SNOW WHITE DAN ROSE RED
BAB 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Disember 2017
[SNOW WHITE DAN ROSE RED] - Pena Putera SIAPA sangka, niat baik Hanna dan Umaira yang mahu menolong lelaki yang memerlukan bantuan mereka telah menyebabkan mereka terjebak dalam masalah yang rumit. Di sebalik masalah itu, satu persatu perkara mula terdedah. Dan hakikatnya, masalah itu sebenarnya telah membawa mereka dari satu masa ke satu masa silam. Walaupun begitu, setiap rintangan dan ujian yang mereka hadapi tidak lagi keseorangan. Pintu hati mereka yang telah tertutup suatu ketika dahulu kini diketuk semula dan yang jelas, walaupun dalam pelbagai masalah, mereka adik-beradik hanya ingin rasa bahagia. Sehinggalah suatu rahsia yang besar terbongkar, melibatkan kisah silam dan perasaan, adik-beradik yang digelar 'Snow White' dan 'Rose Red' ini... Dapatkah mereka menerimanya? Apakah sebenarnya rahsia tersebut?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
155

Bacaan






HARI yang baru menjelang lagi. Sinaran matahari pagi ini sungguh indah dilihat. Usai bersiap untuk ke pejabat, Hanna turun ke ruang makan untuk bersarapan. Kelihatan adiknya sudah pun menjamah bihun goreng di meja makan bersama ibunya. Dia ambil tempat duduk dan tuangkan air kosong ke dalam cawan. Minuman pertamanya pada hari ini dan rutinnya setiap pagi.

Hanna sudah lama amalkan rutin ini. Dia tahu banyak khasiat yang boleh kita peroleh dengan minum air kosong sebelum minum atau makan hidangan lain. Antara khasiatnya dapat meningkatkan metabolisme, mencegah gangguan pencernaan, kulit menjadi lebih sihat dan banyak lagi.

“Umaira, lepas kamu habis makan ini nanti tolong hantarkan bekal makanan dekat rumah pak long. Boleh, tak?” Puan Suria meminta tolong anak bongsunya. Tersedak Umaira makan setelah mendengarnya.

“Kenapa Umaira pula? Umaira kena gerak terus pergi tempat kerja hari ini. Mana boleh lambat. Hari ini ada meeting.” Umaira mengelak.

“Susah betul minta tolong budak ini. Ada aje alasannya.” Puan Suria mengeluh. Umaira buat tidak dengar dan sambung menjamah bihun goreng dalam pinggannya.

“Tak apalah. Biar Hanna yang hantarkan kejap lagi. Bukannya jauh pun. Sebelah rumah ini aje. Itu pun malas sangat. Padahal nak pergi kerja nanti, keluar rumah itu boleh tolong hantarkan.” Hanna perli adiknya. Tetap saja Umaira ambil tidak endah. Janji, dapat lepaskan diri.

“Nasib baiklah ibu ada seorang anak yang boleh diharap.”

Selepas selesai makan, Umaira terus bergegas pergi ke pejabat. Tak menyempat betul nak pergi. Macam mengejar sesuatu. Hanna ambil bekas makanan yang dikirimkan ibunya untuk pak long. Masa dia sampai di pagar penghalang rumah antara rumahnya dan rumah pak long, dia menjerit memanggil pak longnya.

“Pak long! Oh, pak long!”

Pintu rumah terbuka. Namun, yang muncul di sebalik pintu itu bukanlah pak long tetapi sebaliknya Umar yang kelihatan baru sahaja selesai mandi. Tangannya mengusap rambut yang basah dengan tuala. Pakaiannya juga sudah berganti.

“Hanna? Kenapa awak datang?” tanya Umar lalu mendekati wanita itu.

“Saya datang ini nak beri bekal ini. Ibu yang suruh saya hantar. Nanti awak makanlah dengan pak long.” Hanna menghulurkan bekas makanan kepada Umar.

“Terima kasih. Buat susah-susah aje. Saya baru nak keluar tadi, makan sarapan dengan pak long. Memandangkan dah ada orang beri makanan, tak perlulah saya dan pak long keluar makan. Cakap dengan Mak Su, terima kasih untuk makanan ini.”

“Tak ada apa sangatlah. Nanti saya kirimkan terima kasih awak itu dekat ibu.”

“Eh, Hanna? Apa kamu buat dekat situ?” Pak long muncul lalu menghampiri mereka berdua. Terlihat pula bekas makanan di tangan Umar.

“Ibu kamu berikan, ke?” teka pak long. Hanna mengangguk.

“Tak payahlah pak long pergi warung Pak Ali itu memandangkan ibu dah masakkan untuk pak long,” ujar Hanna sambil tersenyum.

“Amboi, rajin betul ibu kamu masakkan untuk pak long. Atau, ada maksud yang tersirat ini?” seloroh pak long membuatkan dia dan Hanna ketawa. Umar hanya mampu mengukir senyum yang agak janggal.

“Mengarutlah pak long ini. Dahlah, Hanna kena pergi kerja sekarang ini. Nanti lambat pula nak masuk pejabat. Hanna minta diri dulu,” kata Hanna sebelum dia pergi.

“Yalah. Bawa kereta elok-elok.” Sempat pak long memberi nasihat.

SEPERTI biasa, aura Hanna tidak pernah tidak menggerunkan satu pejabat. Semalam, dia cuti dan tidak hadir ke pejabat. Maka, berpestalah para pekerja meraikan ketiadaan Hanna dengan membuat kerja sambil lewa kerana tiada rondaan daripada pengurus mereka yang menakutkan itu. Sayangkan, kebahagiaan tidak pernah berkekalan lama.

“Selamat pagi, Cik Hanna,” sapa para pekerja ketika bertembung dengan Hanna di pejabat. Hanna hanya membalas dengan senyuman. Hakikatnya, Hanna tidaklah menakutkan sangat seperti yang diwar-warkan oleh para pekerja di syarikat itu. Hanya ketegasannya sahaja yang menakutkan.

Seperti biasa, Hanna menghidupkan komputernya untuk memulakan kerjanya. Tiba-tiba, bunyi telefonnya berdering menandakan ada satu nofikasi. Hanna lantas menyemak. Ternyata, ada satu mesej dari nombor tidak dikenali.

X

Siapa pula yang hantar mesej dengan hanya huruf X ini? Salah penerimakah atau salah taip? Hanna kurang pasti tapi dia tidak ambil endah lagi tetang mesej itu. Silap agaknya. Dia terus memulakan kerjanya dengan menyemak laporan terlebih dahulu.

USAI bersiap untuk keluar, pak long membawa Umar mencari kerja. Kata pemuda itu, dia mahu bekerja dan tidak goyang kaki menumpang rumah orang. Pak long pada mulanya agak keberatan. Tak tahulah mengapa dia rasa berat mahu mengizinkan. Namun, dia cuba memahami niat Umar untuk bekerja. Kalau dia berada di tempat pemuda itu, dia juga rasa yang sama.

Setelah berjam-jam mencari kerja dari satu tempat ke satu tempat, akhirnya mereka berdua berhenti rehat di restoran mamak untuk minum sebentar.

“Susah betul nak cari kerja sekarang ini. Kerja cashier pun bukan main susah nak dapat. Memang betullah orang kata. Zaman sekarang ini kita kena kreatif jana pendapatan sebab bukan senang lagi nak cari kerja yang sedia ada,” ujar pak long, mengeluh. Dia hirup perlahan teh tariknya yang panas.

“Biasalah, pak long. Mungkin, adalah kut dekat mana-mana rezeki Umar selepas ini. Yang penting, kena rajin usaha. Selebihnya, kita serahkan kepada Allah.”

“Kalau zaman pak long dulu, susah-susah sangat nak cari kerja… Ambil saja upah panjat pokok kelapa. Bolehlah buat makan nasi sekali.”

Masing-masing diam. Sedang jauh masing-masing melayan fikiran, terlintas satu idea dalam kepala pak long.

“Macam inilah, apa kata kalau nanti pak long tanya dekat Hanna dan Umaira. Siapa tahu, di tempat kerja mereka nak pakai pekerja baru.”

“Boleh juga pak long.”

“Nanti pak long tanya.”

MASING-MASING nampaknya tidak sabar untuk menjamu selera ketika menjelangnya waktu rehat untuk makan tengah hari. Umaira dan rakan sekerjanya memilih untuk makan di tempat biasa. Warung yang menjadi pilihan mereka tidak jauh pun dari pejabat. Selain makanannya yang sedap, warung ini menjadi pilihan ramai orang kerana makanannya yang murah.

“Weh, korang nak dengar gosip tak?” Seperti biasa, acara makan tengah hari tidak akan lengkap tanpa acara bergosip.

“Gosip apa?” Syakira bertanya. Tidak sabar untuk mendengar gosip tersebut. Semakin hangat gosip, semakin berselera mereka makan. Gosip bagaikan hiburan mereka ketika makan.

Memandangkan Umaira tidak berminat dengan gosip, jadi dia hanya tumpang dengarlah. Itu pun supaya tidak ketinggalan bas. Nak masuk campur lebih-lebih, bukan minat dialah. Banyak lagi kerja berfaedah boleh buat. Misalnya cuci mata dekat warung ini. Manalah tahu, ternampak bakal jodoh. Haha.

“Umaira, kau perasan tak lelaki dekat meja hujung itu?” tanya Farah, geng cuci mata Umaira. Farah ini pun tak minat juga dengar gosip. Lainlah kalau gosip artis, bolehlah dia tumpang kecam di ruangan komen. Kerja part-time jadi netizen ini dia dah biasa sangat.

Mata Umaira cuba mencari lelaki yang dimaksudkan Farah.

“Nampak? Weh, siapa dia itu? Segak gila!” Umaira mula tertarik dengan lelaki itu. Mulalah perasaan menggedik itu datang.

“Aku tak kenal siapa dia. Cuma itulah… Hensem, kan dia?”

“Sedaplah aku hari ini mencuci mata,” seloroh Umaira. Mereka berdua mula ketawa gedik sambil menampar manja antara satu sama lain. Kelakuan mereka itu diperhati rakan sekerja yang lain dengan penuh perasaan meluat.

“Apa gila dua minah ini? Cuba cerita sikit,” kata Syakira.

“Syakira, cuba kau tengok lelaki dekat meja hujung sana itu. Hensem, kan?” Farah menyuruh.

“Oh, lelaki itu… Peguam syarikat kita. Dia memang hensem. Tapi, sayang… Hensem dia pun, kena tinggal masa majlis kahwin.” Syakira cuba menyelitkan gosipnya. Umaira dan Farah yang tidak tahu, termanggu sendirian.

“Macam mana lelaki yang bekerja sebagai peguam dan hensem itu, boleh kena tinggal masa majlis kahwin dia? Rugi betul siapa yang buat macam itu.” Farah tidak puas hati. Kalau dialah, mati hidup semula tidak terfikir untuk buat begitu. Ewah!

“Dah jumpa yang lebih segak dan kaya, kahwinlah dengan lelaki lain,” tokok Syakira berdasarkan sumber-sumber yang dia peroleh sebelum ini. Entah betul atau tidak, belakang cerita.

“Eh, bukan abang dia yang kena tinggal masa majlis kahwin itu, ke Syakira?” sampuk Mei Ling, cuba membetulkan cerita Syakira. Daripada apa yang dia dengar, bukan lelaki itu.

“Entah. Tapi, tak kesahlah… Aku peduli apa. Janji aku dah jumpa encik abang yang lebih hensem dan kaya daripada peguam itu. Malah, lagi sweet!” Syakira memuji buah hatinya di depan rakan-rakan sekerjanya.

“Mahu muntah pula saya mendengarnya.” Mei Ling tayang muka meluat. Geli-geliman mendengarnya. Syakira buat muka selamba. Tak ambil peduli kononnya dengan kata-kata Mei Ling.

Umaira tenung semula lelaki itu. Indahnya ciptaan Tuhan. Kalaulah mereka kahwin, pasti dia ada anak-anak yang comel kelak. Mereka juga akan membina keluarga dan hidup yang bahagia selama-lamanya. Alangkah indahnya kalau realitinya begitu.

Mana mungkin lelaki yang kacak dan ada kerjaya yang bagus seperti itu tiada teman wanita. Jangan-jangan, sekarang ini hatinya sudah pun dimiliki seseorang. Hurm… Melepaslah.

“Eh, baru aku teringat. Hari ini aku tak nampak pun Mila masuk kerja. Bising Encik Ghani cari dia satu pejabat sebab tak siapkan laporan. Dahlah banyak yang tak lengkap,” Mei Ling menyoal.

Masing-masing angkat bahu. Tanda tidak tahu.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG1 | PROLOG2 | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku