Cinta Di Hujung Jalan
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Disember 2017
Sebuah kisah romance dan thriller.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
41

Bacaan






Selepas beberapa hari cerita ayah mereka memukul emaknya, Irfan kembali semula ke universiti selepas cuti dua minggunya tamat. Meninggalkan Nika dan emak, juga ayahnya yang tidak lagi mengamuk tak tentu pasal. Itu kerana, ayahnya tak pulang tiga hari lalu dan bila balik, dia sibuk memotong rumput di kawasan taman.

“Dah tak ganti emak kau kerja lagi?” tanya Zakiah ketika mereka sedang menyorong troli pesakit lelaki yang kesakitan terkena tembakan di kakinya dan tangan. Pesakit berusia kira-kira awal 20an itu digari pada palang katil. Mereka menolak katil troli itu ke hujung wad.

“Tak.. dua hari aje,” jawabnya.  

Zakiah menarik tabir penghadang untuk menutup katil pesakit itu. Sementara Nika membersihkan darah di kawasan tembakan Zakiah kemudian menyediakan peralatan.

“Ada jumpa lelaki dingin tu?”

“Tak….” sahutnya meleret seolah-olah kecewa lantas mengundang lirikan mata Zakiah. “Maksud aku, baguslah, tak payah tengok muka orang sombong tu,” dia cuba menegangkan nadanya sendiri supaya Zakiah tidak tersalah menafsir.

“Eh.. esok pagi kau ikut tak, kempen derma darah dekat Seventh Mall tu?” tanya Zakiah lagi.

“Dah confirm, Doktor Kumar dah masukkan nama aku. Kenapa kau tak ikut sekali?” jawabnya tanpa memandang pada Zakiah, dia sibuk memeriksa luka tembakan di kaki pesakit itu yang masih lagi merengek kesakitan.

“Awal-awal lagi aku dah tolak, aku kena pergi kenduri sepupu aku kahwin kat Batu Pahat, mau mak aku mengamuk kalau aku tak dapat pergi..” jawab Zakiah lantas dia merungut sendirian. Nika syak sudah tentu pasal nasib dirinya yang belum bertemu jodoh itu. “Siapa lagi yang ikut?”

“Dari syif kita, aku sorang jer, mujurlah ada Dewi,” Nika merujuk kepada rakan setugas tetapi dari syif lain.

Zakiah mengangguk acuh tak acuh. “Lepas Seventh Mall, kempen kat mana lagi?”

“Entah, tak tahu pulak, tapi kalau kempen derma darah pusing-pusing Johor Bahru ni aku ok je,” sahut Nika sambil terus melakukan kerjanya.

Doktor Julia kemudian muncul. Perbualan mereka terhenti seketika memberi laluan Dr. Julia yang pantas membuat kerjanya mengeluarkan peluru dari paha mangsa. Dia dan Zakiah kembali berbisik di belakang Doktor Julia.

“Dua hari lepas aku perhati, patut sangatlah Dr. Ishak marah dan resah je beberapa hari ni, kau tak jadi buat temujanji tukan?”

Laju sahaja Zakiah menukar topik cerita mereka. Cepat betul dia kalau pasal nak memanjangkan tempoh hayat berbual mereka berdua. “Itu bukan salah aku, dia patut faham,” bisik Nika tidak mahu Dr. Julia dengar apa yang mereka bualkan.

“Nika, berikan pesakit ubat tahan sakit selepas jahit lukanya,” arah Dr. Julia yang membuka sarung tangannya.

Zakiah hanya mencebik lalu keluar dari situ. Doktor Julia juga turut keluar selepas kerjanya selesai. Tinggallah dia seorang diri membersihkan luka yang kini telah dijahit. Selepas meletakkan antiseptik dia membalut luka tersebut dengan kain pembalut. 

Sejurus selesai, dia berpusing hendak keluar…. bagaimanapun dengan tak sengaja dia terlanggar seseorang yang serentak membuka tabir beroda itu. 

Seperti tidak percaya, dia melihat Raylan Amr terpacak di depannya. Mata mereka bertentangan.

Insiden yang tak disangka-sangka antara dia dan Amr ‘si lelaki dingin’ gelaran yang Nika berikan setelah mereka tidak lagi bertemu di rumah besar sejurus kisah pertemuan kaku di atas tangga. Nika tergamam seketika sebelum tersedar dan menyebut. “Maaf..” lantas memberi laluan kepada Amr dengan perasaan curiga yang mahu ditanyakannya apa pula kaitan Amr menjenguk mangsa yang ditembak itu. Tetapi.. seperti biasa lelaki yang menjengkelkan itu langsung tidak menyahut dan hanya memandangnya sekilas cuma.

Pantas Nika beredar dari situ dan pergi mendapatkan ubat di kaunter seperti arahan doktor Julia tadi. Tetapi, entah kenapa dia berat hati hendak ke tempat dia bertembung dengan Amr lagi. Dia tak suka melihat riak ego Amr dan wajah serius lelaki itu, Nika berhenti melangkah. Kepalanya berpaling ke kiri dan kanan, bercadang hendak menyuruh Suzzie tetapi gadis itu tidak pula kelihatan. 

Akhirnya dia terpaksa pergi juga bila memikirkan yang itu merupakan suatu tugas yang tidak dapat dielak kerana tanggungjawab kerjanya. Dengan satu tarikan nafas Nika menyambung langkahnya.

Sewaktu dia menghampiri katil yang bertabir biru itu dengan tak semena-mena dia mendengar suara-suara kasar dan tegang dari dalam, entah serius atau tidak Nika tersentak mendengar.

“Aku akan laporkan kau pada polis Amr!!”

“Silakan! Bodoh!” jawab Amr. “Lakukannya, sekejap lagi polis sampai.”

Nika menggapai tabir dan membukanya, dua lelaki tadi berpaling laju padanya. Dia melihat tangan Amr sedang mencengkam kolar baju mangsa tadi hingga kepalanya terangkat sebelum melepasnya kasar. Nika memandang curiga. Dia ingin benar bertanya apa masalah mereka, bagaimanapun gari yang mengikat tangan mangsa tembakan itu jelas menandakan yang dia tidak ditugaskan untuk bertanya akan hal-hal begitu.

Amr mengerling tajam ketika dia memberi makan ubat penahan sakit pada pesakit yang baru sebentar mahu dicekiknya seolah-olah dia mahu pesakit itu diberikan suntikan beracun. Kecurigaan Nika semakin kuat. Lebih-lebih lagi selepas tahu Amr sedang bersama seorang lelaki bergari dan tidak ada pula kakitangan di situ yang melaporkan kalau-kalau dia salah seorang keluarga mangsa. Lepas memberi makan ubat cepat-cepat Nika beredar pergi.

Cuaca kebiruan gelap dan kehitaman samar-samar dapat dilihat dari celah tingkap wad ketika Nika menanggalkan jaket tebal lalu menyimpannya ke dalam loker. Syif kerjanya sudah tamat. Zakiah kemudian muncul entah dari mana. Tina dan Dewi juga sudah tiba. Dewi menyapa gembira menegur dia dan Zakiah bersedia mengambil alih tugas. Sejurus menandakan jam terakhir pada kad kehadiran dia dan Zakiah beriringan keluar.

Ketika perasaannya masih terganggu dengan kehadiran Amr di wad kecemasan itu. Percaya atau tidak… sekali lagi, di ruangan menunggu tempat beberapa orang pelawat masih duduk di bangku, Nika bertentang mata dengan Amr yang entah mengapa masih berada di kawasan itu. Lelaki itu sedang bersandar pada tiang bulat di pintu utama. Nika cuba untuk tidak mengendahkan dan mahu mengelak dari menyapa lelaki itu. Bagaimanapun, langkahnya terhenti bila mendengar namanya dipanggil.

“Nika!” 

Dia menyambut wajah suram Dr. Ishak yang terpamer jelas ketika menghampirinya.

“Boleh kita jumpa sekejap.”

Dia tahu apa yang lelaki itu nak bicarakan. Sudah tentu berkenaan dengan temujanji mereka yang terbatal minggu lalu. Nika berpaling sesaat pada Zakiah yang membuat isyarat akan menunggunya di dalam kereta.

“Boleh tak awak khabarkan pada saya kalau awak ada masalah lain…” luahnya berterus-terang.

Nika terkebil-kebil sebelum menjawab.

“Maaflah Ishak kalau pasal temujanji tu, saya ada masalah dan tak boleh elak,” jawabnya tapi tak sanggup hendak membahaskan masalah sebenar yang dia terpaksa bekerja di rumah majikan emaknya.

Namun, saat itu apa yang Nika perasan, bukan wajah resah Ishak di hadapannya sebaliknya renungan Amr dari jarak sepuluh langkah di belakang Ishak.

“Tak perlukah saya ambil tahu apa masalah awak Nika, bukankah itu penting,” kata Ishak lagi.

Oh Tuhan… adakah dia perlu beritahu pada Ishak yang emaknya dipukul oleh ayahnya seorang kaki judi dan pemabuk. Adakah Ishak akan memahami dan mahu menelan hakikat apa yang dilalui dalam hidupnya sekarang. Nika mengakui, selepas dia melalui saat-saat paling teruk dengan keluarganya dia harus mengambil kira perlu atau tidak tentang menjalin hubungan dengan Ishak berikutan taraf kehormat lelaki itu yang diketahuinya dari awal dan mampukah dia berhadapan dengan situasi sebegitu. Rasanya tidak!

“Tak ada apa-apa, saya ok,” putusnya lemah dan sayu.

“Nika..”

“Saya akan beritahu awak nanti, belum masanya untuk saya bincangkan perkara lain. Maaflah, saya balik dulu.. Zakiah dah tunggu,” dia sebenarnya bukan tidak mahu berada bersama Ishak lebih lama di situ tetapi dia tidak tahan dengan renungan mata Amr yang benar-benar aneh. 

Seolah-olah ada suatu perasaan yang sangat rumit berlaku ketika itu. Malah apabila Amr turut pergi dari tempatnya berdiri tadi, Nika sangat inginkan penjelasan kenapa dia merenung begitu sekali sedangkan sewaktu berada di rumahnya lelaki itu seakan benar-benar tidak mahu memandangnya. 

Sebelum masuk ke dalam kereta, Nika sempat berpaling pada Amr sekali lagi dan sumpah! Dia melihat lelaki itu masih memerhatikannya.

“Kenapa dia renung aku begitu!” rungutnya sendirian yang dapat Zakiah dengar dengan jelas.

“Siapa? Dr. Ishak?” tanya Zakiah pelik.

“Bukan. Amr.”

“Amr? Majikan mak kau?” tanya Zakiah dengan rupa terkejut.

“Siapa lagi. Dia asyik renung aku bercerita dengan Dr. Ishak. Dia dah tertelan pil dungu ke?”

“Tak.. pil angau. Mungkin ubat yang kau bagi dia hari tu buat dia jadi gila bayang dengan kau,” kata Zakiah sambil ketawa besar di sebelah Nika yang menggeram. 

“Zakiah!” deramnya. “Dia bukan begitu, aku yakin dia aneh. Ada yang tak kena dengan kemunculannya di rumah arwah Tuan Rahmad.”

“Baik kau tanya aje dia nanti, lebih jelas. Tak perlulah kamu berdua saling hairan. Lagipun rumah kamu berdua dekat aje pun.” 

Cadangan yang bernas sekali dari Zakiah. Nika menggerenyet hampir tidak menyedari mereka sudah pun sampai di kawasan rumahnya. “Baguslah tu. Terima kasih,” lantas Nika turun.

“Nika…” panggil Zakiah dari dalam kereta. “Dia dah balik tu,” muncungnya mengarah ke rumah besar lalu seronok ketawa gelihati dari dalam keretanya.

Nika turut menoleh dan melihat Range Rover hitam berkilat yang sedang parkir di halaman masuk dengan pemandu yang sangat menjengkelkan beberapa hari ini turun dari kereta.

“Kalau aku jadi kau Nika, aku pilih Amr sebab aku tak sanggup berdepan dengan mak Dr. Ishak tu! Amr pun tak kurang kacaknya.” 

(Mak Dr. Ishak? Dia tersengih. Terbayangkan wajah tegas pengarah hospital tempat mereka bekerja – seorang wanita perengus dan kuat marah.)

“Zak, agaknya kau pun dah termakan pil dungu!” sahut Nika dan mereka ketawa di situ.

Selepas Zakiah memandu pergi. Dia berjalan keseorangan ke lorong masuk yang redup dan sunyi diiringi satu perasaan aneh, seperti ada sepasang mata yang mengiringi langkahnya. Nika berpaling ke tingkap-tingkap banglo rumah besar itu tetapi dia tidak nampak pun sesiapa kecuali kaca jendelanya yang gelap. 

‘Ah! Perasaan mengarut’ kata hatinya, barangkali dia pun sudah tertelan ‘pil kurang waras’ hari ini. Atau mungkin juga kerana nama lelaki itu beberapa hari ini kerap muncul dalam benaknya. 

Sebenarnya, ada banyak perkara yang tidak jelas tentang Raylan Amr dan kenapa dia boleh terus mengingati lelaki yang baru muncul itu. Salah satunya, latar belakang Raylan Amr yang selama ini begitu kabur. Anak tunggal arwah Tuan Rahmad itu juga bukan membesar dalam rumah besar itu sebelum ini.

Nika mengeluh kecil. Kemudian dia melihat emaknya berjalan menuju ke rumah besar. Serta-merta hatinya runtun. Dia simpati pada mak yang seharusnya tidak perlu bekerja lagi. Namun dia gagal untuk mengelakkannya, semuanya kerana mereka masih menumpang di tanah arwah Tuan Rahmad. Emaknya pernah kata, ini sahajalah balasan budi yang dapat diberikannya pada keluarga itu atas jasa baik mereka selama ini. Langkahnya semakin perlahan saat pintu rumah berwarna coklat semakin jelas.

Bagaimanapun, Nika tidak terus masuk ke dalam rumah, sebaliknya ke pinggir laman untuk menyiram bunga-bunga yang diyakininya merupakan salah satu terapi untuk menenangkan hati.

“Nika!”

Tangannya yang sedang menyiram bunga terhenti. Dia berpaling benci melihat ayahnya. Hatinya masih terguris dan menyimpan segunung kebencian untuk lelaki yang sekarang tidak layak dipanggilnya ayah.

“Buat apa awak datang!” biadap benar mulutnya menyambut kedatangan ayahnya.

“Mana mak kamu!” 

“Mak tak ada di rumah dan mak tak mahu jumpa ayah!” tempelaknya.

“Tolong ayah Nika, ayah dalam kesusahan ni..” rayu ayah dengan wajah lelaki yang tidak berguna.

“Bukan Nika atau mak yang cari penyakit tapi ayah sendiri!”

“Ini penting Nika, kalau tidak ayah akan mati!”

“Jadi! Siapa yang perlu tanggung semua itu! Mak? Nika? Bukankah masa berhutang dengan mereka ayah dah tahu apa akibatnya. Jadi! Kenapa cari kami lagi, tak cukupkah dengan apa yang mak lalui!” Nika bengang dan marah. Dia malu hendak mengakui siapa lelaki yang pernah membesarkannya dengan kasih sayang dulu.

“Buat apalah kamu kerja kalau tak boleh tolong ayah sedikit pun! Itulah gunanya anak..” tempelak ayahnya dengan wajah bengis.

“Adakah Nika ni dilahirkan semata-mata untuk hidup susah dan menanggung kesalahan ayah seumur hidup!”

Pantas tangan sebesar pinggan hinggap ke pipinya. Sakit dan memilukan. Kepalanya terpaling ke sisi. Airmatanya gugur dengan rasa kebencian yang meluap-luap.

“Ah!!! Sudahlah!” pekik ayahnya lantas menghayun langkah pergi dan tidak lagi berpaling.

Nika masuk ke dalam rumah dan tersandar lemah pada belakang  pintu sambil memegang pipinya yang masih sakit. Kepalanya mendongak ke dada langit yang membiru tenang tidak seperti hatinya yang mengumpul rasa kemarahan dan benar-benar tegang. Dia masuk ke dalam rumah, masih terngiang-ngiang kata-kata ayahnya yang tak masuk akal. Tidak berfikir seperti seorang ayah dan tidak pernah mahu memikul tanggungjawab sebagai seorang pelindung untuk keluarganya.

“Nika.. Nika...” tiba-tiba saja mak menerjah masuk dengan wajah cemas. Mujur jugalah mak tidak keluar dari rumah besar itu sepanjang dia bercakap dengan ayahnya  tadi.

“Kenapa mak ke sini.. nanti ayah nampak..” kata Nika risau.

“Tak.. dia dah pergi, kamu tak apa-apakan nak?” 

“Tak payah risau, mak pergilah sambung kerja,” katanya lagi.

“Ayah kamu nak apa?” 

“Duitlah.. apa lagi yang dia perlukan selain duit! Dia takkan berubah, sampai masanya kita kena lepaskan dia mak,” luah Nika dengan mata yang bergenang, tangannya segera mengesat airmata dan nekad untuk menguatkan hati.

“Mak nampak dia pukul kamu tadi. Tuan Amr pun nampak, tu yang mak risau,” beritahu emaknya sambil mengusap pipi Nika dan memberitahu ada kesan kemerahan di pipinya. 

“Tak apa.. Nika okey.”

“Berehatlah nak.”

Nika mengangguk lemah. Mak masih risau tapi dia berkeras mengatakan yang dia tidak apa-apa dan menyuruh emaknya menyambung kerja. Maknya terpaksa akur. 

Tetapi belum pun jauh maknya pergi dia terdengar suara seseorang yang sangat janggal kedengarannya. Hatinya tersentak.

“Ada apa-apa yang perlu saya bantu,” ujar suara itu dari luar yang mendorong Nika menjenguk dari tingkap tepi pintu. Dia mengintai dari celah langsir yang diselak sedikit dengan perasaan tidak menyangka Raylan Amr berdiri di situ sedang bercakap dengan mak.

“Eh! Tuan, err… semuanya baik..” beritahu emak.

“Dia tak apa-apa?”

Mata Nika terbuka besar, adakah dia tersalah dengar atau cuba mereka-reka cerita yang lelaki itu baru saja bertanyakan keadaannya. Memang benarlah firasatnya, lelaki dingin ini sering memerhatikannya dari rumah besar dan pastilah kejadian tadi sangat menarik perhatiannya hingga mendorong Amr ke situ untuk mengetahui keadaannya. 

Kedengaran suara mak menjemput lelaki itu masuk. 

 Nika bersumpah dari belakang pintu yang dia tidak akan membukakannya untuk lelaki sombong itu. Mujurlah Amr menolak pelawaan emaknya dan berjalan ke hadapan sebelum berpaling ke arah tingkap tempat Nika mengintai tadi. 

Ada pengertian yang tidak difahami dari cara dia menoleh…




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku