Kisah di malam hari
Kisah di malam hari
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 06 Januari 2018
Penilaian Purata:
436

Bacaan






Azira mempercepatkan langkahnya. Tinggal beberapa langkah lagi sebelum dia tiba di hadapan rumah kakaknya yang ditumpangi ketika ini buat sementara waktu. Sudah sebulan Azira berulang alik dari rumah kakaknyake tempat kerja memandangkan rumah itu berdekatan dengan pengangkutan awam yang memudahkan untuk Azira pergi ke tempat kerja setiap hari sebagai pembantu klinik.

Sebenarnya Azira berasa segan untuk tinggal lama disitu memandangkan kakaknya sudah berkahwin dan kini mempunyai seorang cahaya mata yang masih bayi. Walaupun begitu kakaknya itu bersungguh benar agar dia tinggal di situ sekurang-kurangnya ada teman untuk di bawa berborak memandangkan suami kakaknya itu bekerja mengikut shift yang tidak menentu.

            “Ala,mengaku je la yang Kak Ayu tu takut tinggal sorang-sorang kat rumah sebab takut hantu kan.Kak Ayu kan memang sejak dulu takut hantu.” Azira sempat mengusik kakaknya tetapi hanya dibalas senyuman oleh Kak Ayu. Ada-ada sahaja Azira ini tetapi Kak Ayu tidak pula mengambil endah kata-kata adiknya itu kerana dia tahu Azira memang kuat menyakat.

       “Kak Ayu jangan takut kak. Bila Zira ada kat rumah ni,hantu pun lari.” Azira menyambung lagi kata-katanya lagipun bukan dia hendak membangga diri. Dia sudah biasa tinggal sorang-sorang di rumah sebelum ini dan tiada apa perkara pelik pun yang berlaku.

            Jam ketika itu menunjukkan jam 10.30 malam. Azira memandang ke kiri dan kanan rumah dan kelihatan beberapa rumah yang sudah gelap gelita. Awal juga penghuni rumahdi situ tidur, getus hati Azira.

            Ketika sedang menanggalkan kasut di hadapan pintu, Azira lihat anak jirannya yang berusia 12 tahun masih berada di luar rumah sedang menantikan kepulangan ibubapanya barangkali.Azira melirik ke arah ruang parkir yang masih kosong menandakan kedua ibu bapa kanak-kanak itu masih belum pulang dari kerja. Timbul rasa simpati di hati Azira mengenangkan kanak-kanak itu keseorangan di rumah. Sempat kanak-kanak yang bernama Azri itu menegurnya.


“Baru balik kak? “tegur Azri, kanak-kanak yang sememangnya agak peramah itu.

            Azira hanya membalas pertanyaan Azri dengan anggukan dan senyuman sahaja. Sebenarnya dia sudah terlalu penat dan hanya memikirkan untuk baring di atas katil sehinggakan dia berasa malas pula untuk berborak lebih lama dengan Azri.

            “Anak buah akak asyik nangis je siang tadi. Dia tak sihat ke kak?” tanya Azri lagi sengaja memancing Azira untuk berborak dengannya. Memandangkan rumah mereka hanya dipisahkan dengan dinding maka Azri dapat mendengar dengan jelas bunyi tangisan anak buah Azira.

            “Aah,dia demam agaknya.” Balas Azira acuh tak acuh sambil tangannya ligat membuka tali sandal yang sedikit terpintal.

            “Oo,patutla nampak mereka keluar tadi” Azri mengangguk-angguk.

            “Kak masuk dulu ye.” Azira terus masuk  kedalam rumah dan menutup daun pintu selepas melihat anggukan Azri.

            “Hmm,gelapnya..” Azira menggapai-gapai tangan mencari suis lampu dan sebaik sahaja suis ditekan, keadaan menjadi terang benderang. Memang kakaknya itu suka memadamkan lampu di bahagian ruang tamu rumah ketika waktu menjengah tengah malam. Oleh sebab itu Azira sudah terbiasa dengan keadaan itu tetapi ini sampai ke bahagian dapur gelap gelita.

***

Sebelum masuk ke dalam bilik, Azira perlu masuk kedalam bilik air terlebih dahulu untuk mencuci kaki dan dia sempat melirik ke arah bilik Kak Ayu iaitu kakaknya yang menyala. Kedengaran suara Kak Ayu sedang mendodoikan anaknya yang baru sahaja berusia empat bulan. Kebelakangan ini agak kerap anak kecil itu merengek tidak kira siang atau waktu malam sehingga mengganggu tidurnya. Mungkin tidak sihat kerana perubahan cuaca.

***

Azira terjaga dari tidur apabila kedengaran suara tangisan yang agak kuat dari bilik Kak Ayu. Azira menjangkakan bahawa demam anak buahnya itu semakin teruk dan mahu sahaja dia mencadangkan agar di bawa sahaja ke klinik tetapi ada-ada sahaja alasan Kak Ayu sehingga membuatkan dia tidak mahu lagi mempersoalkan tentang itu. Tetapi kali ini suara tangisan itu semakin kuat dan lama pula sehingga membuatkan Azira tidak dapat lagi melelapkan mata.

            Azira menggapai-gapai mencari telefon bimbitnya yang selalunya diletakkan di bawah bantal. Mati. Azira terlupa untuk mengecas telefon bimbitnya terlebih dahulu sebelum tidur kerana terlalu mengantuk. Azira memandang jam dinding yang sudah menunjukkan ke angka tiga pagi. Dengan keadaan yang masih mengantuk, Azira membuat keputusan untuk ke bilik Kak Ayu. Mana la tahu kakaknya itu memerlukan pertolongannya di kala ini kerana seingatnya suami kakaknya itu tidak pulang malam ini.

            Azira mendekati bilik Kak Ayu yang sememangnya terkuak. Azira menjengah ke dalambilik dan kelihatan Kak Ayu masih tenang mendodoi anaknya yang masih terus-terusan menangis.

  “Kak Ayu nak Zira tolong apa-apa tak?” tanya Azira dibalik pintu bilik dan serta merta Kak Ayu berhenti mendodoi anaknya. Kak Ayu tidak menjawab tetapi sekadar menggeleng.

            “Ala Kak Ayu ni. Malu-malu pulak dengan Zira. Biarlah malam ni Zira tidur dengan baby Aidil . Mana la tahu kalau-kalau Aidil diam nanti. Nak manja-manja dengan makcik dia ni.” Azira lantas sahaja masuk ke dalam bilik Kak Ayu dan kelihatan Kak Ayu menundukkan kepala dan menghulurkan anaknya kepada Azira.

            “Haa,kan betul Zira cakap. Dia nak dengan Zira ni. Tengok, dah senyap.” Azira berasa agak bangga kerana dapat mententeramkan anak buahnya daripada menangis.

            “Eh,kenapa Kak Ayu tutup muka Aidil ni. Ala Kak Ayu, lemas la Aidil ni nanti.”Azira cuba menyelak kain yang menutup muka anak buahnya itu. Patutla dia menangis, Azira menggumam di dalam hati.

            Azira tergamam sebaik sahaja melihat muka bayi di hadapannya. Ternyata yang dipegang oleh Azira itu bukanlah bayi tetapi ialah batu nisan! Akibat terlalu terkejut,Azira melepaskan pegangan sehingga ‘bayi’ yang dikendongnya itu terlepas dari pegangan. Serta merta Kak Ayu mengangkat mukanya dan memandang Azira dengan mata yang merah menyala. Rambut 'Kak Ayu' juga sudah mengerbang.

            “Kau dah jatuhkan anak aku!”

            Mendengarkan jeritan ‘Kak Ayu’ itu membuatkan Azira pengsan serta merta. Azira terjaga sebaik sahaja merasakan ada yang menepuk lembut pipinya. Sebaik sahaja matanya terbuka, jelas wajah Kak Ayu dan Abang Fizi iaitu suami Kak Ayu di hadapannya.

            “Kenapa tak jawab call? Puas Kak Ayu call malam tadi. Yang kau terbaring kat sini kenapa pulak?” soal Kak Ayu dengan wajah tertanya-tanya.

     Pelik juga dia apabila dia melaung-laung memberi salam tetapi tiada pula yang menyahut. Sebaik sahaja pintu dibuka, kelihatan bilik Azira terang benderang tetapi Azira tiada di situ. Azira memegang kepalanya yang berdenyut-denyut.

            “Kak Ayu call?” tanya Azira dengan suara yang agak perlahan tetapi dapat didengari oleh Kak Ayu dan Abang Fizi. Azira cuba mengingati semula apa yang terjadi malam tadi. Oh, handphonenya lupa dicas dan kejadian semalam itu..

            “Ya, Abang Fizi pun  call banyak kali. Nak bagitahu yang malam tadi kami tak balik. Kami tidur hospital. Demam Aidil melarat pulak.Kami risau jugak kau tinggal sorang-sorang malam tadi.“ sambung Abang Fizi pula membuatkan Azira ingin pengsan sekali lagi.

***


Agak lama Azira di dalam bilik air. Pelbagai perkara yang difikirkannya samaada mahu menceritakan hal malam tadi kepada Kak Ayu atau tidak. Terdengar ketukan di pintu bilik air dan kedengaran suara Kak Ayu memanggilnya untuk bersarapan bersama. Azira segera keluar dan dia lihat makanan sudah pun terhidang di atas meja. Kelihatan Kak Ayu sudah menunggu di kerusi dengan senyuman. Akhirnya Azira menceritakan hal itu kepada Kak Ayu. Sesekali Kak Ayu mengangguk dan tersenyum.

"Rumah ni memang ada hantu ke Kak Ayu?"

Kak Ayu menggeleng tanda tidak tahu membuatkan Azira termenung.

"Itulah.Lain kali jangan cakap besar.Kan dah muncul."

Azira menunduk.Dalam diam dia mengakui salahnya. Mujur jelmaan itu tidak mengapa-apakannya.

"Lepas ni jangan cakap besar lagi." Pesan Kak Ayu sebelum berdiri untuk masuk ke ruang dapur.

"Zira dah tak takut la"

"Ye ke?" soal Kak Ayu. Tersenyum lagi.

Azira tersengih-sengih sedangkan Kak Ayu sudah pun menghilang ke ruang dapur . Azira memandang sekeliling dan menepuk dahi kerana terlupa membuka tingkap. Azira bangun untuk membuka tingkap dan ketika itu dia terpandang Azri iaitu anak jiran sebelahnya sedang bercakap dengan seseorang di hadapan rumahnya. Azira menggosok mata berkali-kali. Orang itu...suara itu..anak kecil itu.. itu ialah Kak Ayu dan baby Aidil! bagai hendak tercabut jantung Azira apabila terdengar satu suara di sebelah disertai hilaian.

"Dah tak takut ke?Hihihi...."



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku