Kukejar Kau Lari
Bab 21
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1473

Bacaan








“Bibik! Hidang makanan...aku lapar.” Sebaik melangkah masuk Hardy melaung Sulastri yang berada di dapur. Nadira hanya menggeleng kepala melihat tingkah laku Hardy yang kurang adab.

“Loh, tadi tuan muda kata mau makan di luar. Jadinya ya bibik tak masak untuk tuan muda dan Nadira. Bibik cuma masak nasi putih sama tempe goreng untuk bibik. Bibik malas masak bila tuan muda mau makan di luar.” Jelas Sulastri panjang lebar agar Hardy faham dan dirinya tidak akan dimarahi.

“Oh! Bibik dibayar gaji untuk malas-malas ya bik? Kalau tak masak untuk Nadira ya bagus. Aku suka. Untuk aku...mesti! Aku makan atau tidak, bibik mesti masak untuk aku. Faham tak bibik?”

Apa yang diharapkan oleh Sulastri tidak menjadi kenyataan. Dia tetap dimarahi. Sulastri angguk. Semakin lama dia bekerja di kediaman mewah itu, bertambah tidak faham dengan sikap Hardy. Langsung tidak menghormati dirinya sebagai orang tua. Jika tidak memikirkan kebaikan mama dan papa Hardy, sudah lama Sulastri angkat kaki.

“Dah bik...dah. Jangan tercegat je situ. Pergi masak. Aku nak berenang. Lepas berenang makanan mesti dah siap atas meja.” Arah Hardy dengan wajah cengil.

Terkedek-kedek Sulastri pergi sambil memikirkan menu yang dapat disiapkan sepantas kilat. Jika tidak Hardy akan memarahinya lagi. Hardy tersenyum. Senyuman angkuh. Dia bangga kerana Sulastri sentiasa patuh pada setiap arahannya.

“Tak baik buat orang tua macam tu. Orang tua yang baik dan taat beribadah, Allah sayang. Kau dah lupa ek apa Ustaz Khaidir ajar kita?” Nadira yang masih berdiri di sebelah Hardy mengingatkan.

Hardy tidak acuh. Dia memusingkan badannya lalu meninggalkan Nadira. Nadira tidak puas hati. Dia sudah jelak dengan kesombongan Hardy. Diekori langkah Hardy. Hardy berjalan ke pintu menghala ke kolam renang. Nadira masih di belakangnya.

“Buat apa ikut aku?”

“Sebab kau tak layan cakap aku! aku tak suka kau sombong pada orang tua!”

Hardy sudah berada di depan kolam mandi. Sehelai tuala yang telah tersedia diambil dari penyangkutnya. Nadira yang masih ternantikan jawapannya tidak dihiraukan. Baginya itu semua tidak penting. Siapa Nadira yang mesti didengar kata-katanya. Nadira pula masih tidak mahu berganjak. Memandang kebiruan air kolam yang tenang.

Tuala dililit ke pinggang Hardy. Jeans berwarna lusuh ditanggalkan lalu dicampak ke tepi. Yang tinggal hanya seluar kecilnya. Sesekali Hardi menjeling Nadira yang memandang jauh ke dalam kolam. Pandangan Nadira tidak beralih dari permukaannya.

“Kau kan tau, aku tak biasa cakap lembut. Dah memang macam tu cara aku bercakap.”

Akhirnya Hardy bersuara untuk memuaskan hati Nadira. Dalam kepalanya, dia hanya mahu terjun ke dalam kolam dan berenang sepuas-puasnya. Menyejukkan badan dan hati yang berbahang setelah Jasmine memutuskan perhubungan mereka yang baru genap sebulan.

“Eleh, kau bohong. Kau boleh je bercakap lembut dengan kucing Parsi tu. Cuba kau lembut macam tu pada bibik. Aku bukan apa...kesian tengok bibik. Dia macam aku jugak. Sebatang kara.” Tiba-tiba Nadia terkenangkan nasib diri sendiri.

“Hey! Kau boleh tak jangan rosakkan mood aku lagi? Aku nak berenang. Boleh tak kau cakap benda ni lain kali?” marah Hardy.

Mendengar suara Hardy yang sedikit tinggi, Nadira tidak sedap hati. Bimbang Hardy akan naik angin lagi. Nadira diam tetapi matanya masih terpaku ke kolam renang. Seperti ada kedamaian melihat ke dalamnya.

“Kau ulang lagi, taulah aku nak ajar kau!” bentak Hardy.

‘Isyyy! Dia ni! Bahagia ke hidup dia asyik nak marah-marah je. Dalam sehari kalau tak marah memang bukan Hardy namanya. Tak penat ke dia dengan sikap macam tu?’ detik hati Nadira.

Kadangkala melihat Hardy marah-marah, Nadira yang berasa penat. Sesak nafas dan pusing kepala. Serta-merta ingatan Nadira melayang mengimbau hari demi hari yang dilalui sejak hari pertama menjadi pelengkap keluarga kecil itu. Semuanya masih segar dalam ingatannya.

‘Hmmm...cantik jugak adik aku ni. Kalah Jasmine. Putih pun putih.’ Puji Hardy dalam hati. Dia mencuri-curi pandang sewaktu Nadira sedang melamun. Sudahnya Hardy tersenyum-senyum sendiri. Entah apa yang difikirkan.

“Aku nak berenang ni.” Ujar Hardy mengingatkan.

“Haaa...” Nadira yang masih melayan perasaan, duduk pula di tepi kolam. Suara Hardy bagai angin lalu.

‘Betul ke dia ni? Macam tak kisah je.’ Hardy berasa pelik kerana sikap Nadira yang agak berbeza dari kebiasaan. Selalunya dia tidak akan berada di kolam renang ketika Hardy menghabiskan masa berenang.

Memandangkan Nadira tidak kisah, Hardy menanggalkan pula T-shirt sendat dari badannya. T-shirt dilemparkan ke arah seluar Jeans yang telah ditanggalkan dari awal lagi. Tuala mandi masih lagi melilit pinggangnya. Dia ragu-ragu terhadap Nadira yang masih tidak meninggalkan tempat itu.

“Aku beritau sekali lagi...aku nak berenang ni.”

“Haaa...” Seperti tadi Nadira tidak mengacuhkan. Suara Hardy antara dengar dan tidak. Dia hanya membalas seadanya. Sekarang ini Nadira sedang terkenangkan Zariq pula. Entah bagaimana Zariq sekarang ini. Nadira tersenyum apabila bayangan Zariq di usia 13 tahun muncul di permukaan kolam.

‘Betullah...dia tak kisah. Apa aku cakap semua, haaa...haaa.’ Hardy membuat kesimpulan sendiri.

‘Ah peduli apa! Yang aku tau, aku nak berenang.” Tanpa membuang masa, Hardy terjun ke dalam kolam renang. Air kolam memercik tinggi. Nadira menoleh dan terpandangnya.

“Makkk! Tak pakai bajuuu! Tak pakai seluar! Hailah...kenapa tak beritau nak berenang?” omel Nadira sambil kelam-kabut berdiri. Dipusingkan badannya untuk berlalu dari situ.

Nadira melangkah laju sehingga tidak sedar longgokan seluar Jeans dan T-shirt sendat Hardy. Kakinya tersadung. Fokus penglihatannya tidak tertumpu pada sekeliling. Otaknya mengarahkan supaya dia pergi dari situ secepat mungkin.

“Adoi! Adoi! Sakitnya!” jerit Nadira spontan. Kepala lututnya terasa berdenyut.

“Nadira! Kau ok? Tunggu, aku naik. Aku tolong kau.” Hardy yang selalunya tidak begitu mengendahkan Nadira, cepat-cepat mahu membantu.

“Tak payah...tak payah. Aku boleh bangun. Sikit je ni.” Sahut Nadira tanpa berani memandang Hardy.

“Kau nak terjun tak beritau aku pun.” Nadira jengkel.

‘Biar betul dia ni.’ Hardy menggaru kepala yang tidak gatal.

“Tak apalah...aku tolong kau. Macam sakit sangat tu.” Hardy mulai bergerak ke hadapan. Menghampiri tepi kolam renang.

“Tak apa...tak sakit pun. Aku boleh bangun sendiri.” Dalih Nadira. Walhal denyutan pada tempurung lutut yang terhentak ke simen terlalu sakit.

“Betul?”

“Betul!...betul!”

‘Hiii dia ni tiba-tiba je baik hati sangat.’ Desis Nadira yang hairan melihat sikap ambil berat Hardy.

Untuk mengelakkan Hardy naik ke atas, Nadira berusaha untuk bangun. Bibirnya diketap kerana menahan sakit. Dahinya berkerut-kerut. Selepas itu Nadira berjalan terhencot-hencot. Lambat-lambat. Dia lebih rela menahan sakit daripada memandang Hardy yang tidak berpakaian. Menyesal pula telah membontoti Hardy hingga ke kolam renang. Nadira memarahi diri sendiri kerana kecuaian yang dilakukan.

“Berdarah ke lutut dia? Mesti sakit tu.”

Hilang keinginan Hardy untuk berenang. Dia naik semula lalu mengeringkan badan dengan tuala mandinya. T-shirt sendatnya diambil semula lalu disarungkan ke badan. Seluar Jeans dibiarkan saja kerana Rukiah akan mengutipnya sebentar lagi.

Anak muda berusia 23 tahun itu bergegas masuk ke dalam rumah. Dilihatnya Nadira sedang duduk di kerusi pianonya. Jari-jari runcing Nadira bermain-main pada gigi-gigi piano. Ditekan satu-satu sehingga melahirkan irama yang sumbang. Hardy cuba mengintai ke kaki Nadira. Berdarahkah?

“Nadira...”

Mendengar suara Hardy, jari-jari Nadira berhenti memainkan irama piano yang sumbang. Tangannya cepat dialihkan ke paha. Dia sudah bersedia untuk dimarahi. Piano adalah satu-satunya barang larangan. Hardy tidak pernah mengizinkan dia menyentuhnya.

“Sorry...aku nak naik atas tapi kaki aku sakit. Ermmm...aku ingat nak duduk sini kejap je. Tak sedar jari aku dah tekan-tekan piano kau. Sorry ya.”

Sebelum dimarahi lebih baik dia meminta maaf dari Hardy terlebih dulu. Telinganya sudah bersiap sedia menadah tengkingan Hardy. Nadira cuba bangun kerana dia tidak mahu Hardy akan lebih marah lagi jika dia terus duduk di situ.

“Tak usah bangun. Tengok lutut kau berdarah.” Darah telah mengotori gaun labuh Nadira.

“Tak apa ke?”

“Tak apa.”

Tanpa membuang masa Hardy mengambil kotak first aid di dapur. Ia diletak di situ oleh Puan Suzi untuk memudahkan Sulastri merawat lukanya jika terkena pisau atau terpercik minyak panas semasa memasak. Sebuah kotak lagi diletakkan di tingkat atas.

Kotak first aid kemas dalam pegangan Hardy. Dia datang semula bersama Sulastri. Hardy mahu Sulastri membersihkan darah dan menyapu ubat pada luka Nadira. Sulastri tidak takut-takut lagi meninggalkan masakan yang separuh siap kerana Hardy mahu dia mengurus Nadira terlebih dulu. Dia juga berasa hairan mengapa Hardy sebaik itu terhadap Nadira.

“Bersihkan bik.” Arah Hardy lalu Sulastri angguk.

“Kau pandang sana, aku nak selak gaun aku.” Nadira mengarah Hardy pula. Hardy akur lalu memandang ke tempat lain.

“Kau boleh panggil aku abang tak? Lembut sikit bunyinya kan.” Permintaan Hardy juga tiba-tiba. Satu lagi kejutan untuk Nadira.

“Abang? Kenapa aku kena panggil kau abang? Dulu kau marah bila aku panggil kau abang. Mama tegur pun kau tak peduli.” Bingung Nadira memikirkan sikap Hardy yang selalu bengis mulai berubah secara drastik. Dia sedang bermimpikah?

“Aku kan abang kau, kenalah panggil abang. Dahlah jangan tanya lagi. Kau dah banyak mulutlah sekarang. Tak macam dulu.” Rupa-rupanya Hardy menyedari perubahan Nadira.

“Kan kau yang ajar.” Sindir Nadira. Hardy tidak marah. Dia sengih tetapi Nadira yang asyik memandang Sulastri membersihkan lukanya tidak melihat sengihan Hardy.

“Bukan ‘kau’...tapi ‘abang’.”

“Macam susah je. Agaknya lidah aku dah keras. Dah biasa aku kau je.” Sengaja Nadira mahu menguji kesungguhan Hardy yang aneh itu. Adakah Hardy akan melenting?

“Bibik boleh ajar Nadira.” Sulastri yang lurus menawarkan diri untuk membantu. Hardy menjeling Sulastri dengan sebal.

“Dah bik...sambung masak sana.” Arah Hardy. Kali ini suaranya tidak sekeras seperti biasa.

Tiba-tiba Nadira mendapat akal. Orang seperti Hardy mesti diajar terlebih dulu. Tidak boleh terus dipercayai. Hardy tidak ubah seperti sesumpah. Boleh berubah watak pada bila-bila masa. Sulastri selalu dikasari sedangkan pada hari yang sama giginya lebih lembut dari lidah bila bercakap dengan kucing Parsi berbiji mata biru tiruan yang telah ‘menceraikan’ Hardy tanpa talak.

“Bibik tunggu dulu.” Tahan Nadira. Tidak jadi bibik mahu melangkah.

“Hardy...aku boleh panggil kau abang. Tapi kan...aku letak syarat, boleh?”

Misi Nadira mula berjalan. Kalau boleh dia mahu Sulastri menjadi seperti salah seorang ahli keluarga mereka. Seperti dirinya yang bukan siapa-siapa di dalam keluarga itu. Tidak ada pertalian darah tetapi telah diterima baik oleh Puan Suzi dan Tuan Daniel. Sulastri layak dihormati kerana usianya yang jauh lebih tua dari Hardy. Lebih-lebih lagi Sulastri adalah seorang wanita yang berhemah.

“Macam-macamlah kau. Bolehlah...boleh.”

Nampaknya Hardy bersikap biasa. Tidak menunjukkan marah. Ia membuat Nadira bertambah yakin. Sulastri yang selamba dipandang oleh Nadira. Sulastri membalas pandangan lalu Nadira tersenyum. Sulastri juga membalas senyuman Nadira walaupun dia tidak faham mengapa Nadira tersenyum. Benar anggapan Nadira, Sulastri seorang yang sangat jujur dan baik.

“Kau dekat kat aku boleh tak? Aku susah nak jalan. Sakit lagi ni.”

Peluang diambil oleh Nadira untuk membalas bulian Hardy walaupun tidak sepadan dengan perbuatan Hardy terhadapnya satu masa dulu. Bukanlah berdendam, hanya mahu melepaskan geram. Bukan juga benci, dia mahu menikmati betapa seronoknya membuli. Lebih-lebih lagi membuli Hardy yang telah lima kali putus cinta dalam usia yang baru setahun jagung itu. Nadira mengekek dalam hati.

“Wah, bukan main kau.’ Balas Hardy sambil kakinya melangkah mendekati Nadira. Nadira hampir menang.

‘Ingatkan nak marah.’ Nadira sengih lagi dalam hati.

“Apa?”

“Sini sikit...dekatkan telinga kau.”

Hardy membongkokkan badan. Telinganya ditadah selari dengan mulut Nadira. Dia tidak faham apa yang Nadira mahu lakukan. Anehnya dia tidak ada keinginan untuk membantah. Nadira kumat-kamit beberapa saat. Muka Hardy agak berubah.

“Ah! Merepeklah kau!”

“Kalau nak buat perkara baik mana ada merepeknya. Cuma orang yang kurang baik je tak nak buat benda baik. Tapi kalau kau tak nak tak apalah. Aku tak paksa. Tu cuma syarat aku je.” Nadira tidak mahu memanjangkan perkara itu apabila melihat muka Hardy mulai kelat.

“Bibik boleh ke dapur sekarang ya bik. Nadira pun nak naik atas ni. Kaki dah rasa lega sikit. Teima kasih ya bik tolong bersihkan luka Nadira. Sapu ubat sekali.”

Gagal lagi usaha Nadira. Dia tidak hampa kerana masih ada waktu lagi untuk merubah Hardy. Pembantu rumah itu angguk lalu mahu beredar ke dapur. Tugasnya masih belum selesai. Walaupun Sulastri perlukan rehat tetapi dia takut untuk mengengkari setiap arahan Hardy.

“Bik...nanti dulu.” Sudahnya Sulastri bingung. Tadi Hardy menyuruhnya pergi, Nadira menahan. Sekarang Nadira pula yang menyuruhnya pergi, Hardy pula menahan. Sekejap Sulastri merenung Hardy, sekejap memandang Nadira pula.

“Makanan saya tu tak payahlah bibik tergesa-gesa masak. Rehat dulu bik, petang nanti sambung. Buat makan malam. Siang ni saya oder pizza je.” Terasa tidak cukup nafas sewaktu Hardy mengucapkan itu semua. Terasa janggal. Puas dilentur lidahnya, akhirnya terluah juga kata-kata yang sopan buat Sulastri.

Kata-kata yang keluar dari mulut Hardy membuat Sulastri mahu pengsan. Bukan mahu pengsan kerana takut tetapi kerana terkejut. Sulastri seakan mahu senyum tetapi yang kelihatan hanya bibirnya yang bergetar-getar tidak menentu.

Bibir atasnya terjongket sedikit sayangnya bibir sebelah bawah susah mahu digerakkan. Hardy yang melihat, terasa bibirnya mahu bergerak seperti gerakan bibir Sulastri. Cepat-cepat ditekup mulutnya. Dia hairan mengapa Sulastri berkeadaan seperti itu.

‘Yeahhh! Yes! Yes! Yes! Berjaya!’ Sementara Nadira sedang melompat-lompat kegembiraan dalam hati. Misinya sudah berjaya walaupun dia tidak pasti adakah ia akan berkekalan atau sekadar pertukaran arah angin yang sedang bertiup.

‘Apa aku dah buat? Kenapa aku ikut je kata Nadira?’ Anak muda yang telah putus cinta sebanyak lima kali itu mulai bingung.

‘Ah! Malas fikirlah. Oder pizza lagi baik.’ Dia berlalu pergi. Mahu mandi di tingkat atas dan memesan pizza. Tanpa dia sedar, dia telah terlupa sebentar tentang perpisahannya dengan Jasmine.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku