya menghulurkan jam tangan itu kepadanya dan berkata, “Kami sebenarnya ingin membuat pengumuman tentang jam tangan ini. Tapi bila awak sudah mengaku yang awak adalah tuan kepada jam tangan ini, kami tidak boleh berbuat apa-apa. Dan kami harap, awak tak menuduh kami sebagai pencuri.”

“Tak. Saya tak akan menuduh awak berdua sebagai pencuri. Saya tahu awak berdua ini orang yang baik,” kata perempuan itu seraya tersenyum.

Perempuan itu mengucapkan terima kasih dan terus meninggalkan saya dan Fadil.

“Cantik... Nanti aku nak hantar rombongan meminanglah.” kata Fadil.

“Apa lagi,  pikatlah dia. Kau kan belum berpunya lagi,” kata saya dengan sedikit ketawa.

“Aku cuma berguraulah Dzaki. Tapi dia memang cantik,” kata Fadil lagi.

Saya akui pemilik jam tangan itu memang cantik. Kulitnya putih dan mempunyai mata yang menarik. Wajahnya persis wajah heroin filem The Babysitter, filem tahun 1995 iaitu Alicia Silverstone.

“Jomlah kita balik.” Fadil mengajak saya pulang.

“Kafe? Baru lepas tengok perempuan cantik terus lupa ya. Eh, baru aku ingat, kau kan pelupa,” kata saya.

“Amboi... Kafe tempat belajar kita kan jauh dari sini. Maksud aku tadi kita ke tempat letak motosikal. Kita kan datang dengan motosikal ke sini tadi. Siapa yang lupa sekarang ni?” kata Fadil dengan menjeling – jelingan yang dibuat-buat – ke arah saya.

Saya ketawa apabila dia berkata begitu. Memang saya dan Fadil datang ke sini menaiki motosikal dan saya hampir lupa tentangnya. Saya menumpang motosikalnya. Saya tidak dapat membawa motosikal saya kerana tayar motosikal saya pancit. Tanpa melengahkan masa, kami ke tempat letak motosikal di mana motosikal Fadil diparkir di situ.

Tidak sampai lima minit, saya dan Fadil tiba di tempat itu. Fadil mengeluarkan kunci motosikalnya. Saya membantunya mengeluarkan motosikalnya dari tempat letak motosikal. Fadil menghidupkan motosikalnya. Kami tidak terus menaiki motosikal itu kerana Fadil suka memanaskan enjin motosikalnya dahulu sebelum memulakan perjalanan. Dia berbuat begitu untuk kebaikan motosikalnya juga. Terpaksalah saya menunggu.

Tiba-tiba saya ternampak ada sebuah motosikal yang lalu di atas jalan. Dan sepertinya saya mengenali penunggang motosikal itu.

“Dil, cuba kau lihat orang tu. Yang bermotosikal tu.” kata saya sambil memuncungkan mulut ke arah penunggang motosikal itu.

“Eh, itu perempuan tadi kan. Dia hendak ke mana?” Fadil bersuara.

“Manalah aku tahu dia hendak ke mana. Tapi... cuba kau lihat dekat kedua-dua belah pergelangan tangan dia. Dia tidak memakai jam tangan. Tak mungkin dia tertinggal lagi. Atau mungkin dia pelupa seperti kau. Kau pelupa, dia pun pelupa. Itu jodoh.” Saya ketawa dan pada masa yang sama saya memasang curiga.

Fadil senyum dan hanya mampu mendiamkan diri sahaja ketika itu. Dan perempuan itu mula hilang dari pandangan kami. Fadil menaiki motosikalnya. Saya ikut naik dan duduk di bahagian belakang motosikal. Tanpa mempedulikan perempuan itu, Fadil terus menggerakkan motosikalnya.

Dalam beberapa minit kemudian, kami tiba di kafe. Saya dan Fadil cepat-cepat duduk di dekat meja makan yang kosong. Seorang pelayan datang dan mengambil pesanan. Saya memesan milo ais dan Fadil memesan teh ais. Ya, hanya itu sahaja yang kami pesan.

Semasa kami sedang asyik berbual, pelayan tadi datang dan meletakkan minuman pesanan kami tadi di atas meja. Pada waktu itu juga, pelayan itu turut meletakkan satu barang dan kami sangat kenal dengan barang itu dan katanya dia berbuat begitu kerana menerima arahan daripada seseorang. 

Pelayan itu segera meninggalkan kami berdua. Saya capai barang itu. Ya, barang itu adalah seutas jam tangan berwarna merah yang kami jumpai di perpustakaan tadi. Perasaan saya ketika itu sangat terkejut dan di benak saya pula seolah-olah ada beribu-ribu tanda soal. Mungkin keadaan Fadil sama seperti saya.

“Dil, kenapa perempuan itu pulangkan semula jam tangan ini?” soal saya kepada Fadil.

“Mungkin ini bukan jam tangan dia. Sebab itu dia pulangkan semula kepada kita,” kata Fadil.

Fadil mengambil jam tangan itu daripada tangan saya. Saya biarkan sahaja dia berbuat begitu. Mungkin dia mahu mencari jawapan lain kenapa perempuan itu pulangkan semula jam tangan itu kepada kami.

“Hai.” Suara seorang perempuan kedengaran.

Saya dan Fadil terus berpaling ke arah suara itu. Perempuan berbaju kemeja kotak-kotak itu rupanya. Saya kebingungan dan di dalam benak saya tertanya-tanya kenapa dia berada di sini, di kafe ini. Bagaimana dia tahu yang saya dan Fadil minum-minum di sini.

“Hai... awak rupanya. Macam mana awak tahu kami kat sini? Dan.. kenapa pulangkan jam tangan ni semula kepada kami?” Saya menyambutnya dengan mesra dan terus mengajukan beberapa soalan yang saya harapkan ada jawapannya.

Perempuan bertudung bawal berwarna kuning itu tersenyum. Senyumannya ketika itu manis dan kadangkala ternampak sinis.

“Boleh saya tanya satu soalan?” soal Fadil kepada perempuan itu secara tiba-tiba.

“Bb ... Boleh. Sepuluh soalan pun tak apa. Tapi... boleh saya duduk dengan awak berdua?” Perempuan itu bersuara lagi.

“Eh, boleh... duduklah,” kata saya.

Perempuan itu duduk di hadapan saya dan Fadil. Muka Fadil ketika itu seperti menunggu perempuan itu bersuara kembali.

“Hm, apa soalan awak?” Perempuan itu menyoal Fadil kembali.

“Awak... awak ada kaitan dengan Amila? Amila Ammara?” soal Fadil takut-takut.

Perempuan itu diam seketika dan menyambung semula percakapannya.

“Saya ingat awak dah lupa tentangnya. Ya, saya ada kaitan dengan Amila Ammara. Saya adik dia. Dan... awak Fadil kan? Saya, Amila Aralyn. Awak berdua boleh panggil saya Aralyn atau Ara.”

“Mm ... macam mana awak tahu nama saya? Ya, saya Fadil dan ini kawan saya, Dzaki.”

“Kakak saya... kakak saya selalu cerita fasal awak. Hm, macam mana awak boleh mengecam saya? Maksud saya... kenapa awak boleh terfikir untuk bertanya tentang kakak saya.”

“Muka awak ada iras-iras muka Ammara. Sebab tu saya boleh terfikir untuk bertanya begitu. Yang menguatkan firasat saya... jam tangan ini. Dan saya yakin, jam tangan ini bukan milik awak tapi milik kakak awak.”

“Ya, jam tangan ini bukan milik saya. Tak sangka, awak masih ingat jam tangan ini walaupun sudah tiga tahun berlalu.”

Saya semakin pelik dengan perbualan mereka. Perasaan ingin tahu membuak-buak di dalam diri saya ketika itu. Saya terpaksa mencelah perbualan antara Fadil dan Aralyn.

“Sekejap, aku masih tak faham. Kenapa dengan jam tangan ini? Dan... siapa Ammara?”

Kedua-dua mereka serentak memandang ke arah saya. Saya jadi serba salah. Aralyn memandang semula ke arah Fadil sambil mengangkat keningnya. Fadil menundukkan wajahnya sambil tersenyum dan selepas mengangkat wajahnya kembali – memandang tepat ke arah saya – dia mula bercerita kepada saya.

“Ammara tu... cinta pertama aku. Cinta zaman sekolah menengah dulu. Aku mula kenal dia masa umur aku 16 tahun dan umur dia masa tu 15 tahun. Dan... jam tangan ni adalah hadiah pemberian aku kepada dia sempena hari lahirnya. Kalau kau perasan, bawah jam tangan ni ada bentuk hati. Bentuk hati ni, akulah yang lukis. Sebab tu aku dapat kenal jam tangan ni tadi.” Itu sahaja jawapan yang saya terima daripada Fadil.

Selepas Fadil menjawab soalan saya, dia memandang Aralyn semula. Dia bertanyakan soalan kepada Aralyn.

“Ara, kenapa awak suruh pelayan tadi, menghantar jam tangan ini semula kepada kami?”

“Itu salah satu rancangan saya. Saya sudah lama mencari peluang ni. Saya berbuat begitu supaya saya boleh dekatkan diri saya dengan awak dan pada masa yang sama, saya mahu mendengar awak menyebut nama kakak saya tanpa saya menyoal siapa kakak saya tu. Dan, dekat perpustakaan tadi tu, rancangan saya juga. Saya sengaja tinggalkan jam tangan ni dekat sana. Tapi rancangan tadi gagal. Awak tak menyebut nama kakak saya. Dekat perpustakaan tadilah, saya curi-curi dengar, yang awak dan kawan awak ni nak ke sini.”

“Kenapa awak tak terus tegur saya? Tak perlu awak buat macam ni.”

“Sebab saya nak tengok awak masih ingat atau sudah lupa tentang kakak saya. Itu saja”

Saya terkesima mendengar rancangan Aralyn yang begitu menarik bagi saya. Kerana perasaan ingin tahu lagi, saya bertanyakan soalan juga kepada Aralyn.

“Tapi, kalau Fadil tak menyebut nama kakak awak dekat kafe ni tadi, apa yang awak akan lakukan?”

“Sebenarnya, saya sudah bersedia dengan semua tu. Jika Fadil tak menyebut nama kakak saya tadi, saya akan terus tanya Fadil jika dia masih ingat tentang jam tangan ni. Terpaksalah saya berbuat begitu.”

“Pandai juga awak ya. Kelakar pun ada. Awak ni penuh dengan misteri. Hm, macam mana awak tahu yang Fadil belajar dekat sini? Adakah awak masuk belajar dekat sini kerana dia?”

“Saya belajar dekat sini kerana saya pilih belajar dekat sini. Bukan kerana Fadil. Saya memang tak tahu yang Fadil juga belajar dekat sini. Saya tahu Fadil ada dekat sini sejak saya menyertai salah satu program yang dianjurkan di tempat belajar kita. Dan, dia terlibat dengan program itu.”

Selepas mendengar jawapan daripada Aralyn, saya menyapa Fadil semula.

“Dil, aku tak tahu pun yang kau ada cinta pertama. Kau tak pernah cerita dekat aku. Kau masih dengan dia?”

“Dia... dah tak ada. Tuhan lebih sayangkan dia. Kerana penyakit leukemia, dia pergi untuk selamanya.”

“O, mm ... maafkan aku Dil. Aa ... Aku tak tahu.”

“Tak apa. Tapi kalau kau nak tahu, aku tak pernah lupa dia. Aku pernah berjanji dengan dia yang aku tak akan lupakan dia walau berada di mana saja.”

Saya dan Aralyn saling berpandangan. Kami berdua memilih untuk diam dan membiarkan Fadil terus berkata-kata.

“Ara, kenapa awak tak pakai jam tangan ni?”

Aralyn masih mendiamkan dirinya.

“Tapi kalau awak nak pakai, pakai sajalah. Saya tak marah. Tapi, awak kena janji dengan saya, yang awak kena jaga jam tangan ni baik-baik.”

“Bb ... Baiklah, Fadil. Terima kasih,” kata Aralyn dengan suara yang perlahan.

Aralyn meminta diri untuk pulang ke kolej kediamannya. Sebaik sahaja Aralyn berdiri, pelayan yang menghantar air kepada kami tadi memanggilnya.

“Cik, ni bungkusan makanan yang cik pesan tadi,” kata pelayan itu.

“Eh, boleh terlupa pula.” Aralyn terus membayar makanannya di situ juga dan sekali lagi meminta diri untuk pulang.

Saya dan Fadil tersenyum dan hampir ketawa melihat gelagatnya. Dan selepas itu Aralyn pergi meninggalkan kami berdua.

“Aku kagum dengan kau, Dil. Walaupun kau ni pelupa, tapi kau tak pernah lupa dengan orang yang kau cinta. Pertemuan kau dengan Aralyn ni pula macam satu kebetulan,” kata saya kepada Fadil.

“Hidup kita ini tak ada yang kebetulan. Semuanya aturan Tuhan. Sebab itulah sebagai manusia, kita ini kena selalu bergantung dengan-Nya. Susah atau senang, kita jangan lupa Tuhan kita iaitu Allah s.w.t. Ingat, Tuhan kita tak pernah lupakan kita tahu.” Fadil membuat saya tergamam dengan kata-katanya.

“Eh, dah nak masuk waktu ni,” sambung Fadil lagi.

“Ha ah, betullah. Dah nak masuk waktu ni,” kata saya sambil melihat jam tangan saya.

Azan asar berkumandang. Fadil mengajak saya pulang.

*TAMAT*






Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku