Kukejar Kau Lari
Bab 17
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1510

Bacaan









TAHUN 2008

Hari itu rumah Al-Mustaqim sekali lagi diselubungi kesuraman. Anak kepada pemilik tanah menuntut kembali apa yang didakwa sebagai haknya. Sedangkan tanah itu telah diwakafkan oleh orang tuanya untuk dibina tumah anak-anak yatim Al-Mustaqim.

Sudah berkali-kali Haji Embong diarahkan untuk mencari tempat lain tapi Haji Embong hanya memandang sepi. Dia berpegang kepada dokumen serah milik tanah kepada rumah Al-Mustaqim. Tiba-tiba saja pada pagi itu mereka didatangi sebuah jentolak dan dua orang yang mendakwa mereka adalah pekerja kepada anak pemilik asal tanah itu.

“Astaghfirullah, MasyaAllah. Apa semua ni?” Haji Embong mengurut dada. Dia tidak pernah menjangka akan berlaku kejadian seperti itu. Tidak ada persediaan untuk meninggalkan tempat itu.

Jerih payahnya mendirikan rumah di atas tanah yang telah diwakafkan oleh seorang hamba Allah yang baik hati akan musnah sebentar lagi. Air mata Haji Embong menitis lesu. Selesu hati, fikiran dan badannya.

Kalau tanah Al-Mustaqim diambil, ke mana mereka hendak pergi? Bagaimana nasib kesemua penghuni? Lemah lesu fikiran Haji Embong. Dia terduduk di kusyen usang. Mak Som kelam-kabut mengarahkan anak-anak Al-Mustaqim berkemas apa yang perlu. Ada di antara mereka yang belum sempat mandi pagi. Ada yang termangu, tidak memahami apa yang berlaku.

“Kami bagi masa setengah jam dari sekarang untuk semua meninggalkan tanah ni. Kalau tak kami tetap akan buat tugas yang dah diarahkan.” Suara keras memberi amaran. Terasa mahu luruh jantung Haji Embong.

“Apa ni? Ingat kami ni binatang ke? Nak halau suka-suka hati! Ini tanah ayah! Ini rumah kami! Jangan kacau kami!”

Darah muda Zariq mula mendidih. Usianya baru 15 tahun tetapi deraan hidup telah membuat dia cepat dewasa. Sejak mula lagi dia bercita-cita untuk selalu berada di samping Haji Embong dalam susah senang orang tua itu.

“Dik...tanah ni tuan kami nak ambil. Tempat ni nak didirikan rumah sewa.” Jelas salah seorang petugas.

“Kami peduli apa! Ini tanah ayah, bukan tanah tuan kau! Bawak jentolak ni pergi!” jerkah Zariq sangat marah.

Garang sungguh Zariq. Seperti biasa, Tajol sentiasa bersamanya. Tajol juga mahu memarahi orang yang datang tiba-tiba itu. Hanya lidahnya saja yang kelu dan fikirannya juga tersekat. Dia sedang mencari-cari perkataan yang sesuai. Mahu seberani Zariq.

“Kami tak boleh pergi nanti kena buang kerja.” Pekerja yang berusia 30an itu tetap berkeras tidak mahu pergi. Sama keras dengan Zariq.

“Bang...kena buang carilah kerja lain. Ni rumah anak-anak yatim. Berdosa kalau susahkan orang-orang macam kami ni.” Suara Zariq mengendur. Mungkin darah panasnya sudah suam-suam kuku. Pada awalnya dia berasa terkejut dengan perkara yang tiba-tiba saja berlaku.

Pekerja itu serba-salah. Direnung lama rumah Al-Mustaqim. Dari pintu yang terbuka luas dia dapat melihat beberapa kanak-kanak mundar-mandir di dalam rumah itu. Mereka seperti sedang cemas dan takut. Ada sedikit rasa bersalah di hatinya.

“Abang dah kahwin dik. Dah ada anak. Kalau tak ada kerja apa abang nak bagi dorang makan?” Sayangnya rasa bersalah itu tidak diendahkan. Ia singgah sebentar kemudian menghilang.

“Sebab dah kahwinlah abang tak boleh buat macam ni. Ayah Embong selalu nasihatkan kami kalau nak cari rezeki biar berkat bang.” Zariq masih berusaha untuk melembutkan hati pekerja itu agar dia bersetuju untuk pergi.

“Ya bang. Betul kata kawan saya ni. Abang tak takut dosa ke?” Barulah Tajol bersuara. Dia hanya menambah bumbu pada kata-kata Zariq.

Muka pekerja itu berubah. Merah padam. Dia melihat Zariq dan Tajol silih berganti. Mereka nampak kecil pada pandangannya. Egonya tercabar. Soal dosa pahala kemudian saja akan difikirkan. Dia merasakan Zariq dan Tajol seakan mahu menyekolahkannya. Mana boleh jadi!

“Kau dua orang, budak-budak lagi apa yang korang tau tentang hidup ni, hah? Ingat senang ke nak bagi makan anak bini? Masih berhingus nak ajar orang tua!” Keras suara pekerja itu.

Zariq dan Tajol pandang memandang. Terasa sia-sia bersikap lembut sebentar tadi. Bercakap perkara benar memang kurang disukai orang lain. Bila berbahasa kesat pula akan dikata kurang ajar. Sedangkan hidup adalah bagaimana keadaan dan perjalanan pada satu-satu keadaan itu berlaku.

Mereka adalah anak tanpa ada orang tua yang menumpang kasih di rumah Al-Mustaqim. Kehidupan mereka penuh dengan sifat berdikari. Percaya pada diri sendiri dan menghargai setiap kebaikan.

Sebaliknya jika ada yang cuba menggugat diri mereka, sikap yang lunak akan berubah keras. Sama seperti haiwan jinak yang sering menyembunyikan kuku. Apabila berasa terancam, haiwan itu akan mula mengeluarkan kuku atau taringnya.

“Memang kami berhingus tapi kami tau mana hak kami, mana hak orang. Tanah ni dah diserahkan kepada ayah kami. Ayah pernah tunjukkan dokumen serah milik tanah ni. Baliklah bang.”

Zariq tetap mahu mempertahankan apa yang hak. Dia tahu Haji Embong tidak suka banyak cakap. Biar dia yang menjadi pengganti. Tidak kiralah orang itu lebih dewasa daripadanya. Harap umur saja tua tapi otak diletakkan di kepala lutut. Sakit betul hati Hardy.

“Memang degil! Dah tau menumpang kat tanah orang, buatlah cara menumpang!”

Herdik pekerja itu pula. Kalau boleh dia tidak mahu lama-lama di situ. Akan lebih panas hatinya. Dia mahu cepat-cepat menyelesaikan tugasnya dan pergi dari situ. Herdikannya langsung tidak menakutkan Zariq. Malahan dia masih tegak di situ. Tidak mahu berundur.

“Tak payah menjerit-jerit. Tak usah gaduh-gaduh. Nak...baliklah. Suruh tuan kamu datang ke mari berjumpa pak cik.” Haji Embong muncul juga. Zariq berasa lega.

“Bukan niat kami nak buat kacau, pak cik. Tapi budak-budak ni banyak cakap. Dihalangnya pulak kerja kami.”

Benang yang basah mesti ditegakkan supaya diri tidak nampak bersalah. Pekerja itu semakin jengkel dengan kadatangan Haji Embong. Ini bermakna dia terpaksa bersoal jawab lagi. Lambat beres kerjanya maka lambatlah dia akan mendapat duit upah.

“Kerja yang tak betul memang patut dihalang. Pak cik malas nak gaduh-gaduh. Tak kuasa nak cakap banyak. Sekali lagi pak cik mintak...tinggalkan tempat ni. Baliklah.”

Pekerja itu gelisah. Serba tidak kena. Dia dapat melihat Haji Embong yang tenang. Terasa diri sudah kalah. Pada waktu yang sama terbayang pula memek muka tuannya yang melintang misai tebalnya. Bila mengherdik tidak kira di mana, tidak mengira siapa yang diherdiknya. Dia lebih gerun terhadap tuannya, kerana di situlah tempatnya mencari makan.

Lelaki berusian 30an itu meninggalkan Haji Embong, Zariq dan Tajol tanpa bersuara. Kalau dengan diam tugas akan menjadi mudah, itulah yang dipilihnya. Dia menghampiri jentolak, bercakap sesuatu dengan pemandunya. Pemandu jentolak angguk-angguk. Enjin dihidupkan dan jentolak mulai bergerak perlahan.

“Biar betul...macam menghala ke sini je, Zariq.” Tajol juga menyedari apa yang Zariq sedang fikirkan. Begitu juga dengan Haji Embong. Dia dapat menghidu arah jentolak itu dipandu.

Jentolak makin lama makin dekat. Haji Embong bergerak ke tepi agar tidak dirempuh oleh jentolak. Darah muda Zariq mendidih lagi. Matanya liar mencari butiran batu. Tajol melakukan perkara yang sama. Mereka mahu melempar pemandu dan temannya dengan batu.

Biar meleleh darah keluar dan menitis ke tanah milik Haji Embong. Darah itu akan mengenal siapa tuan yang sebenar. Apabila jentolak semakin hampir ke anjung rumah, mereka bersedia untuk menyerang.

Jentolak sudah terlalu hampir dengan tiang anjung. Ia masih terus bergerak. Seperti tangan Zariq yang mulai bergerak-gerak. Tidak sabar mahu mengajar orang yang tidak tahu adab. Masuk ke tanah milik orang dan melakukan sewenang-wenangnya.

“Jangannn!...” Serentak dengan itu Zariq dan Tajol mengangkat tinggi tangan mereka. Mereka sudah bersedia untuk melempar batu.

Depan mata mereka, salah satu dari tiang anjung dirobohkan. Atap menjadi senget. Haji Embong mengurut dada. Kakinya terasa longgar dan lemah. Dia berdiri goyah dan menjadi saksi betapa hasil titik peluhnya telah dirosakkan. Terasa macam dicarik-carik hatinya.

Budak-budak yang berada di dalam rumah terjerit pekik dan menangis. Mereka ketakutan. Bunyi gegaran tiang yang disondol betul-betul menakutkan mereka. Terdengar suara Mak Som cuba mengamankan perasaan mereka. Dia mengarahkan mereka supaya keluar ikut pintu belakang.

“Jol...baling!” jeirt Zariq memberi amaran kepada Tajol untuk menyerang. Pantas Zariq melontar seketul batu lalu mengenai pelipis lelaki yang suka mengarah itu. Nampak darah segar meleleh keluar. Dia mengelap darah pada pelipisnya dengan hujung t shirt yang dipakainya.

“Zariq...Tajol...tak usah. Biarkan mereka.” Gerakan tangan kedua remaja itu terhenti. Arahan Haji Embong tidak boleh diengkari. Mereka kecewa. Haji Embong menyabarkan mereka.

Kedudukan rumah Al-Mustaqim yang agak terpencil dari kejiranan menyebabkan tidak ada yang menyedari kezaliman sedang dilakukan terhadap sebuah rumah anak-anak yatim yang sepatutnya dilindungi.

Semasa jentolak menghampiri tiang kedua, Zariq tidak boleh tahan lagi. Dia berlari laju dan memanjat jentolak dengan perasaan yang sangat marah. Sudah tidak peduli lagi pada tegahan Haji Embong.

Lelaki berusia 30an cuba menghalang. Zariq menepis tangan lelaki itu lalu menolak badannya dengan kuat. Lelaki itu terjatuh ke tanah. Terlopong mulut Tajol melihatnya. Haji Embong hanya mampu menggeleng-geleng sambil mengurut dada.

Setelah salah seorang terjatuh, Zariq mencekak leher baju pemandu jentolak. Kalaulah saiz badan pemandu itu kecil sudah tentu akan ditelannya hidup-hidup. Orang yang kurang ajar tidak layak diberi muka.

Lelaki 30an cuba memanjat semula jentolak itu. Mahu membalas perbuatan Zariq. Belum sempat naik ke atas, Zariq telah memijak tangannya dengan sekuat hati. Tajol yang sedari tadi hanya memerhati, turut naik minyak. Dia berlari mendapatkan Zariq untuk membantu. Tajol mengawasi lelaki 30an itu.

“Kau nak pergi dari sini atau tak?” jerit Zariq sambil mahu menghayun buku limanya pada muka pemandu jentolak itu.

Melihat Zariq yang seperti mahu menelan orang, pemandu itu kecut perut. Dia cuba mengagak berapakah usia Zariq jika dipadankan dengan kekuatan dan keberaniannya. Badannya juga besar dan tegap.

“Nak pergi ke tidak?” Cekakan tangannya makin kuat. Terasa mahu tersepit halkum pemandu jentolak itu. Susah hendak bernafas.

“Aku...aku pergi.” Suaranya gugup. Bukan dia tidak mahu melawan Zariq tetapi badannya yang keding membuat dia hilang keyakinan pada diri sendiri. Kawannya juga keding sepertinya.

“Ok!...bawak jentolak ni pergi sekarang.

Jentolak dipandu mengarah ke jalan keluar. Setibanya di hujung jalan Zariq melompat turun. Lelaki 30an yang menahan kesakitan akibat denyutan pada jari-jarinya telah dilepaskan oleh Tajol. Direnung jari-jari yang dipijak oleh Zariq dengan terompah kayunya. Lelaki itu berlari meninggalkan tanah Al-Mustaqim. Yang pasti sebatang tiang anjung telah ditumbangkan. Mereka tidak pasti adakah kedua-dua lelaki itu akan datang lagi.

“Maafkan Zariq ayah...Zariq tak dengar kata ayah. Zariq melawan.” Zariq menyedari kesilapan itu dari awal lagi tetapi dia tidak dapat menahan diri. Dia tidak mahu hanya melihat tanpa berbuat apa-apa.

“Terima kasih nak...kamu dah lakukan yang sepatutnya.” Haji Embong mengusap ubun-ubun Zariq.

“Kita wajib mempertahan hak kita yang diceroboh. Tapi dengan membaling batu, ayah kurang suka. Sakitnya lebih. Dengan tenaga kamu pun dah mencukupi. Ayah tau anak ayah ni kuat.” Puji Haji Embong lalu beredar dari situ.

“Hmmm...” dan Zariq belajar untuk lebih memahami sikap Haji Embong. Juga belajar tentang tanggungjawab. Semua itu akan membuat Zariq lebih matang dan dewasa.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku