Menggilap Gerhana
Bab 14
Genre: Keluarga
Kategori: Novelet
Paparan sejak 12 Disember 2017
Jika kau terluka, aku turut sama...
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
224

Bacaan






Sebulan berlalu. Sebulan selepas peristiwa di pulau.

Masih tiada perbincangan sementelah Min pun tidak berikan kata putus. Ibu tanya, bila? Min tidak respon. Ibu kata, Danny beri kebebasan untuk Min buat keputusan. Tiada paksaan. Tarikh nikah pun tunggu Min. Buat masa sekarang hanya ibulah penghubung antara dia dan Danny. Ibu kelihatan sangat senang dengan Danny.

Tetapi ibu kemudiannya bercerita tentang janji, janji dengan tuhan, dengan rasul dengan sesama manusia.

Hmm. Ibu sedang memujuknya untuk tunaikan janji. Min hanya diam mendengar, tiada gunanya Min cuba bantah atau tegakkan benang yang basah. Kalau lah ibu tahu tentang peristiwa tempohari. Kalaulah! 

Namun simpan sahaja kisah itu, bimbang ibu dan kerisauannya akan berganda datang.

Sekarang pun ibu asyik risau bila dengar handphone Min yang berbunyi tak berhenti. Risau Min salah pilih kawan katanya.

“Min kan dah bertunang, mana ada kawan dengan orang lain….,” Min jawab kerisauan ibu acuh tak acuh.

 Ibu turut risau kiranya Min diapa-apakan oleh Izha. Min terpaksa beritahu yang Izha cuba untuk rujuk, akibatnya bertambah hebat pujukan ibu untuk bersama Danny.

“…dalam rumah kita ni tak ada orang lelaki Min, kalau Izha tu datang macamana?”

Rimasnya hanya tuhan yang tahu, tetapi dia tiada pilihan. Antara untuk menjadi seorang anak derhaka yang menyakiti ibunya, atau duduk diam-diam terima balak yang mendatang. Ni semua balak ni!

Ibu semakin kerap berbicara tentang Danny dan setiapkali itu, ibu tidak pernah berhenti mengalunkan irama pujukan. Kata ibu, Danny itu sentiasa sopan bila berbicara. Sentiasa menyedapkan mata tua ibu. Sentiasa hormat, matang dan tenang.

“kalau ada apa-apa, kan senang ada orang lelaki dalam rumah ni,”

Yelah tu.

Sekarang menjadi rutin Danny untuk singgah setiap pagi hantar breakfast untuk ibu. Siramkan pokok bunga dan tengok apa-apa yang patut. Minum petang pun selalu Danny yang belikan. Hampir setiap malam ibu menolak makanan berat kerana kenyang dengan makanan petang yang Danny bawa.

Min dah mula jarang masak.

Danny selalunya muncul bila Min tiada di rumah. Ibu kata memang Danny sengaja pilih untuk datang waktu begitu.

Ingin saja Min usik ibu - mungkin kah sebenarnya Danny tu nak mengorat ibu? Tetapi Min tak sampai hati. Dia tidak mahu ibu kecil hati dengan ungkapan yang keluar dari mulutnya.

Ibu sentiasa mengharap, dan Min semakin lelah menurut. Keterpaksaan yang sangat mengorbankan dirinya.

Kenapaaaaa lah kau ni Danny?? Kenapa??

Hmmmph... sekarang ya mungkin nampak sweet, nanti jadi macam abang dia yang diktator dan gila. Mengongkong dan panas baran. Aku memang langsung tak bersedia untuk kahwin semula, dan kau, kalau nak sangat, kau tunggu lah!

Sebelum kahwin dengan Izha pun, kononnya Izha sweet. Konon penyayang, bertanggungjawab dan hormat orang tua. Selepas kahwin? Nahhhh.

Atau. Mungkin kah Danny juga tidak terdesak? Mungkin dia juga mencari persetujuan dan persefahaman? Hmm...mungkin... memang taste Danny perempuan lebih berumur?

Tiba-tiba dia teringat macamana Izha selalu culas dalam pemberian nafkah zahir. Izha tidak pernah makan bersama kerana dia tidak mahu rasa bersalah dengan ibu. Biar kononnya dia tidak pernah makan di rumah itu. Kononnya tidak menyusahkan. Kononnya, kerana dia tidak membeli barangan dapur, dia tidak makan di rumah, tidak menyusahkan sesiapa.

Maka, sepanjang perkahwinan mereka memang hanya Min makan berdua dengan ibu. Setelah ibu habis makan dan masuk ke bilik, baru lah Izha akan muncul. Disitu lah peranan Min untuk menyorok sedikit lauk untuk santapan si raja. Pernah sekali lauk dihabiskan si ibu, tanpa sempat disimpan, Min dikerjakan hampir parah di dalam bilik kemudiannya. Disepak dan diterajang. Esok, dia cuma jalan hencut-hencut kerana kesan lebam semua dibalik pakaian.Bila ibu tanya, Min beri alasan terjatuh di dalam bilik air, dan ibu diam sahaja.

Itu penangan pertama selepas bergelar isteri kepada Izha. Hanya sebulan selepas berumahtangga. Tidak akan lekang dari memorinya.

Ah! Memori itu menyakitkan. Kesakitan itu membuatkan Min berhenti untuk berfikir. Malas  dan tidak kuasa.

…tetapi dengan Danny, bukan sahaja dia, malah ibu juga tidak pernah dibiar kelaparan. Danny kelihatan lebih sensitif dengan keperluan rumah ini.

Hmm…hati ini masih degil.

Min tidak mahu buat keputusan lagi buat masa sekarang!

 

 

 

 

 

 

 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku