Kukejar Kau Lari
Bab 6
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1562

Bacaan







Mercedes Compressor dipandu masuk ke kawasan kediaman elit Bukit Antarabangsa, Hulu Klang. Di situlah kediaman Tuan Daniel dan Puan Suzi.

Bulat mata hitam Nadira ketika melihat pemandangan yang terlalu berbeza dengan keadaan di Ulu Telom yang sudah ditinggalkan. Ketika kereta berhenti di tempat parkir, hatinya tidak menentu. Takut dan malu. Terasa berat mahu mengangkat kepala.

“Nadira ikut mama. Kita keluar ya?” ujar Puan Suzi, langsung tidak kekok menggelar dirinya mama.

Nadira akur. Dia keluar dengan hati yang berdebar-debar.Dia seolah-olah tidak percaya tiba-tiba saja dia mempunyai papa dan mama yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini.

“Masuk, Nadira... jangan segan-segan. Inilah rumah Nadira sekarang. Nadira boleh buat apa saja di rumah ni.”

‘Rumah? Besarnya... Tak sama dengan Rumah Al-Mustaqim,’ bisik hati Nadira. Dia kagum melihat kediaman yang mewah itu.

Kakinya teragak-agak untuk memijak lantai yang berkilat itu. Tumit kakinya terangkat sedikit. Terjengkit-jengkit melangkah masuk ke ruang tamu yang kemas dan bersih.

“Kenapa jalan jengkit macam tu? Pelik mama tengok.” Puan Suzi menegur ramah. Geli hatinya melihat gelagat Nadira. Suaminya pula masih belum masuk lagi. Entah apa yang sedang dibualkan bersama pemandu mereka.

“Err... err... Nadira memang jalan macam ni,”jawab Nadira teragak-agak.

Puan Suzi tergelak. “Oh ya ke? Unik!” Dia tahu kanak-kanak perempuan itu terasa janggal berada di rumah itu. Namun dia tidak memberi komen kerana menjaga air muka Nadira. “Sekarang mama nak tunjukkan bilik tidur Nadira. Mesti Nadira suka.” Dia menarik tangan Nadira ke arah anak tangga menuju ke bilik yang telah disediakan untuknya.

Mereka memijak anak tangga satu per satu. Tangga yang berpusing itu membuatkan Nadira kagum. Dia mendongak lalu melihat lampu yang tergantung di atas siling. Lampu itu besar berjuraian seperti lampu yang pernah dilihatnya di kaca TV dalam filem Inggeris.

Tiba di anak tangga paling atas dia dapat melihat dinding kaca yang lebar, ditutupi dengan langsir berwarna biru muda. Tinggi sungguh langsir itu. Cantik!

Puan Suzi tiba di hadapan pintu sebuah bilik keempat lalu memulas tombol pintu. Pintu terkuak. Bulat lagi mata Nadira. Mulutnya mahu terlopong tetapi cepat-cepat ditutupnya sebelum Puan Suzi sedar.

“Haa... nilah bilik tidur Nadira! Suka tak?” Puan Suzi melangkah masuk.

Nadira tegak berdiri di luar pintu.

“Sini!” gamit Puan Suzi dengan senyuman.

Nadira melangkah masuk. Dia kagum melihat keadaan bilik tidur itu. Saiznya hampir sama besar dengan ruang dapur di Rumah Al-Mustaqim. Matanya meliar ke sekeliling bilik itu. Cadar, sarung bantal dan langsir, kesemuanya berwarna merah jambu. Sejuk mata memandang.

Dia melabuhkan punggungnya di atas katil yang bertilam empuk. Tangannya menekan-nekan tilam empuk itu. Tidak sama dengan tilam yang digunakan di Al-Mustaqim.

Kemudian dia menuju ke dinding cermin di hujung bilik. Kain langsir diselak lalu kelihatan pemandangan di luar rumah. Ada kolam renang! Hatinya menjerit girang. Tidak pernah seumur hidupnya mandi di kolam renang.

Wow! Evil little cockroach is coming!

Tiba-tiba terdengar suara dari muka pintu.

Puan Suzi menoleh. Bibirnya diketap geram.

Nadira tersentak sebaik sahaja mendengar suara budak lelaki. Dia kurang faham apa yang diperkatakan kerana budak lelaki itu bercakap dalam bahasa Inggeris. Dia menoleh ke arah empunya suara itu.

“Boy! Boleh sopan sikit tak? Tak baik macam tu. Mama tak suka dan mama tak ajar, kan!” tegur Puan Suzi kepada anak lelakinya. Khuatir Nadira akan terasa hati.

“Okay... okay... I’m sorry.”Teguran Puan Suzi membuatkan Hardy beralah.

“Nadira... sini,” panggil Puan Suzi.

Nadira bangun lalu menghampiri Puan Suzi. Tidak berani dia memandang wajah budak lelaki itu.

Puan Suzi membawa Nadira menghampiri Hardy yang masih berdiri di luar pintu bilik. Mahu memperkenalkan Nadira kepad Hardy.

“Boy... ini Nadira. Sekarang dia adik Boy. Boy abang Nadira,” ujar PuanSuzi, lembut.

Nonsense! Sejak bila pula Boy ada adik?” gerutu Hardy. Wajahnya ketat tanda tidak puas hati. Sakit betul hatinya bila tiba-tiba saja mamanya membawa Nadira yang diambil entah dari mana. Jangan harap Nadira akan menjadi adiknya!

Anak tunggal Puan Suzi yang panas baran dan degil itu sudah berumur 13 tahun. Sudah terbiasa dimanjakan dengan duit ringgit. Apa saja yang dia mahukan akan dipenuhi tanpa banyak soal.

“Boy!” Terjegil mata Puan Suzi memandang Hardy. Sikap Hardy yang suka membangkang dan degil selalu membuatkannya naik darah.

“Kita dah pernah bincang, kan? Boy pun dah setuju.” Puan Suzi mengingatkan.

Serta-merta ingatan Hardy berundur beberapa tahun dulu. Waktu itu dia baru berumur lapan tahun. Mama dan papanya kasihan melihat dirinya yang tidak berteman apabila mereka ke pejabat setiap hari. Mamanya berura-ura hendak mengambil seorang anak angkat perempuan untuk menyerikan lagi rumah mereka.

Hardy bersetuju dengan keinginan yang disuarakan oleh mamanya. Dia masih kecil dan masih tidak tahu apa-apa. Apa yang ada di dalam fikirannya, dia perlukan seorang kawan untuk bermain. Sayangnya disebabkan kesibukan kedua-dua orang tuanya, hasrat itu berlalu begitu saja.

Sekarang ini? Tidak mungkin! Hanya dua perkataan itu yang berada di dalam kepalanya. Dia sudah mempunyai piano kesayangan. Jadi dia tidak perlukan seorang adik.

“Itu lama dulu. Boy pun dah lupa. Sekarang, tiba-tiba aje mama bawa adik untuk Boy. Dan... dan... ah! besarnya adik Boy. Ingatkan mama ambil baby,” bantah Hardy keras.

Muka Nadira merah padam. Malu dan sedih. Dia tidak menyangka Puan Suzi mempunyai anak lelaki sebesar itu. Terasa hendak berlari mendapatkan Zariq. Mengadu dan menangis depan abangnya itu.

“Hmm... Boy... nanti kita bincang ya?” Suara Puan Suzi berubah rendah. Dia tidak mahu terlalu berkeras. Ada benarnya kata Hardy. Mngkin dia benar-benar tidak selesa dengan ahli keluarga yang baru itu. Perkara itu mesti ditangani dengan baik dan tidak perlu menggunakan emosi.

Hardy tidak menyahut. Dia beredar dari situ dengan rasa geram. Nampaknya tidak akan aman lagi kediaman mereka selepas ini. Diam-diam dia mengisytiharkan perang. Mana boleh beri muka pada orang yang tidak dikenali. Senang saja mahu menjadi ahli keluarganya.

Puan Suzi mengeluh. Dia memandang Nadira di sebelahnya lalu bersuara, “Nadira jangan ambil hati ya? Tu anak mama, Hardy namanya. Dia memang macam tu, tapi dia baik sebenarnya.”

Nadira hanya diam. Tidak tahu apa yang perlu diucapkan. Suasana di dalam bilik yang nampak cantik sebentar tadi tidak lagi mendatangkan minatnya. Baru dia sedar Rumah Al-Mustaqim lebih menggembirakan. Di sana tidak ada budak yang tidak menyukainya macam Hardy.

“Mama yakin tak lama lagi Boy akan dapat sesuaikan diri dengan Nadira. Mama harap Nadira pun macam tu.”

Senyuman demi senyuman yang dilemparkan Puan Suzi sejak tadi menyejukkan hati Nadira. Lapang sedikit dadanya biarpun degupannya masih lagi tidak menentu.

“Err... err... ma... mama...” Payah sungguh dia mahu menyebut ‘mama’. Seperti ada yang tergantung pada lidahnya. Dia ingin berkata sesuatu, tetapi kekok pula rasanya.

“Ya, Nadira, ada apa?” Semakin lebar senyuman Puan Suzi apabila Nadira memanggilnya mama.

“Tak... tu... haa... err... anak mama tak suka Nadira. Err...boleh tak mama hantar Nadira ke rumah ayah semula? Nadira tak nak duduk sini,” ucap Nadira. Memang dia tidak betah untuk tinggal di rumah yang besar itu, apatah lagi akan berhadapan dengan Hardy.

Puan Suzi tersentap. Dia mencerunkan matanya memandang Nadira. Dia akur, budak-budak memang lurus. Apa yang dirasa itulah yang diluah.

“Nadira sabar sikit ya? Mama yakin kamu berdua akan berbaik nanti. Boy tu cuma ada angin tapi dia baik,” pujuknya untuk menyedapkan hati Nadira.

“Mama dah ada anak. Kenapa nakkan Nadira?” Persoalan itu tercetus di bibirnya. Dia sedang berusaha untuk memahami sesuatu. Apa perlunya dia menjadi anak wanita yang sudah pun ada seorang anak lelaki yang jahat mulutnya. Tidak macam Zariq dan Tajol yang suka ketawa, budak lelaki yang bernama Boy itu langsung tidak mahu senyum. Sombong!

Puan Suzi melutut di hadapan Nadira supaya sama tinggi dengan kanak-kanak itu. Dia memegang tangan Nadira. “Sebab mama dah lama nak anak perempuan. Mama cuma ada Boy seorang,” jelasnya.

“Kenapa pilih Nadira? Kenapa tak ambil babymacam Boy cakap?” tanya Nadira. Nada suaranya agak lemah. Apa yang ditakuti sebelum ini hampir menjadi kenyataan. Dia akan berdepan dengan anak orang kaya yang jahat!

Baby perlu lebih perhatian. Mama selalu sibuk. Papa pun sibuk,” jelas Puan Suzi. “Mula-mula mama nak ambil budak yang lebih kecil dari Nadira, tapi bila mama tengok Nadira hari tu, hati mama terus tertarik. Mama bincang dengan papa dan papa setuju. Sebab tulah Nadira ada dalam rumah mama sekarang ni... rumah kita.”

Majlis perkahwinan yang dihadiri oleh Puan Suzi dan Tuan Daniel di sebuah hotel di Tanah Rata telah mempertemukannya dengan Nadira. Anak-anak Al-Mustaqim turut menjadi tetamu yang memeriahkan majlis itu. Puan Suzi hanya merenung Nadira dari jauh.

Diam-diam dia telah menemui Haji Embong tanpa pengetahuan Nadira. Wanita itu nekad untuk mengambil Nadira sebagai anak angkat. Entah kenapa hatinya jatuh kasih sebaik melihat wajah Nadira yang comel dan lembut.

Mata Nadira terkedip-kedip ketika mendengar penjelasan Puan Suzi. Sayangnya penjelasan itu masih gagal mengubah hatinya. Ingatan terhadap Rumah Al-Mustaqim semakin kuat. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui Hardy tidak sukakannya.

Menyampah! Hardy tidak sama dengan Zariq. Zariq nakal, tetapi dia tidak pernah menyakitkan hatinya.

“Jadi, Nadira tak boleh lagi balik rumah ayah?”

“Ini rumah Nadira. Nadira tak boleh ke mana-mana lagi.”

Nadira hampa. Hatinya memberontak untuk balik semula ke Rumah Al-Mustaqim. Namun bagaimana?

“Nadira nak buat apa dalam rumah ni? Nadira tak pandai, tak biasa duduk rumah besar macam ni. Kat sana Nadira selalu berkemas.” Nadira memberi alasan jujur. Dia tidak tahu bagaimana untuk bersikap sebagai anak kepada orang kaya.

Puan Suzi tergelak. Lucu. Sikap Nadira membuatkan dia semakin jatuh hati padanya. Mungkin anak kampung lebih bersikap polos. Ditambah pula apabila merenung wajah Nadira yang comel.

“Tak payah buat apa-apa. Mama ada dua pembantu rumah. Mereka akan uruskan semuanya. Tugas Nadira cuma belajar sampai pandai,” ujarnya. “Oh ya, mama lupa... cuba Nadira tengok apa yang mama dah sediakan untuk Nadira dalam almari tu. Pergilah buka.” Wanita itu menuding jari ke arah almari pakaian di sudut bilik.

Nadira mengerling ke arah almari itu. Dia mengamati almari berukir berwarna merah jambu. Amat berbeza dengan almari palstik berzip senget kepunyaannya di bilik Rumah Al-Mustaqim.

Puan Suzi menuju ke almari itu setelah tiada respons daripada Nadira. Dia membuka almari itu. “Tengok ni!” Wanita cantik itu teruja.

Nadira teruja melihat isi almari yang terbuka luas itu. Di dalamnya tergantung pakaian pelbagai warna dan corak. Semuanya baru. Ada yang berbalut di dalam plastik. Dia menapak mendekati almari. Terpukau. Pakaian yang berderet dipegang satu per satu. Seperti tidak percaya semua itu kepunyaannya.

Direnung pakaian yang menyarung badannya. Dia hanya mengenakan seluar trak dan T-shirt bergambar kartun di bahagian hadapan. Terlalu berbeza. Biarpun begitu, dia sangat sayang T-shirt yang dihadiahkan oleh Zariq pada hari jadinya beberapa bulan lalu. Zariq yang bersusah payah mengumpul duit semata-mata untuk membeli T-shirtyang berharga RM10.

“Banyaknya...” gumamnya tanpa sengaja.

“Mama akan tambah lagi nanti,” ujar wanita anggun itu.

Tiba-tiba Nadira teringat beg pakaian yang dibawanya. “Mana beg Nadira. Dalam tu ada baju Nadira. Masih baru.” Semua pakaian itu dibeli oleh Haji Embong. Ada juga yang dihadiahkan oleh orang kampung.

Dia tidak mahu pakaian yang memenuhi almari itu. Memadailah dengan pakaian yang dia bawa.

“Mama suruh pembantu rumah letak dalam stor. Nadira boleh pakai yang ni,” kata Puan Suzi. Seminggu sebelum kedatangan Nadirah, dia dan suaminya membeli pakaian itu.

“Nadira nak baju Nadira! Ayah yang beli untuk Nadira. Nadira nak simpan!”

Suara keras Nadira membuatkan Puan Suzi tersentak.

Air mata Nadira berjuraian. Puan Suzi serba salah. Dia tidak menyangka tindakannya telah menyinggung perasaan Nadira.

“Nadira... jangan menangis. Mama salah, mama minta maaf.” Dia turut bertinggung di sebelah Nadira. “Okey... okey...mama akan suruh bibik ambil semula beg Nadira.” Wanita itu memujuk. Dia tidak ada pilihan lain. Dia tidak mahu terlalu memaksa. Khuatir Nadira tidak akan senang hati tinggal bersamanya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku