Kukejar Kau Lari
Bab 9
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1462

Bacaan







Sebaik Mercedes Compressor yang dinaiki papa dan mama meninggalkan kediaman, Hardy tidak melengahkan masa lagi. Dia berkejar ke tingkat atas. Anak tangga dipijak melangkau. Dia mahu cepat sampai di bilik Nadira. Sebaik berdiri di muka pintu, dia mengetuk kuat bertalu-talu. Senyap. Ketuk lagi. Senyap. Akhirnya, dia menendang sekuat hatinya.

Nadira menikus di dalam sambil membayangkan singa lapar yang mahu membahamnya sekali lagi. Dia menarik selimut lalu menutupi keseluruhan badan. Memeluk bantal dengan kuat. Luka pada bibirnya belum sembuh, Hardy hendak membuat kacau lagi.

“Hoi, bukaklah! Tak dengar ke?”

Nadira menggigil ketakutan. Terasa senak perutnya mendengar jeritan Hardy yang seperti kerasukan. Dia menekup telinga. Namun dia masih juga dapat mendengar suara anak orang kaya yang sedang terjerit-jerit itu.

“Kalau kau tak nak keluar, aku bakar bilik kau! Biar kau hangus dalam tu!” ugut Hardy.

Ugutan Hardy menakutkan. Nadira membuang selimut lalu turun dari katil. Dia berlari ke pintu gelangsar menuju ke balkoni. Menyelak langsir lalu ditolak pintu itu. Dia merapati jeriji besi lalu memandang ke bawah. Rasa takut membuatkan dia terfikir untuk melompat ke bawah.

“Tingginya! Macam mana nak lompat ni?” Badannya seram sejuk dan ketar. Pipi mulusnya sudah basah oleh peluh bercampur air mata. Perasaannya idak menentu.

Dia terkaku seketika. Dia merenung ke bawah. Kalau dia terjun tentu akan bersepai kepalanya. Otaknya terkeluar dan darah akan memenuhi simen itu. Ngerinya. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan ke tempat lain. Gayat pula rasanya.

Dia masuk ke dalam bilik semula. Bunyi bising di luar pintu masih kedengaran. Dia tidak dapat lari lagi. Telinganya sudah bingit. Hatinya tidak tenteram. Mahu dibuka atau tidak pintu itu?

“Nak buka ke tidak?! Aku dah ambil minyak api ni! Mancis pun ada!” tipu Hardy, mengugut Nadira tidak henti-henti. Jeritannya makin kuat. “Buka cepat! Buka!”

Nadira bingung. Perlukah dibuka pintu itu? Kalau tidak dibuka sudah tentu dia akan hangus terbakar apabila Hardy menyalakan api. Dia akan mati kerana tidak boleh bernafas. Dia tidak mahu mati.

Akhirnya, dia mengambil keputusan. Dengan takut-takut berani, dia membuka pintu. Semakin tidak keruan apabila melihat Hardy tegak di situ. Muka Hardy memang garang. Perkara pertama yang dilakukan adalah melihat tangan Hardy. Tidak ada minyak api dan mancis di tangannya. Dia tertipu. Terasa mahu menangis.

“Kau ikut aku. Aku nak bagi kau kerja sikit. Duduk rumah aku, kau tak boleh nak goyang kaki aje,” arah Hardy. Dia berjalan dahulu dengan harapan Nadira akan mengekorinya. Bila dia berpaling, dilihatnya Nadira masih lagi tercegat di depan pintu. Hardy bercekak pinggang, matanya sengaja dibulatkan.

Nadira memandang Hardy dengan takut-takut.

“Apasal berdiri kat situ lagi tu?! Ikut aku!”

Nadira tiada pilihan. Perlahan-lahan dia mengekori Hardy. Entah ke mana dia mahu dibawa oleh Hardy, dia sendiri tidak pasti.

“Mau dibawa ke mana Nadira, tuan muda?” Sulastri menegur. Dia khuatir Nadira akan diapa-apakan. Rukiah, seorang lagi pembantu yang sedang berkemas hanya memandang sekali lalu. Dia tidak mahu masuk campur urusan mereka.

“Kau siapa, bik nak soal aku bagai? Pergi buat kerja!” jerkah Hardy.

Kelam-kabut Sulastri pergi. Rukiah yang memandang gelihati melihat telatah Sulastri. Baru padan muka! Ejek Rukiah yang jarang sebulu dengan Sulastri. Sama-sama datang dari seberang tapi Rukiah kuat berdengki. Busuk hati.

Hardy terus berjalan keluar dengan Nadira masih terus mengekorinya. Tiba di garaj kereta, Hardy duduk di atas bangku. Kaki disilang dengan muka bengis.

Nadira berdiri tidak jauh daripada Hardy. Terasa diri semakin tidak beruntung kerana terpilih menjadi anak orang kaya. Tidak seindah yang digambarkan oleh Haji Embong.

“Apa tegak situ? Kau ambil baldi kat paip sana tu. Isi air, ambil syampu kereta dalam almari kecik tu. Kau cuci kereta comel mama aku ni. Baik-baik... jangan sampai calar!” arah Hardy seperti mengarah seorang kuli.

Nadira bingung. Dia tidak biasa. Seumur hidupnya tidak pernah mencuci kereta. Kalau kereta itu tercalar, apa yang akan dilakukan oleh Hardy terhadapnya? Melihat Hardy yang sudah berdiri dan bercekak pinggang memandangnya, dia terus melakukan seperti apa yang diarahkan.

Kepala paip dipulas lalu air yang memancut ditadah ke dalam baldi besar. Setelah agak penuh, paip ditutup semula. Nadira cuba mengangkat baldi yang dipenuhi air. Berat. Dicuba lagi mengangkat baldi itu. Dengan tubuhnya terlalu kecil, mana mungkin dia mengangkat sebuah baldi sederhana besar yang dipenuhi air. Penat mencuba, dia berfikir untuk mencari ikhtiar yang lain.

Baldi besar itu cuba ditolak pula. Dengan harapan baldi itu akan bergerak sedikit demi sedikit hingga sampai ke garaj kereta. Harapannya musnah apabila baldi itu senget dan air di dalamnya tumpah. Cepat-cepat dia menahan baldi daripada terus tergolek ke simen. Jika tidak, sudah pasti baldi itu akan pecah.

‘Padan muka!’ ejek Hardy di dalam hati. Dia ketawa berdekah-dekah. Tawanya sengaja dikuatkan untuk menyakitkan hati Nadira. Baru dia tahu rasa.

Air ditadah sekali lagi. Setelah terisi separuh baldi, cepat-cepat paip ditutup. Kali ini Nadira sudah mampu mengangkat baldi besar berisi air itu dengan kedua-dua tangan. Badannya condong ke belakang. Jalannya agak tidak teratur kerana baldi dan kakinya asyik berlaga.

“Lambatnya! Aku bagi kau masa sepuluh minit aje. Mesti siap!” jerit Hardy.

Nadira terketar-ketar. Kelam-kabut dia mencurah syampu kereta ke dalam baldi. Kemudian berdiri sebentar. Menggaru dahi. Memikirkan apa yang perlu dilakukan. Otaknya seakan-akan tersekat. Semuanya kerana takutkan Hardy yang sedang menggila.

Dia terpandang span di bawah paip lalu mengambilnya untuk mencuci kereta. Baldi diheret supaya lebih hampir dengan Proton Perdana Puan Suzi. Span dicelup ke dalam air yang berbuih. Dengan pantas span digosok pada badan kereta. Laju. Sepuluh minit bukanlah masa yang panjang untunya menghabiskan kerja.

Sambil memerhati Nadira yang kelam-kabut mencuci kereta itu, hati Hardy berkata-kata sendiri. Sesekali memuji dan banyak kali pula menyemai benci.

Hardy menepis-nepis sedikit perasaan baik supaya tidak mengganggu rancangan buruknya terhadap Nadira. Dia masih tidak dapat menerima hakikat orang yang tidak dikenali telah menjadi ahli keluarganya dengan begitu mudah. Nadira akan merampas hak yang sepatutnya diberikan kepadanya oleh kedua-dua orang tuanya.

“Ada lima minit aje lagi. Kereta tak siap... siap kau!” jerkahnya membuatkan Nadira terkejut lalu span di tangan terpelanting.

“Dah... dah siap!” spontan Nadira menjawab.

Hardy bangun. Dia mengelilingi kereta mamanya yang diselubungi buih. Buih dicolek dengan hujung jari telunjuknya lalu mahu diletakkan pada batang hidung Nadira. Cepat-cepat Nadira mengelak.

“Ini apa?” soal Hardy menunjukkan buih sabun.

“Tu... tu... bu... bu... buih!” ujar Nadira gagap.

“Dah tau buih, bersihkanlah! Bilas!” Hardy hanya tahu mengherdik dan terus mengherdik. Menggunakan kesombongannya untuk terus membuli Nadira. Tugas yang sepatutnya dilakukan oleh pemandu keluarganya sengaja diberikan kepada Nadira.

“Ma... macam mana bilas?” soal Nadira. Bukan sebab dia terlalu dungu untuk tidak tahu, tetapi hatinya tidak menentu. Semuanya kerana deraan Hardy sejak hari pertama dia sampai di rumah itu.

“Bodohnyalah... kau tak sekolah ya? Sini aku ajarkan. Kau buang buih ni, kau ganti dengan air bersih. Siram kat kereta ni. Tulah namanya bilas.”

Nadira mengangkat baldi itu dan membawanya ke kepala paip. Air sabun dibuang lalu ditadah dengan air bersih. Sekali lagi Nadira melakukannya dengan terpaksa. Hatinya berbuku. Rasa bencinya pada Hardy semakin menebal.

Sementara Nadira menadah air, Hardy mula merancang sesuatu. Cepat-cepat dia ke stor simpan barang-barang. Dia mahu mengambil seketul sabun buku yang selalu digunakan oleh pemandu keluarganya.

Simen yang telah dibasahi air akan memudahkan tugasnya. Hardy menutup sebelah mata dan sebelah mata lagi digunakan untuk mengagak kedudukan sabun itu akan diletakkan. Dia mahu Nadira terpijak sabun yang licin. Jatuh tergolek lalu patah kaki atau tangan. Dia mahu memastikan rancangannya akan berjaya.

Masanya sudah tiba. Sebaik saja Nadira hendak memulakan langkah, Hardy melemparkan sabun ke atas simen. Betul-betul di hadapan Nadira berdiri. Sayangnya Nadira telah menyedari. Ketika itu, Hardy sudah mahu pergi. Dengan niat tidak mahu membantu apabila Nadira tersungkur nanti.

Nadira membongkok mengambil sabun itu lalu dengan pantas dilempar semula berhampiran Hardy. Dia tidak pasti dari mana dia mendapat keberanian untuk melakukannya. Yang pasti dia tidak ada apa-apa niat, hanya melakukannya dengan spontan untuk mengelak daripada terpijak sabun itu.

“Haaa... haaa... haaa... adoiii!” Hardy tergelincir apabila terpijak sabun. Sasaran Nadira sangat tepat. Hardy tersembam ke simen seperti nangka busuk. Sakitnya bukan kepalang.

Nadira ketakutan. Tidak tahu mahu berbuat apa.

Wajah Hardy berkerut-kerut. Bibir bawahnya digigit apabila menahan sakit. Tidak sedar air matanya sudah keluar. Tidak tertahan rasanya. Pergelangan kakinya tidak dapat digerakkan.

“Kau sakit, ya?” soal Nadira yang sudah berdiri berhampiran Hardy. Dia ikhlas bertanya.

“Sakitlah, bodoh! Kau nak bunuh aku, ya?” jerkah Hardy sambil menahan sakit.

Sudahlah sakit, masih ada hati mahu meninggi suara. Hardy tetap menunjukkan kesombongannya. Nadira terdiam.

“Nak aku tolong ke?” Budak kampung itu sekali lagi cuba memberanikan diri. Dia tidak sampai hati meninggalkan Hardy di situ. Dia tahu Hardy terlalu sakit melalui kerutan mukanya yang berlapis-lapis.

“Tak payah! Ni semua kau punya pasal! Panggil bibik cepat!”

Tanpa membuang masa, Nadira berlari masuk ke dalam rumah. Dia mahu memanggil Sulastri. Kasihan juga melihat Hardy begitu, tetapi dia berasa selamat. Untuk hari itu, Hardy tidak akan membulinya, esok atau lusa tidak tahu lagi.

Setelah diberitahu oleh Nadira, Sulastri menghubungi Tuan Daniel dan Puan Suzi.

Nadira masuk semula ke dalam bilik. Biar Sulastri dan Rukiah saja yang menguruskan Hardy.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku