Menggilap Gerhana
Bab 6
Genre: Keluarga
Kategori: Novelet
Paparan sejak 12 Disember 2017
Jika kau terluka, aku turut sama...
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
242

Bacaan






Min masih tidak memberikan apa-apa keputusan hingga minggu seterusnya. Ibu juga kini seakan sudah berhenti memujuk. Atau….mungkin kehabisan kata-kata?

 

Min penat.

 

Bukan nak berlagak atau berdegil. Cumanya, dia rasa tak logik. Merepek! 


Besar sungguh beban di kepala sehingga Min jadi kurang berbicara.Jadi pendiam. Di dalam jiwa, ada pergolakan dan peperangan besar berlaku. Lantunan soal dan jawab yang tidak pernah berhenti.

 

Min tidak cuba berdiskusi dengan ibu, dia sering kalah. Rasional akalnya tidak langsung menerima setiap bait patah ayat ibu utarakan. Semakin galak rasa untuk dia menongkah dan melawan, tetapi dia telan tanpa adakata yang terzahir. Dia rasa ibu yang tak faham akan urusan dua beradik itu. Ianya bagai satu permainan, yang hanya Izha dan Danny mengerti.

 

Tidakkah ibu dapat berfikir bagaimana rasa diri ini? Bermacam soalan merepek mula membanjiri akal Min, tetapi hanya keluhan yang keluar. Mustahil lah ibu akan mengerti.

 

Mungkin Danny yang telah menyumbat idea yang bukan-bukan ke dalam fikiran ibu. Tak mungkin ibu boleh terlalu bersetuju sampai begini.

 

Min sungguh rasa tidak puas hati.

 

Sememangnya dia masih belum bersedia untuk mendirikan rumahtangga, lagi-lagi dengan seorang yang seperti Danny. Fizikal dan mental. Perlakuan Izha sebelum dan selama ini tidak memungkinkan untuk dia menerima lelaki yang jauh lebih muda…. Ada kemungkinan lelaki muda itu lebih teruk dari lelaki tua macam Izha.

 

Dia tidak mahu bersuamikan- apa panggilan tu? - anak ikan? Ya. Panggilan zaman ini untuk seorang lelaki muda yang berpasangan dengan seorang wanita yang lebih tua umurnya.

 

Sememangnya tidak mungkin.

 

Ah! Malu tu dah satu hal lah. Macamana untuk diamenghormati seorang lelaki yang lebih muda?

 

Keliru.

 

Macamana kalau nanti bila diri dianjak usia, dan pasangannya masih muda dan dia mula mencari pengganti lain? Tidakkah hati ni akan remuk semula?

 

Persoalan yang paling besar ialah, kenapa lelaki muda ini cuba bermain dengan api? Menggoda untuk apa? Untuk memastikan Jasmin adalah apa yang abang dia tu katakan? Hendak balas dendam? Untuk menyambung seksaan? Untuk membersihkan nama baik keluarga mereka yang kononnya telah Min calarkan?

 

Apa sebenarnya?

 

Perkara ini telah membuatkan secara tak sedar dia semakin menyendiri dan kurang berkomunikasi.

 

Di rumah dan di pejabat.

 

Min mula rasa selesa dapat mengasingkan diri dari bersama orang ramai, sungguhpun tiada dikalangan rakan-rakannya yang tahu, tetapi dia sendiri rasa tenang saat bersendirian. Tenang kerana boleh berbalah dengan diri sendiri pada bila-bila masa!

 

Hatinya runtun mengingatkan kemahuan ibu, pujukan ibu, kehendak ibu.

 

Tatkala dia rasa dia boleh menolaknya, dia tiba-tiba jadi serabut. Min berdoa agar ibu sedar yang ini semua hanya akan menyeksa dirinya sebagai seorang perempuan.  Dan berharap yang Danny akan membatalkan hasrat bila dia berdiam dan tidak memberi kata putus.

 

Anak muda baru naik, baru nak kenal dunia... tak mungkin dia mahu melayan kerenah cerewet seorang perempuan yang lebih berumur macam dia. Bukannya dia kaya atau cantik sangat, atau glamour! 

 

Min masih bungkam memikirkan tujuan sebenar Danny. Memang prasangka buruk saja yang bermain di fikirannya. Kenapa ibu bersungguh percaya? Bagaimana ibu boleh seyakin itu?

 

Ibu ibu ibu ibu ibu….

 

Min cuba memujuk hatinya sendiri dan hampir yakin, Danny akan berundur... kerana, sudah banyak minggu, ibu tidak berbicara tentang ini, dan text juga sudah tidak muncul. Min rasa dia akan teruskan rancangannya. Biar lelaki itu muak, jelak dan bosan. Kesabaran lelaki seusia begitu boleh diduga. Mereka gelojoh dan gopoh. Tiada kesabaran!

 

Hirupan kopi serasa tidak lancar dan sentiasa tersangkut di kerongkong. Kerja yang banyak di pejabat turut menyebabkan diasemak fikiran. Spageti meatball dipusing dan digulung dengan garfu cuma terlekat di situ. Tiada suapan ke mulut. Dia berlamunan terus-terusan.

 

Produktiviti kerjanya serasa menurun. Macam tak tercapai kerja-kerja yang melambak dan rasa nak tidur di pejabat sepanjang bulan ni.

 

“ada orang?” satu suara menyapa.

 

Min sedar ada kelibat manusia berdiri betul-betul dihadapan mejanya. Dia menggeleng kepala tanpa mengangkat muka.

 

Meja itu memang panjang dan boleh memuatkan sepuluh orang. Macam meja kantin sekolah. Semua orang disisi sudah bersilih ganti, namun Min masih terus membelek handphone sambil garfunya tidak berhenti dipusing-dipusing memintal spageti di dalam pinggan.

 

“kenapa tak makan?” lelaki yang baru duduk itu bersuara ramah. Betul-betul duduk bertentangan.

 

Min mula rimas. Dia berkira-kira untuk beredar bila jemari lelaki itu menyentuh pinggannya. Min mengerut dahi. Segera dipandang lelaki bertentangan. 

 

Danny!

 

Min rasa kaget lalu terus berdiri. Danny senyum cuma, memandangnya bersahaja, telah sedia duduk dan terus menghirup minuman panas dicawan. Tenang.

 

Min menghela nafas memandang lelaki itu. Sedikit keliru tetapi sempat mata mereka bertaut. Min masih tegak berdiri manakala Danny tetap duduk selamba.

 

“temankan I makan, boleh?” Danny bersuara tenang dan perlahan, seraya memandangnya. Sementelah hiruk pikuk kedai itu, masih terterobos suara itu masuk ke gegendang telinga Min.

 

Min merenung balas sebentar namun pantas mengalih pandang. Duduk semula dengan perlahan dan scroll screen handphone tanpa tahu apa yang dicari. Dia sedar Danny masih memandang. Min buat endah tak endah.

 

Apa hal lelaki ni datang sampai kesini dan tahu lokasi Min makan tengahari? Mesti Jiha yang bocor rahsia. Dengan sedikit pengenalan diri, mungkin Jiha boleh bocorkan semua maklumat tentang dirinya. Lagipun Min pernah cerita perihal Danny masa di Cafe dulu.

 

Pasti Jiha!!

 

Degupan jantung Min seakan bekerja lebih dasyat dari biasa. Laju mengepam aliran darah saat itu. Agak berbeza tatkala pertemuan dahulu. Kali ini dia rasa Danny sendiri boleh dengar bunyi degup jantungnya yang maha kuat, dan ia tidak menyurut. Entah perasaan apa yang muncul. Mungkinkah sejak mula tau akan perasaan yang ada didalam lelaki ini?

 

Eh, sekejap. Akal tiba-tiba membuah fikiran baru.

 

Sememangnya Min mahu menolak lelaki ini, bukan?

 

Oleh itu….kita persetan saja apa perasaan di dalam dirinya itu. Entah kan betul entahkan tidak. Entah saja mahu menconteng arang, entahkan saja menduga atau sengaja menyakiti.

 

Mungkinkah maruah dijadikan alasan? Maruah sang abang yang tercalar sewaktu proses penceraian dulu….. yang kini lelaki ini secara perlahan sedang menjalankan rancangan agar Min mendapat habuannya?

 

Ayat-ayat indah melalui ibu adalah perangkapnya? Wow. Kiranya benar, maka memanglah mencari nahas. Kau kira kau hebat ya? Min mengerling wajah di depannya yang masih tenang menghirup kopi di cawan. Min melepas nafas yang tertahan.

 

Mari kita cuba. Kau mahu bermain api ya anak muda? Baik.

 

Min menarik nafas, hembus… kedua-dua tangannya erat memegang handphone. Min berfikir seketika, mencari idea untuk memulakan dialog.

 

Mod sinikal mula menguasai.

 

Min angkat muka dan membalas renungan Danny. Dah dijangka memang Danny sedia merenungnya. Ada sedikit rasa gugup tapi Min kuatkan hati. Renungan lelaki ni mak datuk, memang sangat tajam….

 

Ah, persetan!

 

Min akan buat Danny sedar yang dia itu keliru, dan sedang dipergunakan. Adik ipar yang terdesak dan mengambil risiko gila...macam budak-budak. Macam dicabar kawan-kawan. Cuma bezanya, dia dikuasai oleh Izha,abangnya sendiri.

 

Atau dia penurut kepada si pengatur permainan? Boneka….Untuk Izha?

 

“Sedar tak dengan apa yang Danny cuba buat?” Min mula bersuara.

 

Danny senyum sedikit. Mengacau minuman seketika dan menghirup lagi. Tidak segera menjawab, seperti biasa, membuatkan Min mula rasa geram dan hilang sabar. Bosan betul bila soalan nya tidak disegera-jawab.

 

“...dalam keadaan yang sangat waras dan penuh sedar…,”Danny menjawab akhirnya.

 

Mungkin kalau betul-betul ada cengkerik di situ, akan kedengaran bunyi nya memenuhi ruangan.

 

Mereka berbalas renungan. Danny bersuara sambil menggenggam kedua belah tangannya dan di rapat ke dagu, memandang Min tepat.

 

Min segera melarikan matanya dari ditenung. Semua persoalan di minda cuba dikeluarkan satu persatu. Lelaki ini sedang cuba untuk menguasainya, Min sedar….. sebagaimana si abang, pastinya begitu lah si adik.

 

“Izha? Macamana….?” Min cuba mengait.

 

Mahu saja dia tempelak Danny sekali kaitkan abangnya, tetapi ditahan. Min berjaya mengawal tonasi suara, berusaha menuntun jawapan.

 

“bukan urusan dia dah kan?” Pantas Danny menjawab seraya mengalih pandangan. Sedikit keras tonasi lelaki itu. Kembali Danny menyuap makanan ke mulut. Acuh tak acuh, dan kini tidak lagi memandang Min.

 

Min mula rasa tak puas hati dengan reaksi Danny.Hatinya mula panas. Lelaki itu seakan mengelak. Kini Min dapat rasakan yang Danny memang cuba mempermainkannya, sekejap serius sampai pandang dia menikam dalam, sesaat kemudian acuh tak acuh!

 

“Jangan main-main lah! Ini kerja bodoh tau tak? ” Min mula menempelak.

 

“...main-main??!!.....BODOH? ” Danny memotong pantas.Nada suara Danny berubah lagi. Bertambah keras. Dahi lelaki itu kelihatan berkerut bersekali renungan tajam. Min cuba membalas renungan lelaki itu, namun dia gugup, sambil menelan airliur sekali lagi dia melarikan pandangannya.

 

Mata lelaki ini lain macam sangat lah! Terlalu menyengat, puas sudah dicuba untuk lawan bertentang, namun biji matanya seakan rasa dipanah petir. Min menghela nafas. Menarik semangat.

 

“… macam bergurau ke ni?!” Danny bersuara lagi, nada suaranya masih keras, tapi menurun sedikit. Macam nak marah tapi dikawal. Nada suara Danny tidaklah kuat sangat, tapi cukup untuk Min dengar. Cukup untuk menyakitkan hati.

 

Min fed-up. Segera dia masukkan handphone kedalam bag, bersedia untuk beredar. Kalau rasa nak marah-marah tak payah nak cakap apa-apa dah. Danny di depannya bukan macam Danny sebelum ini. Danny ni macam nak makan dan cincang Min bilamasa dia menongkah percakapannya. Sama je kau orang ni adik beradik! Cepat panas darah.

 

Eh! Dia cuma bekas adik ipar, budak muda, tak seharusnya beri dia kemenangan, tapi Min malas hendak bertegang urat di sini. Lelaki ini tidak memberikan kerjasama seperti yang dia mahukan. Ini bukan perbualan yang dia mahu. Bukan sekarang. Dia rasa Danny cuma berlagak pandai.

 

Sorry. Dah terlepas dari mulut buaya okay. Tidak mungkin membenarkan diri sendiri masuk mulut naga.

 

“…nanti I call…,” sempat Danny menutur kata,dengan tonasi yang menurun tiba-tiba.

 

Min gumam sebentar tidak cuba memandang, namun bingkas berdiri dan melangkah keluar dari situ. Lelaki itu tidak cuba menahannya. Min juga cuba untuk tidak menoleh, walaupun dihati ada seribu satu patah kata makian yang ingin dihamburkan. Min tau Danny masih memandangnya. 

 

I deal with you later! If I want to...

 

 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku