Kukejar Kau Lari
Bab 15
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1528

Bacaan









Mata Zariq liar mencari-cari Haji Embong. Orang tua itu tidak ada di hadapan rumah. Zariq berpusing ke belakang rumah. Ternyata Haji Embong memang berada di situ. Dia sedang terbongkok-bongkok mengorek pasir yang masuk ke dalam saluran longkang dengan penyodok kecil. Zariq dapat melihat kesungguhan dan kegigihan Haji Embong dalam menguruskan Al-Mustaqim.

Sudah ramai yang keluar dan masuk ke rumah itu. Yang sudah mampu berdikari dan berjaya dalam kerjaya masing-masing akan meninggalkan Al-Mustaqim. Ada di antara mereka yang masih sudi bertanya khabar dan mengunjungi Haji Embong. Tidak kurang juga yang terus menyepi dan melupakan begitu saja pengasas tempat mereka pernah memberi mereka perlindungan pada satu masa dulu.

Air mata Haji Embong akan menitis setiap kali ada penghuni yang meninggalkannya. Kemudian senyuman terukir lagi ketika dia menerima penghuni baru. Begitulah putaran hidup Haji Embong yang menjadi lilin untuk menerangi orang lain.

Tentang keluarganya, tidak ada siapa pun yang tahu. Entah di mana anak tunggalnya. Sejak Zariq berada di Al-Mustaqim, belum pernah dia melihat Haji Embong menerima kunjungan dari ahli keluarganya.

“Ayah perhati kamu dah lama berdiri situ. Ada apa?” Tanpa melihat ke arah Zariq, Haji Embong dapat merasai kehadirannya.

Itu kelebihan orang tua berusia 63 tahun itu. Dia seolah-olah dapat menghidu bau badan setiap penghuni Al-Mustaqim. Tanpa memandang, dia sudah kenal siapa orangnya. Zariq mendekatinya.

“Ayah kerja kuat sangat. Ini kan kerja-kerja kami, yah.”

Sungguh kata Haji Embong, Zariq adalah budak nakal yang baik hati. Dia sentiasa ambil berat terhadap Haji Embong walaupun ada waktunya kenakalannya telah membuat orang tua itu senak perut. Haji Embong senyum saja.

“Yang kamu tu kenapa, ada yang penting?” tokok Haji Embong bertanya.

Zariq teragak-agak untuk menyatakan. Dia khuatir perkara itu tidak wajar untuk disuarakan. Lama dia diam. Haji Embong tetap dengan tugasnya. Dia sedang menunggu apa yang akan diluahkan oleh Zariq.

“Nak cakap...cakap jelah Zariq. Macam tak biasa dengan ayah.” Kali ini Haji Embong memandang tepat Zariq yang tidak bersemangat.

Hairan pula Haji Embong apabila melihat Zariq tidak ke parit besar untuk memancing. Rutin hariannya tidak dilakukan pada pagi itu. Zariq menyandarkan badannya pada dinding rumah Al-Mustaqim. Kakinya disilangkan. Kedua tangannya berpeluk tubuh. Kemudian dia memberanikan diri untuk menyuarakan keinginannya.

“Ayah...kita lawat Nadira, boleh?”

Haji Embong meletakkan penyodok kecil yang digunakan ke tepi longkang. Dia mengesat peluh yang mengalir dengan hujung kemeja lusuhnya. Nafasnya turun naik. Senaman mengorek longkang boleh tahan juga penatnya.

“Tak usahlah kita ganggu dia. Nadira sedang sesuaikan diri dengan keluarga barunya. Kalau kita datang tentu dia akan sedih. Akan terganggu emosinya nanti.”

Jawapan Haji Embong membuat Zariq hampa. Dia sudah berangan-angan bertemu dengan Nadira dengan membawa gula-gula kesukaannya. Tentu Nadira akan senyum apabila melihat kedatangannya bersama Haji Embong. Malangnya pendapat Haji Embong jauh meleset dari apa yang telah diangan-angankan.

“Malam tadi Zariq asyik mimpikan Nadira, ayah.” Daripada berdiri, Zariq duduk di kaki lima rumah apabila melihat Haji Embong meletakkan punggungnya di tepi longkang kecil itu.

“Apa yang kamu mimpikan?”

“Nadira asyik melambai Zariq...tapi dia tak bercakap pun.” Zariq menghalau nyamuk yang berlegar-legar di hadapannya.

“Itu cuma mimpi. Sebelum tidur kamu ada baca doa tak?” Haji Embong memang selalu mengingatkan tentang perkara itu kepada penghuni Al-Mustaqim pada setiap kali mereka mahu masuk tidur.

“Errr...malam tadi Zariq baca ke tak ya. Macam ingat-ingat lupa je, ayah.” Zariq menggaru kepala.

“Hah! Itulah pasalnya. Berdoa pun boleh lupa.” Teguran Haji Embong membuat Zariq tersipu.

“Bolehlah yah...sekali ni je. Lain kali Zariq tak mintak lagi.” Rayu Zariq. Senakal-nakalnya, dia tetap seorang budak yang mahu keinginannya dituruti.

Baginya hanya Haji Embong saja tempatnya meminta perhatian dan merayu. Pemilik Al-Mustaqim itu adalah pengganti kedua orang tuanya. Zariq mengharap. Haji Embong membisu seketika. Dia tidak mahu sekadar berjanji, bimbang kalau tidak dapat ditunaikan. Dalam pada itu dia berasa amat bersalah seandainya permintaan Zariq ditolak mentah-mentah.

“Ayah fikirkan dulu ya.” Akhirnya Haji Embong membuat keputusan.

“Tapi yahhh...”

“Sabar. Ayah tak nak berjanji. Kalau tak dapat tunaikan, kan munafik. Kamu suka kalau ayah jadi orang yang munafik?” uji Haji Embong apabila melihat Zariq menarik muka empat belas. Muram dan masam.

“Yalah...Zariq tunggu jawapan ayah. Zariq ke parit dulu.” Dia mahu berlalu.

“Tak payahlah ke parit. Hari dah mula panas ni. Kamu tolong kemaskan sikit dalam rumah tu. Bersepah ayah tengok.” Arah Haji Embong.

“Budak-budak tu tak nak bertugas ikut giliran. Susahlah yah.” Zariq sudah pun bangun.

“Biarkan dulu. Mereka tak faham lagi peraturan kat sini. Beri peluang mereka belajar. Pelan-pelan nanti lama-lama mereka pun akan pandai bawak diri macam kamu. Jangan buli mereka. Ayah tak suka.”

Pesanan itu juga kerap kedengaran dari mulut Haji Embong. Dia mahu penghuni Al-Mustaqim hidup aman damai. Zariq mengangguk lemah. Tidak bersemangat untuk mengambil alih tugas orang lain. Semuanya gara-gara dia masih tidak dapat melupakan mimpinya tentang Nadira.

Lambaian tangan Nadira di dalam mimpi itu membuat dia rindu. Rindu serindu-rindunya. Jika dia meluahkan di hadapan Tajol sudah pasti temannya itu akan menuduh dia bercinta. Huh! Dalam kepala Tajol tidak ada perkara lain yang difikirkan. Cinta! Cinta! Cinta! Tidak padan dengan penakutnya, hanya memikirkan tentang cinta.

“Zariq masuk dulu yah.”

“Yalah...ayah pun nak sudahkan kerja ayah ni. Satu lagi...jangan lupa pengajian malam ni. Ustaz dari pekan akan datang. Kamu ingatkan kawan-kawan supaya mandi awal petang nanti.” Lalu Haji Embong mengambil semula penyodok kecilnya semula. Hanya tinggal sedikit saja lagi pasir yang perlu dikeluarkan, longkang itu akan dapat mengalirkan air dengan baik.

Zariq masuk semula ke dalam rumah dengan langkah yang malas. Dilihatnya ruang tamu seperti tongkang pecah. Kusyen kerusi rotan yang telah berusia bersepah di atas lantai. Sehelai tuala mandi turut terlonggok di situ. Sudahlah hatinya tidak keruan, sakit pula matanya melihat keadaan itu.

Tajol sedang membaling sebiji kusyen ke arah Midi. Kemudian Midi membalas balingan sambil mengekek suka. Tajol mengelak dan kusyen tidak mengenai tubuhnya. Ia diambil dan dibaling semula ke arah Midi.

Agak lama Zariq bercekak pinggang depan pintu tetapi tidak diendahkan oleh mereka berdua. Geram pula bila melihat Tajol memberi contoh yang tidak baik kepada yang lebih kecil. Tajol sudah mengajar Midi menjadi tidak berdisiplin.

“Hoi! Tajolll! Kau dah tak ada kerja lain ke? Menyepah je kau tau!” marah Zariq.

Midi cepat-cepat menoleh. Melihat muka Zariq yang serius, Midi agak takut. Kusyen yang sedang dipegang disusun semula ke tempatnya dengan pantas. Dia berundur sedikit lalu berlari masuk ke dalam bilik.

Kusyen pada tangan Tajol ditarik kuat oleh Zariq. Diletakkan semula pada kerusi rotan. Tanpa banyak soal Zariq terus memungut kesemua kusyen yang bertaburan di atas lantai. Tuala mandi diambil lalu dihumban ke tepi dinding. Dia tahu tuala itu mesti kepunyaan Tajol.

“Kau memang pemalaslah Tajol. Sepatutnya kau tu jadi contoh pada budak-budak tu. Ini tidak. Asyik nak main je kerja kau kan.” Marah Zariq lagi.

“Yalah...aku tolong kau kemaslah!” lalu Tajol membuka tingkap cermin. Satu per satu. Kain langsir diikat dengan reben besar supaya cahaya dapat masuk dan membuat ruang tamu tidak nampak suram.

“Kau meleter mengalahkan Mak Som.”

“Lantak kaulah nak kata apa. Aku cakap yang betul. Kau kat dalam ni main tak sudah-sudah. Ayah kat luar berpeluh-peluh bersihkan longkang. Bukan hari ni giliran kau ke Tajol?” Zariq yakin kerana dia sentiasa ingat jadual kerja harian mereka.

“Errr...aku ingat nak buat petang nanti.” Tajol memberi alasan. Dia memang kaya dengan dalih tipu helah.

Dijeling Tajol dengan rasa tidak puas hati. Sudah banyak kali Tajol curi tulang. Jadual kerja tidak diambil peduli. Zariq tahu Haji Embong malas mahu bising-bising. Dia akan mengambil alih tugasan itu tanpa banyak soal. Hanya apabila ada yang melampaui batas, tindakan tegas orang tua itu akan membuat sesiapa yang didenda akan terasa seperti hendak terbuang air kecil.

“Kau tau kan, petang kita ada kelas, ada pengajian dan berkebun. Kau memang tak kesian kat ayah, kan Tajol. Kau tau tak kalau tak ada ayah, entah kat mana kita sekarang. Tepi jalan agaknya.” Zariq budak yang agak dewasa pemikirannya.

Nakalnya kadang-kadang. Baiknya tidak mengira masa. Zariq paling tidak suka melihat Haji Embong berpenat-penat sedangkan mereka boleh melakukan semua kerja. Dia sering berbalah dengan Tajol dan beberapa penghuni yang lain hanya kerana tidak mahu menyusahkan Haji Embong. Hanya kadang-kadang sikap kasarnya membuat Haji Embong pening kepala.

“Hmmm...tak apalah, nanti aku sapu rumah. Ganti tugas korek longkang.” Tajol berubah nada.

“Suka kaulah. Budak-budak lain mana?” Zariq memanjangkan leher. Tidak terlihat kelibat penghuni yang lain.

“Ada yang kemas bilik, ada yang mandi, basuh kasut sekolah, basuh baju. Aku tunggu giliran mandi, tu sebab aku main dulu.” Tajol menyengih. Zariq tidak mahu tahu apa saja alasan Tajol. Yang pasti Tajol memang kurang berdisiplin.

Zariq menghampiri almari tanpa pintu yang menyimpan kitab-kitab dan naskah Al-Quran. Disusun semula buku-buku agama yang tidak disusun mengikut saiz. Ada yang mengambil buku-buku itu tanpa meletakkan semula pada tempat yang betul. Habuk yang baru singgah pada permukaan almari ditiup hingga berterbangan.

Jarinya mencalit permukaan almari untuk memastikan habuk sudah hilang kesemuanya. Jari masih nampak kotor. Zariq mengambil bulu ayam untuk membersihkannya. Tajol telah ke dapur untuk mengambil penyapu. Dia mahu menyapu lantai rumah sebelum Zariq meleterinya lagi.

“Jol!...aku pujuk ayah ke Kuala Lumpur. Lawat Nadira.” Hati Zariq tidak bengkak lagi bila melihat Tajol beria-ia menyapu lantai rumah.

“Aku ikut!” Tajol berhenti menyapu. Memandang Zariq dan menunggu jawapan.

“Tak payah!” Malangnya jawapan Zariq menghampakan Tajol. Dia mencebek.

“Tak adillah macam ni. Aku pun teringin jugak tengok Kuala Lumpur. Orang kata, cantik. Banyak lampu warna-warni. Nak tengok atas bangunan kena dongak sampai sakit tengkuk.”

“Aku nak pergi sana bukan sebab Kuala Lumpur tu cantik. Cuma nak lawat Nadira. Balik hari. Cukuplah aku pergi dengan ayah. Nanti aku sampaikan salam kau ya.” Zariq tahu sudah lama Tajol mengidam untuk melihat Kuala Lumpur.

“Apa salahnya aku ikut sekali?” Tajol berkeras.

Tangan Zariq terus laju menyusun kitab-kitab. Yang bersaiz kecil diletak pada rak sebelah atas. Di rak sebelah bawah pula diisi dengan buku yang lebih besar. Kebanyakan Kitab-kitab itu sudah habis dibacanya. Begitu juga dengan Tajol dan penghuni yang lain. Haji Embong telah mewajibkan mereka membaca sekurang-kurangnya dua jam pada setiap malam.

“Memang tak salah. Tapi kesian ayah, kena sediakan duit tambang lebih. Ayah pernah kata, nak ke rumah orang kaya perlu ambik teksi. Tambang teksi kan mahal.” Zariq cuba menjelaskan supaya Tajol tidak iri hati. Tajol memikirkan sesuatu.

“Kau boleh pulak! Kau selalu lebih!” protes Tajol.

Badan Zariq dipusing. Dia memandang Tajol tepat. Ada ketika terasa lucu pun ada. Tajol seperti budak perempuan. Kuat cemburu. Penyapu dalam pegangan Tajol dikuis-kuis ke lantai. Sampah hanya berlegar di tempat yang sama. Muka Tajol seperti gerhana matahari. Terang tapi tidak bersinar.

“Aku beza dengan kau.” Kali ini Zariq sengaja mahu membuat hati Tajol pula yang bengkak. Seronok dapat mengenakan Tajol yang badannya bulat-bulat comel.

“Maksud kau ayah lebih sayang kau?” teka Tajol dengan jengkel.

“Aku tak kata...aku tak sebut pun!” lalu Zariq ketawa. Gembira bila dapat menyakiti hati Tajol. Meluat Tajol melihat sengihan Zariq.

Malas mahu melayan Zariq yang kali ini nampak sombong. Bangga diri sebab disayangi Haji Embong. Tajol meneruskan sapuannya tanpa menghiraukan Zariq lagi. Mulutnya saja yang nampak diam, fikirannya sedang mencari jawapan mengapa Zariq lebih disayangi.

“Bukan macam tulah Jol. Aku tak nak susahkan ayah. Tambang tu aku guna duit sendiri. Ayah keluar tambang untuk dia je.”

“Mana kau dapat duit.” Soal Tajol laju. Dia sudah terus dengan rasa sakit hatinya.

“Tabung akulah. Aku kan jarang makan kat sekolah. Duit belanja ayah bagi, aku masuk tabung. Betul kan, aku beza dengan kau. Kau mana pernah menyimpan.” Bangga juga Zariq, hasil tabungan yang ada, lepaslah tambang untuk ke Kuala Lumpur.

“Tapi kan, Jol...”

“Tapi apa?” Tajol cepat memotong.

Zariq melepaskan keluhan. Dia bersandar pada almari tanpa pintu. Kakinya dibengkokkan. Kepala lututnya diusap-usap. Muka Zariq bertukar warna. Kalau tadi nampak ceria, ia berubah muram dan suram. Lebih-lebih lagi apabila teringatkan Nadira semula.

“Ayah tak berani nak janji. Ayah kata tak elok ganggu Nadira yang baru nak suaikan diri dengan keluarga orang kaya tu.” Kakinya dilunjurkan pula.

“Betul jugak kata ayah. Aku macam setuju je.” Tajol meneruskan sapuannya. Perlahan-lahan.

“Atau pun...apa kata kau pergi senyap-senyap. Pergi sorang-sorang.” Selepas itu berubah pula pendiriannya. Tajol memang begitu. Seperti lalang ditiup angin. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri.

Zariq membaling sehelai kertas yang sudah direnyukkan ke arah Tajol. Tajol menepis dan kertas jatuh ke lantai. Tajol menguis dengan penyapu dan kertas itu bersatu dengan sampah yang lain.

“Kau nak aku kena teruk dengan ayah? Cadangan kau tu akan susahkan aku nanti.” Zariq geram. Tajol mentertawakannya.

“Kalau setakat curi-curi ke belukar tengah malam tak apa lagi. Boleh balik tepat masanya bila bawak jam loceng. Yang aku nak pergi ni Kuala Lumpur. Bukan dekat.” Sudahnya Zariq mengomel. Tajol sengih lagi. Separuh mengejek.

Bagus juga kalau Haji Embong tidak mahu pergi. Sekurang-kurangnya dia tidak akan berasa iri kerana tidak dapat menjejakkan kaki ke bandar besar itu. Hatinya tersenyum biarpun tidak dipamerkan.

“Tapi...kalau ayah tak nak pergi, nak buat macam mana. Satu hari nanti aku tetap akan jumpa Nadira jugak. Kalau dia tak cari aku...aku akan cari dia.” Azam Zariq bulat.

Dia tidak mahu terputus hubungan dengan Nadira. Mereka sudah berjanji untuk saling mencari. Kata Haji Embong, tidak menepati janji adalah sikap orang munafik. Zariq yakin satu hari nanti dia tidak akan terpisah dengan Nadira lagi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku