Spy Hati Dari Chantilly
Prolog1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Januari 2018
Andai Harus Memilih..Hidup Bahagia Atau Hidup Dalam Bahaya
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
99

Bacaan






Tahun 1989 – Selatan Ysvjerk, Rusia…

 

TAPAK ujian 3. Itu sekadar nama untuk mereka. Tanpa apa-apa makna.Tanpa apa-apa perasaan melihat hampir 3000 orang penduduk pekan kecil di Selatan Rusia itu menjalani kehidupan seharian. Rata-rata daripada mereka masih berladang dan ada yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Dia menoleh ke arah lelaki di sampingnya. Lelaki itu sekadar tersenyum menatap skrin di hadapan mereka. Skrin yang memaparkan imej perkampungan itu. Ada anak-anak kecil yang berlari-lari anak, bermain, langsung tidak menjejaskan senyuman sinis di wajah lelaki itu.

Prodolzhat,” ujar lelaki itu, memberi arahan agar mereka bertindak segera.

Seorang lelaki bertubuh besar menyarung baju seragam, mengangguk pada lelaki itu. Lelaki itu segera menekan suis pada panel kawalan di hadapannya yang bertindak sebagai transmitter.

Di tengah-tengah pekan kecil itu, kesibukan mereka terhenti dengan bunyi dengungan entah dari mana.Gempa kecil menggegar membuatkan seisi kampung mula dicengkam kepanikan.

“Johanna...” Lelaki itu berpaling ke arahnya.

Dia tergaman. Renungan lelakiitu agak lama di wajahnya, membuatkan dia serta-merta gusar. Kenapa lain macam sungguh pandangan lelaki itu terhadapnya?

Tetapi belum sempat dia mahu memikirkannya, bunyi jeritan kuat membuatkan anak matanya kembali terpaku ke arah skrin di hadapannya. Di perkampungan yang tadinya terang benderang disinari cahaya matahari kini diselaputi kabus tebal entah dari mana datangnya.Kabus putih itu memenuhi segenap ceruk perkampungan itu. Tidak mengambil masa yang lama, dari kabus tebal terpercik sinaran cahaya yang menyilaukan pandangan. Bunyi dengungan itu semakin kuat.

Dia menahan nafas. Menggigil dengan apa yang sedang disaksikannya.

Matanya terus terpaku pada skrin. Kegelapan yang kini melanda kampung itu umpama malam yang tidak berbulan. Kabus itu seolah-olah menutupi segala-galanya. Tiada lagi cahaya,tiada lagi sumber elektrik, sebaliknya hanya ada jeritan demi jeritan sebelum setiap daripada penduduk kampung itu jatuh bergulingan satu per satu. Dan satu pembersihan beramai-ramai telah berlaku tepat jam 3.15 petang di kampung kecil di selatan Rusia itu.

Hatinya terbakar. Degupan jantungnya kencang sekali. Fenomena luar biasa itu mencengkam dirinya. Deburan nafasnya bergelora. Ikutkan hatinya, ingin sahaja muncung pistol yang terselit di pinggangnya dikeluarkan, sedia untuk memuntahkan laharnya ke arah lelaki itu. Namun dia masih ingat tujuan utamanya ke situ. Arahan pihak atasan tidak boleh dibangkang sesekali atau buruk padahnya.

 

Beberapa bulan kemudian…

 

KEBAKARAN di bangunan itu berlaku dengan pantas sekali. Asap tebal menyelubungi ruangan itu se hingga dia gagal melihat apa-apa. Dia menjerit memanggil orang-orangnya tetapi sebaik terpandang sesuatu, darahnya berderau.Tidak jauh dari situ terdapat puluhan orang-orangnya yang terkulai layu dengan kesan tikaman dan kelaran di merata bahagian anggota badan. Dia segera menekan loceng penggera, mahu memberi amaran pada yang lain-lain kerana jelas ternyata sarang operasinya telah diserang hendap oleh sekumpulan penceroboh.

Matanya tiba-tiba terbuntang luas. Segera teringatkan sesuatu. Zeus! Dia segera berlari ke tingkat atas. Ke arah pejabatnya yang dilengkapi dengan peti besi, tempat di mana dia menyimpan senjata paling berbahaya di dunia. Zeus! Senjata biokimia yang mempunyai kesan pemusnah yang dahsyat. Tidak ada radiasi yang meninggalkan kesan yang lama di udara, kerana kesan Zeus hanya sebentar sahaja. Mana-man orang yang terhidu kabus Zeus, organ-organ dalaman mereka akan terbakar sebelum kulit mereka melepuh dan cair. Sama seperti mereka terdedah kepada radiasi yang amat tinggi.

Sampainya di pejabatnya,apa yang disaksikannya membuatkan mulutnya melopong. Matanya segera dilarikan kearah peti besi di biliknya.Kosong!

Serentak dia melaung dan menjerit sekuat hati. Tempikannya bergema dan bergempita. Marahnya berapilantaran menyedari ada seseorang yang begitu berani mencuri darinya.

“Bos…” Muncul beberapa orang askar-askarnya dalam keadaan termengah-mengah.

“Cari siapa yang buat semua ni. Cari orang yang berani mencuri daripada aku. Kalau aku jumpa dia, aku akan siat-siat kulitnya untuk makanan buaya aku!” bentaknya.

“Jo…Johanna, bos.”Tergagap-gagap salah seorang askarnya menyebut.

Dia berpaling.

 “Johanna yang buat semua ni bos, dia yang bunuh semua orang-orang kita.”

Mendidih darahnya mendengar kata-kata lelaki itu. Perempuan itu orang kepercayaannya selama ini. Berani perempuan itu mencuri Zeus daripada tangannya?

“Mana dia sekarang? Cari dia sampai dapat!” tempiknya sekuat hati.

“Kita kena lari bos,bangunan ni dah teruk terbakar,” pujuk askar-askarnya.

Dia senyap. Asap-asap dari ruangan bawah terbakar sudah sampai sehingga ke atas. Hendak tak hendak dia terpaksa beredar.

“Kita keluar ikut situ.”Salah seorang askar menunjuk ke arah sebuah tingkap di bilik belakang.

Mereka semua meluru ke situ. Sebahagiannya melindungi majikan mereka daripada ancaman, manakala yang lain asyik mengumpil tingkap yang sudah lama tidak dibuka dan digunakan.

Bunyi tembakan meletus dari suatu arah. Para askar itu segera berlindung. Bersedia menghadapi ancaman yang tidak kelihatan dari arah hadapan. Majikan yang lebih penting telah pun terlebih dahulu dikubu biar selamat.

Mata mereka masih cuba menembusi apa sahaja yang mungkin bersembunyi di dalam asap tebal di hadapan mereka.

“Bunuh walau siapa sahaja dia,” bisiknya, memberi arahan pada orang-orangnya agar segera bertindak.

Lelaki-lelaki itu hanya mengangguk. Tiba-tiba suatu objek tergolek ke arah kaki mereka. Masing-masing terpaku. Memerhatikan ke arah objek bulat yang mendarat betul-betul di hadapan ketua askar tadi. Beberapa saat berlalu, satu letupan besar kedengaran. Dia yang berada paling hampir ke arah tingkap kini terpelanting ke luar jendela,meranapkan hampir sebahagian tingkat dua itu yang kini marak dijilat api.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog1 | Prolog2 | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku