Kukejar Kau Lari
Bab 8
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1545

Bacaan








Ketukan pintu yang berkali-kali memekakkan telinga Nadira. Sudah ditekup dengan bantal masih juga terdengar. Sudah tentu Hardy mahu membuat kacau lagi. Dia mesti bertahan di dalam bilik itu walaupun perutnya mula merintih kerana seharian tidak diisi.

“Nadira... mama ni.”

Suara Puan Suzi melegakan Nadira. Sepantas kilat dia melompat dari katil. Berjalan laju lalu membuka pintu.

Nadira membalas dengan menutup mulutnya. Tidak mahu wanita itu nampak bibirnya cedera.

Puan Suzi menghadiahkan senyuman tatkala pintu dibuka luas. “Nadira buat apa dalam bilik?”

“Err... tak ada apa,” jawabnya, sedikit gugup. 

Mahu mengadu, takut-takut Hardy akan membalas dendam. Tentu dia akan lebih teruk dikerjakan pada esok hari. Bosan sungguh apabila keseorangan di rumah semewah itu. Macam burung pipit di dalam sangkar yang besar dan cantik.

“Cuba Nadira alihkan tangan tu. Jangan sorokkan muka Nadira yang comel. Dengan mama tak usah malu-malu.” Puan Suzi menarik tangan Nadira. 

“Eh? Kenapa dengan bibir Nadira ni? Bengkak!” Dia terkejut bukan main. Dia tidak sedap hati. Baru dua hari Nadira berada di rumah itu, sudah ada yang tidak kena padanya.

“Jatuh,” jawab Nadira, pendek.

“Jatuh? Macam mana boleh jatuh? Kalau jatuh biasa, takkan teruk macam ni.” Puan Suzi tidak puas hati. Disentuhnya bibir yang telah membengkak kerana pecahan yang agak teruk.

Berkerut muka Nadira menahan pedih. Sepedih perutnya yang sedang kelaparan. Rasa hati hendak mengadu tapi terngiang-ngiang amaran Hardy. Justeru dia terpaksa menyembunyikan perkara yang sebenar.

“Nanti mama bawak Nadira ke klinik,” ujar Puan Suzi.

Nadira menggeleng. Menolak.

“Kenapa tak nak? Sakit, kan?”

Nadira menggeleng lagi. Dia benci pada klinik. Kali terakhir Haji Embong membawanya ke klinik, punggungnya telah dicucuk dengan jarum untuk mengurangkan sakit perutnya. Meleleh air matanya. Sejak itu dia amat takut apabila disebut tentang klinik ataupun doktor. Baginya perkataan itu memang berhantu.

“Tak nak tak apalah. Tapi kalau tak tahan, bagitahu mama, ya?” 

Puan Suzi tidak mahu memaksa. Sejak sampai di kediaman mewah itu, Nadira lebih banyak mengangguk dan menggeleng daripada bersuara. Dia faham anak itu masih takut-takut dan malu-malu. Malah, masih belum menyesuaikan diri. 

“Bibik kata Nadira seharian tak makan. Janganlah macam tu. Nadira sakit nanti. Mari ikut mama...mama nak tengok Nadira makan.” 

Dia menarik perlahan tangan Nadira. Wanita itu amat senang apabila dapat memimpin tangan Nadira. Terselit rasa bangga kerana mempunyai seorang anak perempuan sebesar itu. Nadira sudah menjadi anak segeranya.

Ajakan Puan Suzi tidak dibantah. Kaki Nadira terus melangkah. Inilah peluangnya untuk mengisi perut yang semakin pedih. Kalau boleh mahu membayar hutang, makan pagi dan tengah hari yang sudah berlalu.

Dengan adanya mama baru di sisinya, dia yakin dia akan selamat. Matanya meliar mencari kalau-kalau ada Hardy di tempat berhampiran. Lega apabila Hardy tidak muncul depan matanya.

“Hardy mana, Suzi?” Tuan Daniel yang baru balik daripada bermain golf bersama rakan bisnesnya menegur. Matanya melirik ke arah Nadira lalu melemparkan senyuman.

Nadira membalas dengan payah. Bibirnya masih terasa sakit apabila digerakkan.

“Kenapa dengan bibir dia, Suzi?” Belum sempat Puan Suzi menjawab, Tuan Daniel bertanya lagi.

“Katanya jatuh.”

Sebenarnya ada syak wasangka di dalam diri Puan Suzi. Dia tidak percaya yang Nadira terjatuh dengan sendirinya. Apabila mengingati bagaimana layanan Hardy sewaktu kali pertama Sulastri dan Rukiah baru tiba ke rumah itu, dia ada andaiannya sendiri. Apa tidaknya, dengan dua orang dewasa pun anak lelakinya itu boleh berkasar, inikan pula dengan budak kecil seperti Nadira.

“Jatuh tak apa. Jangan Hardy punya kerja, sudah!” Rupa-rupanya Tuan Daniel pun menaruh syak yang sama. Mereka sudah masak dengan sikap anak bertuah itu. Selalu buat hal sesuka hatinya.

“Suzi nak bawa dia makan, bang. Bibik kata seharian dia tak makan. Sekarang dah nak senja. Mesti lapar betul dia.”

“Abang pun rasa nak makan ni. Maghrib nak ikut abang ke masjid tak?” Tuan Daniel mengekori dua beranak itu ke dapur.

“Abang pergilah dengan anak bertuah kita tu. Suzi cuti, bang.”

“Amboi, mama! Bukan main sayang lagi kat budak kampung tu!” tegur Hardy. Terasa mual.

Ketika dia hendak keluar ke bilik bacaan tadi, dia ternampak mama memimpin tangan budak kampung itu menuruni tangga. Lalu dia berdiri di sebalik almari besar di ruang tamu, menjadi pengintip di rumah sendiri. Mencari dan mengumpulkan maklumat.

Dia mahu mengira berapa banyak kesalahan Nadira terhadapnya. Apa saja yang menyakitkan hatinya adalah satu kesalahan. Esok perhitungan akan diteruskan. Perang tetap perang! Dadanya menggelegak seperti kawah gunung berapi. Panas! Kedatangan Nadira hanya menyusahkan.

“Comel pun tak guna juga. Bukan adik aku pun!” marahnya apabila tiba-tiba hatinya mengagumi wajah Nadira.

“Mak! Lipas!”

Tiba-tiba seekor lipas sesat merayap di kakinya. Hardy yang baru keluar dari tempat intipan dan mahu ke ruang makan terlompat-lompat sambil menepis lipas yang mahu menyusup masuk ke dalam seluar pendeknya.

Setelah dikuis-kuis dan ditepis-tepis, lipas yang sedang menjelajah punggungnya jatuh juga ke lantai. Hardy cepat-cepat menyepak dengan kakinya hingga lipas malang itu tercampak jauh. Tercungap-cungap dia dibuatnya.

Tuan Daniel, Puan Suzi dan Nadira terkejut lalu menoleh ke arah Hardy.

“Masih takut lipas lagi?” Tuan Daniel yang sudah kenyang menyoal dengan sinis.

Puan Suzi menggeleng. Hanya Nadira yang tidak ada hati melihat Hardy. Malas. Hardy tersentak. Dia tidak menyangka apa yang berlaku telah menjadi tontonan papa, mama dan Nadira.

“Dah besar panjang pun masih tak berubah,” tokok Puan Suzi.

Hardy rasa terhina. Maruahnya jatuh depan Nadira. Walaupun Nadira diam saja, mungkin dia sedang mentertawakannya di dalam hati. Jadi itu juga dikira sebagai satu kesalahan Nadira. Hari esok adalah hari pembayaran. Nadira akan menerima akibatnya.

‘Dah ada tiga kesalahan. Pertama... mama dan papa bagi muka. Kedua... makan sedap dengan mama dan papa. Ketiga... ketawakan aku dalam hati. Aku akan kumpul lagi,’ omelnya di dalam hati.

Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Nadira merampas kuasa di dalam rumah itu. Duit papa dan mamanya yang banyak bukan datang dari langit. Rumah besar itu bukan dibina dengan silap mata. Suka-suka saja Nadira mahu berbahagi dengannya.

Kalau selama ini apa sahaja keperluan hanya untuknya seorang, sudah tentu selepas ini Nadira juga akan mendapat hak yang sama. Siapa Nadira untuk diberi kelebihan sama sepertinya? Argghhh... benci! Benci!

“Hardy dah mandi? Maghrib ni kita ke masjid,” tegur Tuan Daniel apabila melihat muka masam Hardy selepas diusik di hadapan Nadira.

Puan Suzi membawa Nadira berlalu dari situ. Hardy menjeling tajam dengan ekor matanya.

Tuan Daniel perasan ada kemarahan di dalam diri Hardy. Dia faham benar bila ketikanya anak manja itu dalam keadaan marah.

“Sudah tu, pergi mandi. Ikut ke masjid,” arahnya apabila Hardy tidak menjawab pertanyaannya sebentar tadi.

Tanpa menunggu lama, cepat-cepat Hardy beredar dari situ. Dia hendak mandi supaya mereda bahangnya.

“Satu lagi... papa nak ingatkan, jangan kamu buat bukan-bukan pada adik kamu tu. Papa tak suka. Tak baik aniaya anak yatim... berdosa. Ingat tu.” Sempat Tuan Daniel berpesan.

Langkah Hardy terhenti. Amaran papanya membuatkan dia tidak puas hati. Bagaimana papa boleh menghidu perbuatannya? Setahunya tidak terpasang CCTV di kediaman mereka. Bengkak hatinya. Dendam pada Nadira menyala-nyala. Kedatangan budak itu membuatkan dia nampak buruk pada pandangan mata papanya.

“Hardy tak buat apa-apa pun.” Sudahnya dia bersuara, cuba menegakkan benang yang basah.

“Hmm... mana taulah kan... papa ingatkan aje.” Lalu Tuan Daniel berlalu ke anak tangga.

Hati Hardy betul-betul panas. Sambil melangkah ke biliknya, fikirannya sedang merancang apa yang akan dilakukan pada esok hari. Dia mesti bertindak. Cuti persekolahan hujung minggu itu akan digunakan dengan sebaik-baiknya untuk mengenakan Nadira. Tidak peduli lagi nasihat Tuan Daniel sebentar tadi. Yang penting hatinya puas. Dengan mudah, satu per satu perancangan menjengah otaknya. Dia tersenyum sendiri.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku