Kukejar Kau Lari
Bab 7
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1595

Bacaan








Sepeninggalan Tuan Daniel dan Puan Suzi ke pejabat,Hardy menunjukkan taring. ‘Tanduk’ mula tumbuh di kepalanya. Memang peluang itulah yang ditunggu-tunggu. Dia mesti menunjukkan kepada Nadira hanya dia yang layak menjadi anak Tuan Daniel dan Puan Suzi. Misi sedang diatur.

Dia mahu Nadira meninggalkan kediaman itu. Biar dia terus menghuni Ulu Telom dan tidak akan pernah datang semula ke Taman Bukit Jaya. Sejak tadi Nadira hanya mengekori ke mana sajaSulastri,pembantu rumah mereka pergi.

Sulastri yang menguruskan dapur itu membiarkan saja. Dia tahu Nadira masih belum dapat menyesuaikan diri sebagai ahli baru di dalam keluarga itu.

“Cik, kenapa belum makan pagi?” Selepas beberapa lama, Sulastri berasa kasihan pula melihat Nadira yang masih tidak menjamah sarapan pagi.

Nadira hanya menggeleng. Hatinya belum aman. Debarannya tidak menentu. Kediaman yang mewah dan cantik itu dirasakan sangat menakutkan. Tidak ubah seperti kandang singa dengan seekor singa ganas bernama Hardy. Setiap kali terlihat kelibat Hardy, diagugup.

“Bik Sulastri!” jerit Hardy dari arah ruang tamu.

Jeritan Hardy membuatkan Nadira tersentak. Pertama kali mendengar jeritan yang menakutkan itu.

“Iya... iya... bibik datang.” Sulastri berlarian seperti tidak cukup lantai. Dia tahu jika Hardy sudah naik angin, mengalahkan puting beliung. Mujur kediaman mewah itu terbina daripada konkrit yang kukuh. Kalau tidak, tentu saja bumbung akan roboh dan lantai akan terbenam ke dalam tanah.

“Bik, buatkan aku Lemon Tea!” arah Hardy.

“Baik... bibik buat sekarang.”

“Bukan! Bukan!”

“Apa yang bukan, tuan muda?” Sulastri keliru. Sekejap mahu sekejap bukan. Pusing kepalanya memikirkan ragam Hardy.

“Aku nak budak kampung tu buatkan untuk aku! Bibik jangan pandai-pandai nak bantu dia. Kalau aku tau nanti susah bibik!” ujar dengan nada sombong.

Sulastri menggaru kepala. Puan Suzi telah mengingatkannya supaya dia menjaga Nadira sepanjang wanita itu tidak berada di rumah. Membayangkan muka Nadira, dia kasihan. Melihat Hardy yang seperti singa lapar pula dia tidak menentu. Sudahnya Sulastri masih berdiri di situ. Tegak seperti patung.

“Tak dengar ke, bik?” Suara Hardy agak perlahan. Gigi piano ditekan satu per satu. Alunannya membuatkan badannya bergerak ke kanan dan ke kiri. Menghayati.

“Dia budak lagi, tuan muda. Lagipun itu kerja bibik. Kalau puan tahu, matilah bibik.” Sulastri cuba untuk menyelamatkan Nadira daripada menjadi mangsa buli Hardy.

“Bibik jangan takut. Kalau bibik mati, kami akan hantar mayat bibik naik kapal terbang. Hantar balik ke Indon dengan selamat,” tutur Hardy selamba. Sengaja mahu menyakiti hati pembantu rumah yang berumur 35 tahun. Melihat muka bibik yang menahan geram, dia geli hati. “Kalau bibik tak nak cakap, biar aku yang cakap. Panggil dia sekarang!” arahnya.

“Tapi, tuan muda...”

“Panggil dia, bibik!” bentak Hardy apabila Sulastri masih teragak-agak.

Terkedek-kedek Sulastri pergi untuk mendapatkan Nadira yang berada di dapur. Tiba di dapur dilihatnya Nadira berada di sebelah peti sejuk besar. Mencangkung dengan muka kelam. Dia menggaru kepala lagi. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Jika tidak diturutkan, singa lapar yang sedang bermain piano itu akan menerkamnya. Mencarik-carik kulitnya sampai berdarah dan membahamnya sampai hilang nyawa. Kemudian mayatnya akan dihantar balik ke Indonesia dengan kapal terbang.

“Cik... tuan muda panggil.”

“Kenapa panggil cik? Tak suka... nama saya Nadira.”

“Iyalah... Nadira. Tuan muda panggil.”

“Takut... bibik ikut Nadira.” Lutut Nadira sudah ketar. Dahinya berpeluh dan gigi atas bawahnya seakan-akan berlaga. Takutnya bukan main-main.

Kerana kasihan melihat Nadira, Sulastri sanggup menemani. Biar sama-sama berhadapan dengan Hardy. Kalau Hardy marah, biar kedua-duanya dimarahi. Mereka berpegangan tangan. Dia mendapati tapak tangan Nadira sejuk seperti air batu. Mukanya pucat.

“Tuan muda...” Mereka telah berdiri di belakang Hardy.

Hardy tidak terus menoleh. Dia memainkan lagi sebuah lagu. Dengan penuh perasaan. Terpejam-pejam matanya. Sulastri dan Nadira tetap menunggu. Nadira menggenggam kuat tangan Sulastri. Dia mula membayangkan perkara yang menakutkan akan berlaku.

“Bibik boleh pergi.” Sebaik menoleh, Hardy mengarahkan Sulastri meninggalkan tempat itu.

“Tapi tu...”

“Aku kata bibik pergi... bibik pergi! Nak aku jerit bagi bibik faham?!” herdik Hardy.

Sulastri melepaskan genggaman tangan Nadira. Dia berlalu tanpa memandang Nadira. Tidak sanggup dia melihat Nadira menjadi mangsa buli Hardy. Apa boleh buat, dia hanya makan gaji. Mencari rezeki untuk keluarga yang ditinggalkan jauh di seberang.

Hardy memusingkan badan. Memandang tepat wajah Nadira yang basah dengan air mata. Dia tersengih nakal.

Terasa mahu terkeluar jantung Nadira. Badannya sudah kuyup dengan peluh. Zariq! Tolong aku! Hatinya menjerit. Ah! Zariq jauh. Dia tidak akan mendengar.

“Comel jugak kau ni! Cuba tunjuk muka kau.”

Suara Hardy membuatkan dada Nadira sesak. Diamembatu tanpa mahu mengalihkan tapak tangannya.

“Boleh tahan degil! Alihkan tangan kau tu! Tak dengar ke?” perintah Hardy lagi.

Dengan ketar Nadira mengalihkan tapak tangannya. Dia benci kerana terpaksa melakukan apa yang tidak disukainya.

Hardy menang! Langkah pertamanya sudah berjaya. Dia mahu memastikan tidak sampai sebulan Nadira akan meninggalkan kediaman mewah itu.

“Putihnya kau. Kau ni Melayu ke mat salih, hah?”

Nadira terasa mahu menjerit. Seksanya berada di rumah besar itu! Di Rumah Al-Mustaqim ada Haji Embong, ada Mak Som dan paling penting ada Zariq. Ah! Zariq pun berbohong! Mengelak daripada berjumpa dengannya sewaktu dia mahu pergi meninggalkan rumah itu.

“Budak kampung memang pekak, eh? Susah ke nak jawab? Kau ni Melayu ke mat salih?” Hardy bangun dari kerusi lalu berdiri di depan Nadira dengan bercekak pinggang.

Nadira menggeleng. Dia tidak pasti dirinya Melayu atau mat salih. Apa yang dia tahu keluarga besarnya di Rumah Al-Mustaqim adalah Melayu. Lagipun apa pentingnya Melayu atau mat salih?

Bagaimana dia hendak tahu keturunannya sedangkan sewaktu masuk ke Rumah Al-Mustaqim dia masih tidak kenal dunia? Masih terlalu kecil. Dia juga tidak pernah bertanya Mak Som atau Haji Embong asal usul keturunannya.

“Hmm... apalah mama aku ni. Macam mana boleh suka dia ni? Dahlah pekak, bisu pulak tu.” Hardy berjalan mengelilingi Nadira mengamati budak perempuan itu.

Tegak bulu roma Nadira. Bertambah kecut perutnya.

“Kau pandai bancuh air tak?”

Nadira menggeleng lagi.

Hardy semakin galak mahu membuli. Biar budak kampung itu tahu langit tinggi atau rendah. Senang-senang saja mahu menjadi keluarganya.

“Apa yang kau tau?” Keras suara Hardy.

“Sa... sapu lantai!”

Terpacul jawapan Nadira. Memang hanya itu yang dia tahu. Di Rumah Al-Mustaqim, kerja-kerja dapur diuruskan oleh Mak Som. Dia berharap jawapannya akan membuatkan Hardy puas hati dan tidak akan membulinya lagi.

“Tu aje?” Hardy merengus. Kalau boleh mahu dicekiknya budak kampung itu.

Nadira terangguk-angguk lagi. Terasa mahu pengsan apabila terpaksa berhadapan dengan Hardy begitu lama. Kalaulah dia ada kuasa, mahu saja dia mengghaibkan diri. Sayangnya dia bukan ahli sihir, apatah lagi wira-wira di dalam filem Inggeris. Dia hanya Nadira, seorang yatim piatu yang tidak pernah kenal ayah dan ibunya.

“Bodoh! Itu pun tak tau! Pergilah, aku tak nak tengok muka kau!” jerkah Hardy tanpa timbang rasa.

Lega hati Nadira bila diarahkan pergi. Kalau boleh dia mahu berlari naik ke tingkat atas lalu mengurungkan diri di dalam bilik sehingga Puan Suzi balik. Dia memusingkan badannya lalu mula melangkah.

Hardy pantas memintas. Kakinya menghadang.

Nadira jatuh tersungkur. Mukanya tersembam ke lantai. Perlahan-lahan dia bangun semula. Bibirnya terasa berdenyut dan pedih. Dia menyentuh bibirnya. Dilihatnya darah merah cair di jarinya.

Wajah Hardy berubah. Bukan rasa bersalah, jauh sekali hendak membantu. Dia khuatir kalau Nadira akan mengadu pada mama dan papanya. Dia tidak mahu misinya terbengkalai separuh jalan. Dia mesti memastikan apa yang sudah dimulakan akan diakhiri dengan kemenangan. Lagi pula peperangan baru saja bermula. Dia mesti menang!

“Sakit?” Tiba-tiba dia bertanya.

Sudah tahu, ada hati pula bertanya. Benarlah jangkaan Nadira, Hardy budak jahat!

“Sakit ke?” ulang Hardy apabila Nadira membatukan diri. Terasa sedang bercakap dengan tunggul. Anginnya yang baru mula surut, naik semula.

Terasa diri dipermainkan, Nadira memberanikan diri menjeling tajam pada Hardy. Tanpa berkelip. Kalau boleh mahu ditampar muka Hardy atau dicucuk mata Hardy dengan hujung jarinya yang runcing. Biar Hardy menjerit-jerit kesakitan.

Selama beberapa minit mereka terus bertentang mata. Mata Hardy mulai panas. Tidak selesa. Untuk mengalah tidak sama sekali. Mana boleh diberi muka pada budak kampung yang tidak tahu asal usul itu? Dia cuba untuk terus bertahan. Lelaki mana boleh kalah dengan perempuan!

Nadira juga masih memandang tepat ke anak mata Hardy. Setelah agak lama, kelopak matanya mengerdip.

‘Alahai... comel pulak bila dia macam tu! Cantiknya mata dia.’ Sempat juga hatinya berbisik memuji Nadira. Hati itu mula lembik. Cair. ‘Eh, mana boleh? Dia tetap bukan adik aku!’ ‘Tanduk’ Hardy tumbuh lagi.

Setelah lama tegak di situ, Nadira berasa penat. Bibirnya yang pecah terasa sakit. Lebih baik dia pergi saja daripada terus menghadap budak jahat yang menyakitkan hati. Dia berpaling mahu beredar.

Cepat-cepat Hardy menghalang. Ada sesuatu yang mahu disampaikan.“Kalau kau beritahu mama, siap kau! Jangan sampai mama tau!” ugutnya.

Nadira terus beredar tanpa bersuara. Dia mahu naik ke tingkat atas. Masuk ke dalam bilik dan mengunci dari dalam. Kemudian melihat bibirnya yang pecah di cermin solek. Selepas itu dia akan senyap-senyap sendirian. Tidak akan keluar lagi. Tidak payah makan dan tidak perlu melihat Hardy yang membuatkan dia akan lebih sakit hati.

Hari kedua berada di kediaman mewah itu sangat menyesakkan fikiran. Di Rumah Al-Mustaqim jauh lebih baik dan selesa lagi. Kalaulah Haji Embong tidak memberinya kepada orang kaya tentu semua itu tidak akan berlaku. Hatinya rajuk lagi.

“Ini semua salah ayah! Nadira benci ayah! Nadira benci! Nadira tak nak jumpa ayah sampai bila-bila. Ayah yang buang Nadira.”

Hati yang kecamuk membuatkannya semakin buntu. Sebahagian dirinya mahu balik ke Rumah Al-Mustaqim tapi sebahagian lagi berasa marah terhadap Haji Embong. Dia menganggap Haji Embong tidak adil kerana memaksanya meninggalkan keluarga besar di Ulu Telom.

“Nadira nak balik sana! Nadira nak balik! Tolonglah Nadira! Kenapa semua orang tak dengar Nadira? Nadira benci! Nadira benci semua orang! Benci!”

Jeritan-jeritan kecil Nadira hanya bergema di ruang bilik tanpa ada yang mendengarnya. Mukanya sudah basah kuyup dengan air mata. Sesudah penat menjerit dan menangis, dia menyembamkan mukanya ke bantal. Dia betul-betul letih.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku