SNOW WHITE DAN ROSE RED
BAB 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Disember 2017
[SNOW WHITE DAN ROSE RED] - Pena Putera SIAPA sangka, niat baik Hanna dan Umaira yang mahu menolong lelaki yang memerlukan bantuan mereka telah menyebabkan mereka terjebak dalam masalah yang rumit. Di sebalik masalah itu, satu persatu perkara mula terdedah. Dan hakikatnya, masalah itu sebenarnya telah membawa mereka dari satu masa ke satu masa silam. Walaupun begitu, setiap rintangan dan ujian yang mereka hadapi tidak lagi keseorangan. Pintu hati mereka yang telah tertutup suatu ketika dahulu kini diketuk semula dan yang jelas, walaupun dalam pelbagai masalah, mereka adik-beradik hanya ingin rasa bahagia. Sehinggalah suatu rahsia yang besar terbongkar, melibatkan kisah silam dan perasaan, adik-beradik yang digelar 'Snow White' dan 'Rose Red' ini... Dapatkah mereka menerimanya? Apakah sebenarnya rahsia tersebut?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
353

Bacaan






BINGKAI gambar perkahwinannya bersama arwah suaminya dia tatap penuh sayang. Mengenangkannya membuatkan dia mengalir air mata bahagia mengenali dan pernah menjadi sebahagian hidup daripada lelaki yang dia cintai. Puan Suria akui, sepanjang perkahwinannya bersama arwah suaminya, dia terasa bahagia. Arwah suaminya bagaikan penyelamat dan pelindung dalam hidupnya. Tiada lelaki lain yang dapat menggantikan tempat istimewa arwah di dalam hatinya.

The only one, Dani Ismael.

Sehinggalah hari itu... Hari terakhir dia melihat raut wajah arwah suaminya. Hari terakhir dia dipeluk dan dicium arwah suaminya. Dan hari terakhir dia merasakan helaan nafas dan degupan jantung arwah suaminya.

Kalaulah dia tahu hari itu akan menjadi hari yang terakhir, dia tidak akan lepaskan suaminya pergi. Dia akan menghalang dengan sepenuh kudratnya. Kepergiannya telah membawa separuh hatinya pergi. Berita suaminya yang telah pergi meninggalkan dia selama-lamanya membuatkan hatinya terseksa seakan mahu mati.

Hanya anak-anaklah yang menjadi semangat untuknya dan sebab mengapa dia terus tabah menjalani hidupnya dari hari ke hari. Dia tidak mahu pentingkan diri hanya memikirkan perasaannya. Hanna dan Umaira perlukan dia di sisi mereka.

Pintu bilik diketuk seseorang. Puan Suria terus meletakkan bingkai gambar dan menyeka air matanya. Tidak mahu sesiapa perasan dia menangis.

"Masuk!" ujar Puan Suria.

Hanna muncul di sebalik pintu. "Ibu, lelaki itu dah bangun."

Puan Suria memandang Hanna terkejut. Mereka berdua cepat-cepat menuju ke ruang tamu. Kelihatan lelaki yang dibawa Hanna semalam telah pun sedar dan terduduk lemah di sofa. Pak long juga ada di situ.

"Long, macam mana keadaan dia itu?" Puan Suria bertanya kepada abangnya perlahan.

"Aku pun tak tahu nak cakap macam mana. Dia pun baru sedar ini."

Puan Suria mengalihkan matanya ke lelaki itu. "Ermmm... Anak muda ini, dah okey belum?"

"Hurm? Apa?" Lelaki itu seperti blur. Matanya meliau memandang sekeliling. Terasa asing dengan tempat ini. "Saya dekat mana ini?"

"Anak muda sekarang ini ada dekat rumah mak cik. Kamu dibawa ke sini oleh anak perempuan mak cik semalam. Kamu tak ingat apa-apa?"

Lelaki itu melihat Hanna yang berada di sebelah Puan Suria. Fikirannya cuba mengingati apa yang telah berlaku kelmarin. Satu demi satu memori datang menayangkan semula apa yang terjadi di layar fikiran. Lalu, lelaki itu terus melutut di hadapan mereka.

"Terima kasih sebab dah selamatkan saya. Saya betul-betul berterima kasih."

Mereka yang melihat, terkedu. Apa sebenarnya masalah lelaki ini? Hanna mula rasa gelisah kerana dia seolah-olah telah membawa dirinya dalam masalah lain.

"Boleh tak kamu beritahu pak cik, apa yang sebenarnya terjadi pada kamu? Sampai boleh ada di hutan sana itu?" tanya pak long. Hairan juga dia selepas mendengar cerita Hanna semalam. Macam ada yang tak kena.

"Maafkan saya... Saya tak boleh beritahu apa sebabnya. Cuma, kalau boleh... Saya nak minta tolong. Saya harap semua boleh tolong saya."

Kini, semua mata tertumpu kepada lelaki itu.

TERSENGGUK-SENGGUK kepala Umaira di mejanya. Tak fokus lagi di hadapan komputernya yang terpasang. Dia mahu cari idea untuk design terbarunya, tetapi nampaknya tak boleh lawan lagi rasa mengantuknya. Untuk menghilangkan rasa mengantuknya, dia melangkah ke kafeteria untuk membancuh secawan kopi. Moga-moga, dapatlah membuka matanya untuk beberapa jam lagi.

Ketika dia sedang membancuh kopi, bunyi telefon berdering dari poketnya membuatkan Umaira berhenti membancuh. Dia melihat skrin telefonnya. Panggilan dari kakaknya.

"Kenapa Kak Hanna telefon ini?"

"Lelaki yang kita bawa semalam ke rumah ini, sekarang dah sedar."

Tubuh Umaira kembali separuh segar mendengar berita itu.

"Sekarang ini, dia macam mana?"

"Tadi, pak long tanya dia ada jawab badannya lenguh-lenguh sikit. Jadi, pak long tolonglah urut. Suruh pergi hospital, tak nak."

"Apa sebenarnya masalah dia ini? Takut benar pergi ke hospital."

"Akak pun tak tahulah. Dahlah, akak nak masak ini. Itu aje akak nak beritahu."

"Okey."

Talian dimatikan. Umaira kembali membancuh. Usai itu, dia duduk di meja dan menghirup kopi panasnya. Mindanya mula menerowong jauh. Termemung memikirkan hal semalam yang tidak sudah menemui jalan penghujungnya.

Dalam menungnya, matanya terlihat sesuatu di atas meja. Ada satu pendrive di hujung meja. Siapa punya agaknya pendrive itu? Dia lihat sekeliling tetapi tiada orang. Mesti ada yang tertinggal. Apa yang perlu dia buat?

Biarkan sajalah. Bukannya masalah besar pun kalau dia tak ambil. Lagipun, dia bukannya tahu kepada siapa mahu dipulangkan. Nanti pandailah tuan punya barang datang cari. Cuma, macam mana kalau tuan dia cari sampai ke sudah tak jumpa?

Ah, tak payahlah rajin sangat ambil peduli. Lepas habis minum, terus blah. Buat tak tahu aje.

Dia tenung semula pendrive itu. Matanya tidak boleh lepas dari memandangnya. Design yang sangat memukau mata. Perlahan-lahan, tangannya ambil pendrive itu. Bukannya nak buat apa, dia saja nak tengok.

Sewaktu Umaira membelek pendrive itu, tiba-tiba rakan sekerjanya, Mila datang ke arahnya.

"Amboi, sedapnya minum kopi waktu kerja." Mila menegur lantas mengambil tempat duduk berhadapan dengan Umaira.

"Aku rasa mengantuk. Itu yang aku minum kopi ini. Barulah boleh kerja."

"Yalah itu."

"Habis, kau datang pantri ini buat apa pula? Sekarang ini waktu kerja lagi."

"Asalnya aku datang sini nak bancuh kopi. Nak hilang rasa mengantuk. Maklumlah, aku ini spesies yang baru seminit buat kerja, mata nak tertutup dah."

"Eleh, tadi kata orang. Dia pun dua kali lima, sama aje."

Mila ketawa. Kemudian, dia ternampak pendrive di tangan Umaira.

"Eh, itu macam aku punya aje."

Umaira menunjukkan pendrive itu kepada Mila. "Kau punya, ke ini?"

Lantas Mila mengangguk kepalanya. Dia mengambil pendrive itu dari tangan Umaira dan menelitinya.

"Sah, aku punya! Mana kau jumpa ini?"

"Aku jumpa dekat meja ini tadi."

"Eh, aku ada datang pantri tadi, ke?" Mila cuba mengingat. "Entahlah. Rasa macam ada. Patutlah aku cari merata tak jumpa. Macam manalah boleh tersesat dekat sini?"

"Itulah. Lain kali jangan cuai," nasihat Umaira. Mila buat selamba dan terus beredar pergi. Lega dia bila tuan punya barang dah jumpa.

SEMUA mata yang memandang di meja makan, terlopong. Hanna tak tahu nak kata apa lagi bila ini sudah masuk kali keempat lelaki itu menambah nasi. Gamaknya seperti tak makan setahun dan baru jumpa makanan. Lauk-pauk atas meja habis dekat lelaki itu saja.

"Mak cik, boleh tambah lagi tak nasi?" pinta lelaki itu.

"Boleh tak kamu tunggu dulu. Sebab mak cik baru aje tanak nasi. Tak masak lagi." Puan Suria seperti tidak percaya mendengarnya. Sepanjang hidupnya, dia sendiri tak pernah tambah nasi lebih daripada tiga kali. Hebat betul lelaki muda di hadapannya ini.

"Oh ya, lupa pak cik nak tanya. Nama kamu ini siapa?" Baru pak long tersedar yang nama lelaki itu masih belum ada sesiapa tahu.

"Haah. Saya belum perkenalkan diri saya. Nama saya Umar. Nama pak cik, mak cik dan... cik?" Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Umar, kelihatan tergagap ketika memandang wajah Hanna. Dia terus alihkan mata ke arah pak long semula.

"Panggil aje pak cik, pak long."

"Mak cik pula kamu panggil Mak Su. Mak Su ada dua orang anak. Kedua-duanya perempuan. Yang ini si sulung. Namanya Hanna."

Umar menggangguk perlahan di hadapan Hanna. Dia jadi gugup bila berhadapan dengan perempuan. Hanna yang perasan, menyangka lelaki itu adalah pemalu. Biarlah... Mungkin lelaki itu perlukan masa untuk biasakan diri.

"Rasa-rasanya, nasi dah siap masak itu. Biar mak cik pergi tengok dulu." Puan Suria bangun meninggalkan meja.

"Berselera betul kamu makan, Umar."

Umar naik malu bila dikata begitu. Dia tahu, mesti semua terkejut tengok dia makan dengan kuantiti yang banyak. Nak buat macam mana, perutnya sangat lapar dan masakannya pula sangatlah sedap. Makin berselera dia makan.

"Sedap sangat pak cik."

"Pak cik tahu dah. Maklumlah, kalau Hanna yang masak memang confirm sedap. Tak diragui lagi. Betul tak, Hanna?" Pak long memuji kehandalan anak saudaranya itu dalam memasak.

"Tak adalah hebat sangat. Pak long pula melebih-lebih." Hanna cuba menyangkal kata pak longnya. Biasa-biasa aje masakan dia ini. Main campak-campak saja.

"Tengoklah itu. Merendah diri betul orangnya," usik pak long. Seronok menyakat anak saudaranya yang pemalu ini. Walaupun pemalu, tapi ada ketegasnya yang tersendiri. Itu tidak boleh dinafikan.

Umar cuma tersengih. Dia rasa kekok pula dalam situasi begini.

"Tapi, masakan Cik Hanna ini memang sedap." Umar cuba memuji masakan gadis itu.

"Apa pula Cik Hanna? Panggil Hanna aje. Pak long tengok umur kamu pun lebih kurang macam sebaya aje. Tak payahlah formal sangat."

"Betul itu. Panggil aje saya Hanna. Saya pun akan panggil awak Umar. Jadi, taklah rasa awkward sangat, kan?" Hanna cuba mendekatkan jurang antara mereka. Perlahan-lahan Umar mengangguk setuju.

"Baik, Hanna."




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG1 | PROLOG2 | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku