Dia, Like The First Snow (Re post)
Bab 24
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Disember 2017
Assalamualaikum saya re post semula karya ini kerana secara tidak sengaja saya terpadam ketika hendak tambah bab Diharapan pengikut Dia like the first snow terus mengikut cerita ini. Terima kasih .
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
306

Bacaan






HARA duduk di atas buaian dekat taman permainan sambil menikmati wafel yang dibeli dekat trak makanan tadi. Kepala mendongak ke langit malam yang suram tanpa bintang. Jujur, dia merasakan dia tidak akan mampu tunaikan permintaan Datin Shida dan terpaksa kecewakan Tiara dan Harris. Kenapa mesti dia yang terpaksa menggalas tanggungjawab ini? Kenapa mesti Datin Shida berikan syarat yang sukar itu kepadanya.

Dia percaya Harris tidak akan bahagia bersama Farah. Tiara pula pasti akan terluka kerana selama ini dia cuma mencintai Harris. Kesetian Tiara terhadap Harris mengingatkan dia pada Erika. Bezanya Tiara tidak pernah mengejar cinta Harris seperti mana Erika berusaha dapatkan Riyyan walau dengan apa cara sekalipun. Tiara hanya menyerahkan semuanya pada takdir Tuhan dan menerima ketentuan Allah sekiranya Harris tidak tercipta untuknya.

“Tapi dalam situasi sekarang aku harap Tia berkelakuan macam Erika. Berusaha untuk dapatkan Harris. Huh! Masalah aku sendiri pun tak selesai. Tapi, sekarang aku terpaksa fikirkan masalah Tia dan Harris, Erika dan Riyyan” buaian dia hayun perlahan-lahan.

“Kenapa Riyyan tak boleh terima Erika? Bukankah lebih baik kita terima seseorang yang mencintai kita dari orang yang kita cintai sebab orang yang mencintai kita akan hargai kita? Mesti Erika tak jadi seteruk tu kalau Riyyan terima cinta dia. Cantik, anak orang kaya, seksi apa lagi yang kurang dengan Erika tu? Kenapa?…”

Namun belum sempat dia menghabiskan ayatnya seseorang muncul dari belakang lalu duduk dekat buaian yang ada di kirinya. Air dalam tin dia buka lalu meneguknya sedikit demi sedikit. Setelah itu pandangan dilarikan pada Hara yang hanya merenungnya dengan wajah kosong.

“Nak minum?”soal Riyyan.

Hara menggeleng. Pandangan dia larikan ke hadapan sambil menghayunkan buaian dengan kakinya. Macam mana pula mamat dingin, mata helang ni boleh nampak aku dekat sini? Dia ni datang mesti nak cakap pasal gambar tu lagi. Bisik hati Hara. Ekor mata menjeling Riyyan.

“Mungkin apa yang awak cakap tu betul” kata Riyyan.

Hara pandang Riyyan. Dia tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Riyyan.

“Erika jadi macam tu disebabkan saya. Tapi saya tak boleh, saya tak mampu hidup dengan perempuan yang saya tak cinta. Betul, lebih baik pilih orang yang cintakan kita sepenuh hati daripada orang yang kita cintai. Tapi, tidak Erika” jelas Riyyan. Tak sangka pula dia terdengar omelan Hara tadi. Matanya menikam tepat ke dalam mata Hara.

“Kenapa awak tak belajar mencintai dia?” soal Hara. Dia ingin ta kenapa begitu susah untuk Riyyan cuba mencintai Erika sedangkan Erika telah lakukan segala-galanya untuk mendapat cinta Riyyan.

“Saya pernah cuba. Tapi, saya tak mampu untuk cintakan dia. Selama sepuluh tahun dia seksa jiwa saya dengan kelakuan pelik dia. Dia buat saya jadi teruk di depan perempuan-perempuan lain. Dia cederakan perempuan yang saya suka. Dia tak pernah berubah dan sekarang sasaran dia adalah awak”

“Saya? Kenapa pula saya?” mata Hara bulat memandang Riyyan.  

“Sebab…” Riyyan tunduk. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum kembali memandang Hara. Entah kenapa begitu sukar untuk dia untuk menceritakan perkara sebenar kepada Hara.

“Sebab apa?” tanpa dia sedari, dia berminat dengan kisah hidup Riyyan. Manalah tahu Erika telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dia bayangkan kerana dia pernah mendengar Riyyan mengatakan Erika ialah seorang yang berbahaya dan boleh lakukan perkara di luar jangkaanya. Tapi, melihat dari perwatakan Erika tidak mungkin dia mampu mencederakan orang lain.

“Takkan awak tak boleh teka sebab apa?’ soal Riyyan pula mengerutkan dahi. Kadang-kadang Hara ni lembab juga.

Hara diam untuk beberapa saat sebelum ketawa. Dahi dia tepuk lalu menghalakan jari telunjuk pada Riyyan. “Oh! Ya, ya, ya saya dah tahu sebab apa. Semua ni sebab drama bersiri awaklah hidup saya kucar kacir. Tapi, tak payah risaulah saya mampu je berdepan dengan dia tu walaupun dah fedap nak layan perangai drama queen dan diva dia tu” tersenyum.

“Kenapa awak tak terus terang aje yang itu semua tipu helah saya untuk larikan diri dari dia?” soal Riyyan.

Sekali lagi Hara tersenyum. Sudah berulang-ulang kali dia mengatakan perkara itu kepada Erika. Tapi, perempuan gila itu sedikit pun tidak mempercayainya. Sekarang dia sudah letih untuk menjelaskan yang dia dan Riyyan tidak ada apa-apa hubungan kerana bagi Erika dia tetap perempuan yang telah merampas Riyyan.

Kalaulah dia tahu begini jadinya, dia tidak akan memilih Riyyan untuk blind date, dia tidak akan berkawan dengan Riyyan apatah lagi duduk berdua dan berbual seperti ini. Dia tidak pernah terfikir mereka mampu lakukan perkara ini setelah keluar dari restoran beberapa bulan lepas. Demi ketenangan hidupnya, dia berharap Riyyan terus menjadi mamat dingin, mata helang supaya mereka terus saling tidak menyukai.  

“Riyyan” panggil Hara.

Riyyan pandang Hara.

“Saya ada satu permintaan untuk awak” ujarnya dengan serius.

“Apa dia?” soal Riyyan agak tertanya-tanya.

Hara tarik nafas dalam-dalam. Betul ke dia nak minta Riyyan buat macam yang sedang dia fikirkan atau dia akan menyesal dengan keputusanya suatu hari nanti?  

“Apa dia? Cakaplah saya akan buat” sambung Riyyan kelihatan begitu yakin.

“Jelaskan pada Erika saya bukan girlfriend awak, awak tak cintakan saya dan… saya tak nak dia ganggu emosi saya lagi. Banyak benda yang saya kena tanggung sekarang. Saya tak mampu lagi dianggap perampas sedangkan saya tak buat. Terakhir sekali, jangan pernah layan saya macam ni lagi. Saya tak suka, saya nak awak jadi Riyyan Mikail yang saya anggap lelaki paling teruk di dunia” mata Hara tidak berkelip dari memandang tepat ke wajah Riyyan.

Dia kemudian angkat punggung dari buaian lalu berdiri betul-betul di hadapan Riyyan. Dia tidak akan menyesal dengan keputusanya kerana ini demi kebaikan mereka bertiga. “Beri Erika peluang mencintai awak, beri peluang pada diri awak untuk mencintai dia. Saya percaya dia seorang yang baik dan tak seteruk seperti yang awak sangkakan. Ingat memilih orang yang mencintai kita adalah lebih baik daripada menunggu orang yang kita cintai. Entah bila akan muncul” kata Hara panjang lebar.

Dia beredar dari situ tanpa menunggu apa yang ingin dikatakan oleh Riyyan. Baginya Riyyan seorang yang bertuah kerana miliki seseorang yang begitu mencintainya sejak bertahun-tahun lamanya. Tidak seperti dirinya yang tidak pernah merasakan apa itu erti jatuh cinta dan dicintai oleh seorang lelaki.

Good job Sahara Irdeena you did it” ujarnya pada diri sendiri. Minta-mintalah keputusan yang dia buat ini betul dan tidak melukakan hatinya sendiri

Riyyan pula masih lagi duduk di atas buaian dan hanya memandang Hara yang berjalan perlahan-lahan meninggalkan taman itu. Dia berharap Hara menoleh ke belakang. Tapi, dia sedikit pun tidak menoleh ke belakang atau teragak-agak dengan setiap langkah yang diambil. Dia bukanlah gadis luar biasa, dia cuma gadis biasa yang miliki perwatakan dengan perempuan-perempuan yang pernah dia kenali.

“Huh! Dia ni, kenapa tak tanya siapa perempuan yang aku suka? Dia memang tak berminat langsung dengan aku ke apa?” omelnya bersama keluhan.

Belum pun sampai lima minit Hara beredar dari situ. Erika yang baru pulang entah dari mana pula datang menemui Riyyan yang sedang jauh termenung sambil buaian dibuai perlahan-lahan. Kehadiran Erika, hanya disambut dengan renungan mata kosong oleh Riyyan. Buat masa ini dia tidak berminat untuk berbahas tentang perasaan cinta Erika yang sudah bertahun-tahun itu.

You tunggu I ke?” soal Erika dengan senyum manis.

Riyyan hanya mendiamkan diri. Buntang matanya tidak berganjak dari memandang tepat ke wajah Erika. Kata-kata Hara kembali terngiang-ngiang di telinga.

I tahu you bencikan I lepas apa yang I dah buat dengan you. Maafkan I” sambung Erika dengan serius. Tapi, tetap tidak ada respon dari Riyyan. Dia sebaliknya melarikan pandangan ke hadapan.

Erika tarik nafas dalam-dalam. Apa lagi yang perlu dia lakukan untuk membuka hati Riyyan untuk menerimanya. Dia telah lakukan segalanya. Tapi, setiap perkara yang dia lakukan cuma mendatangkan benci di hati Riyyan. Dia pernah terfikir untuk berputus asa. Tapi, dia idak mampu lakukan kerana dia cuma mencintai Riyyan seorang. Mungkin inilah penangan cinta pertama.

“I jumpa Hara tadi”

Riyyan pandang Erika.

Erika tersenyum lalu tunduk. “I dah ceritakan gambar tu palsu. I yang edit untuk buat dia bencikan you. Tapi, dia cuma bagitahu I yang you ada dekat sini. You betul-betul bencikan I ke Riyyan?” soal Erika. Wajah dia angkat untuk pandang Riyyan.

Itulah pertanyaan yang selalu Riyyan tanyakan pada dirinya sendiri. Kenapa dia tidak mampu mencintai Erika? Kenapa Erika tidak pernah faham tentang perasaanya? Kenapa Erika tidak cuba mencintai lelaki lain? Ramai lelaki di luar sana tergila-gilakan Erika. Kenapa mesti dia seksa jiwa Riyyan dan kenapa dia tidak pernah bisa melupakan cinta pertamanya? Sedangkan gadis itu tidak pernah menyedari kehadiranya.

I merayu dengan you beri peluang pada I untuk buktikan cinta I. berikan peluang pada diri you untuk cuba cintakan I. I akan lakukan yang terbaik dalam hubungan ni. I dah tak mampu tahan sakit di jiwa ni Riyyan. I terlalu cintakan you” rayu Erika dengan bersungguh-sungguh. 

“Saya harap awak faham perasaan saya Erika. Saya pun dah letih dengan semua ni. Tapi, maafkan saya. Saya tak mampu mencintai awak. Dari dulu saya pernah cakap tolong buang perasaan awak terhadap saya sebab itu bukan cinta. Tapi obess. Awak tak pernah dengar nasihat saya dan terus letakkan harapan saya akan cintakan awak. Saya tak mampu lakukan perkara tu. I’m sorry” jelas Riyyan. Dia bingkas bangun.

Namun, belum sempat dia melangkahkan kaki. Erika juga bangun lalu mendakap tubuhnya dari belakang. Riyyan cuba melepaskan dirinya dari dakapan itu. Tapi Erika berdegil malah mendakap Riyyan dengan lebih erat. Dia memberitahu Riyyan yang dia tetap dengan keputusanya untuk jadikan Riyyan miliknya seorang. Dia sanggup lakukan apa saja asalkan Riyyan jatuh cinta terhadapnya.

 “Remember cuma I yang cintakan you macam ni. Perempuan lain takkan mampu lakukan apa yang I lakukan” kata Erika sambil tersenyum sinis.

“Erika, lepaskan aku sebelum aku tolak kau” pinta Riyyan pula.

Kelakuan Erika buatkan dia hilang sabar. Tapi, dia masih punya rasa perikemanusiaan untuk tidak mencederakan Hara. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia laporkan Erika kepada pihak polis kerana mengganggu ketenteramanya dan membuat khabar angin palsu yang menjatuhkan maruahnya.

I takkan lepaskan you selagi you tak terima cinta I” jawab Erika. Kepala dia sandarkan di belakang Riyyan. Tubuh Riyyan terasa begitu hangat dan selesa untuknya.

 

 

MALAM semakin lewat, Hara masih duduk termenung di ruang tamu. Kejadian di taman antara Erika dan Riyyan tadi menjadi tanda tanya di mindanya. “Takkanlah Riyyan dah terima Erika? Pelukkan tu pelukkan apa? Perpisahan? Mengalah? Atau ucapan selamat datang cinta?” gumam Hara sendirian. Buntang matanya masih lagi ditumpukan ke skrin televisyen.

“Takkanlah dia orang dah bersama? Semudah dan secepat tu? Tapi… dah bertahun-tahun kut Erika tu tunggu Riyyan. Maknanya usaha aku dah berjayalah sekarang. Tapi, kenapa aku tak gembira?” soalnya pada diri sendiri.

PErasaanya kini terasa seperti bercampur baur. Dia merasakan ada sedikit rasa luka di hati bila memikirkan Erika dan Riyyan kini telah bersama. Bagaimana pula dengan dia dan Riyyan? Adakah riyyan akan melayanya seperti sebelum ini? Kembali menjadi mamat dingin, mata helang yang menyebalkan. Tapi,bila difikirkan keadaan sudah berbeza kerana Erika ada di sisi Riyyan. Biar pun begitu dia tidak pernah menyesal dengan keputusanya.

Baguslah mereka bersama sudah bertahun-tahun Erika menantikan saat ini dan selepas hampir sepuluh tahun usahanya telah berjaya. Mungkin juga ini semua disebabkan kata-kta Hara yang minta Riyyan berikan peluang pada Erika atau itu sememangnya sudah tertulis oleh Allah. Bagaimana pula dengan diri? Sekarang bagaimana pula dengan nasibnya? Harris dan Tiara masih berharap dia mampu membantu mereka merealisasikan impian cinta mereka.

“Sekarang Riyyan dan ada Erika. So, progress apa aku nak buat lepas ni/ takkan tukar orang lagi?” Hara mengerutkan dahi lalu berbaring di atas sofa.

Telefon kemudian dia capai lalu melihat gambar yang dihantar pada Datin Shida beberapa hari lepas. Dalam gambar itu ada beberapa orang lelaki lain bersama Riyyan. Tapi, dia tidak mengenali mereka. Gambar dia zoomkan sedikit kelihatan seorang lelaki yang sedang melakukan high five bersama Riyyan kelihatan begitu menyerlah dalam gambar.

“Kevin?” gumam Hara.

“Hei, tak mungkinlah aku nak minta tolong Kevin. Mama dah bagi amaran tak nak lelaki Korea. Ya Allah, apa aku nak buat ni? Along betul-betul berharap dapat kahwin dengan Tia atau patut ke aku bincang empat mata dengan Farah? Minta dia batalkan perkahwinan tu? Tapi, itu tak mungkin. Dia takkan buat macam tu secara percuma. Aku kenal perempuan sihir tu”dia duduk semula lalu bersandar pada sofa.

Kalaulah dia ada kuasa veto pasti dia sudah gunakan untuk membatalkan rancangan Datin Shida yang dilakukan tanpa mendapatkan persetujuan daripada Dato Hazam dan tuan punya badan iaitu Harris. Tapi, apakan daya dia cumalah seorang anak bongsu perempuan yang hanya mampu tunaikan permintaan Datin Shida dan Harris dengan mengorbankan dirinya sendiri. Jika dia gagal mencari teman lelaki dalam masa beberapa bulan ini semuanya akan berkahir.

Harris akan berkahwin dengan Farah, Tiara dan Harris akan hidup menderita kerana tidak dapat bersama dan dia pula akan menanggung rasa bersalah kerana gagal menunaikan janjinya. “Patut ke aku join blind date dengan kawan-kawan aku?” 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku