Kukejar Kau Lari
Bab 5
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1571

Bacaan








Tepat jam 8.00 pagi, sebuah Mercedes Compressor berwarna hitam telah berhenti di pekarangan Rumah Al-Mustaqim. Sepasang suami isteri berusia 30-an keluar dari perut kereta.

Tuan Daniel dan Puan Suzi memberi salam di muka pintu Rumah Al-Mustaqim.

“Paginya dia orang datang? Zariq tak balik lagi.” Nadira yang berada di dalam bilik mula resah bila Midi memberitahu orang kaya sudah datang untuk mengambilnya.

Nadira muram.

Busyra memandang Nadira dengan mata terkedip-kedip. Sedih kerana Nadira akan pergi. Dia juga tidak mahu berpisah dengan Nadira. Tidak ada lagi kawan berbual sebelum tidur. Tidak akan ada yang mengejutkan dia untuk bersolatsubuh.

Nadira berdebar-debar. Serba tidak kena. Gelisah. Tidak sanggup untuk menghadapi saat-saat perpisahan. Terasa mahu saja melarikan diri dari Rumah Al-Mustaqim. Menyorok di belukar sekali lagi supaya tidak akan ada yang memaksanya mengikut orang kaya yang tidak dikenali itu.

“Busyra, kau jangan lupa aku ya?” Terketar suaranya. Nadira betul-betul takut.

“Kau pun jangan lupa aku.”

Mereka berpegangan tangan erat.

Anak-anak Al-Mustaqim yang lain turut mengelilingi Nadira dengan rasa hiba. Suara tangisan bersahutan. Cik Ah dan Midi paling kuat menangis. Mereka akan kehilangan kawan bermain.

“Kawan-kawan, jangan lupa aku ya?” Nadira merenung seorang demi seorang.

Masing-masing mengangguk lemah. Mereka berhadapan dengan perpisahan sekali lagi.

Mak Som mengesat air mata. Rasa tidak sanggup untuk melihat muka Nadira lama-lama. Teringat semula sewaktu hari pertama Nadira menjadi penghuni Rumah Al-Mustaqim. Budak perempuan itu nampak takut-takut mendekatinya. Perasaan itu tidak lama. Akhirnya, Nadira menjadi budak yang paling manja dengannya.

Nadira menjeling beg pakaiannya. Beg yang tidak terlalu besar itu dipenuhi dengan hanya beberapa pasang pakaian saja. Kata Haji Embong, tidak perlu bawa pakaian lama kerana orang kaya itu akan membeli yang baru untuknya.

“Dalam almari aku ada baju. Siapa muat, bolehlah ambil. Bila pakai nanti mesti akan ingat aku selalu.” Itulah pesanannya kepada beberapa orang kawannya ketika dia mengemas pakaian semalam.

“Kalau aku nak, boleh?” tanya salah seorang daripadanya.

“Siapa-siapa pun boleh. Aku sayang semua baju tu tapi tak boleh bawa. Nanti orang kaya malu bila aku pakai baju yang dah lama,” ujar Nadira.

“Untungnya dapat pakai baju baru yang cantik-cantik,” celah salah seorang penghuni perempuan.

“Aku bukan nak baju baru...” Nadira mengetap bibir. “Aku... aku... cuma nak duduk sini dengan kawan-kawan. Kat sini ramai kawan. Hari-hari boleh main sama. Kat rumah orang kaya, aku tak ada siapa-siapa.”

Cepat-cepat Mak Som beredar dari situ. Tidak sanggup untuk melihat budak-budak itu dalam kesedihan. Hari itu dia akan kehilangan salah seorang budak baik Al-Mustaqim. Tentu dia akan rindukan Nadira.

“Ke tepi sikit, anak-anak. Ayah nak masuk.” 

Haji Embong muncul lalu menghadap Nadira. Hati tuanya terusik apabila melihat wajah Nadira yang tidak bercahaya. Lemah tidak bertenaga. Bukan dia tidak tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran anak itu, tetapi dia terpaksa melakukannya demi kebaikan Nadira. 

“Nadira... ingat pesan ayah. Bila dah jadi keluarga mereka, dengar kata. Macam mana Nadira selalu dengar kata Mak Som dan ayah, macam tulah ayah nak Nadira dengar kata bakal ibu dan ayah Nadira.” Dia mula bersuara.

Jari Nadira mencakar-akar cadar katil. Hatinya semakin tidak menentu. Suara Haji Embong antara dengar dengan tidak. Dia resah. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan Zariq masih tidak muncul lagi. Dia tidak mahu lagi menangis depan Haji Embong. Lagipun Haji Embong tidak akan suka melihat dia menangis.

“Nadira dengar ke tidak apa ayah pesan tadi?” soal orang tua itu apabila melihat Nadira seperti sedang berada di dunia lain. Mungkin fikirannya sedang bercabang-cabang.

“Err... Nadira dengar. Nadira ikut cakap ayah,” jawab Nadira. “Ayah...” Dia memegang tangan kiri Haji Embong dan kata-katanya terhenti di situ. Kelu.

“Ada apa?” Haji Embong mengusap rambut Nadira.

“Boleh tak ayah datang tengok Nadira bila Nadira dah duduk bandar?” pinta Nadira. Suaranya mengharap. Mukanya mengharap. Hatinya mengharap. Hanya itu saja caranya untuk bertemu Haji Embong. Nadira tidak mahu mereka terputus hubungan. Haji Embong adalah satu-satunya ayah yang dia ada.

“Hmm...” Keluhan lemah dilepaskan. Haji Embong tidak mahu berjanji kerana takut tidak akan tertunai. Dia cuba memikirkan alasan yang sesuai untuk Nadira. Hati tuanya juga hiba kerana terpaksa melepaskan anak perempuannya pergi.

“Boleh tak, ayah?”

“Insya-Allah,nak. Ayah tak boleh janji. Kerja kat sini banyak. Kalau ayah pergi siapa yang akan uruskan kawan-kawan Nadira ni? Tapi ayah akan cuba cari masa yang sesuai.” Hanya itu yang mampu diberikan oleh Haji Embong.

Nadira terpaksa menerima hakikat dengan hati yang berat.

“Dah siap semua, kan? Tuan Daniel dan isterinya tak boleh lama.”

Sebaik Nadira mendengarnya, kelam-kabut hatinya. Fikirannya terus berlari kepada Zariq. Bagaimana dia hendak pergi sedangkan Zariq masih tidak nampak batang hidungnya? Punggungnya terasa melekat pada permukaan tilam. Seram sejuk apabila memikirkan orang kaya itu. Adakah mereka akan sayang dan perhatian terhadapnya?

“Mari ayah bawakan beg ni.” Haji Embong sudah bangun dari tepi katil.

“Ayah, tunggu sikit lagi, boleh? Nadira nak jumpa Zariq,” tahan Nadira dalam simpati. Juga mengharap.

Haji Embong merenung Nadira lama. Dia arif bagaimana akrabnya dua kanak-kanak itu. Kalau dia tidak membenarkan, terasa kejam. Hendak dituruti, serba salah pula. Orang kaya sudah lama menunggu di luar. Dijemput masuk mereka tidak mahu. Alasannya angin di luar terasa nyaman.

“Entah ke mana Zariq. Kenapa dia tak balik lagi?” Haji Embong menarik nafas dalam-dalam. Pelik pula bila Zariq masih belum nampak batang hidungnya. “Kalau macam tu, mari kita keluar. Ayah akan minta orang kaya tunggu sikit masa lagi.” Dia menarik perlahan tangan Nadira.

Nadira hanya akur. Melangkah keluar dengan hati yang lara.

Anak-anak yang lain mengekori di belakang mereka. Mereka mahu menghantar Nadira hingga ke perut kereta kepunyaan orang kaya. Mahu melambaikan tangan sebagai tanda selamat tinggal.

“Tuan, puan... ini Nadira. Salam, Nadira.” Haji Embong memperkenalkan Nadira sebaik sahaja berhadapan dengan Tuan Daniel dan Puan Suzi.

Dengan ketar Nadira menghulurkan tangan.

Tuan Daniel dan Puan Suzi mengukirkan senyuman biarpun Nadira tidak memandang mereka. Mereka tidak berkecil hati dengan sikap Nadira. Bukan mudah untuk Nadira menerima mereka sebagai keluarga barunya. Sudah tentu Nadira berasa kekok dan takut-takut.

“Boleh kita pergi sekarang, Nadira?” Puan Suzi mencuit dagu Nadira yang lekuk. Dia mahu menunjukkan kemesraannya untuk mengambil hati Nadira yang akan menjadi sebahagian daripada keluarganya.

Cepat retina Nadira beralih memandang Haji Embong. Dia berharap orang tua itu akan berkata sesuatu.

“Err... tuan, kalau boleh saya minta tuan beri peluang pada Nadira ni jumpa dengan abangnya. Entah kenapa lambat pulak baliknya.” Haji Embong bersuara. Tidak mahu mengecilkan hati Nadira.

Lega hati Nadira kerana Haji Embong memahami maksud renungannya sebentar tadi. Debarannya masih berbaki apabila terpaksa pula menanti jawapan dari Tuan Daniel.

Tuan Daniel pandang memandang Puan Suzi. Isterinya mengangguk. Dia mengerling jam di tangan, kemudian menoleh ke arah pemandunya yang mungkin sudah terlena di dalam kereta kerana terlalu letih menunggu.

“Papa beri setengah jam lagi. Kami tak boleh tunggu lebih lama lagi. Ada hal penting yang perlu diselesaikan petang nanti.” Tuan Daniel cuba bertolak ansur.

Papa? Terasa terlalu asing kalimat itu menendang masuk ke telinga Nadira. Kini umurnya sudah lapan tahun. Dia akan mendapat papa dan mama baharu. Ah, susahnya! Terasa orang kaya sedang memaksanya menerima gelaran itu.

“Yalah, tuan... saya pun faham keadaan tuan. Terima kasih sudi bertolak ansur dan memahami.” Sejuk hati Haji Embong atas budi bicara pasangan itu. Dia berharap pasangan suami isteri itu akan menjadi penjaga yang baik buat Nadira.

Sementara Tuan Daniel dan Haji Embong berbual-bual, Nadira mengambil peluang berbual-bual dengan kawan-kawan yang akan ditinggalkan. Pada masa yang sama, hatinya gelisah. Bukankah malam tadi Zariq sudah berjanji akan pulang seawal yang mungkin? Sesekali matanya dilarikan ke jalan masuk. Mengharapkan Zariq muncul. Harapannya sia-sia apabila setiap kali memandang tidak nampak kelibat Zariq. Pilu hatinya. Sampai hati Zariq bersikap begitu.

“Nadira... dah setengah jam tapi Zariq tak balik lagi. Orang kaya dah tak boleh tunggu lama.”

Berdetak jantung Nadira apabila mendengar suara Haji Embong yang berada di belakangnya. Dia makin cemas, hiba dan marah dengan sikap Zariq yang mungkir janji.

“Nadira tak boleh tunggu Zariq lagi. Entah bila dia akan balik. Tuan Daniel dah tunggu lama tu. Pergi sekarang ya, nak?” Suara Haji Embong payah untuk dilontarkan.

Nadira tidak ada pilihan lagi. Mahu tidak mahu dia terpaksa mengangguk.

“Ingat... jadi anak yang baik. Pegang apa yang ayah dan Mak Som ajar selama ni. Jangan meninggi suara pada orang tua.”

Nadira mengangguk lagi. Kali ini amat berat.

“Sekarang kamu boleh salam kawan-kawan. Ucap selamat tinggal.” Haji Embong terasa kekurangan sesuatu. Mak Som tidak ada di situ. “Kamu pergi panggilkan Mak Som.” Dia mencuit bahu salah seorang kanak-kanak. Kanak-kanak itu pantas berlari mencari Mak Som di dalam rumah.

Seorang demi seorang menghampiri Nadira. Menghulur tangan untuk bersalam.

Nadira cuba bertahan rasa sedihnya. Mahu membiasakan diri supaya ketika berada bersama orang kaya dia tidak akan mudah lemah hati. Bila sendirian nanti tidak akan ada yang memujuknya lagi.

“Sayang!” Mak Som yang baru muncul menarik dan terus memeluknya.

Nadira tenggelam dalam dada Mak Som yang berombak.

Mata wanita tua itu merah tanpa air mata. Dia sudah puas menangis semasa mengurung diri di dalam bilik.

“Selamat tinggal, sayang. Jaga diri. Jadi anak yang baik. Jangan lupakan Mak Som.” Mak Som menggagahkan diri bersuara.

Tidak ada sahutan mahupun reaksi daripada Nadira. Dia hanya mampu mengangguk.

Setelah bersalaman dengan semua, Mak Som memimpin Nadira hingga ke kereta. Haji Embong di sebelah kirinya membawa beg pakaian lalu disambut oleh pemandu dan memasukkannya ke dalam boot kereta.

Nadira terasa segan hendak melangkah masuk apabila melihat Puan Suzi sudah berada di dalam perut kereta di kerusi belakang.

“Masuk... sini duduk dengan mama.” Puan Suzi menggamit. Suaminya duduk di hadapan sebelah pemandu.

Sekali lagi Nadira mencium tangan Haji Embong dan Mak Som dengan air mata berjuraian. Dengan malas dia memboloskan diri lalu duduk di sebelah Puan Suzi.

Tuan Daniel dan Puan Suzi mengangkat tangan sebagai tanda mahu bertolak. Haji Embong senyum pahit dan mengangguk.

Mak Som merapatkan badannya ke kereta. Hendak melihat Nadira dari dekat. “Jaga diri anak Mak Som,” pesannya. “Puan... jaga anak saya baik-baik,” pintanya pada Puan Suzi.

“Jangan takut mak cik. Kami akan sayang dia macam anak sendiri,” jamin Puan Suzi.

Nadira keluar sekejap untuk mencium pipi Mak Som, kanan dan kiri. Bertalu-talu. Melihat keadaan itu Haji Embong mengerdipkan mata beberapa kali. Tidak mahumenangis lagi.

“Ayah... Mak Som... Nadira pergi dulu. Cakap pada Zariq, jangan nakal-nakal lagi. Jangan susahkan ayah dan Mak Som.” Lirih suara Nadira.

“Ya, nak... ayah akan sampaikan.”

Nadira tidak mahu memandang kedua-dua orang tua itu lagi. Tidak sanggup. Dia masuk semula ke perut kereta dan terus memandang lurus ke depan.

Sewaktu kereta bergerak perlahan Nadira menoleh sekilas sambil melambai. Selepas itu, dia memandang ke depan semula.

Anak-anak Al-Mustaqim berlari-lari di tepi kereta mengiringi Nadira hingga ke hujung jalan. Mereka melaung mengucapkan selamat jalan kepada Nadira. Haji Embong dan Mak Som merenung dari jauh.

“Selamat tinggal, kawan-kawan!” ucap Nadira sambil melambai-lambaikan tangan kepada mereka.

Di sebalik pokok kelapa sawit, sepasang mata sedang mengintai kereta yang bergerak perlahan. Sudah lama tuan punya mata itu berada di situ. Mengintai dari jauh tanpa ada keberanian untuk menghampiri.

“Nadira... aku minta maaf tak dapat tengok kau dari dekat. Aku tak nak tengok kau menangis. Aku pun tak nak kau tengok aku menangis. Maafkan aku. Jangan benci aku, tau.”

Rupa-rupanya Zariq sudah lama di situ. Dia menyorok di kebun bersebelahan Rumah Al-Mustaqim.

“Selamat tinggal, Nadira!”

Zariq menghantar pemergian Nadira sehingga kereta itu menghilang daripada pandangan. Dia melangkah longlai ke Rumah Al-Mustaqim. Entah untuk berapa lama lagi dia akan menjadi penghuni di situ, dia tidak pasti.

Di dalam kereta yang mula meluncur laju, Nadira mengeluarkan sampul surat dari dalam saku bajunya. Puan Suzi pula asyik berbual-bual dengan Tuan Daniel dan pemandu mereka. Nadira mengeluarkan isi kandungannya dan membuka dengan berhati-hati.

Nadira... aku minta maaf kalau tak dapat tengok kau pergi. Aku bukan nak tipu kau tapi... entahlah, biar aku aje yang tau sebabnya. Aku tak akan lupakan kau. Kalau kau tak dapat cari aku nanti, aku yang akan cari kau sampai jumpa. Kau jangan hilangkan barang yang aku bagi. Sampai masanya kau tengoklah barang tu ya. Aku mintak maaf sekali lagi kalau kau marah kat aku. Aku berdoa minta kau dan aku panjang umur supaya kita dapat jumpa lagi. Harap kita akan dapat jumpa lagi. Ingat aku selalu.

Zariq

Selepas membaca, surat ringkas itu direnyuk. Dipegang lama lalu dimasukkan semula ke dalam saku bajunya.

‘Kalau kau tak nak tengok aku, kenapa kau suruh aku tunggu? Kau teruk!’ bisik Nadira agak jengkel.

Dia memandang kosong ke luar tingkap untuk melegakan hatinya. Fikirannya melayang jauh. Terkenang segala pahit manis yang telah dilalui ketika berada di Rumah Al-Mustaqim.

Nadira tidak dapat mengingati bila dia masuk ke situ. Menurut Mak Som, waktu itu umurnya baru menjangkau setahun.

Tajol diserahkan oleh warisnya apabila kedua-dua orang tuanya meninggal dunia. Busyra yang merupakan anak kepada jiran Mak Som dibawa oleh wanita itu ke Rumah Al-Mustaqim apabila kedua-dua orang tuanya yang tidak bertanggungjawab menghilangkan diri.

Zariq pula ditemui oleh Haji Embong semasa sedang merayau-rayau di Pekan Ulu Telom. Dia dibawa ke Rumah Al-Mustaqim dan dipelihara oleh orang tua itu. Manakala Midi dititipkan kepada Haji Embong oleh jabatan kebajikan masyarakat.

Kereta terus meluncur laju membelah Lebuhraya Karak menuju ke Kuala Lumpur. Tuan Daniel berharap akan sampai ke Kuala Lumpur secepat mungkin. Hatinya agak lega apabila jarum jam di tangannya baru menginjak pukul 10.00 pagi. Masih ada banyak masa untuk dia merehatkan diri sebelum urusan mensyuarat di sebelah petangnya.

Lama-kelamaan fikiran Nadira yang melayang terus kosong. Berlegar-legar. Kelopak matanya makin lama makin mengecil. Dia terlena akibat tidak dapat tidur semalaman kerana terlalu memikirkan nasib dirinya. Tanpa sedar kepalanya sudah tersandar pada bahu Puan Suzi.

Puan Suzi membiarkan saja. Senang hatinya. “Dia dah tidur, bang.”

“Penat agaknya tu. Mudah-mudahan dia akan dapat sesuaikan diri dengan kita,” balas Tuan Daniel.

Puan Suzi tersenyum lebar. Gembira kerana telah memiliki seorang anak perempuan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku