SNOW WHITE DAN ROSE RED
BAB 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Disember 2017
[SNOW WHITE DAN ROSE RED] - Pena Putera SIAPA sangka, niat baik Hanna dan Umaira yang mahu menolong lelaki yang memerlukan bantuan mereka telah menyebabkan mereka terjebak dalam masalah yang rumit. Di sebalik masalah itu, satu persatu perkara mula terdedah. Dan hakikatnya, masalah itu sebenarnya telah membawa mereka dari satu masa ke satu masa silam. Walaupun begitu, setiap rintangan dan ujian yang mereka hadapi tidak lagi keseorangan. Pintu hati mereka yang telah tertutup suatu ketika dahulu kini diketuk semula dan yang jelas, walaupun dalam pelbagai masalah, mereka adik-beradik hanya ingin rasa bahagia. Sehinggalah suatu rahsia yang besar terbongkar, melibatkan kisah silam dan perasaan, adik-beradik yang digelar 'Snow White' dan 'Rose Red' ini... Dapatkah mereka menerimanya? Apakah sebenarnya rahsia tersebut?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
136

Bacaan






HANNA melangkah masuk ke ruang pejabat. Apabila dia masuk, suara-suara yang bising tadi terus menjadi sepi. Wajah-wajah pekerja di situ mula menunjukkan riak yang ketakutan. Mulalah mereka berlakon seolah-olah sedang bekerja keras. Yang mana mejanya tadi ada bekal makanan, cepat-cepat disorokkan sebelum ditangkap.

Komputer yang tidak terbuka, cepat-cepat dipasang. Masing-masing mula kalut. Kuat benar aura Hanna sehingga menyebabkan perubahan yang ketara. Namun, itu tak menarik pun perhatian Hanna kerana dia tidak peduli selagi tiada apa-apa yang boleh buat dia marah.

Menjadi seorang pengurus bukanlah tugas yang mudah memandangkan dia perlu menguruskan banyak kerja termasuklah pekerja-pekerja yang sangatlah suka curi tulang. Inilah tanggungjawab yang perlu dia galas sebagai seorang pengurus.

Apabila Hanna masuk ke dalam bilik pejabatnya, suasana pejabat jadi tenang semula sebelum suara-suara berbisik berbunyi pada pagi itu.

"Wah... Aura dia memang menggerunkan betul. Boleh buat jantung aku ini berhenti berdegup. Rasa hampir nak mati tadi," ujar seorang pekerja di situ.

"Itulah aku kata, di sebalik muka dia yang cantik itu, ada sisi yang menakutkan," balas pekerja lain.

"Aku tak tahulah macam mana nanti suami dia nak handle isteri macam itu. Kalau aku, dah surrender awal-awal. Mahu hari-hari aku sakit jantung."

"Tak akanlah dengan suami dia pun nak tegas macam itu. Kau ini pun agak-agaklah."

"Aku bukan nak tipu, tapi dah banyak lelaki try dia. Dan semua lelaki yang pernah try dia, aku dengar mereka akan alami mimpi yang sangat teruk selepas ditolak oleh dia."

"Betul ke?" Seperti tidak percaya.

"Betul. Dulu ada pekerja yang cuba try dia... Keesokannya, pekerja itu terus berhenti kerja tanpa sebab. Ianya misteri sebab tak ada siapa dapat hubungi dia." Suara lain menyampuk. Masing-masing pandang pemilik suara itu seolah-olah melihat orang gila sedang mengarut.

"Dia memang berhenti kerja, tapi dia beritahu sebab. Dia kata dia malu lepas kena tolak. Bukannya sampai tak boleh nak hubungi. Jangan tambah ajinomoto dalam cerita, boleh tak?"

Pemilik suara itu tadi terus menutup mulutnya dan mendiamkan diri.

"Tapi, betul ke Cik Hanna itu memang susah nak didekati?"

Masing-masing menganggukkan kepalanya.

"Kalau ya, apa sebabnya?"

Masing-masing mengangkat bahu. Tiada siapa pun tahu sebabnya.


"JADI, apa yang boleh saya tolong encik?" tanya Hanna kepada klien lelaki di hadapannya. Lelaki itu hanya tersengih-sengih dan mula memandang Hanna dari atas hingga ke bawah. Perfect! Kalau dia dapat kekasih macam ini, mesti bangga ibu bapa dia dapat menantu super gorgeous. Sudah tentu paling untung adalah dirinya.

Hanna pula sudah dapat mengagak tujuan lelaki itu ke sini. Bukan mahu berbincang pasal projek atau sebarang masalah, tetapi sengaja mencari masalah dengannya. Dia perasan, mata lelaki itu liar memerhati dirinya. Dasar jantan tak guna.

"Sebenarnya, saya ingat nak ajak awak keluar lunch nanti. Kalau awak tak keberatan," ajak lelaki itu dengan lirikan senyuman.

"Jadi, Encik Aril datang jumpa saya di pejabat semata-mata nak ajak saya keluar lunch? Kenapa tak telefon saya aje? Lebih senang, bukan?"

"Saya dah mesej tapi awak tak balas. Bila saya telefon, awak tak angkat pula. Sebab itu saya datang sini." Encik Aril ketawa seolah-olah perkara itu kelakar. Hanna tidak ketawa langsung, hanya tersenyum.

"Untuk pengetahuan Encik Aril, nombor yang saya pernah berikan kepada Encik Aril adalah nombor kerja saya."

"Jadi, apa masalahnya kalau nombor kerja pun?"

"Maaf, tapi nombor kerja saya hanya untuk urusan kerja. Bukan untuk urusan peribadi."

"Oh, come on... Tak akanlah awak tak terpikat dengan saya. Look at me. Saya hensem, kaya, romantik dan ada segala-galanya. Kalau perempuan lain, mesti dah terpikat."

Hanna meluat mendengarnya. Dia tidak menafikan yang Encik Aril ini hensem, kaya, romantik dan bla bla bla... Tapi, itu belum cukup membuatkan hatinya cair dengannya. Itu hanya akan membekukan lagi hatinya.

"Tapi Encik Aril kurang satu saja."

"Apa yang saya kurang?" Encik Aril ingin tahu.

"Encik Aril bukan lelaki, tapi jantan."

"What do you call me?" Amarah Encik Aril mula membara.

"Lelaki untuk perempuan, jantan untuk betina dan begitu juga sebaliknya." Dengan selamba Hanna berkata di depan muka Encik Aril. Merah padam muka Encik Aril bila dia digelar begitu.

"Kau fikir kau bagus sangat ke, hah? Suka-suka panggil hot guy, jantan. Sekarang aku baru faham, kenapa tak ada lelaki nak dekat kau. Kalau macam inilah perangai kau, kau akan jadi andartu. Tahu tak?"

"I don't think I'm good, but at least I'm better than you."

"Saya betul-betul menyesal datang sini." Encik Aril mula beredar pergi, namun sebelum keluar dia dihalang dengan suara Hanna.

"Hati-hati Encik Aril. Jangan sampai kena tangkap dengan isteri, ya? Manalah tahu dia terdengar perbualan kita?"

Encik Aril memandang Hanna dengan terkejut. Hanna hanya tersengih sambil memegang pita perakam di tangannya. Lalu, dia membalingkan rakaman itu kepada lelaki itu. Kelam-kabut Encik Aril mengambilnya.

Hanna ketawa jahat dalam hati. Belum tua, dah pandai makan luar. Bila dah tua, tah tahulah nak jadi apa.

"Ambillah. Saya ada banyak lagi copy untuk itu. Mulai sekarang, jangan pernah berani muncul depan saya. Kalau tak, saya tak berani jamin apa yang berlaku, Encik Aril."

Encik Aril yang gelabah terus kelam-kabut melarikan diri dari bilik pejabat Hanna.

Kelakuan Encik Aril itu diperhatikan pekerja-pekerja di situ. Masing-masing mula berbisik memandangkan ini adalah berita hangat.

"Mesti kena tolak dengan Cik Hanna itu," teka seorang pekerja.

"Mimpi ngerilah dia malam ini. Peek-A-Boo!"

Masing-masing mula ketawa terbahak-bahak. Tapi terus terdiam semula dan buat kerja masing-masing bila Hanna keluar dari bilik pejabat dan memandang mereka. Sesungguhnya, aura Hanna benar-benar menggerunkan semua orang.


UMAIRA tekun memerhati beberapa contoh design di atas mejanya. Kemudian, dia melihat pula rakan sekerjanya sedang cuba buat presentation tentang rekaan terbaru untuk tahun baru. Dia ligat berfikir untuk membuat keputusan. Hakikatnya, dia tidak rasa yakin dengan design yang dipersembahkan hari ini.

"Memandangkan trend selalu berubah-ubah, kita tak boleh terus ikut trend aje. Kita kena cipta trend kita. Saya yakin, rekaan autumn love ini pasti akan menjadi tarikan kepada pembeli. Dengan corak yang berwarna luruh dan ada corak daun pada dress pastinya menarik."

Sepi. Umaira jadi gementar. Dia agak, masing-masing sedang teguk liur ketika ini menanti keputusan mem besar. Sempat Umaira jeling Datin Wahida. Matanya perasan wajah Datin Wahida bukan main masam. Maknanya, alamat tak baiklah.

"Awak fikir ini negara apa? Sejak bila Malaysia ada empat musim? Autumn love? Kenapa tak buat snow love terus? Fikir sesuai sangat pakaian ini dipasarkan di Malaysia? Boleh jual ke pakaian macam ini? Sekarang ini kita bincang pakaian yang boleh beri kita keuntungan, bukan beri rugi. Awak tahu tak?"

Sepi kuasa dua. Dengan orang yang mempersembahkan design itu pun turut diam. Memang susah jadi fashion designer bawah jenama Wahida Clothes ini. Pemiliknya memang strict habis dalam pemilihan.

"But, I like your idea. Maybe your design just lack something. Saya akan beri masa untuk awak perbetulkan. Kalau tetap tak memuaskan... You're out."

Mujurlah diberi peluang. Umaira tumpang gembira bila rakan sekerjanya diberi peluang.

"Next, Umaira."

Gulp! Ya Allah, tolonglah hamba. Semoga segalanya dipermudahkan. Amin. Dengan langkah yang berat bersama Bismillah, Umaira ke hadapan dan mula bersiap-sedia dengan apa yang sepatutnya dia lakukan. Tibalah waktu untuk dia persembahkan design dia pula.

"Jadi, sampah apa yang awak cuba untuk hidangkan kepada saya?" ujar Datin Wahida selamba. Tapi, siapa boleh tegur bila dialah periuk nasi mereka. Diam diri adalah pilihan terbaik untuk waktu ini.

"Hari ini saya nak persembahkan cadangan untuk koleksi baru Wahida Clothes sempena tahun baru tidak lama lagi. Koleksi ini dinamakan koleksi Happiness." Umaira berikan penjelasan ringkas.

"Kenapa koleksi ini namanya HappinessHappy sangat ke sesiapa yang memakainya? Kalau saya terima cadangan ini, adakan koleksi ini akan buatkan saya rasa happiness juga?"

Tenang, Umaira. Jangan gelabah. Tunjukkan kepada mereka kau boleh lakukan ini.

"Ermmm... Koleksi Happiness ini melambangkan kegembiraan seperti namanya. Apabila pemakainya cuba memakai pakaian daripada koleksi ini, pakaian ini akan menyerlahkan lagi keceriaan si pemakainya. Kali ini, kita akan guna konsep warna terang tapi tak terlalu menonjol. Contohnya, warna turquoise."

"Saya tak nampak apa yang menarik tentang design awak ini. Adakah awak memang bercadang nak masukkan design awak ini dalam tong sampah, ke?"

"Sebenarnya, memandangkan sekarang ini merupakan zaman hijabster, kebanyakan mereka lebih gemar suka memakai pakaian dress yang labuh. Jadi daripada trend ini, kita boleh gunakan dalam koleksi ini tetapi untuk mencantikkannya, kita akan letakkan unsur alam sebagai corak pakaian ini. Misalnya corak bunga atau daun."

Diam. Tiada siapa bersuara. Datin Wahida kelihatan mengeluh.

"Kenapa Datin? Ada masalah ke dengan design saya?"

Datin Wahida memandang simpati kepada Umaira.

"You only have one chance left to impress me again. If not, get out from my company." Datin Wahida mula bangun dan melangkah keluar dari bilik mesyuarat. Masing-masing terperanjat dengan tindakan Datin Wahida yang seakan kecewa dengan Umaira.

Suasana di bilik mesyuarat menjadi tegang. Ada yang simpati dengan Umaira dan ada juga yang berasa kecewa kerana segalanya menjadi lebih teruk kerana Umaira. Tanpa menunggu lama, Umaira terus mengemas barangnya dan mahu beredar pergi.

Dia menuju ke tandas dan menangis di dalamnya. Air matanya mengalir keluar dengan laju. Mengenangkan kata-kata Datin Wahida tadi, dia terasa kecewa dengan dirinya. Di mana Umaira yang sering menjadi yang terbaik suatu ketika dahulu? Terasa dirinya tidak lagi berguna.

Tidak tahu sampai bila dia boleh kekalkan tempatnya sekarang ini.

"Apalah masalah Umaira itu sampai boleh buat Datin Wahida keluar macam itu saja dari bilik mesyuarat?" Ada suara yang bergema di dalam tandas itu. Telinga Umaira terdengar suara itu. Dia mencuri dengar perbualan suara-suara di luar sana.

"Nak buat macam mana? Kalau aku jadi Datin Wahida pun, aku kecewa kaw-kaw. Apa yang dia buat tadi itu, memang layak masuk tong sampah. Aku lebih prefer yang Dahlia present tadi berbanding Umaira. Entah apa-apa. Happiness konon."

Hati Umaira menjadi remuk mendengarnya.

"Aku rasa zaman kegemilangan Umaira dah tamat. Dia dah boleh angkat kaki keluar dari sini. Buat bazir duit company aje bayar gaji pekerja yang dah tak ada bakat dalam fashion designing."

"Setuju. Dia patut cari lelaki lain dan kahwin. Selepas itu, lahirkan anak dan buat baju buruk dia itu untuk anak-anak."

Kedua-dua suara itu mula ketawa terbahak-bahak. Tanpa mereka sedar, kata-kata mereka telah melukakan hati Umaira yang mendengarnya. Terus sahaja Umaira melalak kerana terlampau sakit hati.

"Eh, suara apa itu?" Terkejut.

"Manalah aku tahu?"

"Jangan-jangan, betul tak khabar angin tandas ini berhantu."

"Kau jangan buat ceritalah. Itu semua khabar angin aje, kan?"

Makin kuat tangisan Umaira kedengaran.

"Arghhh!" Kedua-dua wanita itu terus melarikan diri keluar dari tandas kerana ketakutan.

Ketika inilah, Umaira mula menanam azam dalam dirinya. Dia tekad, kali ini dia tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Dia tekad, dia akan mencapai semula zaman kegemilangannya yang telah lama hilang.

Dia akan pastikan, azamnya tercapai tidak kira apa jua.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG1 | PROLOG2 | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku