Entri Jurnal Shahnaz: Aku Benci Papa!
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 05 April 2013
Nama aku Shahnaz. Aku mungkin bukan gadis yang paling jelita, tapi aku seorang yang ceria dan aku amat cintakan kehidupan ini.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)
1929

Bacaan








Entri #1

Nama aku Shahnaz. Aku mungkin bukan gadis yang paling jelita, tapi aku seorang yang ceria dan aku amat cintakan kehidupan ini.


Ini entri pertama di dalam buku diari yang baru dihadiahkan oleh papa. Papa? Tidak sesuai rasanya aku guna perkataan itu. Aku lebih suka perkataan ayah yang aku guna untuk arwah ayah yang telah tiada. Semoga ayah berbahagia di sana. Lima tahun aku lihat ayah terlantar di hospital kerana penyakit barah. Dan Tuhan memang sayangkan ayah, sebab itu dia dijemput pergi lebih dahulu daripada kami.


Oh ya, berbalik kepada “papa” aku ini. Dia kekasih baru mama. Baru setahun ayah pergi, mama sudah mencari yang lain. Aku rasa seolah-olah baru semalam ayah pergi, tiba-tiba mama sudah ada pengganti dia.


Aku lebih suka panggil dia Pak Cik Shamsul. Dia belum layak untuk jadi papa aku lagi, biar apa pun yang mama kata. Tidak kira apa juga panggilan – daddy, papa, abah – bagi aku status itu hanya untuk arwah ayah sahaja. Lelaki itu hadir kerana mengisi kekosongan mama, bukan aku. Sememangnya aku tidak perlukan dia. Aku boleh hidup berdikari tanpa pengganti ayah.




Entri #2


Wah, nampaknya pakcik Shamsul atau ‘papa’ aku itu betul-betul ingin mengambil hati aku. Macam-macam hadiah yang dibelikan untuk aku. Kenapa dia belikan aku baju ala puteri kayangan Disney? Mengarut betul lah dia! Bila masa yang sesuai untuk aku pakai baju macam itu? Kalau orang Inggeris bolehkah pakai sempena menyambut Hari Halloween atau malam prom untuk pergi berdansa dengan kawan lelaki di sekolah.


Anak patung jangan sebutlah. Sudah berapa macam jenis dia belikan. Yang paling lucu, dia boleh belikan aku patung Stitch dalam siri kartun Lilo and Stitch. Helo, aku bukan budak sekolah rendah lagi. Aku sudah masuk tingkatan tiga, okey. Tolonglah jangan nampak sangat mahu ambil hati aku. Semak mata aku melihat patung besar makhluk berwarna biru macam itu dalam bilik. Bengang betul aku!


Aku rasa satu hari nanti penuhlah bilik aku ini dengan hadiah yang dibeli. Setiap minggu ada sahaja kejutan untuk aku. Dia mahu ambil hati aku atau ingin menunjuk kepada mama? Supaya mama nampak dia seorang yang prihatin pada anak tirinya. Masih terlalu awal untuk aku tahu sama apa yang dia buat benar-benar tulus atau ini hanya sekadar sebuah drama lakonannya. Drama yang tidak akan diluluskan di kaca televisyen. Ha Ha Ha...



Entri #3


Beberapa hari ini aku sudah dapat melihat sisi lain Pak Cik Shamsul a.k.a Papa aku. Mula-mula dahulu aku menyampah dengan gaya dia yang terlalu bersungguh-sungguh untuk mengambil hati aku. Tetapi aku tidak sangka dia sebenarnya seorang yang kelakar. Beberapa hari lepas dia belanja aku dan mama makan di Kenny Rogers Roasters. Aku sudah lupa lawak yang dia buat, tapi aku ketawa sampai mengalir air mata aku masa itu.


Terus-terang aku beritahu aku sudah mula suka dengan papa. Nampaknya dia memang pandai mengambil hati. Jujur aku katakan, aku sudah boleh menerima dia sebagai papa aku. Arwah ayah masih tiada lagi tandingan dan tidak ada sesiapa yang boleh menggantikan dia. Tapi aku masih boleh terima papa dalam hidup aku dengan cara yang tersendiri, bukan macam arwah ayah.




Entri #4

Hari ini ada pelajar lelaki baru di sekolah aku. Nama dia Hariz. Aku sukar untuk percaya muka dia betul-betul macam Kim Bum pelakon Korea yang aku minat. Hairan juga aku lihat orang Melayu dengan wajah macam itu. Mungkin dia ada darah kacukan cina agaknya.


Aku cuba-cuba tegur dia. Nampak gaya dia jenis peramah dan tidak sombong dengan orang lain. Tapi kalau dengan semua perempuan dia mesra macam itu, habislah aku. Aku kena berusaha sebelum pelajar perempuan lain memotong jalan aku. Aku kena berusaha keras sebelum dia disambar orang lain. Terutama Si Tasya yang pantang nampak pelajar lelaki yang kena citarasanya. Dia sanggup buat apa saja termasuk mencantas jalan orang lain. Aku mesti berusaha jadikan Hariz milik aku. Mesti!


Tapi bagaimana caranya untuk aku ambil hati Hariz? Hah! Aku tahu. Apa kata kalau aku ajak dia ke rumah untuk berkenalan dengan mama dan papa? Aku boleh minta mama siapkan jamuan istimewa untuk sambut dia. Mama mesti tiada masalah. Kalau mama kata okey, papa mesti setuju juga. Tunggu ya Hariz... Tasya mesti makan hati punya kali ini!




Entri #5

Aku benci papa! Aku benci! Kenapa dia rosakkan rancangan aku? Mama pun satu. Kenapa mesti dia beranggapan papa akan setuju, sedangkan dia belum berbincang dengan papa tentang hal ini? Betapa susah aku mengajak Hariz ke rumah, dengan senang di memusnahkan rancangan aku. Konon-kononnya remaja lelaki seperti itu tidak boleh diberi muka. Umpama ulat naik daun nanti jadinya. Di hadapan orang tua nampak baik, di belakang lain pula jadinya nanti. Siapa dia untuk membuat penilaian tentang Hariz? Geram betul aku!


Tasya mesti sedang ketawakan aku. Aku boleh bayangkan bibir tebal dia yang macam disuntik kolagen dengan tahi lalat itu sedang bergosip tentang aku. Mesti dia sedang ketawakan aku dengan Tiff dan Jackie. Budak dua orang itu pun satu hal. Nama kampung Latifah, tapi mahu dipanggil Tiff. Kononnya Tiffany. Si Jackie pula namanya Zakiah, tapi mahu di'Barat'kan. Boleh termuntah aku dibuatnya. Kalau muka Melayu, guna nama apa sekalipun tetap Melayu. Tolonglah!


Mulai hari ini aku tidak akan panggil dia papa lagi. Aku akan panggil dia Pak Cik Shamsul. Itu muktamad!




Entri #6


Perasaan benci aku kepada Pak Cik Shamsul semakin meluap-luap. Aku terlalu benci pada dia. Perkataan tidak cukup untuk menggambarkan kebencian kepada lelaki seperti itu. Aku sudah tahu tembelang dia. Aku sudah tahu kenapa dia berbuat baik dan mengahwini mama. Dia bijak mengkaji kelemahan mama dan menggoda mama sehingga masuk perangkapnya. Manusia hipokrit!


Kenapa mama sudah tidak percaya lagi dengan apa yang aku ceritakan kepadanya tentang Pak Cik Shamsul? Apa yang sudah dilakukan kepada mama sehingga mama sudah tidak mahu menerima pendapat dan pandangan aku lagi? Kenapa mama sudah banyak berubah? Adakah mama betul-betul rasa bahagia dengan lelaki seperti itu? Adakah jiwa wanita yang kehilangan suami seperti mama ini terlalu lemah? Sehingga senang untuk menjadi mangsa lelaki seperti pakcik Shamsul?


Aku betul-betul rasa terhimpit sekarang. Kepada siapa hendak aku mengadu masalah aku ini? Siapakah yang dapat mendengar keluhan insan malang seperti aku ini?


Mahu rasanya aku tamatkan riwayat binatang bertopengkan manusia seperti pak Cik Shamsul. Tapi itu bukan menyelesaikan masalah, sebaliknya menambahkan masalah aku. Apa akan jadi kepada mama sekiranya aku tiada lagi di sisi mama? Tentu orang seperti pakcik Shamsul akan menggunakan peluang sepenuhnya, walaupun sebenarnya aku lebih suka tinggal berjauhan dari pakcik Shamsul.




Entri #7


Hari ini aku hampir-hampir membuat tindakan yang bodoh. Aku hampir-hampir membuat dosa besar yang akan aku sesali sepanjang kehidupanku di alam sana.


Mama dan Pak Cik Shamsul pulang lewat. Aku telah memenuhkan air di dalam besen mandi dan berbaring di dalamnya. Aku berura-ura untuk menenggelamkan diriku di dalamnya. Aku mahu berada di dalam air sehingga aku sudah tidak mampu menahan nafas lagi.


Sudah beberapa minit aku berada di dalam air dan nafas aku juga sudah semakin sesak. Ketika itu aku didatangi suatu perasaan yang sukar digambarkan. Seperti ada sesuatu yang menggerakkan aku untuk berfikir lagi sebelum melakukan perbuatan yang tiada patah balik itu.


Ketika aku di dalam kegilaan itu, aku teringat kata-kata Ustaz Masrom di dalam kelas agama. “Di dalam Islam perbuatan membunuh diri termasuk dalam dosa besar dan dilarang keras. Orang yang membunuh diri cuba lari dari tanggungjawab sebagai manusia dan dia seolah-olah tidak percaya kepada takdir Allah. Islam mengajar kita sabar, bertawakkal dan tidak berputus asa, walau bagaimana teruk sekalipun dugaan yang menimpa kita”


Aku bukan seorang yang rajin mengamalkan agama. Kelas Ustaz Masrom pun aku ambil sambil lewa. Tetapi kata-kata yang dilafazkan itu seakan melekat di dalam kepala aku. Kata-kata itu juga telah menyelamatkan aku.


Selepas aku terselamat dari perbuatan itu, aku segera membuka laptop untuk membuat carian google. Aku hampir menitiskan airmata ketika aku terbaca maksud kata-kata yang pernah dilafazkan oleh Nabi yang diriwayatkan dari seorang sahabatnya bernama Abu Hurairah:


“Sesiapa yang membunuh dirinya dengan benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka Jahanam. Hal itu akan berlangsung selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun sehingga mati, maka ia akan meminumnya di dalam neraka Jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, maka ia akan menjatuhkan dirinya ke dalam neraka Jahanam selama-lamanya."


Aku terjelepuk sambil mengalir air mata. Betapa hampirnya aku dengan gaung yang akan menjunamkan aku kepada kesengsaraan yang kekal abadi kerana kebodohan aku. Kerana tidak sanggup menanggung beban yang aku tanggung ini! Aku bingkas ke bilik air berwuduk. Aku sembahyang taubat ketika itu, walaupun hakikatnya sembahyang lima waktu pun masih aku tinggal-tinggalkan. Aku dapat rasa keheningan ketika itu. Betapa Tuhan masih sayangkan aku dan memberi peluang lagi untuk aku. Jika tidak, aku mungkin sedang dibelasah malaikat ketika ini sambil ibu meratapi mayatku yang ditemui di dalam besen mandi.


Terima kasih Ya Allah, kerana masih memberi aku peluang untuk memperbaiki kesilapan ini.




Entri #8


Hari ini aku menerima berita yang amat mengejutkan. Kereta yang dipandu Pak Cik Shamsul terlibat dalam kemalangan. Dia cuba mengelak motosikal yang meluncur melepasi lampu merah. Akibatnya kereta yang dipandu bertembung dengan lori treler yang sedang dipandu laju dari arah bertentangan. Bahagian hadapan kereta Honda City yang dipandunya remuk.


Doktor mengesahkan tulang belakangnya patah dan mungkin dia akan lumpuh seumur hidup. Itupun sekiranya nyawanya cukup panjang setelah dia sedar dari koma.


Aku dan mama pergi ke hospital melihat Pak Cik Shamsul. Tidak ada perkataan yang mampu aku ucap lagi apabila aku melihat dia. Muka dia luka dan lebam. Dia hanya terbaring bersama kaki dan tangan yang berbalut. Mulutnya dimasukkan tiub. Begitu pantas balasan yang diturunkan Tuhan kepadanya. Adakah ini kerana doa-doa aku selama ini? Dada aku terasa sebak melihat keadaan dia yang amat mengharukan. Tetapi jauh di sudut hati ini aku masih berdendam kepadanya. Aku tahu ini hasutan syaitan, tapi ada rasa kepuasan aku melihat dia seperti itu. Jahat sungguh hati aku ini!




Entri #9


Aku dan mama tidak jemu-jemu berkunjung ke hospital menemani pakcik Shamsul. Sudah beberapa bulan dia terlantar di hospital, terbaring tidak bergerak-gerak. Hampir seluruh anggota tubuhnya lumpuh kerana kecederaan pada tulang belakang. Kecederaan yang merosakkan saraf yang menghantar arahan dari otak ke seluruh tubuh. Luka di tangan dan kakinya sudah sembuh. Tapi itu tiada bermakna kerana dia tidak mampu menggerakkan walaupun satu jarinya.


Pak Cik Shamsul sudah boleh mengeluarkan kata-kata, tetapi agak payah dan sukar difaham. Aku dan mama perlu dengar berkali-kali sebelum kami dapat faham apa yang dituturkan. Seperti budak yang baru belajar melafazkan kata-kata.




Entri #10


Aku dan mama baru pulang dari hospital untuk menziarahi papa.


Hari ini dia mahu bercakap dengan aku. Aku rapatkan cuping telingaku ke bibirnya. Lama juga aku mendengar dia mengulangi ayat yang sama. Aku teliti patah demi patah sebutan yang dilafazkan. Akhirnya aku faham apa yang dilafazkan.


“Maafkan papa, Shahnaz.”


Maaf? Dia fikir semudah itu untuk aku memberikan kemaafan setelah apa yang telah dia lakukan. Maaf....


Kenapa hati aku ini begitu kering? Setelah melihat dia di dalam keadaan begitu, aku masih belum mampu menghulurkan kemaafan kepada dia. Kenapa begitu sukar untuk aku lupakan apa yang telah berlaku? Kenapa aku masih tegar mengurung dendam ini di dalam sangkar kebencian aku terhadap Pak Cik Shamsul?




Entri #11


Hari ini doktor memanggil aku dan ibu. Perbualan aku, mama dan doktor itu benar-benar mengubah pendirian aku. Kata-kata doktor itu telah menyedarkan aku tentang apa yang sedang dialami oleh papa.


“Puan Madiha, saya ada satu perkara penting untuk dibincang bersama puan dan anak puan.” Doktor wanita itu memulakan bicaranya. “Berdasarkan pengalaman kami kes suami puan ini memang tidak ada harapan untuk sembuh. Berdasarkan pengalaman kami juga, kes ini agak luarbiasa. Ramai pesakit yang mengalami kecederaan seperti ini hanya dapat bertahan selama beberapa minggu sahaja. Tapi dalam kes Encik Shamsul ini sudah hampir beberapa bulan.”


Aku masih belum mengerti apa yang ingin disampaikan oleh doktor wanita bertudung bernama Azlina itu. Aku teliti menunggu kata-kata yang dia ingin lafazkan lagi. “Saya bukan pakar dalam bidang agama, dan saya tidak mahu campur hal peribadi puan anak-beranak. Tapi saya memohon kepada puan sekeluarga untuk fikirkan kata-kata saya ini dengan baik. Saya harap sekiranya ada permintaan Encik Shamsul yang belum ditunaikan, bolehlah dilaksanakan segera. Saya lihat dia sudah cukup sengsara dengan keadaan dia sekarang.”


Adakah doktor ini merujuk kepada aku? Bahawa kemaafan yang belum aku berikan kepada papa membuat dia terus menggagahi diri untuk hidup, walaupun hakikatnya jiwanya telah mati dengan kesengsaraan lumpuh yang tidak akan sembuh ini? Adakah begitu besar sekali pengharapannya kepada lafaz kemaafan yang aku berikan? Sedangkan aku terlalu bakhil untuk menghulurkan kemaafan itu kerana dendam kesumat yang berselirat di dalam hatiku.


Baca kesudahan kisah ini dalam ANTOLOGI JIWA KACAU 2. Kini di pasaran.





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku