Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Bab 1
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Januari 2018
aka 'Jam 1010 Malam' yang pernah dipaparkan diportal Ilham awal tahun 2017.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
176

Bacaan






1

2018

-Even if the rainbow breaks, the sky is still there with us-

Sebuah quote. Atau dalam bahasa melayunya; walaupun pelangi sudah tiada, langit tetap di sini bersama kita. Dia pernah search google maksud sebenar pelangi dalam bahasa melayu. Dan jawapannya berbunyi begini, pelangi merupakan fenomena optik dan meteorologi yang menghasilkan spektrum cahaya hampir selanjar di langit apabila matahari bersinar semasa hujan turun. Ia merupakan satu lengkung yang berwarna-warni dengan warna merah di lengkung paling luar dan ungu di lengkung paling dalam. Mengikut urutan, warnanya ialah merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu.

Pelangi dihasilkan apabila cahaya terbias melalui titik air di udara. Sebab itulah pelangi selalu dapat dilihat selepas hujan. Ia berbentuk melengkung (bulat) kerana titisan air di udara berbentuk bulat atau sfera. Namun biasanya bahagian bawah pelangi itu terlindung oleh bumi. Fenomena pelangi ini juga boleh dilihat dengan membelakangi matahari dan menyembur air pada hari yang cerah.

Okay, manakala langit pula merupakan sebahagian atmosfera atau angkasa yang boleh dilihat dari permukaan mana-mana objek astronomi. Adalah sukar untuk mentakrifkan secara terperinci apa itu langit atas beberapa sebab. Pada waktu siang, langit Bumi kelihatan biru tua, permukaannya hasil serakan cahaya matahari oleh udara. Langit kadang-kala ditakrifkan sebagai zon bergas lebih mampat di atmosfera planet. Pada waktu malam, langit kelihatan seperti permukaan atau kawasan hitam yang ditaburi bintang. Dalam bidang astronomi, langit juga dipanggil sfera cakerawala, iaitu sebuah kubah khayal dalam mana matahari, bintang-bintang, planet-planet, dan bulan kelihatan bergerak. Sfera cakerawala terbahagi kepada rantau-rantau dipanggil buruj.

Tepat dan padat maksud yang dia berikan tentang pelangi dan langit. Dia copy paste bulat-bulat je dari Mr google. Dia bukan nak cerita pasal pelangi mahupun langit. Semua pernah tengok pelangi dan tahu pelangi ada tujuh warna. Cara terjadinya pelangi pun dah belajar sejak sekolah rendah lagi. Jadi tak perlu dia sekolahkan sesiapa tentang pelangi. Langit apatah lagi, hari-hari celik tengok dunia dah boleh nampak langit. 

Masalah dia bukan berkaitan dengan pelangi atau langit, atau kedua-duanya. Masalah dia ialah keluarganya sendiri. Puncanya dari dirinya sendiri. Penyelesaiannya ialah sebuah kemaafan.

“Syaf, barang dah kemas ke?” atok menjenguk ke bilik Qasyaf. 

Teguran atoknya itu buat Qasyaf cepat-cepat menutup buku yang dipanggil sebuah diari. “Dah tok. Jadi ke papa ambil orang hari ni?”

“Kalau ikut apa yang papa kamu bagi tahu atok semalam, jadilah gayanya.”

Qasyaf hanya angguk biasa. Nak ataupun tidak dia kena ikut papa balik. Haish! Berdebar pula jantung memikirkannya. Mahu ke bunda terimanya balik? Bunda dah maafkan dia ke?  Nak menghadap tiga orang mangkuk ayun tu lagi. Dia tak nak naya otak balik. Buat rosak pemikiran yang nak pulih je.

“Tak payah berangan. Mereka hantar cara baik, mereka nak ambil pun cara baik. Jangan fikir bukan-bukan.” atok melontarkan nasihatnya. Tuan haji Al-Amin memang pandai baca fikiran orang. Hebat betul!

Qasyaf tayang tumbs up pada atok kesayangan. “Atok memang terbaik. Ajar sikit orang cara baca fikiran orang boleh?” sengihan nakal dihadiahkan pada atoknya.

“Syaf-Syaf. Dah mandi ke belum ni? Ni mesti tak solat lagikan? Papa kamu tu datang nak ambil kamu je, dia nak cepat. Lusa keluarga kamu nak pindah rumah baru.”

Qasyaf garu kepala. Hampir lupa yang dirinya masih berbau masam. Solat pun selalu diwaktu gajah. Okay lagilah dari dulu. Dulu dia memang liat nak mendirikan solat, jenuh papa dan bunda bebel dan paksa solat tapi dia tak pernah turutkan. Kalau baik sikit anginnya, dia akan ambil wudud cincai-cincai, tutup pintu bilik dan selerakkan sikit sejadah tanda dia dah solat. Bila mereka tanya, dia akan jawab ‘orang dah solatlah.’ Begitulah perangai dia sampai sebelum dihantar tinggal dengan atok dikampung. Atok tak garang tapi tegas. Ketegasan atok menyebabkan dia tak berani buat perangai. Ditambah pula kalau dia alpa dengan solat dia akan senang dirasuk dan disampuk. Itu kelemahannya selepas berani bermain dengan alam lain.

Pertama kali dia perasan yang dia sudah terjebak dengan dunia lain atau dunia jin yang sepatutnya manusia tak boleh dekati, dia takut. Takut melihat kehodohan makhluk yang bernama jin. Dan takut dengan pandangan dan sergahan mereka yang muncul tiba-tiba. Kalaulah dia diberi peluang untuk patah balik dimasa lampau, sudah pasti dia tak teringin pun terjebak dengan dunia asing itu.

Ini merupakan kali kedua hijabnya terbuka. Sebelum ini atok berjaya tutupkan tapi untuk kali kedua ini hijap dimatanya seakan sudah tiada hijap atau lebih tepat matanya memang tiada lagi penghalang yang menghalang pandangan antara dunia mata kasar dan dunia yang hanya mata halus sahaja boleh melihatnya. Kali pertama tiada siapa yang boleh salahkan sesiapa tetapi untuk kali yang kedua ini, puncanya daripada diri dia sendiri.

“Syaf, kenapa tak gerak lagi ni? Papa dah nak sampai tu.” sekali lagi atok menjengah bilik. Mata tuanya menangkap wajah suram milik cucunya itu. Dia melangkah ke katil Qasyaf dan meletakkan punggungnya di atasnya. “Tak apa kalau kita pernah buat salah, yang penting ada keinginan nak berubah. Bukan masa dah akui diri ini salah tapi masih tidak mahu berubah. Orang yang berusaha untuk berubah, jalannya berliku-liku. Kadang terjunam, kadang tertusuk duri dan kadang-kadang dapat sebaliknya. Macam orang putih cakap ‘what you give you will get back’.  Yang penting ada tekad dan nekad nak berubah. Buang semua sikap panas baran, ego dan pentingkan diri sendiri. InshaAllah, atok yakin mereka dah maafkan Syaf.”

Qasyaf tarik senyum pahit. “Orang cuba.”

Dia Qasyaf. Nama yang sepatutnya di eja dengan huruf ‘K’. Dan ditukar ke huruf ‘Q’ atas sebab papanya seorang pencinta huruf ‘Q’. Sama macam nama abangnya ‘Qausar’ yang selalunya di eja ‘Kauthar’ atau nama adiknya ‘Qaseh’ yang sepatutnya ditulis ‘Kasih’. Bagi encik Fakhri, huruf ‘K’ masih boleh ditukar ke huruf ‘Q’ sebab tidak akan mengubah maksud nama itu sendiri tapi kalau ‘Q’ yang ditukar menjadi ‘K’, ia mampu mengubah maksud sebuah nama. Contoh nama anak bongsu encik Fakhri, ‘Qolbi’ bila ditukar ke ‘Kolbi’ dan diganti ‘O’ ke ‘A’ yang selalunya orang eja Qalbi ke Kalbi diubah pula ke tulisan arab akan menghasilkan maksud yang sangat berbeza.

Ini kisah Qasyaf, Qasyaf Ilmi. Dia merupakan sang pratagonis yang juga antagonis dalam kisah hidupnya. 













Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku