TATKALA CINTA TERUJI
BAB 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Disember 2017
[TATKALA CINTA TERUJI] - PENA PUTERA SINOPSIS :- PERKAHWINAN yang terbina atas dasar persahabatan orang tua membawa Azyah dan Fakrul kepada ikatan suami isteri dengan rela hati mereka. Azyah cuba untuk menerima apa yang berlaku segalanya dengan hati yang terbuka. Jelas sekali, perkahwinan ini mungking kelihatan bahagia di mata Azyah, namun tidak pada Fakrul. Hatinya tetap pada wanita lain, namun dia tidk sanggup melukakan hati isterinya. Segalanya cuba disembunyikan daripada pengetahuan isterinya. Apa yang terjadi sekali pun, Azyah tetap isterinya. Tahun demi tahun berlalu, perkahwinan ini mula tidak kelihatan ke mana lagi arah tujunya. Tiada khabar gembira yang mendampingi Azyah. Dia masih menanti kehadiran cahaya matanya bersama Fakrul. Tetapi, apabila berita yang menggembirakannya tiba, dia diuji dengan ujian yang cukup berat. Dan ujian itu membawa dia ke memori masa dahulu. Insan yang dia sayangi dulu muncul semula. Apakah yang dia akan lakukan? Adakah dia akan hanya tabah menghadapinya atau... membalas segala kekejaman ini? Follow Pena Putera: Facebook : Pena Putera Blogger: karyapenaputera.blogspot.com Wattpad: Pena_Putera
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
163

Bacaan






MATAHARI memancar terik pada waktu tengah hari. Azyah mengambil peluang itu untuk menjemur pakaian di ampaian. Kalau sidai waktu ini, pakaian cepat kering. Mudahlah kerjanya nanti. Bila selesai menjemur pakaian, dia masuk rumah untuk memasak pula. Sebentar lagi, suaminya akan pulang untuk makan tengah hari.

Sudah menjadi kebiasaan buat suaminya untuk pulang makan tengah hari di rumah. Dia juga lega kerana sekurang-kurangnya dia dapat memikat selera suaminya. Itu juga salah satu cara bagaimana untuk buatkan suami makin sayang dengan isteri.

Cadangnya, dia nak masak kari ayam. Suaminya mesti suka. Tak kisahlah masak apa-apa, asalkan ada unsur ayam dalam masakan itu, berselera suaminya akan makan. Ayamholic betul.

Ketika mahu keluarkan bahan-bahan dari peti sejuk, telefonnya mula galak menyanyi. Cepat-cepat dia capai dan lihat nama pemanggil. Encik suami rupanya. Ada apalah dia telefon waktu ini?

"Assalamualaikum." Azyah memberi salam.

"Waalaikumusalam."

"Abang telefon Azyah ini, kenapa?"

"Azyah, boleh tak kalau hari masak lebih sikit. Sebab ada orang nak datang makan dengan kita kejap lagi."

"Boleh aje. Tapi, siapa yang nak datang ini?"

"Mak ayah abang."

Azyah tersentak buat seketika. Dadanya mula berdebar kencang. Mendengarkan panggilan itu, terasa dia ditarik ke dunia lain. Dunia yang menakutkan buatnya.

"Oh... Boleh. Mereka nak sampai dalam pukul berapa? Azyah nak tengok juga apa yang Azyah sempat masak. Takut kalau sampai awal, tak siap pula Azyah memasak nanti," jawab Azyah dengan tenang, tidak mahu suaminya syak apa-apa.

"Lambat lagi. Ini pun abang nak pergi jemput mereka dekat airport. Dalam pukul tiga lebih macam itu, sampailah kut. Sampai rumah pula, pukul empat atau lima macam itu."

"Habis itu, abang nak makan tengah hari dekat luarlah itu?"

"Yalah. Maaf sebab abang tak dapat balik rumah makan tengah hari dengan Azyah," ujar Fakrul serba-salah.

"Tak apalah. Azyah faham. Sekurang-kurangnya, abang beritahu Azyah yang mak abah nak datang. Adalah masa untuk Azyah nak masak banyak ini."

"Amboi, habis kalau abang ada, tak ada masalah nak masak semua itu?"

"Memang pun. Nak layan karenah abang, memang makan banyak masa!" seloroh Azyah.

"Dahlah. Abang nak drive ini. Masak sedap-sedap tau," pesan Fakrul.

"Okey. Hati-hati bawa kereta."

Selesai panggilan, makin lincah tangan Azyah buat kerja dapur. Nampaknya, hari ini akan menjadi hari yang sukar buat dia. Kalau tidak mahu kena bebel, baik dia buat betul-betul.

Tapi, kalau dia berusaha pun... Adakah dia akan dipilih juga?


SENYUMAN tidak pernah lekang dari mulut Azyah menyambut kehadiran mentuanya yang baru tiba dari melawat saudara mereka di Australia. Sempat juga dia jeling pada tangan mentuanya, kalau ada buah tangan dari sana. Hampa... Datang bawa diri saja. Tak apalah. Ini nasib orang terbuang.

"Assalamualaikum, abah, mak..." Azyah mahu bersalam dengan ibu mentuanya. Itu pun seperti mahu tidak mahu sahaja. Benci benar Datin Kalsum dengan dirinya.

"Waalaikumusalam. Patutnya kami bagi salam dulu, dia pula yang awal bagi salam dekat kita. Menantu contoh betul." Dato Hasyim memuji tingkah laku menantu perempuannya. Azyah tersengih kerang busuk.

"Tengoklah isteri siapa." Mulalah Fakrul mahu tumpang bangga.

"Tengok juga menantu siapa?" Dato Hasyim pun sama naik. Tumpang bangga juga.

Dalam situasi saling membanggakan Azyah, ada seorang insan yang tidak senang. Meluat Datin Kalsum bila suami dan anak lelakinya memuji perempuan itu. Apalah yang bagus sangat kalau setakat perkara macam itu?

"Kalsum, awak tak rasa bangga, ke?" Sengaja Dato Hasyim usik isterinya. Cepat-cepat Datin Kalsum palingkan muka ke arah lain. Jangan kata nak berbangga, nak memandang pun tak mahu. Benci habis!

"Tak sangka betul dalam dunia ini ada juga orang tak reti bersyukur. Esok lusa jatuh tersungkur, baru nak tahu bersyukur. Klise betul," sindir Dato Hasyim secara tidak langsung. Tapi tak makan saman juga. Sebabnya Datin Kalsum dah kebal. Hati keras macam Tembok Besar China.

Bila tiba di meja makan, Dato Hasyim mula tayang muka gembira bila terbau bau-bauan yang membuka selera. Beruntung dapat menantu yang pandai masak ini. Bukan dia nak puji lebih-lebih, tapi kalau dibandingkan dengan masakan isterinya, masakan menantunya jauh lebih sedap!

Masakan isterinya? Dato Hasyim mahu sahaja tergelak bila memikirkannya. Si Kalsum itu manalah pernah jejak kaki ke dapur. Renovate dapur bukan main gah, yang berperang di dapur pembantu rumah juga. Nasib dapat isteri anak orang kaya. Jenis tak nak susah hidup.

"Haih, abah? Tersengih aje. Fikir apa itu?" soal Fakrul bila perasan abahnya asyik tersengih-sengih.

"Tak adalah. Untung kamu, Fakrul... Dapat isteri yang reti guna dapur api. Bukannya jenis yang tak reti pegang sudip langsung!"

Fakrul dan Azyah cuba tahan diri daripada meletus ketawa. Nakal sungguh Dato Hasyim mahu perli orang itu. Mujurlah orang itu diam sahaja. Malas layan katanya. Peduli apa Datin Kalsum dengan perlian sebegitu. Tak bagi untung kalau dilayan.

"Dahlah. Mak dan abah makanlah. Mesti lapar selepas perjalanan jauh dari sana, kan? Jemput makan," pelawa Azyah kepada kedua-dua mentuanya. Mereka semua duduk di kerusi masing-masing.

"Amboi... Banyaknya Azyah masak. Ada asam pedas, ayam masak merah, daging rebus dengan ulam-ulam. Mesti Azyah penat masak semua ini seorang diri? Kasihan isteri abang ini." Fakrul rasa simpati pula. Semata-mata nak puaskan hati seseorang, isterinya sanggup masak sebanyak ini.

Dia tahu, bukan senang nak masak semua ini seorang diri. Banyak kerja nak kena buat.

"Tak apalah. Azyah kenalah masak yang istimewa sebab mak dan abang datang. Tak akan nak masak simple aje," jawab Azyah. Dia masih gugup berhadapan dengan Datin Kalsum. Tak tahulah kenapa dada ini berdebar sahaja dari tadi. Hmmm...

"Terima kasihlah Azyah sebab masak banyak-banyak ini untuk kami. Lagipun, bagus juga Azyah masak semua ini. Dua minggu ayah dekat Aussie, asyik telan stik aje. Muak dah nak makan. Maklumlah, tekak orang Melayu."

"Dah itu, duduk luar negara tak akan nak makan nasi dengan ikan kering. Tak ada standard!" sampuk Datin Kalsum setelah sekian lama tidak bersuara.

"Eh, berbunyi pula awak kali ini? Dah penat tutup mulut murai itu? Itulah orang kata, jangan jual mahal sangat. Nanti, diri sendiri yang rugi!"

"Daripada jadi murah, baik jual mahal," bidas Datin Kalsum tidak mahu mengalah. Datuk Hasyim mampu geleng kepala sahaja.

Keadaan mula terasa tegang. Mujurlah dengan keramahan dan lawak jenaka daripada Dato Hasyim membuatkan keadaan jadi reda semula. Tak adalah seperti ribut.


"MARI... Mari cuba air ini. Rasanya pasti sedap. Rugi kalau puan tak cuba," ramah dia menyapa orang ramai yang lalu lalang demi mendapatkan pelanggan. Ada juga yang tertarik, ada juga yang buat tak tahu sahaja. Bekerja sebagai promoter ini memang penat mulut nak bercakap untuk mempromosikan produk.

Lagilah di pasar raya yang besar ini. Dengan orang ramai pula itu.

"Kak, cuba rasa air ini. Mesti akak sukakannya." Sarafina menjamu seorang wanita untuk minum.

"Sedapnya air ini. Jenama apa, ya?"

"Sedap, kan? Ini jenama baru dari syarikat yang tengah hangat sekarang ini. Kalau akak beli dua sekarang, akak boleh dapat percuma bekas makanan. Stok terhad tau, kak. Hari ini saja promosinya!"

"Ya? Kalau macam itu, bagi akak dualah."

Sarafina menghulurkan satu pack yang mengandung dua botol air bersama free gift iaitu bekas makanan. "Terima kasih ya, kak."

Apabila pelanggan itu berlalu pergi, Sarafina terus melakukan kerjanya untuk mempromosi.

"Kak Sara! Kak Sara!" Terdengar seseorang memanggil namanya dalam keriuhan di pasar raya itu. Bila mata Sarafina meliau ke sekeliling mencari pemilik suaranya, segera dia terlihat wajah adiknya yang berlari ke arahnya. Apa yang adiknya buat di sini?

"Yana? Kenapa datang sini? Ya Allah! Umi tahu tak tentang ini?" Risau jika uminya tahu adiknya datang bertemu dengannya. Bukannya dekat rumah mereka. Jauh sampai dia sendiri datang naik kerja kena naik bas.

"Yana tumpang Pak Cik Abu datang sini. Kak Sara kena ikut Yana juga sekarang!"

Sarafina keliru. Kenapa Yana tumpang jiran mereka, Pak Cik Abu semata-mata untuk berjumpa dengannya dan ke mana Yana mahu membawanya? Hatinya mula tidak sedap. Pasti ada sesuatu yang berlaku.

"Kenapa Yana? Beritahu Kak Sara apa dah jadi."

"Umi... Umi..."

"Kenapa dengan umi?"

"Umi masuk ICU!"

Sarafina jatuh terduduk. Ramai mata melihat ke arah mereka, saling terkejut kerana tindakan Sarafina yang tidak terduga itu. Masing-masing mula ingin tahu apa yang terjadi bila melihat riak wajah Sarafina jadi sedih.


"KALAU nak suruh saya baik dengan dia... Memang saya tak akan berbaiklah dengan dia sampai kiamat! Noktah. Titik!" Datin Kalsum menegaskan pendiriannya. Kalau A katanya, maka A jugalah jawapannya. Tidak berubah.

"Kenapalah awak ini degil sangat? Sampai bila awak nak macam ini? Hanya kerana dia bukan pilihan awak, awak nak terus bencikan dia? Cuba awak tengok, dah macam-macam dia cuba buat untuk ambil hati kita. Kesiankanlah dia. Cuba berbaik sikit dengan menantu awak itu."

"Menantu? Sorry! Tak layak untuk dipanggil menantu. Bagi saya, yang layak jadi menantu itu anak kepada Tan Sri Tengku Jalil sahaja, iaitu Tengku Nurin. Bukan orang lain."

Dato Hasyim menggeleng-gelengkan kepalanya. "Sudah-sudahlah itu. Tengku Nurin itu pun dah kahwin dan ada anak pun. Bahagia dah mereka. Awak saja yang masih kalut nak bermenantukan dia. Sedarlah diri sikit."

"Yalah. Dia kahwinlah kalau awak tak buat perangai nikahkan anak kita dengan anak kawan baik awak itu. Saya memang tak setuju dari awal. Orang macam itu juga awak nak jadikan besan. Ada kerabat diraja, tak nak. Nak yang tak ada standard."

"Awak ingat mereka itu tak ada gelaran Dato, Tan Sri... Maknanya mereka tak ada standard?"

"Macam inilah kalau cakap dengan orang berfikiran sempit. Susah kalau nak cakap." Datin Kalsum terus melangkah pergi, melarikan diri daripada bebelan suaminya.

"Eloklah itu... Salahkan orang. Diri sendiri yang sempit fikiran, kata orang lain. Kalau ada sejuta orang macam awak itu, memang sakit kepala rakyat Malaysia nak kena hadap orang-orang macam awak ini," bebel Dato Hasyim.

Akhirnya, Dato Hasyim terduduk di birai katil. Dia mengeluh sendirian. Bila memikirkan apa yang sedang berlaku ketika ini, semuanya adalah salah dia. Ya, kerana silapnya dahulu membuatkan isterinya menyimpan dendam sehingga sekarang.

Andai masa itu dapat diputarkan, dia tidak mahu mengguris perasaan isterinya.

Jika isterinya tidak menyimpan dendam, Azyah pasti akan diterima sepenuh hati oleh isterinya. Malah akan menjadi kesayangan. Sayangnya, takdir telah tertulis begini. Biarlah masa merawat segalanya.

Dato Hasyim yakin, suatu saat... Segalanya akan pulih seperti sedia kala.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG1 | PROLOG2 | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | Bab 8 | BAB 9 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku