Kukejar Kau Lari
Bab 13
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1660

Bacaan









Puan Suzi panik. Tuan Daniel turut gelisah. Suhu badan Nadira naik tinggi. Selepas diberi ubat oleh doktor peribadi keluarga itu, belum ada tanda-tanda akan kebah. Sesekali Nadira meracau. Dia mengomel dengan mata masih terpejam. Puan Suzi tidak henti-henti menuam dahinya dengan tuala basah. Hardy hanya mencuri-curi melihat dari balik daun pintu bilik. Tidak berani mahu mendekati.

“Suzi tak sangka akan jadi macam ni bang.” Keluh Puan Suzi.

“Entahlah Suzi...tak tau nak kata apa lagi. Dah puas kita didik dia, ajar dia yang baik-baik, tunjuk mana betul mana salah, tetap macam tu juga.” Tuan Daniel meluahkan kesal di hati.

Hardy tunduk. Menikus. Perbualan kedua orang tuanya menerjah masuk ke telinganya. Apa yang diperkatakan semuanya hanya kesedihan mereka tentang sikap buruknya. Hardy begitu, Hardy begini. Ah! Baru dia tahu bagaimana perasaan orang tuanya.

‘Aku dah buat mama dan papa sedih. Buruk sangat ke aku? Jahat sangat ke?’ getus hatinya.

“Zariqqq! Aku takut! Zariqqq!” jerit Nadira dengan mata tertutup.

Cepat-cepat Puan Suzi menepuk-nepuk lembut dada Nadira supaya dia rasa aman. Nadira betul-betul gelisah. Seperti sedang dalam ketakutan yang tidak dapat digambarkan. Badanya bergerak-gerak dan tangannya cuba menepis ke kanan dan ke kiri.

“Kalau ikutkan hati abang ni...rasa nak serahkan Hardy pada polis. Dia dah dera Nadira. Mujur Sulastri ceritkan pada awak. Kalau tidak, lama-lama boleh mati budak ni.” Tuan Daniel sangat kecewa.

“Suzi sangkakan bila ada seorang lagi ahli keluarga, rumah ni akan lebih ceria. Tapi Suzi dah silap, bang...Suzi silap.”

Melihat keadaan Nadira, Puan Suzi begitu sebak. Mengenangkan Nadira yang yatim piatu membuat hatinya berasa pilu. Nadira telah disakiti oleh anaknya sendiri. Anak yang tidak pernah kekurangan apa-apa. Malahan apa yang menjadi milik Hardy sudah berlebihan. Mungkin sebab itulah dia berasa sudah besar kepala.

“Suzi rasa berdosa bang.”

“Berdosa? Kenapa?” Tuan Daniel tidak faham.

“Terasa macam kita dah aniaya anak yatim. Berdosa besar kan bang kalau menyakiti anak yatim?” Puan Suzi nampak suram.

“Ya...kita gagal didik anak kita. Apa yang anak kita buat tu memang satu dosa...tapi Hardy belum akhil baligh. Kitalah yang pikul dosanya.”

Tuan Daniel juga nampak sugul apabila terus memikirkan nasib Nadira. Juga tentang sikap Hardy yang sudah melampau.

“Rasulullah saw dah ingatkan,sebaik-baik rumah disisi Allah adalah rumah yang didalamnya ada anak yatim yang dimuliakan. Malangnya anak ni dah dizalimi.Menyakiti anak yatim sama seperti kita menyakiti Rasulullah. Menzalimi anak yatim,sama halnya dengan menzalimi baginda.” Tokok Tuan Daniel.

“Ya, abang. Kita gagal.”

Di luar bilik, Hardy masih belum pergi. Hatinya tidak keruan. Selama ini dia menyangka kedua orang tuanya sudah cukup bangga dengan dirinya. Anak tunggal yang cemerlang dalam akademik. Membawa balik banyak pingat di dalam bidang sukan. Rupa-rupanya itu semua masih belum menyenangkan hati mereka. Ah! Jahatnya dia! Hardy mula merasakan dirinya amat tidak berguna.

“Zariqqq! Aku nak balikkk!”

Nadira melompat dari katil, juga dengan mata yang terpejam. Dia terus dalam keadaan tidak sedar. Peluh sudah membanjiri muka Nadira. Dia seperti sedang cuba menyelamatkan diri dari sesuatu. Tangannya bergerak-gerak dan menepis-nepis.

“Suzi! Pimpin dia naik ke katil semula.” Tuan Daniel mengingatkan Puan Suzi yang sedang tenggelam punca. Dia agak gugup apabila melihat Nadira benar-benar tidak dapat mengawal diri.

“Ya bang...ya.”

Dengan pantas Puan Suzi mendekati Nadira. Memegang tangannya untuk dibawa ke katil semula. Nadira menepis kuat. Terlepas pengangan Puan Suzi. Dipegang lagi dengan lebih kuat. Kali ini Nadira tidak melawan. Dia akur.

“Baring semula ya sayang.” Entah mengapa perasaan sayang Puan Suzi makin bercambah. Seolah-olah Nadira sangat penting buat dirinya.

“Hmmm...perasaan budak ni betul-betul terdera, Suzi. Dia ketakutan. Mungkin sebelum ni dia tak pernah lalui perkara macam ni. Kenapalah dengan anak kita tu...dia dah melampau.” Sekali lagi Tuan Daniel meluahkan rasa kesalnya.

Hardy terduduk. Dia cuba mengingati semula setiap perlakuannya sejak kali pertama Nadira menjejakkan kaki ke kediaman mewah itu. Belum sekali pun dia bermanis muka terhadap Nadira. Jauh sekali untuk melayan anak yatim piatu itu dengan baik.

Budak jahat itu memaksa dirinya membayangkan kalaulah dia yang berada di tempat Nadira dan dilayan dengan buruk. Dia memejamkan mata, cuba menyumbat apa yang dibayangkan itu ke dalam otaknya.

“Haaa...sakittt!”

Dia tersentak lalu memaksa apa yang dibayangkan supaya pergi jauh-jauh dan tidak akan mengganggunya lagi. Berpeluh dahinya. Betapa tidak seronok menjadi mangsa kejahatan orang lain.

“Ayahhh! Nadira tak nak duduk sini!”

Spontan mata Nadira terbuka. Dia melihat ke satu arah tanpa berkelip. Matanya sayu. Ada genangan air mata di kolam matanya. Pandangannya tepat terarah ke muka Puan Suzi tapi bukan wanita itu yang sedang direnungnya. Kosong saja, antara sedar dengan tidak.

Tuan Deniel dan Puan Suzi berpandangan. Mereka tidak faham dengan apa yang berlaku. Mungkin Nadira sudah terjaga atau mungkin juga dia masih dalam racauannya, tanpa dia sedar. Puan Suzi memeluknya kuat. Dibelai-belai dan dipujuk. Nadira agak tenang. Dia menyembunyikan mukanya pada dada Puan Suzi. Tuan Daniel menarik nafas panjang. Simpati kepada anak malang itu.

“Ayahhh...Nadira rindukan ayah.” Rengek Nadira.

“Kami tak akan tinggalkan Nadira, sayang. Kami ada sini.”

Biar pun Puan Suzi tahu kerinduan Nadira bukan untuknya tetapi dia sedang berusaha untuk mendamaikan perasaan Nadira. Tanpa sedar air mata Puan Suzi jatuh. Pilu melihat keadaan Nadira.

“Ayah...” lalu Nadira memeluk Puan Suzi lebih kuat lagi. Beberapa minit kemudian pelukannya longgar lalu tangannya terlepas dari badan Puan Suzi.

“Nadira dah tidur semula, Suzi.” Beritahu Tuan Daniel. Puan Suzi lega.

‘Macam tu ke kalau jadi anak yatim?’

Hardy menyoal diri sendiri. Setelah begitu lama dia masih belum meninggalkan tempat itu. Hardy masih mahu mendengar keluhan-keluhan orang tuanya. Dia cuba memahami tentang betapa dia telah begitu banyak menyakiti dan mengecewakan orang tuanya.

Apabila melihat Nadira mulai tenang, Puan Suzi berpindah duduk di atas sofa di penjuru bilik. Tuan Daniel melakukan perkara yang sama. Mereka mahu melelapkan mata biarpun sekejap. Merehatkan badan yang keletihan setelah seharian bekerja. Jam sudah pun menunjukkan ke angka 2 pagi. Suasana terasa kian hening.

Hardy pula bersandar pada dinding. Dia masih mahu di situ. Dia yakin Puan Suzi dan Tuan Daniel tidak akan menyedari yang dia sedang curi-curi dengar.

“Suzi tak boleh tidur, bang.”

“Samalah,” sahut Tuan Daniel. Fikiran mereka melayang entah ke mana. Masing-masing tidak tahu apa yang keduanya sedang fikirkan.

“Bang...kalau apa yang kita buat satu kesilapan, elok kita perbetulkan bang. Sebelum keadaan jadi lebih buruk.” Suara Puan Suzi datar dan sayu.

“Maksud Suzi?”

Puan Suzi merenung Nadira dari jauh. Dalam demam kuatnya masih kelihatan damai ketika dia sedang tidur. Wanita berkarisma itu memikirkan, mungkin sewaktu berada di Al-Mustaqim Nadira tidak kenal erti derita, selain kerana menjadi yatim piatu. Tentu semua orang sangat menyayanginya.

Dia berasa malu dan berdosa kerana Nadira beroleh derita setelah menjadi ahli keluarga mereka. Puan Suzi amat bimbang jika keadaan itu akan berterusan sehingga akan menyeksa batin Nadira. Mungkin mereka telah membuat keputusan yang salah dengan mengambil Nadira sebagai anak mereka.

“Kita hantar dia balik ke tempatnya, bang. Suzi rasa itu lebih baik buat dia.”

Wanita itu tunduk. Hiba. Sukar untuk dia mengucapkan semua itu tetapi ia akan menjamin untuk Nadira tidak disakiti oleh Hardy lagi.

“Hmmm...apa kata Haji Embong nanti. Nampak kita ni tak bertanggungjawab dengan kata-kata kita sendiri sewaktu memujuk Haji Embong untuk menyerahkan Nadira pada kita. Tapi separuh hati abang ni setuju dengan cadangan Suzi.”

Tuan Daniel juga berbelah bahagi. Susah untuk membuat keputusan dalam waktu yang singkat.

Kalau hanya memikirkan dirinya sendiri, dia tidak kisah dengan tidak adanya Nadira. Dia sudah biasa hidup di dalam keluarga yang kecil dengan seorang anak. Keadaan Puan Suzi selalu membuat dia serba-salah. Isteri tercintanya mengharapkan adanya seorang anak perempuan dalam keluarga itu.

“Macam ni bang...kita terus biayai Nadira. Dia tetap anak angkat kita, cuma bezanya Nadira tak tinggal bersama kita. Apa pendapat abang?”

Tuan Daniel angguk-angguk. Dia menopang dagu sebentar. Memikirkan cadangan Suzi yang nampak munasabah. Hanya dia berasa kasihan melihat isterinya yang telah beria-ia dan mendesaknya mengambil Nadira.

“Kalau itu yang terbaik untuk Nadira, abang ikut je. Buat apa kita nak siksa perasaannya. Mungkin anak itu tak perlukan kemewahan, dia cuma nakkan kasih sayang.” Akhirnya Tuan Daniel terpaksa akur.

“Sejujurnya Suzi betul-betul kecewa bang. Baru beberapa hari Nadira kat sini, Suzi dah jatuh sayang pada dia. Impian kita untuk ada anak perempuan tak pernah kesampaian. Maafkan Suzi bang...tak mampu melahirkan lagi.”

Sesak dada Puan Suzi ketika terpaksa mengungkit perkara yang telah lama berlalu. Rezeki untuk mempunyai anak perempuan dari perutnya sendiri tidak diizinkan Tuhan. Kemudian dia berazam untuk mengambil seorang anak angkat.

Badannya ditarik oleh Tuan Daniel agar lebih rapat lagi. Tangannya dilingkarkan pada bahu Puan Suzi. Sebagai seorang suami dia sangat memahami keadaan yang berlaku. Sewaktu mahu melahirkan anak kedua yang telah disahkan oleh doktor bahawa anak itu adalah perempuan, Puan Suzi telah mengalami pendarahan yang teruk kerana kecuaian doktor bertugas.

Disebabkan tidak ada jalan lain, rahim Puan Suzi telah dibuang demi untuk menyelamatkan nyawanya. Sayangnya anak yang baru dilahirkan tidak dapat bertahan. Mungkin bayi itu tidak diizinkan untuk melihat dunia.

“Itu semua dah takdir. Bukan salah Suzi. Abang tak pernah persalahkan Suzi dalam hal ni. Bukan rezeki kita, Suzi.” Pujuknya. Hati Puan Suzi agak lega.

‘Apa aku dah buat? Mama dan papa sedih. Mereka susah hati sebab aku. Ermmm...aku ni betul-betul anak tak berguna ke? Aku jahat ke? Aku jahat!’

Tanpa Tuan Daniel dan Puan Suzi sedar, Hardy mencuri dengar setiap perbualan mereka. Sekejap-sekejap dia mengutuk dirinya sendiri. Sesekali pula dia tetap masih menyalahkan Nadira sebab masuk ke dalam keluarganya. Hardy tidak dapat menerima kenyataan itu.

Hardy mengingati semula layanannya terhadap Nadira. Apa kesalahan Nadira sehingga dia telah membulinya sebegitu rupa? Mamanya yang mahukan Nadira, jika tidak Nadira tidak mungkin akan berada di rumah itu. Jadi Nadira tidak bersalah.

Dia melihat pula pada kaki kanannya yang bersimen. Memang dia busuk hati, niatnya mahu mencederakan Nadira telah gagal. Sebaliknya diri sendiri yang kesakitan. Adakah itu kerana dia telah menzalimi seorang anak yatim?

Seperti kata papanya, zalim pada anak yatim sangat besar dosanya. Dia belum akhil baligh dan orang tuanya yang akan menanggung semua itu. Kali ini Hardy berasa telah berbuat jahat terhadap orang tuanya pula. Seolah-olah dia tidak menyayangi mereka.

‘Apa aku nak buat?’ Disoalnya diri sendiri.

‘Budak jahat macam aku ni ke?’ Disoal lagi

Hardy tidak ada jawapannya. Dia tidak tahu caraa mahu menjadi anak yang baik. Agaknya sudah banyak dosanya yang berpindah kepada papanya. Kaki yang mulai kebas telah mengganggu lamunan Hardy. Sukar untuk dia bangun. Mahu terus berada di situ, sudah terasa penat. Dia berusaha menggerakkan kaki untuk berlunjur. Mana tahu setelah berlunjur kebas kakinya akan hilang.

“Zariq!...aku nak balik! Aku nak balik! Kat rumah orang kaya ada budak jahat.” Nadira tersentak lagi. Antara sedar dan tidak. Nafasnya mencungap. Seperti dalam ketakutan.

“Nadira meracau lagi bang.” Puan Suzi bingkas dari duduknya Merapati Nadira dan cuba memujuk. Tuan Daniel tetap berada di sisi isterinya.

“Mungkin suhu badannya naik lagi. Kesian abang tengok.”

‘Dia panggil aku budak jahat. Aku budak jahat?’

Hardy yang memasang telinga mulai pening. Dia tidak suka digelar budak jahat tetapi hakikatnya dia memang berkelakuan seperti budak jahat. Hardy terus menghakimi diri sendiri.

“Zariqqq! Dia pukul aku! Dia nak nak patahkan kaki aku! Aku takut...aku nak balik!”

“Tak ada apa-apa yang akan jadi, sayang. Mama ada ni. Papa pun ada. Kami tak akan biarkan sesiapa pun apa-apakan Nadira.” Puan Suzi cuba memujuk. Dia dapat melihat betapa tidak tenangnya Nadira. Ketakutannya terbawa-bawa hingga ke alam bawah sedarnya.

“Zariqqq!” jerit Nadira lagi. Puan Suzi tidak jemu-jemu cuba mendamaikan. Tuan Daniel pun sanggup bersengkang mata kerana sangat bimbangkan Nadira.

“Zariq...Zariq.” Suara Nadira beransur lemah sebelum dia terlena semula. Untuk sementara waktu, Puan Suzi dan Tuan Daniel menarik nafas lega. Mereka berharap Nadira akan lena hingga ke pagi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku