Aku Bapamu
Aku Bapamu
Genre: Keluarga
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 11 Januari 2018
Kasih dari jiwa seorang bapa tidak bisa dia gambarkan dengan perbuatan yang hakiki. Namun, kasih terdalam itu tertutup akan susuk keras seorang bapa
Penilaian Purata:
342

Bacaan






AKU BAPAMU

Kecerahan siang itu melambaikan ketenangan di setiap hati yang memahaminya. Ketenangan itu sekejap datang dan sekejap lagi pergi tanpa bisa diraih semula. Sesekali,ketenangan itu dirundum kekacauan fikiran yang tidak menentu. Cuaca kering yang sudah sekian hari tidak memuntahkan hujan yang penuh Rahmat menjadikan haba meningkat tinggi. Razali memerhatikan pergerakan burung-burung yang tumpang  berteduh. Kemudian, satu-persatu terbang mencecah awan yang menggumpal tinggi di langit.

            Razali hanyut di dalam ketidakmampuannya untuk bersenda-ria, untuk tertawa gembira, untuk berkasih sayang semula dengan dua anak lelakinya yang pernah menjadikan harapannya tinggi menggunung. Razali telah disahkan oleh pegawai perubatan di hospital menghidap barah paru-paru yang serius. Bila fikirannya mengalir semula ke suatu ketika,saat doktor lelaki berbangsa  cina yang tubuhnya sedikit gempal sewaktu minggu pertama dia dimasukkan ke hospital menyatakan mengenai penyakitnya, dia merasa sebak semula. Sebak yang tidak mampu untuk dia tangani dengan tenaga lelakinya yang kian pudar.
            Jika bukan kerana keadaannya yang memaksa itu, keadaan penyakitnya yang telah membataskan keringatnya untuk mencari rezeki, sudah pasti dia masih menjemurkan segumpal tubuhnya di bawah panas yang terik. Dia mulai merasa  kecewa yang teramat bila tanggungjawab itu tidak lagi dia galas dengan sempurna. Namun, dia benar-benar bernasib baik kerana tugas yang tergalas di bahunya sekian lama telah diambil alih oleh anak bongsunya, Luqman. Luqmanlah yang menjadi ketua kepada keluarga kecilnya kini.Luqmanlah yang memerah keringat mencari rezeki dan duit belanja. Dan, Luqmanlah yang boleh dia harapkan.
            Razali memandang ke arah Luqman yang sedang bermain di hadapan rumah hasil ihsan penyelia di tapak binaan tempatnya bekerja. Luqman dilihatnya menguis-nguis tanah kuning dengan sebatang kayu.Razali  duduk di muka pintu sambil menghabiskan sisa-sisa kopi di dalam gelasnya. Sesekali, Razali memanggil anak bongsunya yang berusia lima tahun itu bila dia melihat Luqman membaling kayu kedalam lopak air kerana risau terkena rumah tumpangan orang lain di sekitar kawasan kediaman pekerja tapak binaan itu.
            Fahmi, abang kepada Luqman tidak kelihatan. Selalunya pulang sahaja dari sekolah, dia akan ke rumah kawannya yang katanya tidak jauh dari sekolah. Namun, hatinya masih gusar. Biarpun jarak usia Fahmi dan Luqman sekitar lapan tahun, namun, dua beradik ini masih boleh bermain bersama. Tambahan, Luqman begitu manja kepada abangnya. Walaupun sesekali Fahmi sedikit muak dengan kemanjaan adiknya. Fahmi baru di Tingkatan Satu namun barangkali disebabkan hidup di dalam kesempitan sedari kecil menjadikan dia lebih matang dalam berfikir. Itulah yang terlintas di fikiran Razali. Namun, Fahmi terkadang membuatkan hatinya menangis kecil. Terutama, dikala Fahmi memerlukan wang belanja yang banyak. Untuk keluar bersama kawan-kawan katanya. Keinginan yang kadang-kadang menjadikan Fahmi memberontak itu terpaksa Razali turutkan. Meskipun, dia terpaksa meminjam kepada Tauke Liaw yang merupakan penyelianya.
            Arus yang menghanyutkan ingatan Razali kepada keadaan anaknya terhenti tiba-tiba ketika seorang jururawat datang untuk memeriksanya. Wajah mulus jururawat Melayu itu memanggil ingatannya kepada isterinya. Isteri yang dikasihi dengan hati yang tidak berbelah bahagi. Tidak pula pernah di nodai kasih yang telah dia ikat sekian lama dahulu.
            Ketika ingin melamar Sakinah, ibukepada Fahmi dan Luqman, Razali terpaksa mengikat perut beberapa bulan.Semuanya kerana mengikut kehendak keluarga Sakinah yang mahukan hantaran yang berdulang dan maskahwin yang seperti tidak mapu dia penuhi. Namun,Razali akur akan ketentuan. Dia berusaha semahunya dengan tenaganya sebagai buruh binaan dengan gaji yang tidak seberapa. Di samping, meminjam daripada sanak saudara yang seperti mahu tak mahu menghulur bantuan. Setelah majlis yangsangat sederhana itu diaturkan, Razali mengajak Sakinah untuk tinggal di rumahsewa kecilnya di pinggir bandar. Mereka berbahagia di situ. Setelah kelahiran Fahmi,ikatan cinta mereka bertambah erat namun suram di tengah jalan apabila tuan punya rumah meminta mereka sekeluarga berpindah kerana rumah yang mereka duduki sudah dijual kepada pembeli. Razali dan Sakinah terpaksa akur walau telah memujuk tuan punya rumah beberapa kali.
            Sakinah tidak berani untuk menghadap kedua ibu bapanya kerana hubungan dia dan Razali suatu ketika dahulu pernah ditentang keluarganya. Dan, perkahwinan mereka juga mengundang kemarahan yang teramat di hati kedua ibu bapanya. Razali cuba meminta kepada ibu bapa kandungnya, namun, hanya kekecewaan yang mengisi hatinya bila mereka tiga beranak dihalau mentah-mentah oleh ibu bapanya. Muka kecil Fahmi yang masih merah itupun tidak ingin mereka lihat. Razali benar-benar kacau ketika itu. Apa yang tambah memeritkan adalah Sakinah masih lagi dalam tempoh berpantang.Mereka berteduh di rumah kongsi pekerja buruh hasil ihsan Tauke Liaw ketika itu yang banyak membantu.
            Hidup yang sederhana menjadi semakin porak poranda. Setiap hari seperti ada saja pergaduhan yang tercetus di antara Razali dan Sakinah. Namun, Razali berjaya menenangkan. Pernah Sakinah menghumbankan maki hamun kepada Razali yang tidak mampu untuk menyediakan tempat berteduh yang sempurna untuk mereka anak-beranak. Fahmi pula kian membesar dalam tenaga Razali dikerah semahunya untuk mencari sesuap nasi.
            Usai jururawat memeriksa tanda vitalnya, jururawat itu menghulurkan beberapa biji pil untuk Razali makan.Razali mengerah kekuatannya untuk mencapai gelas pada meja di sebelah katilnya.Ketika gelas itu hampir terjatuh,  jururawat itu mencapai dengan cepat.
            “ Hati-hati,pakcik,” Jururawat itu menghulurkan gelas kepada Razali. Setelah menelan beberapa biji pil, Razali meneguk semula air putih di gelasnya. Jururawat meninggalkannya dengan senyuman yang ikhlas.
            “ Fahmi tu nak masuk sekolah menegah, bang. Takkan abang tak faham-faham. Belanjanya bukan sikit. Buku lagi,pekakasnya lagi,” Sakinah membentak pada suatu petang. Keruh di wajahnya menyakitkan Razali. Namun, Razali cuba mengentalkan hatinya.
            “ Makan minum kita ni abang peduli atau tidak. Luqman itu pun sudah makin membesar. Sampai bila saya nak berjimat membancuh susunya,bang. Pinjamlah dengan tauke abang untuk beli barangan didapur itu,” sambung Sakinah. Luqman di pangkuannya sudah terlelap. Botol susu yang Luqman hisap bergoleng ke arah Razali yang duduk di muka pintu.
            “ Bukan abang tidak mahu pinjam.Hutang abang dengan Tauke Liaw dah cecah sembilan ratus ringgit. Itupun abang belum langsaikan. Macam mana abang nak menghadap Tauke Liaw lagi dengan hutang yang masih berbaki?” Razali menghela panjang nafasnya.
            “ Itu urusan abang dengan tauke itu,bukan urusan saya. Gaji abang ke mana? Abang pernah ke tidak bagi pada saya selama ini? Setakat seratus ringgit sebulan itu apa yang saya nak buat,bang?”
            “Gaji abang tidak sebanyak mana.Bagaimana abang nak beri lebih. Susu anak pun abang asingkan daripada duit itu,” Razali menundukkan kepalanya. Kesakitan itu semacam datang dan pergi. Dia resah dan keresahan itu seperti tiada hujungnya.
            Luqman melakarkan senyuman kepada Razali ketika dia melalui beberapa katil pesakit lain. Satu plastik berisi buah jambu,kegemaran bapanya diletakkan di atas meja di sebelah katil. Razali memandang ke wajah Luqman yang ternyata sudah dewasa. Namun, nasib Luqman sungguh tidak baik bila keinginannya untuk terus belajar terpaksa disekat kerana Razali tidak mampu. Luqman sudah berusia dua puluh lima tahun. Dia sudah mampu berfikir sematangnya. Namun, Razali begitu hampa kerana tidak mampu untuk menjadikan impian Luqman  menyambung pelajarannya tercapai. Luqman mengerti keperitan bapanya. Dia anak yang baik. Dialah nadi bapanya ketika ini.Jasanya hanya kepada bapanya.
            Luqman memotong jambu air yang dibelinya tadi. Satu persatu disuapkan ke dalam mulut bapanya. Kunyahan perlahan Razali diiringi dengan senyuman. Begitu juga Luqman.
            Razali melihat Sakinah keluar dari bilik tidur dengan tergesa-gesa.Berkali-kali Sakinah memasuki bilik tidur dan keluar semula dengan membawa helaian baju. Razali menghampiri pintu bilik.Sakinah dilihatnya memasukkan beberapa helai baju ke dalam beg. Razali mulai kacau. Sekali lagi ingatannya tentang Sakinah,isterinya menyusup masuk.
            “ Awak nak ke mana dengan baju-baju semua itu?” Razali menghampiri Sakinah.
            “ Sekarang ni abang tidak payah nak tanya hala tuju saya. Saya dah jumpa apa yang saya idamkan selama ini. Semakin lama saya d rumah buruk ini, saya makin kusut. Abang jagalah anak-anak. Kalau saya punya masa, saya balik jumpa mereka,” Sakinah kemudian  meluru ke luar rumah dengan menjinjing beg di tangannya. Luqman berlari-lari memanggil ibunya dengan tangisan yang galak.Namun, Sakinah hanya memekakkan telinganya. Dia menghampiri sebuah kereta dan seorang lelaki warga Pakistan sedang duduk di tempat pemandu. Usai Sakinah duduk disebelah, kereta itu dipecut laju. Razali tidak mampu menahan kelopak matanya memuntahkan air. Tangisan Luqman yang dikendongnya mendadak tinggi bila melihat ibunya tidak mengendahkannya. Betapa maruah Razali gugur semahunya petang itu. Dia hilang isteri yang dia cinta dan sayang, begitu saja. Dia ditinggalkan dengan dua anaknya yang kian membesar. Razali  teringat kembali kata-kata rakan sekerjanya yang mengatakan Sakinah sudah berlaku curang kepadanya.Kelibat Sakinah yang selalu keluar sembunyi-sembunyi dengan lelaki Pakistan disampaikan kepadanya. Namun, Razali tidak sedikitpun percaya sehinggalah Sakinah berlalu pergi di hadapannya.
            Air mata Razali mengalir perlahan.Luqman mengerutkan dahi melihat tangisan kecil bapanya. Dia lekas-lekas mengelap aliran air mata panas bapanya.
            “ Bapak kenapa ? Apa yang bapak sedihkan?” Luqman mulai dirundum syahdu melihat airmata bapanya yang tidak berhenti.
            “ Tiada apa-apa,nak,” Razali menyahut lemah. Kemudian dia tersenyum. Beberapa kali kepala Luqman diusapnya.Dia lega anaknya itu setia benar kepadanya.
            “ Abangmu bagaimana,nak?” Razali memandang ke arah Luqman yang sibuk mengemas barang-barang yang berselerakan diatas meja. Kumpulan keluarga pesakit lain yang datang melawat keluarga mereka ketika itu sesekali tertangkap di mata Luqman. Melihat kebahagiaan mereka mendatangkan rasa cemburu di dadanya.
            “ Luqman !” Razali memanggil Luqmanyang leka.
            “ Ya, bapak?”
            “ Abangmu bagaimana?” soal Razalisemula.
            “ Abang baik saja,pak.Dia sihat didalam sana.”
            Razali menghembus panjang nafasnya.Memikirkan perihal Fahmi yang tidak berubah-ubah. Fahmi telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun atas tuduhan merompak. Sejak keuzuran Razali melanda, dia benar-benar jarang ke penjara untuk melawat Fahmi dan melihat nasibnya. Fahmi suatu ketika dahulu telah meremukkan hatinya dengan menyertai kawan-kawan sekepalanya dan langsung melakukan jenayah yang sekaligus menghancurkan kehidupannya kini.
            Luqman akan ke penjara di setiap hujung bulan untuk melihat-lihat keadaan abangnya. Fahmi dilihat berubah perihalnya. Dia menjadi lebih lemah-lembut dalam tutur kata setiap kali ketika Luqman ke sana. Dia juga kelihatan lebih peduli tentang bapanya berbanding dahulu. Selepas tangkapan ke atas Fahmi, Razali hilang semangat dan menjadikan penyakit yang dia simpan selama ini menjadi parah.
            “ Bapak teringin sekali hendak melihat Fahmi semula. Bapak rindukan anak sulung bapak satu-satunya itu,”Razali menhumban rasa serba-salah ke dalam jiwa Luqman tiba-tiba. Luqman hanya terdiam. Dia sedar keadaan ketika ini untuk Fahmi dibawa berjumpanya adalah tidak sesuai sama sekali. Terdetik rasa bersalah di hatinya. Dia yang telah menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk menangkap Fahmi dahulu. Fahmi menyembunyikan diri di rumah teres yang Luqman sewa sebaik sahaja dia mendapat kerja dahulu. Kerana bimbang dikatakan bersubahat, Luqman ke balai polis dan membuat laporan mengenai Fahmi yang bersembunyi di rumah. Perkara in juga diluar pengetahuan bapanya yang ketika itu langsung tidak mengetahui kejahatan yang Fahmi telah lakukan.           
            “ Tolong bawa abangmu ke sini. Biar bapak lihat wajahnya sebelum bapak pergi,nak,” kali ini airmata tua Razali tumpah ke pipi.          
            Meskipun Fahmi telah banyak meyakitkan hatinya dan membuat dirinya menangis, jauh di dasar hatinya masih tetap merindui anak sulungnya itu. Masih segar di ingatan Razali bagaimana dia dimalukan oleh anaknya sendiri di hadapan kawan-kawan sekolahnya. Razali yang ketika itu diminta untuk hadir ke sekolah sempena Hari Bapa yang dilangsungkan oleh pihak sekolah agar rasa kasih kepada seorang bapa dapat diterapkan dengan mendalam di hati murid-murid sekolah.
            Razali benar-benar bersemangat ketika Fahmi menyatakan jemputan pihak sekolah kepadanya dan dia lekas-lekas meminta cuti meskipun dia bisa mengagak bahawa Fahmi seperti mahu tidak mahu untuk membawa dia bersama. Fahmi khuatir kawan-kawan sekolahnya mengetahui rahsia bapanya yang hanya bekerja sebagai buruh dan bukan seorang guru seperti yang dia canangkan selalu. Fahmi membentak bapanya untuk mencari pakaian segak dan kemas serta berjenama untuk ke sekolahnya. Bentakan Fahmi itu dia turui a dengan hati yang luluh. Dia berusaha meminjam baju kemeja dan tali leher daripada Tauke Liaw yang pada mulanya agak keberatan untuk meminjamkan kepadanya. Dan, dengan baju kemeja biru dan tali leher merah itulah Razali kesekolah Fahmi. Dia terpaksa mengambil teksi kerana risau Fahmi malu bila melihatnya menggunakan kapcai buruk miliknya.
            Ketika bersama bapa-bapa lain,Razali sedaya-upaya menyembunyikan realiti sebenar diri dan keluarganya agar tidak memberi malu kepada Fahmi. Fahmi dengan kekoknya melayan bapanya disekolah. Namun, rahsia identiti bapanya akhirnya terlerai ketika salah seorang daripada bapa-bapa yang hadir merupakan penyelia di tempat  Razali bekerja.
            “ Takkanlah kerja di tapak pembinaan kena pakai tali leher, Jali ? Tidak usahlah disembunyi perihal diri itu. Buat apa berbaju kemas jika poketnya kosong,” sindiran Kamal, penyelianya itu diikuti dengan ketawa yang sinis.
            “ Apa yang pakcik cakapkan ini ?Siapa yang kerja sebagai buruh binaan, ayah sayakah atau pakcik?” Fahmi melontarkan kemarahannya apabila usahanya untuk menyembunyikan identiti sebenar bapanya hampir bocor. Razali hanya tunduk diam tanpa kata-kata.
            “ Siapa lagi, bapak kau itu bukankah buruh binaan? Kenapa, engkau ingat dia seorang doktor?” Kamal menghabiskan sisa tawanya sambil kawan-kawan Fahmi yang lain cuma terpinga-pinga. Mereka terkejut dengan kenyataan yang mereka dengar pada hari itu. Pekung di dada Fahmi akhirnya terlerai sendiri.
            Razali tidak mampu untuk menahan malunya. Hampir saja air matanya tumpah namun dikuatkannya kerana tidak mahu terlihat lemah di mata anak sulungnya itu.
            “ Kawan-kawan…semua ini rekaan semata. Kata-kata orang tua ini tipu belaka,” Fahmi menegaskan.
            “ Kalau kamu semua tidak percaya,lihat saja tangannya. Kasar seperti batu.Dia bekerja di bawah seliaan saya di tapak binaan seberang sana. Buat apa saya hendak menipu. Dia yang menipu,”Kamal menunding jari ke arah muka Razali.
            “ Ya. Aku memang buruh binaan. Akubukan siapa-siapa. Tapi, kerana aku sayangkan anak aku, aku menjadi penipu.Mungkin aku tidak layak berada di sini bersama kalian semua,” Razali berdiri dan bingkas meninggalkan majlis yang terhenti seketika dengan keriuhan itu.
            Fahmi membungkam geram. Dia mengejar bapanya lalu menolak bapanya dengan kuat. Tubuh tua Razali rebah ke atas tanah yang berlumpur. Dia terkejut dengan terjahan anak kandungnya sendiri.
            “ Aku benar-benar menyesal bawa bapa ke sekolah. Kerana bapalah aku malu. Kalau bapa tidak adapun aku tidak kisah.Aku patut bersama emak dahulu lagi,” Fahmi menunjuk-nunjuk ke arah bapanya yang perlahan-lahan angkat dari dalam lopak tanah yang berlumpur itu. Tanpa diminta air matanya gugur jua. Dia benar-benar kecewa dengan Fahmi. Fahmi lebih rela diagungkan kawanya daripada menyembahkan hormat dan kasih kepadanya. Razali beredar dengan rasa malu dan kecewa yang bercampur-baur. Beberapa orang guru dan tetamu jemputan cuba mendapatkan Razali, namun Razali lebih pantas beredar.Fahmi terus menghilangkan diri entah ke mana.
            Purtaran ingatannya itu terhenti tiba-tiba ketika nafasnya terasa pendek. Dia melambai-lambai ke arah Luqman yang terlelap di atas kerusi malas di tepi katilnya. Razali tidak mampu mengeluarkan suara. Jantungnya  semakin laju. Melihat kepada keadaannya itu, salah seorang daripada keluarga pesakit di hadapan katilnya mengejutkan Luqman. Jururawat dan doktor dipanggil serta-merta. Razali bernafas begitu pantas dan matanya mulai lemah dan layu. Luqman tidak dapat berbuat apa-apa. Doktor dan jururawat meminta Luqman menunggu di luar dan langsir di sekeliling katil Razali ditutup.

                                                **********************************
            Luqman menyimpan buku Surah Yassin ke dalam beg kecil. Dia melihat seorang kakitangan di Rumah Mayat membukakan pintu ruangan pengurusan jenazah. Kemudian, kelihatan dua warden penjara membimbing tangan Fahmi yang bergari. Fahmi melangkah perlahan dan lesu didalam pakaian  penjaranya. Luqman hanya memerhati dengan linangan air mata masih belum kering. Dia berlari kecil ke arah warden penjara yang bersama Fahmi.
            “ Abang !!” Luqman terasa ingin memeluk erat tubuh Fahmi saat itu.
            Airmata Fahmi juga terlihat ketara membasahi pipinya dan kemudian gugur ke atas dadanya. Dia longlai melihat wajah Luqman yang memeluk tubuhnya. Egonya hari itu gugur satu-persatu. Dia hilang bapanya yang pernah dia anggap memalukannya dahulu. Dia telah hilang bapa yang satu-satunya berjuang untuk kelangsungan hidup dia dan adiknya. Dia telah hilang bapa yang tidak pernah dia pedulikan kemahuannya. Bapa yang tidak pernah dia pedulikan perit di hatinya yang telah kehilangan daya. Bapanya kini tiada.Dalam hatinya dijamah rasa bersalah yang teramat, wajah bapanya yang pernah diakasari dahulu muncul jelas di matanya.
            “ Aku bapamu, Fahmi. Dari engkau dilahirkan sehingga aku menutup mata,akulah bapamu. Akulah bapamu yang satu-satunya dan tiada dua. Jangan kau lupa itu, Fahmi,” wajah Razali yang berlumuran lumpur kemudian berlalu pergi, hilang perlahan-lahan.
            “ Bapa sudah maafkan,abang,” Luqman memegang kepala Fahmi dengan tangisan yang berderai jatuh.
TAMAT.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku