TATKALA CINTA TERUJI
BAB 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Disember 2017
[TATKALA CINTA TERUJI] - PENA PUTERA SINOPSIS :- PERKAHWINAN yang terbina atas dasar persahabatan orang tua membawa Azyah dan Fakrul kepada ikatan suami isteri dengan rela hati mereka. Azyah cuba untuk menerima apa yang berlaku segalanya dengan hati yang terbuka. Jelas sekali, perkahwinan ini mungking kelihatan bahagia di mata Azyah, namun tidak pada Fakrul. Hatinya tetap pada wanita lain, namun dia tidk sanggup melukakan hati isterinya. Segalanya cuba disembunyikan daripada pengetahuan isterinya. Apa yang terjadi sekali pun, Azyah tetap isterinya. Tahun demi tahun berlalu, perkahwinan ini mula tidak kelihatan ke mana lagi arah tujunya. Tiada khabar gembira yang mendampingi Azyah. Dia masih menanti kehadiran cahaya matanya bersama Fakrul. Tetapi, apabila berita yang menggembirakannya tiba, dia diuji dengan ujian yang cukup berat. Dan ujian itu membawa dia ke memori masa dahulu. Insan yang dia sayangi dulu muncul semula. Apakah yang dia akan lakukan? Adakah dia akan hanya tabah menghadapinya atau... membalas segala kekejaman ini? Follow Pena Putera: Facebook : Pena Putera Blogger: karyapenaputera.blogspot.com Wattpad: Pena_Putera
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
188

Bacaan






SARAFINA menunggu anaknya keluar daripada tadika untuk menamatkan sesi persekolahan pada hari ini. Walaupun di bawah payung, terik matahari masih terasa. Usai itu, kelihatan ramai kanak-kanak mula berpusu-pusu keluar mendapati ibu bapa mereka. Begitu juga dengan Aqil yang berlari ke arah ibunya.

Lantas, tubuh kecil itu memeluk pinggang ibunya. Terasa sejuk hati Sarafina dengan pelukan itu. Jiwanya tersentuh walaupun hanya perbuatan yang kecil, namun memberi kesan yang mendalah di hatinya sebagai seorang ibu.

Mereka melangkah ke kereta dan Sarafina mula memandu pergi.

"Hari ini, kita makan di luar dengan papa tau," ujar Sarafina kepada anak kecilnya itu.

"Yeay! Hari ini papa makan dengan kita!" Girang si Aqil bila mendengarnya. Tersenyum Sarafina melihatnya.

"Mama, tadi di sekolah... Cikgu ada ajar Aqil melukis. Cikgu puji lukisan Aqil cantik sangat. Mama nak tengok?"

"Tak apalah. Nanti kejap lagi mama tengok. Sekarang mama tengah memandu, kena fokus." Lembut tutur bicara Sarafina menjawab soalan anaknya. Tidak mahu anaknya itu hampa dengan penolakannya.

"Okey. Nanti Aqil tunjukkan." Aqil seolah memahami apa yang ibunya katakan, tidak membantah.

Setibanya di sebuah restoran keluarga, Sarafina memimpin tangan Aqil masuk ke dalam restoran itu. Matanya meliau mencari susuk tubuh seseorang. Setelah menemuinya, dia dan anak kecilnya mendekati si dia.

"Hai, papa!" sapa Aqil kepada papanya. Fakrul mengangkat muka dan hanya tersenyum. Kemudian, dia angkat Aqil dan letakkan di atas ribanya.

"Baru balik sekolah?"

Aqil mengangguk.

"Macam mana sekolah hari ini? Best tak? Ada apa-apa masalah?"

"Best!" Aqil tunjuk ibu jari ke atas. Fakrul dan Sarafina ketawa dengan teletah anak tunggal mereka itu.

"Abang dah pesan makanan atau belum?" tanya Sarafina. Wajah Fakrul terus berubah acuh tidak acuh. "Belum lagi. Abang tunggu Sara dan Aqil datang dari tadi."

Sejurus itu, pelayan datang mengambil pesanan. Apabila selesai, Fakrul dan Aqil mula ceria bersembang. Si Aqil tidak berhenti mulutnya menceritakan apa yang terjadi seharian di tadika. Asyik pot-pet... pot-pet... Tak berhenti-henti mulutnnya.

Sarafina hanya memandang sahaja gelagat kedua-dua anak-beranak itu. Gembira perasaannya melihat mereka.

"Abang, apa kata kalau hujung minggu ini... Kita jalan-jalan? Rindu pula nak jalan-jalan dengan abang," kata Sarafina, namun dibalas sambutan hambar.

"Tak boleh. Abang sibuk hujung minggu ini. Kalau Sara nak keluar, pergi dengan Aqil aje."

"Belakangan ini, Sara nampak abang macam lain sangat."

"Apa yang lain?"

"Entahlah. Sara rasa, Sara macam kurang dapat perhatian daripada abang," luah Sara apa yang terbuku di hati.

"Habis, selama ini abang tak beri perhatian yang cukuplah? Apa yang abang beri masih tak cukup? Nak apa-apa lagi yang abang boleh tambah? Boleh tak jangan tamak? Bukan awak sahaja yang perlukan perhatian dalam hal ini." Fakrul naik bengang dengan luahan isterinya itu.

"Sara cuma luahkan apa yang Sara rasa, tapi sampai abang nak marah ini dah kenapa? Salahkah Sara nak cakap apa yang Sara rasa?" Walaupun kecil hati dengan kata-kata suaminya, Sara tidak meninggikan suaranya. Kalau bukan sebab anaknya ada bersama mereka, mahu bergaduh mereka berdua.

"Shut up, Sara! Jangan buat abang meluat."

"Apa? Suruh Sara diam? How could you... Memang betullah firasat Sara. Abang dah berubah. Tak sama lagi macam dulu. Jangan-jangan, abang dah kena guna-guna dengan perempuan itu agaknya." Pedas kata-kata berbaur fitnah itu keluar daripada mulut Sarafina.

"Mungkin, abang tak kena guna-guna... Tapi abang dah muak dengan perangai Sara."

Sarafina terus bangun dan menarik tangan Aqil. Aqil terpinga-pinga dengan perbuatan ibunya itu yang tiba-tiba. Fakrul menepis tangan isterinya itu yang memegang tangan anaknya.

"Dah kenapa ini? Nak tunjuk perangai buruk depan anak? Baguslah. Buruk orang, nampak depan mata. Buruk sendiri, cuba sorokkan," sindir Fakrul di khalyak ramai dengan suara lantang. Semua mata tertumpu kepada mereka.

Mata Sarafina berkaca. Dia terkejut dengan kata-kata suaminya yang ditujukan kepada dia. Dia terus mengambil Aqil dan didukung lalu beredar pergi dari situ dengan segera. Sangat menyakitkan hati rasanya. Tergamaknya Fakrul cakap begitu di depan orang ramai.

Akhirnya, air matanya tumpah jua.

AZYAH ralit menggunakan komputer di meja sendirian. Nampak seperti tekun sedang mencari sesuatu. Apa yang dia cari adalah kisah pengalaman seorang isteri diduakan sang suami. Entah angin apa yang merasuknya sehingga dia mencari kisah-kisah seperti itu. Tanpa sedar, sudah berjam-jam di hadapan skrin membaca satu persatu kisah daripada pengalaman seorang isteri yang telah pun diduakan.

Dia bisu. Tiada langsung air matanya mengalir. Jiwanya kosong. Tidak terasa sedih atau marah. Dia sendiri tidak faham dengan dirinya sendiri. Perlahan-lahan, tangannya merayap ke perut lalu diusap perlahan di situ. Sudah lama khabar gembira ini dirahsiakan dari suaminya.

Gembira? Adakah ini akan menjadi khabar gembira lagi selepas kemungkinan yang akan terjadi kelak? Entahlah... Azyah tak boleh ramal esok hujan atau cerah, kerana bukan bidang kuasa dia untuk menentukannya.

Telefonnya berdering di atas meja. Ada satu panggilan masuk daripada Irina.

"Assalamualaikum, mak datin."

"Waalaikumusalam."

"Tengah buat apa itu? Sibuk, ke?"

"Taklah. Kenapa telefon ini?"

"Tak adalah. Aku cuma nak tanya, hari Sabtu ini kau nak gerak bila pergi sana?"

"Pergi mana?"

"Pergi reunionlah! Tak akan dah nyanyuk kut?"

Barulah Azyah teringat tentang itu. Banyak sangat masalah belakangan ini sehingga dia terlupa tentang acara itu.

"Sorry, aku lupa. Mungkin aku pergi lepas Isyak kut. Kalau kau nak pergi sama-sama dengan aku, boleh aje. Nanti, aku jemputlah kau pergi sama."

"Boleh juga. Jimat duit minyak kereta aku. Oh ya, aku lupa nak tanya. Kau dah baca belum mesej dalam group WhatsApp?" tanya Irina.

"Tak. Aku jarang buka."

"Dia datang tau nanti."

"Siapa?"

"Dialah. Dia..."

"Dia? Dia itu sia..." Azyah terus menangkap apa yang cuba disampaikan Irina. Dia terdiam sejenak. Tidak membalas apa-apa.

"Kalau kau tak nak join, aku tak kesah. Nanti aku boleh jawabkan untuk kau. Pandailah aku cover line nanti."

"Tak payahlah. Aku akan tetap datang. Lagipun, itu semua cerita dulu. Masing-masing dah besar dan dewasa. Tak perlu ditoleh ke belakang lagi." Azyah beri jawapan untuk sedapkan hati.

"Tapi, cerita dulu tak akan lupus daripada ingatan. Sedikit sebanyak, pasti ada kesan yang ditinggalkan dari cerita lalu."

Azyah menyepi kembali. Dia buntu. Entahlah... Dia rasakan ada betulnya kata-kata Irina. Mampukah dia menjadi kuat dan tabah di hadapannya? Setelah apa yang dia lakukan dahulu? Sungguh, jawapan sebenarnya dia tidak mampu bersemuka dengan lelaki itu. Dia malu. Malu setelah apa yang terjadi.

Tak mahu lagi Azyah mengusik semula memori lama.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG1 | PROLOG2 | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | Bab 8 | BAB 9 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku