Kukejar Kau Lari
Bab 18
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1282

Bacaan









Malam itu Haji Embong menggelisah. Tidak sedap hati. Setelah beberapa jam barulah dia tertidur. Rumah Al-Mustaqim senyap-sunyi. Hanya sesekali kedengaran bunyi cengkerik bersahutan. Di luar rumah angin bertiup agak kuat. Mungkin tanda hari akan hujan. Langit juga gelap tak berbintang.

Penghuni di Al-Mustaqim semakin lena. Kain selimut menutupi badan masing-masing. Ada yang menariknya sampai kepala. Cuaca sejuk memang membuat tidur jadi lena. Dalam cahaya suram dari lampu tidur kelihatan Haji Embong terjaga semula. Tersentak. Dia seakan terdengar bunyi yang aneh. Setelah memasang telinga, tidak ada pula bunyi yang kedengaran.

“Mimpi agaknya.”

Haji Embong menyambung tidur semula. Tidak sampai beberapa minit sudah kedengaran dengkuran kecilnya. Apabila badannya terlalu penat, Haji Embong akan berkeruh. Dia sudah tidur mati. Nasib baik Haji Embong tidur seorang, kalau tidak sudah tentu teman tidurnya tidak akan pernah aman dengan dengkurannya yang macam lembu kena sembelih.

Di ruang tamu kelihatan seseorang sedang bergerak dengan berhati-hati. Takut akan terlanggar sesuatu yang akan mengeluarkan bunyi. Kalau ada penghuni rumah yang tersedar bermakna dia akan mendapat bala. Kalau tidak patah riuk tulang temulangnya sudah pasti akan bertabur giginya. Dia hanya berbekalkan lampu suluh bersaiz kecil untuk memudahkan pergerakannya.

“Manalah aku nak cari ni? Tak nampak pun ada almari selain daripada almari kitab-kitab ni. Payah betullah!” rungutnya sendirian. Agak marah.

Dia mencangkung lalu melihat-lihat di antara susunan kitab di rak buku. Mana tau apa yang dicarinya tersimpan di situ. Lebih kurang 15 minit dia berlegar di ruang tamu. Masih tidak beroleh hasilnya. Dia yakin barang yang dia mahu memang tidak ada di situ.

Selepas itu dia bergerak pula dari bilik ke bilik. Ada yang berkunci ada yang tidak. Pintu yang tidak berkunci dikuak sedikit untuk dia mengintai ke dalam. Kesemua penghuni lena di atas katil masing-masing. Macam-macam ragam cara tidur mereka. Lelaki yang bergerak dalam gelap itu tersengih sendiri.

“Mana pulak bilik si tua kutuk tu?” Dia tidak putus asa. Terus mencari apa yang perlu dicari.

“Siapa pulak yang dengkur tu? Buruknya bunyi. Kalau bukan sebab upah, tak hingin aku masuk ke bilik si tua tu.” Omelnya.

Pintu cuba ditolak. Ternyata tidak berkunci. Batang lehernya dipanjangkan. Menjenguk ke dalam. Sah! Di situlah bilik Haji Embong. Lelaki itu menarik nafas sebelum memulakan langkah seterusnya. Dia mulai melangkah masuk. Terjengkit-jengkit kakinya, takut bunyi tapak kaki akan didengari Haji Embong. Lampu suluh dimatikan. Lelaki itu bergerak dalam suasana suram.

“Aku benam pulak dalam longkang! Kau nak?” Lelaki itu tersentak apabila tiba-tiba saja Haji Embong bersuara.

Cepat-cepat dia bersembunyi di sebelah almari. Dadanya diurut supaya dapat bertenang. Senyap. Haji Embong tidak bersuara lagi. Kemudian diganti semula oleh dengkuran yang kuat. Dalam takut-takutnya, terselit pula rasa gelihati. Sudahlah kuat berdengkur, mengigau pula.

“Huh! Merepek je orang tua ni!” Lelaki itu lega kerana Haji Embong hanya marah-marah dalam tidurnya.

“Tidur pun tidur mati..selamatlah aku.” Ejeknya sambil keluar dari sebalik almari.

Dalam keadaan malap, lelaki itu dapat melihat ada dua buah almari di dalam bilik Haji Embong. Salah satunya mungkin almari pakaian. Sebuah lagi bersaiz sederhana besar dan banyak laci. Almari banyak laci dihampiri.

“Kalau banyak laci mesti banyak rahsia. Rahsia?...hmmm...rahsia maksudnya benda-benda penting! Ya...ya.” Lelaki itu berkira-kira sendiri.

Tanpa membuang masa dia memanjangkan tangan. Cuba menarik salah satu laci yang terhampir. Huh! Berkunci! Cuba ditarik yang lain. Berkunci. Ditarik kesemuanya satu per satu. Berkunci. Terjelir lidahnya kerana gagal mendapatkan apa yang dicari.

Matanya liar memerhati ke setiap ruang dan setiap sudut. Mana tau dia akan dapat menemui kunci laci tersebut. Tidak kelihatan. Geram sungguh dia. Dijelingnya Haji Embong yang terbuka dan tertutup mulutnya. Dengkuran orang tua itu menghasilkan irama yang menyakitkan telinganya. Dia geram lagi.

Terasa mahu ditekup mulut orang tua itu supaya tidak bernafas lagi. Otaknya melarang. Otak cepat-cepat mengingatkan tentang bilik empat segi dengan jeriji besi dan tali gantung. Algojo yang berbadan besar bersedia pada bila-bila masa saja untuk melakukan tugas menggantungnya. Lidahnya akan terjelir panjang dan matanya menjadi buntang. Dia tidak akan dapat melihat dunia lagi.

“Haishhh! Apa bendalah yang aku fikir ni? Tak nampak macam crook langsung!” Dia mahu ketawa tetapi ditahankan. Matanya masih liar mencari.

“Tu apa yang kilat tu?” Suluhan lampu suluh yang dipasang sebentar bertembung dengan sesuatu yang berada di bawah bantal Haji Embong.

Cepat-cepat dia memanjangkan tangan untuk menyentuhnya. Benda yang berkilat itu terasa keras. Dia yakin itu adalah segugus anak kunci. Lebar senyum lelaki itu. Tidak sia-sia dia belajar menjadi orang yang panjang tangan. Ia tidak pernah menghampakan. Dia tidak peduli kegiatannya itu disukai orang lain atau pun tidak.

“Haaa...aku kata nak benam dalam longkang!” ujar Haji Embong.

“Opocot!...” Sepantas kilat lelaki itu menutup mulutnya yang mulai mengeluarkan suara dek rasa terkejut oleh tindakan Haji Embong. Tangan orang tua itu terjatuh di atas bahunya, membuat dia lebih gugup lagi.

Senyap lagi. Lelaki itu cuba mengintai mata Haji Embong. Lega! Matanya masih tertutup rapat. Haji Embong yang tidur terlentang telah berubah arah. Mengereng. Mukanya betul-betul berdepan dengan lelaki itu. Sebelah tangan masih terletak elok pada bahunya. Mahu dialihkan takut Haji Embong akan sedar. Hendak dibiarkan, takut pula dia yang akan menunggu hingga ke pagi.

“Krerrr...krerrr.” Dengkuran dan tiupan nafas Haji Embong masuk tepat ke lubang hidung. Kembang kuncup hidungnya yang kurang mancung itu. Bau yang kurang enak dihidu tanpa rela. Hantinya menyumpah tidak sudah-sudah.

“Haishhh! Crook kena nekad! Apalah asyik teragak-agak je.” Maklum saja itu pengalaman pertamanya dalam kegiatan pecah rumah.

Sebelum ini dia hanya memanjangkan tangan dengan mengambil sekotak dua rokok atau duit di dalam laci taukeh kedai runcit di Pekan Ulu Telom. Dalam bab itu dia memang handal. Belum sekali pun tertangkap.

Perlahan-lahan lelaki itu memegang tangan Haji Embong untuk dialihkan dari bahunya. Kalau tidak nafasnya akan semakin sesak dengan aroma yang menyeksa hidungnya. Gerakan tangannya seirama dengan degup jantungnya yang main tarik tali. Separuh takut separuh nekad berbuat jahat.

“Tidurlah kau sampai pagi ya orang tua.” Bisiknya setelah berjaya mengalihkan tangan Haji Embong. Lelaki itu bangga kerana misinya hampir berjaya.

Tangan diseluk semula ke bawah bantal. Kunci ditarik keluar dengan berhati-hati. Sesekali dia masih menjeling-jeling Haji Embong sebagai langkah berjaga-jaga. Mana tau kalau tiba-tiba saja orang tua itu tersedar lalu membuka bunga-bunga silat. Sudah tentu dia terpaksa membuka langkah seribu. Lari lintang-pukang meninggalkan rumah Al-Mustaqim.

“Nasib baik tidur mati! Ni kalau bunyi bom pun tentu tak dengar.”

Lelaki itu mengejek lalu ketawa sendiri. Gelihati melihat Haji Embong yang terbuka dan tertutup mulutnya. Dasar! Sudahlah panjang tangan, tidak tahu hormat orang tua pula. Sambil buat jahat sempat pula mengutuk Haji Embong.

Tanpa membuang masa dia memasukkan satu per satu anak kunci ke lubang kunci laci pertama. Gagal. Tidak ada yang padan. Dicuba pula pada laci yang kedua. Tidak berjaya. Laci ketiga juga tidak memberi hasil.

“Pandai pulak orang tua ni nak kenakan aku! Macam sama je semua kunci ni. Benda mudah jadi payah.” Rungutnya perlahan.

“Hah! Berjaya!” Setelah laci keempat berjaya dibuka lelaki itu melihat ke dalamnya. Di selak satu-satu kertas yang bersusun. Apa yang dicari masih tidak dijumpai. Hatinya mulai sebal semula.

Perasaan bosan dipujuk-pujuk agar bertenang sedikit. Usaha yang sudah dimulakan mesti diakhiri dengan kejayaan. Apabila laci keenam terbuka, segera disuluhnya. Matanya besar apabila membawa tulisan yang tertera pada fail nipis dalam susunan yang paling atas.

“Wah! Tak payah cari-cari lagi. Dah menyerah diri. Nasiblah kau fail! Siapa suruh duduk paling atas. Jadi makanan akulah nampaknya!” Tangannya mencapai laju. Selaju mulutnya yang tidak sudah-sudah bercakap sendiri.

Fail diambil. Kunci dicampak ke bawah katil. Dia mesti cepat pergi. Fail yang ditemui diselitkan ke dalam jaket yang dipakai supaya lebih selamat. Lelaki itu memalingkan badan, menghala ke pintu bilik. Dengan langkah yakin dia berjalan laju. Tidak sedar ada pasu tembikar yang besar di dalam bilik Haji Embong.

“Alamak!” Lelaki itu gugup lagi. Pasu yang disepak telah jatuh ke lantai dan pecah. Bunyinya yang kuat boleh membuat orang yang tidur terus terjaga.

“Hah! Apa? Apa? Zariq! Guruh ke tu? Nak hujan ke?” Haji Embong terbangun dari tidurnya. Dia duduk tegak, kebingungan. Terasa baru mengalami mimpi pelik yang agak panjang.

Mimpi tentang longkang. Tentang orang suruhan tuan punya tanah. Tentang Al-Mustaqim dan tentang perebutan hak milik tanah. Haji Embong menggosok-gosok mata apabila terlihat kelibat orang yang berlari keluar dari biliknya.

“Astaghfirullah...orang ke tu?” Sesudah pandangannya jelas semula, dia bingkas dari katil. Tidak sedap hati.

Haji Embong berkejar keluar dari bilik. Dia pasti ada seseorang telah pecah masuk ke Al-Mustaqim. Apa yang dicari dan dicuri tidak mahu difikirkan dahulu. Dia akan cuba menghalang pencuri dari keluar.

“Zariq! Tajol! Bangun, ada pencuri!”

Haji Embong menjerit semahu hati. Dia mahu kedua anak lelaki harapan Al-Mustaqim akan mendengarnya. Haji Embong menjerit untuk kali kedua sebelum pintu bilik Zariq dan Tajol dibuka. Lega hatinya bila melihat mereka yang masih berkelubung dengan kain pelikat sudah muncul.

“Pencuri, ayah? Mana dia? Biar Zariq hentak kepala dia!” Zariq berlari keluar dengan marah. Tajol di belakangnya.

“Dah lari keluar dari bilik ayah. Cepat kamu ke mari!” laung Haji Embong.

“Tu dia ayah! Dah lari keluar.” Zariq nampak dengan jelas kelibat lelaki itu dari muka pintu.

“Tajol! Kita kejar! Jangan bagi peluang dia lari!”

Mereka bersungguh-sungguh mengejar pencuri itu. Selepas bertahun-tahun tinggal di Al-Mustaqim, mereka sudah mahir selok-belok kawasan itu. Biarpun dalam gelap malam, mereka memiliki mata yang tajam.

“Sana tu. Dia lari kebun kelapa sawit!” Tajol melihat lebih dulu dengan cermin mata barunya.

“Jangan lepaskan Jol. Kalau boleh kita tabuh, kita bagi cukup-cukup!” ujar Zariq dengan nafas turun naik.

“Kita berpecah Jol. Kau belah sana. Aku situ.” Sambung Zariq. Berlari sambil memberi arahan.

Tiba di kebun kelapa sawit, kelibat lelaki yang menjadi pencuri telah hilang. Zariq dan Tajol berhenti di tempat masing-masing. Kemudian bergerak semula dengan langkah berjaga-jaga. Boleh jadi pencuri bersembunyi di sebalik batang pokok kelapa sawit. Mereka perlu awas.

“Sana Jol...sana! kejar dia!” Zariq berlari ke arah yang dilihatnya. Dia mengejar dengan laju.

“Hah! Tu...dia jatuh. Cepat!” Kaki pencuri tersadung pada pelepah kelapa sawit yang dicantas dan dilonggokkan di satu tempat. Zariq dan Tajol sudah biasa dengan tempat itu tetapi tidak bagi pencuri yang kurang ajar itu.

“Ni dia, Zariq!” jerit Tajol yang menekan semula badan pencuri apabila dia cuba bangun.

“Bantai dia Jol! Jangan bagi peluang dia lari!” Hanya beberapa langkah saja lagi Zariq akan menghampiri Tajol dan pencuri.

“Kurang ajar! Nah kau! Rasakan!” Zariq pula memberikan tumbukan padu.

Dikepal buku lima dengan sekuat hati. Dihayun berkali-kali. Pencuri mahu melawan tetapi hanya memukul angin. Tidak mengenai sasaran. Zariq bijak mengelak. Tajol tidak melepaskan peluang melepaskan tendangan walaupun kurang padu. Sekurang-kurangnya dia juga menyumbang tenaga untuk melemahkan pencuri yang keji.

“Sudahlah! Teruklah aku macam ni. Satu lawan dua. Lagi pun aku tak curi apa-apa. Tak sempat.” Rayu pencuri yang kesakitan.

“Kau jangan nak bohonglah. Mesti ada yang kau cari kat rumah anak yatim ni. Siapa kau, hah?” soal Zariq.

Terasa mahu menarik topeng yang menutupi muka pencuri. Setiap kali mencuba asyik gagal. Pencuri itu lebih rela melindungi topeng yang dipakai daripada badannya yang hampir lembik dipukul berkali-kali. Upah besar yang dijanjikan oleh seseorang membuat dia berusaha melindungi mukanya.

“Mana ada? Aku tak ambik apa-apa pun.” Dalihnya lagi.

“Tak mengaku ya? Nah kau!” Zariq melepaskan pukulan lagi. Ditambah oleh Tajol.

“Zariq!” Dari jauh kelihatan Haji Embong berjalan dengan longlai menuju ke arah mereka. Langkahnya bagaikan diheret.

“Kenapa dengan ayah tu?” Keduanya menoleh serentak.

Pencuri yang menanti peluang, mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri. Apabila Zariq dan Tajol terleka, dia berlari laju untuk meninggalkan tempat itu. Untuk seketika kedua remaja itu terpinga. Mana satu yang mahu diuruskan? Pencuri atau Haji Embong?

“Zariq! Jangan lepaskan dia! Kalau perlu kamu berdua belasah dia cukup-cukup!” jerit Haji Embong dari jauh.

Pemilik Al-Mustaqim menyedari tentang kehilangan itu sebaik saja dia masuk semula ke dalam bilik untuk memastikan tidak ada apa-apa yang hilang. Harapannya musnah apabila satu-satunya bukti pemilikan tanah lenyap dari simpanan. Biarpun lututnya terasa ketar, dia menguatkan diri untuk memberitahu Zariq dan Tajol.

“Ayah suruh kejar. Jom!” Tanpa banyak soal Zariq dan Tajol mengejar pencuri.

“Itu dia! Masih ada!” Kali ini Tajol berlari di hadapan.

“Laju sikit Jol. Dah nak sampai jalan besar tu!” Selain memberi arahan, Zariq turut memecut.

Pencuri mesti ditangkap. Perintah Haji Embong mesti dipatuhi. Tentu ada sebabnya jika lelaki tua itu mahukan begitu. Kebiasaannya Haji Embong kurang suka jika mereka menggunakan tenaga dan kekasaran terhadap orang lain. Kali ini dia sendiri yang mengarahkan.

“Aku rasa ada kereta tunggu dia tu!” Zariq amat yakin apabila melihat sebuah kereta seperti sedang menanti pencuri itu.

“Laju Jol, laju lagi.” Zariq telah pun berada di hadapan. Mereka seperti sedang berlumba lari jarak jauh.

Kedua remaja dari Al-Mustaqim mengerah sepenuh tenaga untuk berlari lebih laju. Suasana yang gelap dan jalan yang berbatu agak menyukarkan. Sedangkan pencuri sudah berada jauh di hujung jalan. Demi Haji Embong, mereka tidak mahu berputus asa. Merekalah harapan lelaki tua itu.

“Jol, aku tengok dia macam dah kepenatan tu. Cepat Jol!”

“Tapi dia dah dekat sangat dengan kereta yang berhenti tu.” Tajol hilang keyakinan.

“Selagi boleh, selagi daya...jangan beralah Jol. Kesian ayah! Mesti ada sesuatu yang dah hilang.” Zariq mahu Tajol bersemangat semula.

Sambil berlari mereka dapat melihat pintu kereta yang berhenti dibuka oleh seseorang. Seperti mahukan pencuri masuk ke dalamnya. Jarak di antara mereka dan pencuri agak jauh. Semua tenaga telah dikerah. Segala daya telah diusahakan.

“Adoi! Ya Allah...kita gagal, Jol.” Kedua-duanya berhenti. Tidak mengejar lagi. Jika terus melakukan, hanya sia-sia. Pencuri itu telah berjaya masuk ke dalam kereta dan kereta meluncur pergi dengan laju.

Zariq terduduk di tengah jalan. Menitis air matanya. Dia berasa gagal. Gagal untuk menangkap pencuri. Gagal menangkap pencuri bererti gagal memberi kegembiraan kepada Haji Embong. Tidak tahu apa yang Haji Embong telah kehilangan sehingga dia berkejar keluar dan mendesak agar pencuri itu ditangkap. Tajol turut sebak. Seperti Zariq, dia juga telah gagal.

“Kita balik dulu, Zariq. Ayah tunggu kita.”

Tajol dan Zariq melangkah dengan lemah. Mereka mahu tahu apa yang telah hilang dari Haji Embong. Mereka juga mahu memberitahu betapa gagalnya mereka untuk melaksanakan arahan lelaki tua yang mereka sayangi itu.

Mereka berasa ralat kerana gagal menangkap pencuri itu untuk dihadiahkan kepada Haji Embong. Mana tahu Haji Embong mahu melepaskan geramnya sebelum menghantar pencuri itu ke balai polis. Harapan mereka mahu melihat orang tua itu menghenyak-henyak pencuri dengan tenaga tuanya tidak berhasil.

“Ayah mesti sedih.” Luah Tajol.

“Bukan saja ayah...aku pun sedih.

“Hmmm...betul! aku sama...sedih.”

“Apa nak buat Jol, kita dah cuba sungguh-sungguh.”

“Ya...ya, betul.”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku