Gila
BAB 2
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 05 Januari 2018
Kehidupan Humiara berubah 180 darjah bila dia dihantar untuk berkhidmat sebagai doktor pesakit gila di sebuah pulau terpecil terperosok jauh dari tanah besar. Di sini dia bertemu dengan seorang lelaki bernama Emir, seorang suspek pembunuhan kejam yang dipercayai mempunyai penyakit mental. Namun setelah beberapa sesi pertemuan, Humaira sangsi dengan Emir. " Doc, kau percaya tak aku tak gila?" - Emir. Pulau Aman, tidak seaman namanya. Penuh dengan misteri dan muslihat. Siapa Emir yang sebenarnya?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
259

Bacaan






" Engkau dah gila? Apa kerja gila yang kau  buat ni tiba - tiba nak bekerja dengan orang gila pulak ni? Kau tahu, lama - lama kau duduk dengan orang gila. Silap hari bulan dengan kau boleh gila." Bebel si ayah.

" Ayah ni, nanti Maira betul - betul gila kang baru tahu." Muncung Humaira. " Orang tu nak ambil anak ayah ni bekerja pun dah cukup bagus tau. Bukannya nak bagi semangat ke apa." Sambung Humaira dengan nada merajuk.

Kamal mengeluh berat, makin berat pula sakit kepalanya. Sudahlah dia harus memikirkan perihal anak bongsunya yang kurang istimewa itu, ditambah lagi dengan berita anak perempuannya mahu jadi doktor gila.

Paling dia risau bila Humaira terpaksa ke pulau puaka yang orang kampung heboh tak elok tempatnya itu. Dengarnya, di situ memang penempatan orang gila saja. Bukan seorang dua doktor yang akhirnya jadi gila setelah beberapa bulan di sana. Tidak kurang juga hilang jejak begitu saja.

" Orang lain jadi doktor, kerja spital, rawat pesakit. Ini tidak." Kamal termenung. Rokok daun yang digumpal tadi ditarik Humaira. Mukanya membungkam.

" Maira rawat pesakit juga ayah. Cuma bezanya." Ayatnya tidak habis.

" Bezanya... Dia orang tu sakit otak. Banyak bezanya tu Maira." Kerut dahi Kamal. Bukannya dia bodoh. Dia pun sekolah ada SPM juga. Rokok daun di tangan Humaira dia cuba tarik tapi tidak berjaya bila Humaira lebih tangkas melarikan tangannya.

" Ini bukan alasan ayah nak merokok lagi. Ayah, izinkanlah Maira bekerja. Humaira kuat iman. Orang - orang gila ni tak mampulah gilakan Maira. Maira kan kuat!" Pujuk Humaira. Kakinya dihentak - hentak kecil seperti anak kecil minta coklat. Semoga suara lembutnya dapat menyejukkan hati orang tua itu.

" Biarlah dia nak kerja abang oi. Tak ada masalah pun. Itu kehendak dia. Kita mak bapak ni sokong aje." Sokong Wahida yang sejak tadi sibuk melipat timbunan baju Humaira yang ingin dikemaskan ke dalam beg pakaian di ruang tamu. Jelas terbit senyuman dibibir Humaira. Yes! Ada jugalah yang menyokong.

" Awak cakap senang la Ida oi. Risau saya dibuatnya. Ini anak sulung kita ni. Anak yang sihat tubuh badan. Sihat otak. Anak emas saya, bukan macam si Huzair tu. Satu apa pun tak boleh pakai." Bantah Kamal. Kamal ni memang keras kepala orangnya. Tak boleh orang pangkah. Bila dia kata A, A lah jawapannnya. Mujur Humaira tidak mengikut jejak keras kepala ayahnya. Kalau tidak, huru hara jadinya.

Angin dari luar rumah terburu - buru masuk dari pintu hadapan, semacam tahu berantakan yang bakal berlaku. Kuat semacam saja.

" Abang! Awak ni kan, apa salah si Huzair tu yang sampai ke hari ini awak masih tak senang dengan kehadiran dia dalam keluarga kita ni? Anak syurga tu, awak ingat sikit." Pesan Wahida pada suaminya yang keras hati.

Malas masuk campur, Humaira mencelah sebaik saja otaknya geliga membuah idea bernas. Dia tarik tangan keringat tua ayahnya seraya dia memandang dua pasang mata kuyu itu penuh yakin.

" Ayah, kalau Maira tak pergi nanti Maira punya sijil sarjana muda itu dah tak boleh pakai dah. Expired! Nanti sampai ke tua Maira tak boleh keje. Haaa... Siapa susah?" Haraplah umpan dia menjadi.

" Expired?" Humaira terus mengangguk dengan bukaan matanya yang besar. Perlu nampak terdesak. Baru la betul.

" Ya ayah, alah... Lagipun, bukan Humaira duduk kat situ bertahun - tahun pun. Nanti Humaira balik la sini, tiap - tiap minggu. Boleh ya ayah?"

Bunyi hon motorsikal Pak Sailan mengejutkan ayah dan Humaira. Cepat - cepat dia cari selipar masjidnya. Humaira ditinggalkan terpinga - pinga tanpa jawapan. Begitulah kebiasaannya, Kamal akan menumpang motor Pak Sailan ke masjid hujung kampung untuk pergi mendengar ceramah. Iyalah, nak jimat minyak kereta. Motorsikal tak ada. Bawa motorsikal lagi tak reti.

" Ayah! Esok Maira bertolak tau!" Jerit Hamaira. Sejurus itu, dia layarkan pandangannya pada ibunya.

" Nanti dia okaylah tu. Macam tak kenal aje ayah kamu tu." Kata Wahida. Tangannya masih sibuk melipat baju. Bila anaknya duduk di hadapannya barulah dia angkat muka.

" Nanti kamu dah tak ada, siapalah nak bergurau dengan si Huzair tu. Dia kalau tak ada kamu, termenung saja kerjanya." Pandangannya jatuh ke dalam bilik yang daun pintunya terbuka separuh. Kelihatan seorang lelaki sedang nyenyak dalam tidurnya.

Humaira juga memandang ke arah punca yang sama sebelum dia mengalihkan pandangannya pada ibunya. " Jangan risau ya ibu, nanti Maira terangkan kat Huzair. Mesti dia faham. Nak - nak kalau Maira umpan dia dengan mainan." Humaira koyak satu senyuman. Wahida mengangguk senang.

Kalau dia sudah pergi. Semua bebanan menjaga Huzair yang cacat tubuh badan itu pasti ditanggung ibunya. Ayahnya memang jauh sekali mahu menolong. Entah apa yang membuatkan dia masih tidak dapat menerima kenyataan anak bongsunya itu cacat. Hatinya dirundum sebak bila dia memikirkan perkara itu. Kejam tapi itulah ayahnya.

***

Pukul 5.30 pagi, Humaira dikejutkan dengan bunyi bising di dapur. Bunyi senduk besi dan kuali itu berjaya memecah kesunyian pagi. Apalah yang dibuat ibunya pagi - pagi begini. Biasanya pukul 6 pagi baru buka mata. Humaira termangu - mangu seketika. Matanya yang kabur digosok - gosok lalu dia mengeliat. " Ahhh, takut pulak tiba - tiba."

Humaira lontar pandangannya ke arah bagasi besar dihujung dinding. Hari ini, hari pertama dia bekerja. Jadi padanlah hati dia berdebar - debar.

Dia bangun keluar dari biliknya untuk menuju ke bilik air yang terletak bertentangan dengan biliknya. Bila dia keluar, dia nampak kelibat seseorang di dapur dan bila dia mengamati susuk tubuh itu, ternyata bukan ibunya berada di dapur tetapi ayah. Perlahan - lahan, kakinya menapak ke hujung dinding.

Kelihatan ayahnya asyik bertarung dengan minyak panas yang memercik dek nugget ayam yang digorengnya. Ke kiri dan ke kanan badan Kamal cuba mengelak dari terkena minyak panas. Humaira menahan tawa. Kalau begini awal ayahnya bangun mengoreng sarapan kegemarannya, maknanya dia merestulah dia bekerja.

Usai membersihkan diri, Humaira intai lagi sekali di dapur. Kelibat ayahnya sudah tiada di layar pandangannya. Dah masuk bilik la tu. Dia mendekati saji yang tertutup di atas meja makan. Bila dia buka saji, dia lihat ada empat biji nugget ayam di dalam pinggan dengan satu keping kertas diletakkan di bawah pinggan.

Jaga diri, ayah izinkan kamu pergi. Kerja elok - elok. - Ayah.

Romantik juga ayahnya ini. Humaira tersenyum meleret. Alangkah bagusnya kalau dia punya teman lelaki. Apa agaknya riaksi si teman lelakinya kalau dia tiba - tiba perlu berenggang seperti ayahnya? Bunga ros merah? Teddy bear? Atau-

Humaira melangguk kepalanya ke depan bila dia terasa kepalanya sakit seperti dipukul sesuatu. Cepat tangannya naik mengosok - gosok tempat terasa sakit.

" Berangan je keje! Cepat la siap. 7.30 awak tu nak ke jeti. Kang lambat pula. Sudahlah hari pertama ni." Pesan Wahida bercekak pinggang. Memang pantang betul dia lihat Humaira berangan. Boleh sampai ke bulan jauhnya. Berlari Humaira masuk ke bilik dibuatnya.

***

Dari jauh, dia sudah nampak sebuah bot hitam berbelang emas menunggu di jeti. Dia menelan air liur melihat beberapa orang lelaki yang berdiri tegak di dalam bot. Semuanya segak - segak memakai kemeja dan seluar slack hitam.

" Seram pulak ibu tengok bot tu Maira. Macam bot kongsi gelap aje." Ujar Wahida dengan kepalanya terjenggul - jenggul dari dalam kereta.

" Ish, ibu ni. Memang warna rasmi diaoranglah. Apa pulak macam kongsi gelap." Humaira membetulkan persepsi ibunya. Padahal dia pun seram juga tengok bot hitam itu sebenarnya.

Kereta diberhentikan di hujung jeti. Bila Humaira turun dari kereta, ada beberapa orang lelaki mendekati keretanya. Kamal naik seram bila bonetnya dipegang seseorang. Tanpa banyak bicara, lelaki yang memegang bonet itu menarik keluar bagasi besar Humaira.

" Oh cakaplah nak angkat beg. Ini tidak diam je. Terkejut pak cik." Ujar Kamal sambil tersengih. Lelaki tadi hanya mengangguk saja sebelum dia bawa bagasi itu ke atas bot.

Humaira berdiri tidak jauh dari bot. Usai memeluk ibunya, dia toleh ke arah ayahnya. Pandangannya lesu bila dia lihat kedua - duanya. Kamal pula memegang erat tangan Humaira. Rasa tidak sedap hati mula menusuk pangkal jantungnya hinggalah dia disapa seorang lelaki tinggi lampai berbaju kemeja putih.

" Jangan risau pak cik, anak pak cik selamat. Lagipun, kami semua ni orang kerajaan." Ujar lelaki itu seperti dapat membaca resah yang bersarang di hati Kamal. Kamal yang mulanya ragu - ragu mula menghadiahkan satu senyuman lega pada Humaira.

" Baiklah, jaga diri. Erm, encik ni -."

" Oh saya, Fahrin. Saya salah seorang doktor di Pulau Aman. Anak pak cik ni, Humaira kan?" Lelaki kulit sowo matang itu memperkenalkan diri seraya menghulurkan tangannya pada Kamal.

Kamal mengangguk seraya dia menyambut kemas tangan Fahrin.

Humaira mendongak mencari sepasang mata milik Fahrin. Bila mata mereka bersambung, dadanya mula bergoncang. Handsome! Puji hatinya.

" Cik Humaira jom. Pukul 8 kena punch card." Kata Fahrin bila dia mempersilakan Humaira naik ke atas bot. Humaira cuba merakam wajah pemilik bibir sempurna itu dalam mindanya. Buat berangan nanti. Nakal!

Bila kakinya mendekati bot, Humaira dengan berat hati melangkah ke atas bot. Bila dia dengar bunyi enjin bot mengaum, dia bangun melambai - lambaikan tangannya pada kedua - dua ibu bapanya. Rasa sebak mula menyerang. " Ibu ayah! Jaga diri! Jaga Huzair baik - baik!" Pekik Humaira meskipun dia sendiri tidak pasti sejauh mana suaranya didengari.

Fahrin yang duduk bersebelahan dengan Humaira hanya tersenyum herot. Ah... Drama pula pagi - pagi ni. Bisik hati kecilnya. Anak matanya galak memandang Humaira dari atas ke bawah. Tubuh Humaira yang berbalut cantik dengan baju kurung bunga kecil merah jambu itu mula dia lurut satu persatu.

Humaira yang asyik mengelap hidung itu dek menahan hidung yang berair sempat menangkap Fahrin yang sedang asyik memandang ke arahnya.

" Encik pandang apa?" Humaira periksa pakaiannya. Kotor ke? Tidak semena, Humaira peluk tubuhnya sendiri.

"Hmm, seronok juga ada doktor perempuan macam ni. Taklah boring sangat nanti." Tak sedar terkuat pula hatinya membisik kali ini. Sekali lagi pandangannya bertaut. Tapi riak wajah Humaira kali ini memang terkejut.

" Hah? Apa dia?" Humaira menegur. Keningnya bercantum.

" Awak tahu ke Pulau Aman ni apa?" Fahrin mengaju soalan. Fikiran nakalnya tadi tinggal tergantung. Ah! Dah buka sampai pusat tadi! Bentak hati jantannya tak keruan.

Humaira tarik satu senyuman dan senyuman itu entah kenapa membuatkan fikiran Fahrin merewang jauh. Cantik.

" Hah? Mestilah tahu,  pusat rehabilitasi pesakit mental. Ditubuhkan pada tahun 2000. So maknanya, dah 18 tahun beroperasi. Dengar cerita, tempat ni memang misteri siket tapi Maira percaya, tempat ni bukan yang diaorang fikir. Apatah lagi tempat ni di pantau kerajaan." Panjang lebar bicara Humaira.

" Maira?" Fahrin yang mendengar hanya mampu ketawa kecil sebelum dia melarikan pandangannya ke arah laut kosong.

Dia ni nampak sangat tak tahu yang pulau ni semuanya lelaki je yang huni.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
BAB 1 | BAB 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku