Spy Hati Dari Chantilly
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Januari 2018
Andai Harus Memilih..Hidup Bahagia Atau Hidup Dalam Bahaya
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
447

Bacaan






PUAS Puan Zarina mengetuk pintu bilik Darlina, tetapi anak gadisnya itu hanya membatukan diri. Dia tahu Darlina masih di dalam, terjeruk hati dengan apa yang telah berlaku hari ini. Mereka terpaksa meminta tetamu beredar lebih awal. Lagi pula untuk apa tetamu masih berada di situ walhal tidak ada pernikahan dijalankan hari itu. Semuanya telah dibatalkan. Darlina sendiri enggan meneruskan majlis hari itu walhal dipujuk berkali-kali.

Melihat Darlina terus menyepi, dengan wajah sedih Puan Zarina beredar. Di ruang tamu dia menemukan wajah suaminya yang gelisah dan wajah Farid yang muram. Hatinya sedikit belas melihat Farid. Dia tahu dalam hal ini Farid tak bersalah. Ini semua kerana cinta tak berbalas Suri Imani terhadap Farid. Memang selama ini dia tahu Suri Imani yang mempertemukan Darlina dan Farid. Cuma yang dia tidak tahu anak bongsunya itu turut jatuh cinta pada Farid.

“Lin macam mana?” tanyaTuan Megat Hasanuddin sebaik terpandang kelibat isterinya.

Puan Zarina sekadar menggeleng.

“Huh, ni semua sebab anak bertuah tu punya fasal.” Tuan Megat Hasanuddin melempiaskan marahnya.

“Betul, antara kamu dan Suri tak ada apa-apa, Farid?” soal Puan Zarina, lembut.

Farid tersentak. Haruskah dia bersumpah baru Puan Zarina mahu mempercayainya?

“Saya memang ambil berat fasal Suri selama ni, auntie. Tapi tu semua hanya perasaan biasa. Sikit pun saya tak ada perasaan apa-apa pada Suri.Malah selama ni Suri tak pernah cakap apa-apa pun tentang semua ni. Percayalah auntie, dalam hati saya hanya ada Darlina,” tukas Farid, tegas.

Puan Zarina dan Tuan Megat Hasanuddin saling berpandangan. Pengakuan Farid membuatkan masalah yang datang tidak juga selesai. Darlina sudah tidak ada mood mahu meneruskan pernikahan ini. Suri Imani juga tidak mahu membuka pintu bilik sama seperti kakaknya. Jika kedua-duanya tidak mahu berbincang, bagaimana masalah ini mahu diselesaikan?

 “Kamu baliklah dulu Farid, biar uncle dan auntie bincang dengan Lin dan Suri,” ujar Tuan Megat Hasanuddin.

“Tapi saya kena bercakap dengan Lin, uncle. Saya nak jelaskan semua ni pada dia,” ujar Farid gelisah.

“Sekarang bukan masanya.Kamu baliklah dulu, pujuk ibu bapa kamu. Uncle percaya mereka pun tengah susah hati sekarang. Sampaikan salam dan maaf kami sebab perkara yang terjadi hari ni,” pinta Tuan Megat Hasanuddin.

Farid terdiam. Hendak tak hendak dia terpaksa akur. Dengan hati berat dia meninggalkan rumah Tuan MegatHasanuddin bersama masalah yang sarat di kepala. Darlina tentu merajuk panjang dengannya. Suri Imani juga. Kenapa semua ini boleh berlaku? Apa silapnya? Keluh Farid di dalam perut kereta.

 

DARLINA memejamkan mata rapat-rapat. Air matanya sudah tidak mampu mengalir lagi kerana sepanjang malam itu dia menangis sehingga matanya bengkak.

Pengakuan Suri Imani sebentar tadi mengejutkan dirinya. Dia tahu dua tiga menjak ini Suri Imani tidak banyak berbual dengannya. Gadis itu kadangkala dingin terhadapnya. Berbagai andaian meniti di fikiran dengan sikap aneh adiknya itu. Tapi dalam banyak-banyak perkara yang difikirkannya, apa yang Suri Imani cakapkan di majlis tadi adalah sesuatu yang paling tidak disangka-sangkakan.

Dalam dia sibuk melayan perasaan, muncul bunyi riuh-rendah di luar biliknya. Dia memasang telinga.Seperti ada bunga-bunga pertengkaran berlaku di luar membuatkan Darlina tertarik ingin ikut sama mendengar. Mendengar suara bising-bising ayahnya dan tangis mamanya, Darlina sudah tidak mampu menahan sabar. Dia keluar dari biliknya lalu berpapas pandang dengan Suri Imani. Gadis itu membawa beberapa buah bagasi bersamanya.

“Ayah? Mama? Kenapa ni?Suri?” Darlina tercengang-cengang sejenak.

Suri Imani tunduk. Tidak berani mengangkat muka.

“Suri nak ke mana dengan beg-beg ni semua?” soal Darlina ingin tahu.

“Dia nak keluar dari rumah ni. Dia ingat mudah duduk kat luar seorang diri? Makan pakai tak terjaga. Kalau apa-apa jadi macam mana?” bebel Tuan Megat Hasanuddin, kesal. Sempat menjeling si isteri yang sudah merah menyala matanya.

Darlina tersentak mendengar kata-kata ayahnya. Suri Imani nak pindah keluar?

“Betul ke apa yang ayah cakap tu? Kenapa Suri nak pindah? Sebab kakak?” duga Darlina, lembut.

Suri Imani mengangkat wajah memandang Darlina. Sejak dulu, dia tak mungkin dapat menandingi kelembutan dan sifat luhur kakaknya Darlina. Kerana itu agaknya ibu bapa mereka lebih menyayangi Darlina berbanding dirinya. Malah Farid juga memilih Darlina sebagai bakal isteri.

“Suri tahu kakak benci Suri. Semua orang pun benci dengan Suri sebab apa yang dah Suri buat hari ni.Suri dah rosakkan majlis kakak. Suri conteng arang di muka keluarga kita. Jadi kakak jangan pura-pura yang kakak ambil berat fasal Suri. Just let me leave,”pinta Suri Imani.

“Kakak tak benci Suri.Kakak cuma rasa bersalah sebab selama ni kakak tak faham hati adik kakaksendiri. Kakak tak tahu yang selama ni Suri sayangkan Farid. Kakak patut tahu semua tu bila Suri bawa Farid datang rumah kita tiga  tahun dulu. I’m so sorry,” bisik Darlina,sebak.

“Tapi sekarang kakak dah tahu apa yang Suri rasa, kan? Suri rasa terseksa bila tiap-tiap hari Suri terpaksa berpura-pura baik di hadapan kakak, berpura-pura tabah di hadapan semua orang sedangkan hakikatnya Suri benci kakak kerana merampas Abang Farid.I hate you so much sis,” balas Suri Imani, sebak.

“Kalau tu yang Suri rasa,maafkan kakak. Kakak tak nak hilang adik kakak kerana seorang lelaki. Suri jangan risau, kakak takkan kahwin dengan Farid,” ujar Darlina seperti nekad.

“Lin, apa kamu cakap ni?”Tuan Megat Hasanuddin terkejut. Puan Zarina juga ikut terpempan.

“Kakak sanggup tak kahwin dengan Abang Farid sebab Suri?” Wajah Suri Imani membayangkan kejutan.

Darlina mengangguk lalu merangkul tubuh itu erat ke dalam pelukan. Suri Imani satu-satunya adik yang dia ada. Mana mungkin dia akan mengabaikan hati gadis itu. Meski dia mencintai Farid sekalipun, cintanya tak boleh dibandingkan dengan kasih sayangnya terhadap Suri Imani. Takkan! Dan malam itu mereka tenggelam dengan tangisan.

 

SURI Imani mengesat air mata yang mengalir lebat di pipi. Teringat kisah tiga bulan lalu yang merenggangkan jaraknya dengan ibu bapanya sendiri.Kerana Darlina, dia melarikan diri. Hatinya terasa amat malu kerana melakukan sesuatu tindakan yang cukup drastik dan bodoh. Bagaimana dia mampu berdepan dengan Darlina lagi setelah dia merosakkan kebahagiaan kakaknya?

Beberapa minggu yang laluSuri Imani sengaja datang ke pejabat ayahnya. Agak lama dia menanti di luar semata-mata mahu melihat keadaan Darlina. Tetapi wajah yang selalu tersenyum itu kelihatan muram benar. Gelak ketawa kakaknya seperti sudah mati. Darlina yang periang sudah tidak wujud lagi. Semua kerana angkaranya.

Ya ALLAH! Apa yang dahaku buat? Bagaimana boleh aku tebus semua ni? Bisik hati kecil Suri Imani dalam kepiluan. Kesal bagaimanapun dia, semua kerosakan yang dilakukannya sudah tidak boleh dipulihkan lagi.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog1 | Prolog2 | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku