Kukejar Kau Lari
Bab 3
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1529

Bacaan








HAJI EMBONG terhenyak di tepi longkang kecil. Matanya terkelip-kelip menahan sayu di hati.

Zariq dan Tajol menghampiri lelaki itu. Mereka duduk di kanan dan kiri Haji Embong. Mereka memerhati pandangan Haji Embong yang jauh ke depan.

“Selepas Nadira, siapa pulak, ayah? Kami?” soal Zariq dengan resah.

Luahan hati seorang anak Al-Mustaqim yang dilontar keluar. Zariq tahu mereka tidak akan kekal di situ. Seperti Hamdan, Hamidah dan ramai lagi. Sekarang tiba pula giliran Nadira. Selepas Nadira? Mungkin dirinya. Mungkin Tajol, Midi atau Busyra. Semuanya mungkin.

Haji Embong tunduk. Dadanya seakan-akan ditindih seketul batu. Sendat. Perpisahan adalah saat-saat yang paling menyeksa perasaannya. Dia membina Rumah Al-Mustaqim yang tanahnya diwakafkan oleh seseorang dengan kasih sayang. Kemudian diambilnya seorang demi seorang anak-anak untuk memenuhi rumah itu.

Anak-anak itu peneman sepinya yang sendirian. Bukan dia tidak ada anak sendiri tapi entah di mana. Haji Embong hidup terbuang. Selama 20 tahun dia menumpang kasih pada anak-anak yang tidak ada orang tua. Anak-anak Al-Mustaqim pula meminjam kasih sayang daripadanya. Mereka memberi dan menerima hinggalah usianya berganjak ke 60-an dan keuzuran menjadi penghalang untuk mereka terus bersama.

“Ya, betul. Kamu semua akan pergi tinggalkan ayah. Seorang demi seorang. Mungkin ayah akan sendirian menghabiskan sisa-sisa hidup ayah di Al-Mustaqim. Tapi masa tu ayah akan rasa lega sebab kamu semua dah jumpa kehidupan yang lebih selesa.”

Semakin kuat kerdipan mata tuanya. Ditekan-tekan supaya air mata tersekat tidak dapat keluar. Kadang-kadang dia cuba mengingati anaknya sendiri. Kalau bertemu lagi, masihkah dia dapat mengingati wajahnya? Ah! Di mana kamu? Baginya, Zariq dan Tajol pengganti anak lelakinya itu.

Tajol dan Zariq pun sudah lama tidak menangis. Sejak menjadi penghuni di Rumah Al-Mustaqim, mereka sudah terbiasa menyorokkan kesedihan. Bermacam-macam rintangan sudah dilalui. Mereka sudah kebal dengan semua itu. Namun di dalam hati yang tidak nampak, ada limpahan takungan air mata yang tersimpan lama.

“Zariq tak nak pergi. Tak akan tinggalkan ayah sampai bila-bila. Zariq tak peduli. Ayah nak pukul ke... nak rotan ke...Zariq tetap tak akan tinggalkan ayah. Zariq nak jadi anak ayah sampai bila-bila. Nak jaga ayah bila ayah dah lebih tua.” Getar suara Zariq membayangkan rasa hatinya.

“Kamu suka hidup susah?”

“Asalkan ada ayah.”

“Kamu memang degil. Paling degil kat Al-Mustaqim ni.” Tidak tahu apa lagi yang hendak diucapkan oleh Haji Embong. Dia sudah masak dengan keras kepala Zariq. Zariq selalu tetap dengan kemahuan dan pendiriannya.

“Memang Zariq degil sebab Zariq sayang ayah.” Keputusan Zariq bulat dan melekat. Tidak boleh diubah-ubah lagi.

Sebak hati Haji Embong disembunyikan. Dia sangat terharu dengan perhatian yang diberikan oleh Zariq. Sudah ada rasa tanggungjawab di dalam diri Zariq walaupun umurnya masih terlalu mentah.

“Kamu, Tajol? Nak lawan ayah jugak?” Dia mahukan jawapan Tajol pula.

Tajol mengangguk dengan yakin. Suara hatinya sama. Dia juga sudah nekad tidak akan sesekali meninggalkan Haji Embong. Tidak mengapa kalau mereka hanya dapat makan berlaukkan ikan yang dipancing dari parit besar atau kolam ternak orang tua itu. Pucuk paku dan cendawan sudah sebati dengan tekak mereka. Sayuran yang berbaris pada batasnya lebih daripada mencukupi.

“Entahlah... ayah bukan ada seorang anak lelaki yang degil, tapi dua orang. Tak dengar kata.” Ucapan Haji Embong tidak sama dengan kata hatinya. Baginya Tajol dan Zariq ialah anak-anak yang baik.

“Ayah yang ajar kami. Ayah kata kita mesti sayang orang lain. Jangan pentingkan diri sendiri. Kami ikutlah cakap ayah. Kami nak jaga ayah,” ujar Tajol.

Haji Embong mengeluh perlahan. Hati Tajol sekeras hati Zariq. Memang sepadan mereka menjadi sahabat baik walaupun ada masanya Tajol sangat menjengkelkan. Mereka seperti askar muda yang sudah direkrut dengan ketahanan jiwa.

Kali ini tidak tahan hati tuanya. Setitis demi setitis air mata jatuh ke dalam longkang kecil. Dia telah kalah dengan jiwa besar dua orang anak lelaki yang masih mentah. Masih hingusan tapi kehidupan telah melatih untuk mereka berfikir jauh ke depan.

“Kamu berdua tinggalkan ayah. Ayah nak sendirian.” Perlahan sekali nada suaranya.

Zariq dan Tajol akur. Sebak. Belum pernah Haji Embong menitiskan air mata di depan mereka. Kali ini mereka dapat melihat dengan jelas betapa sukarnya orang tua itu mengawal perasaannya. Mereka membiarkan Haji Embong menenangkan jiwanya lalu beredar dari situ.

“Nadira...”

Bibir Haji Embong bergetar. Jari-jari tuanya menyeka air mata yang membasahi pipi yang tidak lagi tegang. Terlalu pedih untuk melepaskan Nadira pergi. Terlalu sukar mahu berpisah dengan anak perempuannya itu. Malangnya Nadira tidak akan memahami semua itu. Dia masih terlalu kecil untuk mengerti.

“Assalamualaikum, abang haji.”

Salam Mak Som yang baru keluar dari arah pintu dapur dijawab di dalam hati saja oleh Haji Embong. Perasaannya sedang lesu tidak bermaya.

Melihat muka Haji Embong yang suram, Mak Som menggeleng kepala. “Masih fikir tentang Nadira, abang haji?” soalnya perlahan.

Seperti Haji Embong, perasaan Mak Som juga tidak menentu. Apa tidaknya, dialah yang berjaga malam ketika Nadira kembung perut sewaktu kanak-kanak itu bayi. Dia juga yang menggantikan lampin Nadira apabila basah. Malah dia yang memandikan Nadira pagi dan petang. Air matanya sudah terlalu banyak keluar sebaik mengetahui Nadira akan meninggalkan mereka semua.

“Budak tu dah mula bencikan abang. Entahlah, Som...abang harap dia akan faham bila dah dewasa nanti.” Perlahan-lahan tapak tangan Haji Embong menyeka air matanya.

“Nadira dah tak banyak cakap. Dengan Som pun dia asyik jauhkan diri. Merajuk sungguh dia,” keluh Mak Som pula. Ada saki-baki tangisan subuh tadi yang masih tersorok di hatinya. Sewaktu mengejutkan Nadira untuk bersolat, air matanya menderu tiba-tiba. “Tak apalah, abang haji... Som ke belukar dulu.”

Haji Embong mengangguk lalu melepaskan keluhan.

Mak Som ke belukar lebih awal daripada biasa. Bukan dia mahu mencari pucuk paku atau cendawan seperti rutin hariannya. Dia hendak mengambil kayu kering untuk dijadikan kayu api. Niatnya mahu memasak rendang daging, sambal kacang dan ketupat. Pembantu di Al-Mustaqim itu tahu, makanan tersebut kesukaan Nadira.

Dia mahu menghadiahkan Nadira sesuatu sebelum mereka berpisah. Tidak ada yang mampu diberi selain air tangannya untuk Nadira yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Malam tadi dia tidak dapat lena kerana terlalu memikirkan detik perpisahan dengan budak baik itu.

Zariq yang baru balik dari memancing tertinjau-tinjau di tepi pagar kawat yang menjadi pemisah di antara rumah anak-anak lelaki dan perempuan. Tidak terlihat kelibat Mak Som. Aneh! Kebiasaannya orang tua itu akan menunggunya untuk sama-sama ke belukar. Ruang tamu nampak sepi. Mungkin adik-adik perempuannya sedang mandi atau ada yang belum bangun daripada tidur.

“Nadira!” Sebaik dia mahu memusingkan badan untuk masuk ke dalam rumah, terlihat Nadira sedang melangkah muka pintu.

Nadira menoleh dengan muka sembap. Dia tidak menyahut panggilan Zariq.

“Mana Mak Som?”

Zariq dipandang lama. Nadira mahu membuka mulut tapi seperti sudah berzip. Dia tidak ada hati untuk bercakap. Fikirannya juga kosong. Tidak ada yang singgah di kepalanya sejak mendengar berita ada orang kaya yang mahu mengambilnya dari Rumah Al-Mustaqim.

“Kau dah tak boleh bercakap, ya?” Zariq faham apa yang sedang dirasai oleh Nadira. Hanya dia tidak mahu terlalu membebankan otaknya dengan perkara itu. Kalau dia terus memikirkannya, hatinya akan sedih dan sakit. Sedih kerana perpisahan dan sakit hati kerana tidak dapat menghalang Nadira daripada diambil orang.

“Belukar.” Terbuka juga mulut Nadira.

“Paginya... Tak tunggu aku pun.”

“Entah... tak tau,” jawab Nadira acuh tidak acuh. Tidak bersemangat untuk melalui hari itu.

“Kau ni monyok aje. Orang bercakap dengan dia pun nak tak nak jawab.”

“Kau sukalah kan kalau aku tak ada nanti?!” Tiba-tiba suara Nadira meninggi. Merah padam mukanya.

“Mestilah aku tak suka. Aku tak suka! Nanti aku tak dapat jumpa kau lagi. Mesti aku rindu kat kau.”

“Aku nak duduk sini!” bentak Nadira. Dihentak kakinya ke simen. Benci! Semalaman dia cuba memujuk hati supaya menerima kehendak Haji Embong dengan baik. Tapi hatinya menjerit-jerit, membentak-bentak dan membantah. Sudahnya dia gagal memujuk diri sendiri.

“Jangan degil. Ikut apa ayah kata. Ayah dah tua, tak larat jaga kita ramai-ramai.” Nada Zariq keras. Tiada kelembutan kerana dia memang tidak pandai memujuk budak perempuan. Namun hatinya masih mengharapkan supaya Haji Embong menukar fikiran. Dia tidak mahu berpisah dengan Nadira.

“Bukan kau yang ayah nak buang, bolehlah kau cakap macam tu!” Sekali lagi Nadira menunjukkan kemarahan. Tidak dapat ditahan. Dia tidak tahu kenapa hatinya terus berbahang sejak mendengar ada orang kaya mahu mengambilnya. Dia hendak protes! Biar Haji Embong tahu. Biar Zariq tahu apa yang dia tidak suka.

“Syyhh... jangan cakap ayah macam tu. Ayah dengar dia sedih nanti. Ayah tak buang kau tapi dah tak daya nak jaga kita semua. Ayah dah tua.” Mata Zariq melilau untuk memastikan Haji Embong tidak berada di sekitar mereka.

“Kau pun sama. Bohong. Asyik-asyik cakap macam tu. Ayah bukan sedih pun.” Kendur juga suara Nadira. Dia sudah penat mengulang perkataan yang serupa. Dia mahu masuk ke dalam rumah semula. Tidak ada yang menarik di luar. Tidak lama lagi semuanya akan ditinggalkan. Kalau sebelum ini dia suka mengambil angin luar pada waktu pagi, sekarang tidak lagi. Angin pagi sudah panas habanya. Sepanas hatinya.

“Nadira! Ikut aku nak?”

Terhenti langkah Nadira. Dipandang muka Zariq lama. Dia memikirkan perlu atau tidaknya untuk dia mengikut Zariq. “Ke mana?”

“Belukar... ikut Mak Som.”

Nadira tunduk. Tangannya meramas-ramas hujung baju. Dipandangnya Zariq lagi. Kemudian ditinjau ruang dalam rumah. Selepas itu, menoleh pula ke hujung jalan. Ligat otaknya berfikir. Untuk apa dia ke belukar kalau belukar itu juga akan ditinggalkan? Renungannya berpindah masuk ke dalam rumah sekali lagi.

“Yalah... kita ikut Mak Som.”

Keputusan itu diambil kerana dia tahu dengan terus memerap di dalam rumah hanya akan menambah pusing dan serabut kepalanya.

Zariq senyum mendengar jawapan yang diharapkan daripada mulut Nadira. Dia mahu memadam amarah di dalam hati adiknya itu.

“KAU pegang apa tu?” tanya Nadira ketika bersaing dengan Zariq ke dalam belukar.

Tangan Zariq berada di dalam kemeja besarnya. Bahagian perutnya berbonggol panjang. Dia mahu menyorokkan sesuatu daripada Nadira. Malangnya kemeja bukanlah tempat yang selamat untuk menyembunyikan apa yang sedang dipegangnya itu.

“Botol,” jawab Zariq, pendek. Seronok dia dapat berjalan beriringan dengan Nadira. Nasib baik Tajol bertugas di Madrasah. Kalau tidak, sudah tentu dia tidak akan membenarkan mereka berjalan berdua.

“Buat apa?”

“Adalah... tengoklah apa aku buat nanti. Cepat sikit jalan, takut Mak Som nak balik dah.”

Langkah dipanjangkan. Rumpun senduduk yang melata menyusahkan pergerakan mereka. Perlu juga berhati-hati dengan akar pokok yang berselirat di permukaan tanah. Silap langkah boleh terjatuh apabila tersadung kaki.

“Tu Mak Som! Kenapa Mak Som kutip kayu tu?” Nadira menuding jarinya ke arah Mak Som yang sedang terbongkok-bongkok memungut kayu. Mata Nadira lebih awas daripada penglihatan Zariq.

“Mak Som! Nadira ni!”

“Sini!” Mak Som melambai-lambai. Bergolak dadanya ketika melihat muka Nadira yang jernih. Tidak lama lagi dia tidak akan dapat memandang Nadira lagi. Mak Som seperti Zariq juga, tidak mahu mempamerkan rasa akan kehilangan. Biarlah dia saja yang tahu. Biar Nadira dapat menikmati sisa kegembiraan di Al-Mustaqim.

“Kenapa Mak Som kumpul kayu kering banyak-banyak?” Seekor nyamuk hendak bertenggek pada batang hidung Nadira. Cepat ditepisnya.

“Untuk Nadira.” Hujung lengan baju kurung Kedahnya ditarik untuk mengelap peluh pada mukanya. Mak Som tidak mahu peluh itu bercampur air mata. Maka dia tidak akan memandang Nadia ketika bercakap.

“Kayu untuk Nadira? Buat apa, Mak Som? Tak faham Nadira.” Nadira mengoyakkan daun yang dipetik dari pokok yang rendah. Selepas dikoyak, ditabur-tabur. Kemudian dipetik daun yang baru. Daun hijau yang segar.

Mak Som ketawa kecil melihat tingkah Nadira. “Nadira kan suka ketupat, daging rendang, sambal kacang?” Masih tidak memandang Nadira, sebaliknya mata hitamnya terus ditumpukan pada timbunan kayu yang sudah dikumpulkan.

“Oh...” Nadira tidak melompat seperti selalu. Biasanya apabila dia tahu Mak Som akan memasak makanan kesukaannya, keterujaannya tidak terkata. Kali ini tidak lagi. Tekaknya tidak terliur dengan makanan kegeramarannya itu. Hanya bayangan perpisahan bermain di kepalanya.

Daripada nada suara Nadira, Mak Som dapat menyelami ketakutan dan kegusaran Nadira. Sudah tentu dia tidak henti-henti membayangkan bagaimana dia akan hidup dengan orang yang tidak pernah dikenali. Terpaksa pula meninggalkan keluarga besar Al-Mustaqim dengan terpaksa.

“Mari kita balik. Mak Som nak masak.” Kayu kering yang sudah dilonggokkan diikat dengan tali yang dibawa dari rumah.

Zariq meringankan tangan, bergegas membantu Mak Som.

“Tunggu kejap boleh tak, Mak Som? Zariq nak tanam botol ni.” Botol yang telah diletakkan di atas tanah semasa Zariq menolong Mak Som mengikat kayu diambil semula. Mak Som dan Nadira berpandangan. Tidak tahu apa yang hendak dilakukan oleh Zariq.

“Ada-ada saja kamu ni. Tanam dekat mana?”

“Sana tu, Mak Som. Kat bawah pokok yang paling tinggi tu.” Zariq menuding jari ke arah sebatang pokok tidak jauh dari situ.

Mak Som mengelap peluh dengan tuala Good Morning yang terlilit pada lehernya. Terpaksa pula melayan kerenah Zariq. “Kamu pergilah, Mak Som tunggu sini aje. Jangan lama-lama.”

“Jom, Nadira.”

“Buat apa?”

“Jom ajelah. Mak Som ada pisau tak? Zariq pinjam.”

Malas Mak Som hendak bertanya untuk apa Zariq minta pisau. Dia sudah letih dan mahu berehat. Dicapai botol air masak putih lalu diteguk dengan laju. Haus sungguh. Kemudian, dia menyeluk poket baju kurung Kedah dan mengeluarkan sebilah pisau lipat lalu dihulurkan kepada Zariq.

Mahu tidak mahu Nadira, mengekori Zariq dengan langkah malas. Malas dia bertanya tujuan Zariq itu.

Sampai di bawah pokok yang paling tinggi, Zariq berhenti lalu mendongak. Memang tinggi sungguh. Dia tidak tahu nama pokok itu. Lagipun bukan penting untuk dia tahu.

Tangan kanannya mulai menggores kulit pokok. Kalau boleh, dia mahu goresan itu tembus sampai ke batang pokok.

Nadira terus memerhati. Masih tidak ada hati hendak bertanya. Biarlah! Bersungguh-sungguh Zariq melakukan. Lama-lama Nadira agak tertarik. Goresan pisau Mak Som sudah melakar huruf Z. Gerakan tangan Zariq diperhati dengan lama. Selepas Z tertera pula huruf A.

“Kau nak tulis nama kau ke?” tanya Nadira acuh tidak acuh.Zariq angguk.

“Kau pulak!” Zariq menghulurkan pisau itu kepada Nadira setelah selesai mengukir namanya pada batang pokok itu.

Nadira tersentak bila mendengar suara Zariq. “Nak buat apa?” Dia masih tidak memahami.

“Kau tulis nama kau pulak.” Nadira menyambut pisau itu lambat-lambat. “Kenapa mesti tulis nama kita pada pokok ni? Macam bodoh aje.”

“Kau tak pernah cakap bodoh. Hari ni kenapa kau sebut?” Zariq mengerutkan keningnya.

“Aku nak belajar cakap macam tu. Nanti bila aku dah duduk dengan orang kaya mesti dia tak suka. Lepas tu, dia orang akan hantar aku balik ke sini.” Rupa-rupanya Nadira ada rancangan sendiri.

Zariq menggeleng. Rupa-rupanya Nadira masih tidak faham. Bukan dia seorang yang akan terpaksa pergi. Semua anak-anak Al-Mustaqim akan dibawa oleh entah siapa-siapa dan entah ke mana. Mereka akan terpisah juga. Tidak tahu akan dapat berjumpa lagi atau tidak. Hanya dia yang tetap akan berkeras untuk tinggal bersama Haji Embong. Dia sudah nekad.

“Jangan buat yang bukan-bukan. Bila kau dah duduk dengan orang kaya, kau tak boleh balik lagi. Bukan kau seorang yang terpaksa pergi. Adik-adik yang lain jugak.”

“Kau?”

“Mungkin ayah nak aku pergi jugak...” Sengaja Zariq tidak mahu memberitahu tentang kedegilannya yang tidak mahu meninggalkan Haji Embong dan Rumah Al-Mustaqim. Biar itu menjadi rahsianya bersama Tajol. “Kau ukir nama kau kat situ. Mesti kau rasa seronok,” pintanya lalu tersenyum penuh makna.

“Kenapa aku mesti letak nama aku kat pokok ni? Aku malaslah,” ujar Nadira. Namun tangannya tetap menoreh kulit pokok dengan separuh hati.

“Mana tau aku pun akan keluar dari Al-Mustaqim. Mesti kita tak akan dapat jumpa lagi kan? Kau entah kat mana. Aku pun entah kat mana. Jadi, aku nak kita ukir nama kita kat pokok ni. Aku nak jadikan tanda.”

Nadira berhenti mengukir. Susah dia hendak memahami apa yang Zariq jelaskan. Kalau sudah terpisah, untuk apa pula tanda itu? Sudah tentu mereka akan sama-sama meninggalkan daerah itu. Meninggalkan Rumah Al-Mustaqim dan Haji Embong. Bermakna mereka tidak akan melangkah ke belukar kecil itu lagi.

“Tak faham.”

“Nadira, sebenarnya aku tak suka kau pergi. Ayah kata kau adik aku. Aku sayang kat kau. Jadi, kalau satu hari nanti aku pun dibawa pergi dari tempat ni, kita jumpa kat sini. Aku akan tanam botol dalam lubang. Bila aku akan pergi dari tempat ni, aku akan masukkan satu nota kat dalamnya. Pokok ni sebagai tanda supaya kau boleh jumpa botol yang aku tanam.”

“Nota apa?”

“Nota yang akan beritau aku kat mana. Kau boleh cari aku melalui nota tu.”

Mendengar penjelasan Zariq, laju tangan Nadira mengelar kulit pokok. Dia mahu namanya ada di situ bersama nama Zariq. Dia tidak mahu berpisah sampai mati. Suatu hari nanti, dia pasati akan bertemu dengan Zariq semula. Hatinya agak terubat apabila mengetahui perancangan Zariq itu walaupun dia masih kurang faham penjelasan Zariq.

“Nama aku dah ada!” katanya sebaik selesai mengukir namanya.

“Bagus. Nama kita akan terus ada kat batang pokok tu. Macam tulah aku akan ingat kau sampai bila-bila,” jamin Zariq.

Senyuman Nadira melebar sampai ke telinga. Akan ditagihnya janji Zariq suatu hari nanti. Dia juga tidak mahu melupakan Zariq walau di mana saja dia berada.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku