Kukejar Kau Lari
Bab 1
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2467

Bacaan









Penghuni Rumah Al-Mustaqim menjadi gempar apabila pada tengah malam itu, Mak Som mendapati Nadira tidak berada di tempat tidurnya. Busyra yang tidur di tingkat bawah katil double deckerjuga tidak menyedari Nadira sudah hilang.

Orang yang paling bimbang ialah Haji Embong, tuan punya Al-Mustaqim. Tanpa membuang masa dia mengajak Zariq dan Tajol mencari Nadira. Mak Som dan Busrya mahu turut mencari tapi Haji Embong cepat-cepat melarang. Biar orang lelaki saja yang melakukannya.

Dengan bantuan cahaya lampu suluh, mereka mencari Nadira di sekeliling pekarangan rumah. Sudah semua ceruk dan sudut kawasan disuluh tapi masih tidak nampak kelibat Nadira. Bukan saja panggilan mereka tidak bersahut, bahkan suasana sekeliling terasa sangat sepi.

“Nadira! Kau kat mana, hah? Kalau kau menyorok, keluarlah cepat! Ayah risau, tau! Kau tak kesiankan ayah ke?”Suara Zariq bergetar. Mukanya berkerut-kerut sambil bola mata tetap liar memerhati sekitar.

Sebenarnya, bukan hanya Haji Embong yang risau, dia apa kurangnya. Di dalam hati, Zariq berdoa mudah-mudahan Nadira tidak disorokkan oleh orang bunian. Dia pernah terdengar Mak Som bercerita tentang makhluk halus yang suka berkeliaran pada lewat tengah malam. Cepat-cepat dia menyuarakan kekhuatirannya kepada Tajol.

“Merepeklah kau! Cakap yang bukan-bukan. Elok-elok aku berani cari Nadira malam-malam ni, jadi kecut pulak aku. Kau diam-diam boleh tak, Zariq?” Tajol yang tidak senang dengan apa yang disuarakan menempelak Zariq. Zariq sudah membuat perasaannya tidak menentu. Lebih-lebih lagi sifat penakut di dalam dirinya berada di tahap yang agak kritikal. Dia menelan air liur dengan payah. Jantungnya asyik berdegup tidak teratur.

“Ke mana pulak budak bertuah ni dah pergi? Takkan lari,” gumam Haji Embong yang sudah mengah. Dia menggaru-garu pipi yang tidak gatal sambil berfikir di mana lagi harus mencari Nadira.

“Zariq rasa Nadira dah merajuk, ayah.” Zariq menyuarakan pendapat.

Tajol angguk setuju.

“Hmm... kenapalah dia susah nak faham tujuan ayah? Bukan dia seorang yang akan tinggalkan Al-Mustaqim. Lambat-laun semua akan pergi jugak. Kudrat ayah dah tak mencukupi untuk mengawasi kamu semua,” keluh Haji Embong. Ada sesalan di dalam dirinya.

“Kalau Zariq, Zariq pun tak nak. Tak patut ayah buat macam tu,” protes budak lelaki berumur 10 tahun itu. Bagi Zariq, keluarga besar mereka adalah di Rumah Al-Mustaqim, bukan orang luar yang mereka langsung tidak pernah kenal.

“Tajol pun tak nak pergi mana-mana,” celah Tajol agak keras. Dia sudah terbiasa dengan kehidupan di Al-Mustaqim yang menggembirakan walaupun serba kekurangan.

“Sudah! Sudah! Susah kalau macam ni! Lupakan semua tu dulu, terus cari Nadira sampai jumpa,” bentak Haji Embong. Kadangkala dia tertekan dengan anak-anak yang kurang memahami kepayahannya kebelakangan ini. Bukan dia tidak sayang anak-anak Al-Mustaqim yang sudah diasuh sejak bertahun-tahun lamanya, tapi keadaan memaksa untuk dia mengambil satu langkah yang perlu.

Kerana sayanglah() dia mesti bertindak bijak supaya kehidupan anak-anak yang masih mentah itu terjamin masa depan mereka. Dia sudah tua. Kudratnya semakin lemah sedangkan perhatian untuk mereka tidak boleh berkurang walaupun sedikit. Dia tidak mahu mereka menjadi anak-anak yang terabai dan disia-siakan.

“Jom, Tajol.”

Mendengar suara Haji Embong yang agak keras, cepat-cepat Zariq menarik tangan Tajol untuk terus mencari Nadira.

Pencarian diteruskan. Mereka menyuluh sekitar kebun kelapa sawit yang berhampiran. Pada setiap batang pokok diintai. Bukan hanya sepokok dua tapi berpuluh-puluh banyaknya. Lelah Haji Embong dibuatnya namun sayangnya terhadap Nadira mengatasi segala-galanya. Biar penat sedikit asalkan Nadira akan berjaya ditemui.

“Nadiraaa!

“Nadiraaa!

“Nadiraaa!”

Masing-masing melaung Nadira dari arah yang berbeza. Mereka berpecah supaya pencarian akan lebih cepat dan mudah. Malangnya, tidak ada suara sahutan dari sebalik batang pokok. Yang nampak bergerak-gerak cuma daun-daun kelapa sawit yang meliuk-lentok ditiup angin.

Apabila masih tidak ketemu, mereka berkumpul semula untuk berbincang.

“Tak ada jugak, ayah.” Zariq hampa.

Tajol menyuarakan perkara yang sama.

Haji Embong yang dipanggil ayah menarik nafas berat. Masing-masing diam sekejap untuk memikirkan sesuatu.

“Hah! Masa cari kat keliling rumah, kita tak tengok pun dalam kolam. Jangan-jangan Nadira jatuh dalam kolam...lepas tu lemas!” Meluncur daripada mulut Tajol sebaik melintas fikiran yang buruk di kepalanya.

“Huishhh! Cabul! Tak baiklah kau ni! Cakap bukan-bukan pulak,” marah Zariq. Dia hendak menyiku Tajol namun Tajol cepat mengelak.

“Taklah... manalah tau kan?” sahut Tajol teragak-agak.

Berdetak juga jantung Haji Embong sebaik mendengar andaian Tajol. Dia tidak sanggup kalau perkara seperti itu berlaku kepada Nadira. Anak perempuan Al-Mustaqim yang paling disayangi. Pantas dia berdoa di dalam hati mudah-mudahan hal seperti itu tidak akan berlaku.

“Cepat... kita ke kolam ikan!” Termakan juga kata-kata Tajol masuk ke dalam kepala Haji Embong. Dia tidak mahu menunjukkan kebimbangannya. Padahal di dalam hatinya Tuhan saja yang tahu. Tidak dapat dibayangkan kalau Nadira terapung-apung di permukaan kolam dengan perut yang sudah kembung. Nafasnya sudah terhenti dengan mata separuh terbuka. Membayangkan itu semua membuatkan langkah Haji Embong laju. Dia mahu cepat sampai di tepi kolam. Zariq dan Tajol juga laju mengekori.

Longgokan pelepah kelapa sawit tidak menghalang pergerakan mereka. Cahaya lampu suluh sudah mencukupi untuk membantu mereka dari tersadung pelepah yang dilonggokkan di banyak tempat itu. Apatah lagi mereka sudah biasa dengan kebun kelapa sawit yang bersebelahan dengan tanah Rumah Al-Mustaqim itu.

“Suluh cepat!” gesa Haji Embong sebaik tiba di tepi kolam ikan ternakannya.

Debaran dada mereka semakin laju sambil mengharap agar tidak ada perkara buruk yang berlaku. Tiga biji lampu suluh dihalakan ke permukaan kolam. Tidak ada batang tubuh yang nampak di dalamnya. Hanya air kolam yang kehijauan dek lumut yang sudah sebati. Tidak juga terlihat kocakan air waimah daripada ikan-ikan yang diternak. Mungkin semua ikan sedang tidur lena.

“Astaghfirullah... tak ada jugak. Ke manalah budak ni?” Kerisauan Haji Embong menjadi-jadi. Mujur dalam gelap. Kalau tidak sudah tentu Zariq dan Tajol dapat melihat dengan jelas peluh yang sedang mengalir pada dahinya dek terlampau cemas.

Sudahnya Haji Embong terduduk di tepi kolam. Lemah semua sendi badannya. Dia gementar. Orang tua itu mahu mengumpulkan tenaga dan nafas sebentar.

Zariq berlari anak ke belakang dapur untuk mengambil sebatang kayu panjang yang rupanya macam pendayung sampan.

Tajol terpinga-pinga melihatnya. Dia tidak tahu apa yang hendak dilakukan oleh Zariq. “Buat apa tu?”

“Nak kuak-kuak air kolam. Mana tau bawah-bawah tu ada apa-apa ke?” balas Zariq, selamba tanpa berfikir apa yang dikatakannya akan membuat orang lain akan bertambah cemas.

“Maksud kau, Nadira dah tenggelam dalam kolam ke?” soal Tajol kurang bijak. Sama macam Zariq, tidak berfikir dengan baik sebelum bercakap.

Haji Embong jadi tidak menentu sebaik mendengar semua itu.

“Err... tak... bukan... aku tak kata macam tu.” Zariq serba salah. Memang dia ada terfikir itu semua tapi perkara itu tidak sesuai untuk diucapkan depan Haji Embong. Malangnya, dia sudah terlepas cakap. Kalau perahu bolehlah diundur, tapi kata-katanya tidak boleh ditelan balik.

Apabila merasakan kegugupan Zariq, Tajol turut tidak sedap hati. Tidak sepatutnya mereka membuatkan kepala Haji Embong lebih semak lagi. Silap-silap hari bulan boleh pitam orang tua yang kebelakangan ini asyik sakit-sakit saja.

“Kita cari tempat lain. Ayah rasa Nadira tak ada dalam kolam ni.” Lirih suara Haji Embong. Selemah perasaannya. Selesu badannya yang sudah tua.

“Kat mana lagi, ayah?” soal Tajol cepat.

“Belukar!” cepat juga Zariq menjawab mewakili Haji Embong.

Dalam waktu yang bergerak laju mereka masih tetap mencari. Hampir dua jam pencarian masih belum mendatangkan hasilnya. Cuaca menjelang sepertiga malam semakin sejuk. Kaki sudah lenguh berjalan. Cuma rasa kantuk yang tidak terasa kerana perasaan bimbang mengatasi segala-galanya.

Bunyi suara burung hantu makin jelas kedengaran apabila belukar dihampiri. Suasana seperti itulah yang paling tidak disukai oleh Tajol. Suara burung hantu membuatkan dia berasa mahu terkencing. Dengan kata lain Burung Hantu ialah musuh nombor satu yang membuat dia selalu kecut perut.

“Nadira...! Kau dalam belukar ni ke? Kalau ada, cepat menyahut! Kau tak takut ke?” laung Zariq yang bergerak sendirian ke sebelah kiri belukar. Dia tidak takut kerana belukar itu tempat dia dan anak-anak Al-Mustaqim yang lain bermain pada siang hari.

“Nadira...! Aku dah penat cari kau ni! Lagipun aku bukan berani sangat jalan sorang-sorang dalam belukar gelap-gelap macam ni. Keluarlah, Nadira! Kalau nak merajuk... esok siang ajelah!” Tajol melaung dari tengah belukar dengan takut-takut berani. Kalaulah Haji Embong tidak mengarahkan untuk mereka berpecah, diupah RM10 pun dia tidak mahu berjauhan daripada Zariq. Biar dia menjadi ekor dan Zariq kepalanya, tidak mengapa. Malangnya, Haji Embong sangat tegas pada waktu-waktu yang mencemaskan itu. Tidak ada tolak ansur lagi.

“Kau ni menyusahkan betullah, Nadira. Dahlah aku ni penakut,” sungut Tajol perlahan. Tidak mahu ada sesiapa yang mendengar. Kenyataannya Haji Embong dan Zariq memang berada jauh daripadanya.

“Aku... aku...” Terdengar suara halus yang kurang jelas tidak jauh dari tempat Tajol berdiri. Kemudian terdengar esakan mendayu.

Hampir terlepas lampu suluh dalam pegangan Tajol. Itu manusia atau hantu? Budak lelaki yang penakut menjadi semakin kecut. Dia memasang telinga untuk memastikan arah datangnya suara tangisan itu. Degup jantungnya jangan dikata, laju mengalahkan degup jantung pelari pecut.

“Tajol... aku kat sini... takut...” Kali ini suara itu lebih kuat dan jelas.

Tajol memusingkan badan untuk mencari arah suara itu. Rupa-rupanya suara itu datang dari sebalik sebatang pokok yang besar pangkalnya. Pantas dia mendekati pokok itu lalu disuluh tepat ke situ. Kelihatan susuk badan budak perempuan berumur lapan tahun sedang duduk di pangkal pokok itu. Sah! Sudah dijumpai. Tajol bangga kerana dia yang berjaya menemui Nadira. Dilihatnya Nadira sedang menekup muka dengan kedua-dua telapak tangannya. Badannya terhenjut-henjut kerana tangisan yang masih belum berhenti.

“Ayah! Zariq! Dah jumpa Nadira kat sini!” jerit Tajol. Dia pasti dengan sekali jeritan saja Haji Embong dan Zariq akan mendengarnya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan belukar yang sunyi itu. “Apalah kau buat sorang-sorang kat sini ni, Nadira? Kalau ada hantu nak makan kau, tak ada siapa dapat tolong tau.”

Sudahlah diri sendiri penakut, ada hati pula hendak menakut-nakutkan orang lain. Sudahnya bulu roma Tajol yang tegak-tegak berdiri. Barulah dia rasa menyesal kerana bercakap ikut sedap mulut saja. Dia juga berasa tidak seronok kerana menjadi budak lelaki yang kurang berani.

“Biarlah hantu makan aku. Aku tak suka orang kaya nak ambil aku. Ayah jahat! Ayah nak bagi aku kat orang lain. Aku tak nak!” sahut Nadira dalam sedu-sedannya. Mukanya masih di sebalik telapak tangan. Esakannya menjadi-jadi.

Sedih pula Tajol mendengarnya. Mungkin satu hari nanti nasibnya akan menjadi macam Nadira juga. Ada masanya dia marah pada nasib dirinya. Seluruh ahli keluarganya sudah meninggal dunia dalam satu kemalangan yang mengerikan sembilan tahun yang lalu. Dia tidak pernah kenal kedua-dua orang tuanya. Jauh sekali untuk merasai belaian kasih sayang mereka. Selalu dia bertanyakan Haji Embong, mengapa nasibnya tidak sebaik orang lain.

Pengasas Al-Mustaqim itu meyakinkannya bahawa nasibnya jauh lebih baik daripada bayi yang dibuang ke dalam tong sampah atau longkang walaupun mereka masih ada seseorang untuk dipanggil ibu. Langsung tidak dihargai oleh ibu sendiri. Apabila Haji Embong memujuk begitu barulah dia berasa lega.

“Jangan cakap gitulah. Nanti ayah dengar.” Cepat-cepat Tajol melupakan untung nasibnya sendiri. Buat masa ini Nadira yang perlu diberi perhatian.

“Memang ayah jahat! Aku benci ayah! Ayah tak sayang aku lagi!” jerit Nadira kuat. Dia tidak tahan lagi. Sejak dia diberitahu ada orang kaya dari Kuala Lumpur yang mahu mengambilnya dari Rumah Al-Mustaqim, dia tidak senang duduk. Sedih. Dia tidak suka berjauhan daripada Zariq, Tajol dan anak-anak Al-Mustaqim yang lain. Apatah lagi untuk berpisah dengan Haji Embong. Orang tua itulah yang dipanggil ayah sejak dia mula pandai bercakap beberapa tahun lalu.

Kalau sayangnya pada orang tua itu sangat besar, mengapa Haji Embong mahu menyingkirkannya daripada keluarga Al-Mustaqim? Tidak kasih lagikah ayah terhadap dirinya? Sudah seminggu dia memendam perasaan itu hingga akhirnya dia merasakan lelaki itu sangat jahat dan sudah mula membencinya.

“Nadira...!” Tajol tetap cuba melarang Nadira daripada terus beranggapan buruk terhadap ayah mereka.

“Biarkan Nadira luahkan semuanya. Biar lega hatinya.” Suara dari belakang mengejutkan Tajol dan Nadira. Haji Embong bersama Zariq sudah berada di tempat mereka berada.

Getar suara Haji Embong amat ketara. Hiba hatinya apabila mengetahui mulai tumbuh perasaan benci di dalam diri Nadira, suatu perkara yang sangat tidak baik bagi perkembangan pemikiran seorang budak yang sedang membesar. Perasaan itu akan terus bertunas dan bercambah dengan subur kalau Nadira sudah pergi dari Rumah Al-Mustaqim nanti.

Sayangnya Haji Embong tidak mampu berbuat apa-apa. Nadira mesti pergi. Rumah Al-Mustaqim bukan tempat terbaik buatnya. Dia mahukan kehidupan yang lebih terjamin buat Nadira. Selepas Nadira, anak-anak Al-Mustaqim yang lain akan pergi seorang demi seorang, meninggalkannya yang sudah semakin tua dan tidak berdaya lagi untuk menguruskan mereka.

“Nadira... kita balik, nak. Dalam belukar ni banyak nyamuk. Lagipun sejuk,” pujuk Haji Embong dengan lembut.

Sedikit pun Nadira tidak mahu memandang Haji Embong. Hanya esakan yang masih kedengaran.

“Marilah Nadira, ikut ayah balik.” Kali ini orang tua itu cuba menarik tangan Nadira pula.

“Nadira benci! Ayah nak buang Nadira! Nadira tak suka!” jerit Nadira sambil menepis kuat tangan Haji Embong. Air matanya semakin mencurah.

“Jangan macam ni, Nadira. Ayah buat semua ni untuk kebaikan Nadira,” pujuk Haji Embong lagi dengan suara sebak dan tertahan-tahan.

“Ayah bohong! Kenapa ayah suruh Nadira pergi? Ayah suruhlah budak lain, bukan Nadira!” bentak Nadira yang masih tidak berpuas hati.

Terpukul perasaan Haji Embong. Dalam gelap-gelita, mengalir juga air matanya tanpa ketiga-tiga anak Al-Mustaqim sedar. Anak-anak itu masih terlalu mentah untuk memahami erti hidup. Kehidupan tidak semudah yang mereka sangka.

Baginya, tidak mencukupi kalau mereka sekadar memakai baju pemberian orang-orang yang mengambil berat. Juga tidak memadai untuk mereka makan sekadarnya yang berlaukkan ikan dari kolam ternaknya, bersayurkan sayur-sayuran yang datang dari batas di belakang dapur Rumah Al-Mustaqim. Ada masanya Mak Som pula memungut cendawan dan pucuk paku dari belukar.

Ihsan pemberian dan derma orang ramai dikesampingkan untuk pelajaran dan sakit pening anak-anak Al-Mustaqim sehinggakan sakit peningnya dibiarkan sembuh sendiri. Bukan dia tidak sanggup berkorban untuk anak-anak yang masih mengharapkannya tetapi tenaganya sudah surut. Badannya sudah lemah di sana sini. Ah! Susahnya mahu membuatkan anak-anak faham.

“Kalau boleh ayah tak nak Nadira pergi. Ayah dah cadangkan orang kaya tu ambil budak lain tapi mereka tetap nakkan Nadira. Mereka janji akan jaga Nadira dengan baik. Belikan baju cantik-cantik. Makan makanan yang sedap-sedap... Lepas tu...”

“Nadira kata Nadira tak nak, tak naklah! Nadira tak nak!” Jeritan Nadira semakin kuat. Dia terus menangis dengan kaki menghentak-hentak ke tanah.

Sesak dada Haji Embong melihat kedegilan Nadira. Sayangnya, dia tidak boleh memarahi Nadira. Apabila budak kecil rasa tergugat, dia hanya tahu menangis dan menjerit. Hakikatnya Nadira adalah seorang budak baik dan dia sangat sayangkan Nadira. Budak itu sudah seperti anaknya sendiri.

“Ayah sayang Nadira. Mari ayah dukung. Kita balik, nak. Mak Som susah hati kalau Nadira tak nak balik.” Terus-terusan dia memujuk dengan menyebut nama Mak Som supaya hati Nadira menjadi lembut. Nadira memang akrab dengan wanita itu.

“Mak Som...” gumam Nadira dengan sisa esakan. Dia tunduk merenung tanah. Masih tidak mahu memandang muka Haji Embong.

Zariq dan Tajol yang sejak tadi melihat adegan pujuk-memujuk itu sudah makin gelisah. Apa tidaknya, badan mereka sudah menjadi hidangan nyamuk dan agas. Kelopak mata pula sudah lama memberat.

Sejak tadi mereka asyik terbayangkan tilam dan bantal. Sedap sungguh kalau dapat tidur dengan berkelubung selimut hingga ke kepala dalam cuaca sejuk begini. Kalau bukan sebab Nadira, mereka tidak perlu berembun di dalam belukar yang gelap itu.

Selain itu, mereka juga berasa sebak melihat keadaan Nadira yang begitu sedih dan sayu hati. Kalau diberi pilihan mereka tidak mahu berpisah dengan Nadira, adik perempuan kesayangan mereka di Al-Mustaqim. Apa boleh buat? Haji Embong yang memutuskan semuanya.

“Agaknya Mak Som tengah menangis sebab Nadira tak balik-balik. Kesian Mak Som,” umpan Haji Embong lagi bila melihat Nadira mulai nampak tenang.

Nadira masih tunduk. Hatinya hendak balik namun kakinya berat mahu melangkah. Rasa tidak puas hatinya terhadap Haji Embong masih berbaki. Peliknya perasaan itu bercampur aduk. Sayang dan benci berganti-ganti. Sebahagian hatinya sedang rajuk tapi sebahagian lagi cuba memahami. Sudahnya dia sendiri tidak selesa.

“Nadira pening kepala... mengantuk.” Budak kecil memang jujur perasaannya. Kuapan besar Nadira mengeyakan kata-katanya.

“Mari...” Dengan rasa kasih, Haji Embong mendukung Nadira.

Nadira melekap pada badan Haji Embong sambil menyorokkan mukanya. Dia tidak tahu lagi perasaan apa yang sedang menjalar di dalam dirinya waktu itu. Yang pasti dia hanya mahu tidur dengan lena sampai pagi. Dua minggu lagi dia akan berpisah dengan keluarga besarnya di Ulu Telom. Rumah Al-Mustaqim akan ditinggalkan tanpa rela.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku