Kukejar Kau Lari
Bab 22
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1654

Bacaan








Selesai bersolat Zohor, Nadira tidak betah untuk menghabiskan masa di dalam bilik. Ingatannya kepada Zariq semakin kuat. Apa khabar Zariq, penghuni Al-Mustaqim dan Ulu Telom. Terselit rasa bersalah kerana tidak menjenguk mereka. Kebelakangan ini hatinya melonjak-lonjak mahu bertemu Zariq. Ingat lagikah Zariq padanya?

“Ayah...Nadira rindu ayah. Ayah sihat tak, yah?” gumamnya terkenang Haji Embong pula.

“Hmmm...lebih baik turun bawah. Bual-bual dengan bibik tentu dapat lupakan tu semua.” Telekung ditanggalkan lalu di letakkan pada tempatnya.

Dengan kaki yang masih belum hilang sakitnya, Nadira berjalan lambat-lambat. Sulastri mesti dicari untuk menghilangkan kebosanannya. Rumah itu terlalu besar baginya. Dapat berbual-bual dengan Sulastri adalah satu perkara yang menggembirakan.

Untuk mengharapkan Hardy menemaninya berbual-bual, dia bukan lekat di rumah. Mungkin sudah keluar untuk menjerat calon kekasih hati yang keenam. Kadang-kadang Nadira berasa lucu melihat Hardy yang huru-hara. Perhubungannya dengan seorang perempuan tidak pernah kekal lama. Ada-ada saja yang tidak kena.

“Bibikkk...oh bibikkk. Bibik kat mana?”

Sebaik tiba di tingkat bawah Nadira terus mencari Sulastri. Apabila panggilannya tidak bersahut, Nadira menghampiri bilik Sulastri yang berhampiran ruang dapur. Nadira memasang telinga. Senyap. Mahu diketuk bimbang akan mengganggu Sulastri. Mungkin dia sedang tidur.

“Nadira!” Nadira tersentak apabila bahunya disentuh. Rupa-rupanya Rukiah. Nadira mengurut dada, lega.

“Bibik tidur. Katanya Hardy suruh bibik berehat.” Jelas Rukiah yang mahu ke ruang dobi untuk menyudahkan kerja-kerja mencuci pakaian. Rukiah selalu curi tulang. Sudah petang baru mahu menyudahkan tugasnya.

“Oh...tak apalah.” Nadira agak hampa.

Telinganya menangkap alunan irama piano yang membuai perasaan. Sudah lama Nadira berangan-angan mahu belajar bermain piano tetapi hasratnya tidak kesampaian. Zariq memang kedekut. Betul kata kucing Parsi, Zariq tahi hidung masin. Teringatkan kucing Parsi Nadira ketawa kecil. Lucu. Nasib baik dia tidak menjadi calon Hardy yang terpilih. Kucing Parsi telah tewas di pusingan pertama lagi. Tidak sempat mengikis duit Hardy.

“Apa mimpi kau?” Nadira sudah berdiri di hadapan piano.

“Kau? Aku nak kau panggil aku abang!”

Hardy sedikit marah kerana Nadira telah terlupa tentang perkara itu. Nadira mencebek. Dia yakin Hardy tidak nampak sebab dia sedang asyik menekan-nekan gigi piano kesayangannya.

‘Marah lagi!’ kutuk Nadira tanpa didengari oleh Hardy.

“Mimpi apa siang-siang buta ni?” soal Hardy pula.

“Yalah...selalu tak lekat kat rumah.”

“Oh...saja.”

“Ingatkan dah keluar. Cari pengganti kucing Parsi.” Sindir Nadira untuk menghilangkan bosan.

Badan Hardy bergoyang perlahan. Menikmati alunan muzik yang dimainkan. Baginya, piano adalah buah hati pertamanya. Piano itu sudah menjadi teman setia yang menemani kesunyiannya sebelum Nadira hadir dalam keluarga itu lagi.

“Malas.” Sahut Hardy, juga dengan malas. Malas mahu memikirkan tentang pengganti kucing Parsi.

“Rugilah kau...opsss! silap!...rugilah abang. Mana tau dapat teddy bear ke, panda ke. Jangan harimau liar sudah.” Nadira memberanikan diri mengusik Hardy agar lenyap rasa bosannya.

Tanpa Nadira duga, Hardy tersenyum lebar memandang tepat kepadanya. Hardy tidak marah. Itu sudah bagus. Satu lagi perubahan drastik yang dipamerkan. Tanpa Nadira sedar Hardy tersenyum bukan kerana usikan Nadira tentang pengganti Jasmine. Panggilan Nadira terhadapnya yang membuat hatinya kembang.

‘Mood dia baguslah. Nilah peluangnya.’ Nadira berkira-kira sesuatu.

Dia berjalan mengelilingi Hardy dan pianonya sambil berfikir. Jika tidak dilakukan sekarang, entah bila lagi Hardy akan sebaik itu. Sikapnya sukar dijangka. Hardy yang kebiasaannya seperti singa lapar yang mahu menelan Nadira telah menjadi manusia yang tahu menghormati orang lain.

“Aku nak mintak tolong kau...adoiii, salah lagi. Susah! Errr...kalau aku nak mintak tolong abang boleh tak?” Terasa mahu menarik keluar lidahnya yang sukar diurus. Lidahnya masih keras untuk menyebut perkataan itu. Hardy gelihati tetapi tidak ditunjukkan.

“Kau sebut diri kau tu Nadira. Baru macam adik.” Tegur Hardy yang telah menjadi orang yang bersopan-santun. Kali ini Nadira yang sengih lalu menjelirkan lidahnya. Hardy ketawa.

‘Huuu...pandai ketawa rupanya!’ ejek Nadira lagi tanpa Hardy tahu.

“Tolong apa?” Akhirnya Hardy kembali ke topik asal Nadira. Nadira lega. Dia tidak perlu berfikir panjang lagi. Takut Hardy akan kembali pada sikap lamanya.

Dara 20 tahun itu berhenti mengelilingi Hardy dan pianonya. Dia berdiri tepat di hadapan Hardy. Mahu melihat bagaimana reaksi Hardy jika dia menyatakan sesuatu. Nadira mengumpul nafas lalu dilepas perlahan. Pada waktu yang sama, semua yang dirindui di Ulu Telom menari-nari di dalam fikirkannya.

“Temankan Nadira ke Ulu Telom. Nadira rindu rumah Al-Mustaqim. Rindu semua kawan-kawan kat sana. Boleh kan, abang.” Pinta Nadira serius.

Jari-jari Hardy terhenti dari menekan gigi piano. Badannya ditegakkan dan fokusnya tepat terarah ke arah Nadira. Hardy dapat melihat muka Nadira yang mengharap. Ia dipenuhi dengan rasa kerinduan.

Dia teringat semula bagaimana setiap tahun Nadira minta ditemani untuk melawat Al-Mustaqim. Malangnya kesibukan mama dan papa mereka tidak pernah mengizinkan. Akhirnya Nadira memendam keinginan itu dalam-dalam. Tidak pernah lagi meluahkan kepada Puan Suzi dan Tuan Adam.

“Bila Nadira nak ke sana?”

Bulat mata Nadira. Seperti tidak percaya Hardy akan bertanyakan soalan itu. Adakah itu tandanya Hardy telah bersetuju? Nadira mesti mendapatkan jawapan. Dia tidak mahu melepaskan peluang yang ada.

“Bila abang boleh temankan Nadira?” uji Nadira pula.

“Bila Nadira rasa nak ke sana, abang akan temankan.” Hardy menopang dagu sambil merenung muka ceria Nadira. Bertambah seri nampaknya.

Nadira berasa seperti di awangan. Gembira tidak terkata. Zariq sedang melambainya. Belukar di belakang Al-Mustaqim dan pokok yang tinggi menjulang bermain di mata. Juga botol yang ditanam dipangkal pokok masih jelas dalam ingatan.

Senyuman Nadira tidak sudah-sudah. Hardy hanya memerhati sambil mengkagumi kecantikan Nadira. Dalam kepalanya hanya soal cantik yang diutamakan. Sebab itulah percintaannya tidak pernah kekal. Selain daripada itu dia mulai nampak kelebihan dalam diri Nadira. Lain dari yang lain.

“Eiii...sukanya! Dapatlah aku jumpa Zariq. Macam mana rupa kau sekarang ya Zariq? Mesti kau dah jadi anak muda yang handsome.”

Gumam Nadira perlahan. Sedang mengkhayalkan tentang Ulu Telom dan Zariq. Tidak sedar setiap perlakuannya sedang menjadi tontonan Hardy.

“Apa istimewanya dia?” Muka Hardy berubah apabila Nadira menyebut nama seseorang. Oleh kerana terlalu gembira Nadira tidak sedar akan perubahan Hardy. Dia tetap melayan perasaan riangnya.

“Abang tanya, istimewa sangat ke Zariq tu?” ulang Hardy dengan serius.

“Oh...dia kawan baik Nadira kat Al-Mustaqim. Dia nakal tapi baik. Dulu dia selalu hadiahkan Nadira gula-gula. Zariq suka kumpulkan duit belanja sekolahnya. Dia ambik duit tu sikit untuk beli gula-gula Nadira. Selebihnya dia masukkan dalam tabung. Rindu sangat kat Zariq.” Ujar Nadira dengan jujur.

Kalau tadi Nadira yang berjalan mengelilingi piano, kali ini Hardy pula yang melakukan. Entah mengapa tiba-tiba saja dia berasa resah apabila mendengar nama Zariq. Zariq baik, Zariq suka beri hadiah, rindu Zariq. Zariq itu, Zariq ini. Ah! Menjengkelkan perasaan yang sedang merasuk itu.

“Suka Zariq?” Entah kenapa pula soalan itu yang keluar dari mulut Hardy.

“Suka! Selalu ikut Zariq ke belukar dengan Mak Som. Ikut dia memancing kat parit besar. Nadira tak boleh lupa semua tu. Zariq suka bela Nadira kalau ada siapa-siapa sakitkan hati Nadira. Bila Nadira menangis, Zariq orang pertama akan pujuk Nadira.”

Nadira masih dengan kejujurannya. Dia menceritakan setiap pengalaman manisnya bersama Zariq. Apa yang Hardy mahu tahu, itulah yang dijelaskan. Senyuman berselang-seli dengan kata-katanya. Hardy melirik Nadira dalam-dalam.

‘Malunya aku...selama dia datang ke sini, aku tak pernah bela dia. Malahan akulah pembuli yang mendera perasaannya.’ Hardy semakin resah. Dia cuba membandingkan dirinya dengan Zariq.

“Suka macam mana?”

‘Hah! Dah kenapa dengan aku ni? Macam-macam soalan pulak yang aku tanya.’

Setelah bertanya, Hardy berasa serba tidak kena pula. Nasib baik Nadira kurang menyedari rasa tidak senangnya itu. Nadira sedang dalam dunianya sendiri. Dunia bahagia yang dia idam-idamkan selama ini.

“Sukalah...sayang.”

Nadira selamba. Masih lagi cuba membayang-bayangkan bagaimana keadaan Zariq setelah berumur 23 tahun. Seusia Hardy. Adakah badannya sama tinggi dan sama tegap seperti Hardy? Adakah mukanya banyak berubah berbanding ketika usianya 13 tahun dulu?

“Sayang?”

Kuat suara Hardy hingga membuat Nadira menoleh. Hilang lenyap lamunan tentang Zariq. Kebelakangan ini Nadira memang suka melamun tentang banyak perkara yang diingini tetapi masih tidak kesampaian. Belum terjangkau oleh tangannya. Impian seorang gadis sebatang kara yang ingin bersatu dengan mereka yang senasib dengannya. Seperti suatu ketika dulu. Hatinya tidak di kediaman mewah itu. Hati itu berada jauh di Ulu Telom.

“Ya...sayang. Zariq dah macam abang Nadira. Kami membesar bersama. Kami sama-sama tak ada ibu ayah. Hmmm...dah lama tak raikan birthday kami sama-sama. Kami lahir pada tarikh dan bulan yang sama.”

Kali ini perasaan sebak telah mengambil alih kegembiraan Nadira sebentar tadi. Mukanya kelam. Melihat perubahan itu Hardy rasa bersalah. Bersalah kerana merampas kegembiraan yang baru saja Nadira rasai. Semuanya gara-gara perasaan aneh yang tidak dikenal pasti. Tidak menentu hatinya setiap kali Nadira menyebut tentang Zariq.

‘Bodohnya aku...selalu mementingkan diri sendiri. Kenapa aku tak pandai nak fikirkan tentang perasaan orang lain?’ Sesudah 10 tahun Nadira tinggal bersama keluarganya, barulah Hardy terfikirkan akan sikap buruknya.

‘Tapi masih ada masa lagi,’ lalu dipujuknya diri sendiri.

‘Yang penting dia sayang sebagai abang.’ Sudahnya Hardy tersengih lagi.

“Kenapa tiba-tiba senyum?” tegur Nadira.

“Eh! Ya ke? taklah. Abang cuma fikir masa yang sesuai untuk temankan Nadira ke Ulu Telom.

“Wah! Bestnya!...esok bolehlah. Boleh ya?” rayu Nadira yang tidak sabar mahu menjejakkan kaki ke Al-Mustaqim.

“Esok?”

Nadira angguk. Dia begitu mengharapkan Hardy akan bersetuju. Esok adalah masa yang sesuai kerana tiga hari lagi Hardy akan mula menguruskan pasaraya semula. Percutiannya sudah berakhir. Menunggu jawapan Hardy adalah saat yang mendebarkan. Nadira tidak mahu harapannya akan terkulai layu seperti beberapa tahun yang berlalu begitu saja.

“Kalau abang tak dapat?” duga Hardy.

“Ermmm...tau dah. Memang itu penyudahnya. Haaa...tak apalah, Nadira dah biasa.” Rajuk hati Nadira.

“Tak kisahlah abang nak teman atau tak. Nadira tetap akan ke Ulu Telom.” Sambungnya lalu mahu beredar. Mukanya seperti mega mendung berarak petang.

Lenyap, terbang melayang kegembiraannya sebentar tadi. Rasa diri tertipu. Untuk sekian kali Nadira sedar siapa dirinya. Dia tidak layak meminta terlalu banyak. Hanya kadang-kadang dia terlupa seketika bahawa dirinya hanya menumpang. Malukut di tepi gantang.

Langkahnya yang lemah kerana luka yang belum sembuh semakin gontai dan lesu. Terasa dirinya telah dipermain-mainkan oleh Hardy. Tanpa diminta, basah matanya. Agak lama juga dia tidak menangis. Sejak Hardy berjanji tidak akan menyakiti badannya, Nadira sudah mengeringkan air matanya. Ketika Hardy mendera mentalnya, dia juga mampu bertahan. Sayangnya kali ini dia kalah. Kerinduannya pada Zariq dan Haji Embong mengatasi segala-galanya.

“Naik atas, kemas pakaian. Awal pagi esok kita bertolak ke Ulu Telom!” Sengaja Hardy melantangkan suaranya.

“Hah?” Langkah Nadira terhenti. Dia berpaling menatap tepat Hardy. Bulat matanya.

“Esok, awal pagi kita ke Ulu Telom.” Ulang Hardy mahu meyakinkan.

“Betul?”

“Betul!”

“Tak tipu?”

“Tak! Sama sekali tidak!”

“Hohoho...Nadira akan jejak kaki lagi di Ulu Telom! Ulu Telom, tunggu aku! Aku datang!” Spontan Nadira melompat. Sejak meninggalkan Al-Mustaqim dan Ulu Telom dia tidak pernah segembira itu.

“Awww! Sakit! Sakit!” Kegembiraan Nadira membuat dia sakit lagi.

Hardy menggeleng dan melepaskan keluhan. Baru dia sedar betapa berertinya Ulu Telom buat seorang Nadira. Selama 10 tahun ini dia tidak pernah cuba untuk mengenali Nadira dengan lebih dekat lagi. Apa yang difikirkan hanyalah kepentingan dirinya sendiri.

“Jangan lasak sangat...takut tak sampai ke Ulu Telom.” Usik Hardy. Nadira tersipu. Terasa malu pula telah melompat di hadapan Hardy.

“Tak apalah...bertongkat pun boleh sampai. Tongkat abang ada lagi kan? Boleh Nadira guna.” Untuk menghilangkan malu, dia cuba berseloroh.

Kata-kata Nadira telah membuat Hardy ketawa besar. Bukan kerana gurauan Nadira tapi mengingatkan kisah tongkat itu yang membuat dia berasa lucu. Niat buruknya mahu mengenakan Nadira akhirnya memakan diri sendiri. Akibatnya dia tidak dapat ke sekolah selama dua minggu. Itu semua telah lama berlalu. Sekarang mereka sedang menginjak ke alam dewasa.

“Ada lagi agaknya. Mungkin dalam stor...tapi abang tak akan biarkan Nadira guna tongkat abang tu.”

“Kenapa?”

“Dah buruk. Tak sesuai untuk Nadira. Kalau perlu abang belikan yang baru.” Usik Hardy lagi. Kali ini Nadira pula ketawa. Masakan dia perlu bertongkat hanya kerana luka pada lututnya.

‘Abang aku ni boleh ketawa, boleh bergurau rupanya. Aku ingatkan dia ni hati batu.’ Terdetik di hati Nadira tentang perbezaan Hardy yang tiba-tiba. Nadira masih belum faham apa yang membuat Hardy berubah. Semuanya berlaku dalam sekelip mata saja.

Nadira cuba mengingati rentetan peristiwa sejak mereka berada di Suria KLCC hinggalah mereka tiba di rumah. Rasa-rasanya tidak ada yang boleh membuat Hardy berubah sepantas itu. Nadira benar-benar hairan. Mengingati Suria KLCC dan Tiffany & Co, teringat pula pada si kucing Parsi. Perempuan yang pelik!

“Abang...nak tanya boleh?” Tiba-tiba datang persoalan dalam fikiran Nadira.

“Tanya jelah. Nak tanya tak payah tanya.”

“Tak rasa marah pada Nadira ke?”

“Marah? Kenapa nak marah?” Hardy tidak memahami apa yang Nadira maksudkan. Tiba-tiba saja Nadira bertanyakan hal itu.

“Kan sebab Nadira ni, kucing Parsi terus putuskan hubungan dengan abang. Selalunya kalau abang putus cinta mesti angin satu badan. Paling kurang seminggu abang akan moody.”

Perubahan Hardy membuat Nadira berani bertanya. Kalau tidak, mati hidup semula dia tidak akan masuk campur apa saja urusan Hardy. Kebiasaannya Nadira tidak pernah ambil pusing. Bila Hardy bercinta dan bila pula Hardy putus cinta, dia tidak mahu tahu. Kali ini dia telah terlibat secara langsung. Kerana mulutnya, Jasmine naik angin lalu memutuskan perhubungannya dengan Hardy.

“Entah. Mula-mula panas hati...ah! entahlah, malas nak fikir.” Hardy tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada Nadira.

“Jangan sebut tentang kucing Parsi ke, Jasmine ke...boleh?” tokok Hardy.

“Oklah...tak sebut lagi, tak ingat lagi. Zip mulut!” Nadira mengangkat tangan tanda ikrar.

“Nadira naik dulu ya, nak cari barang. Baru Nadira ingat.”

“Ada-ada je...barang apa?”

“Tak tau. Nadira tak tau apa barang tu. Belum bukak lagi, dah lama sangat Nadira simpan. Bila nak ke Ulu Telom ni baru Nadira ingat semula.”

“Oh...”

“Oh?”

“Ya...oh.”

“Ok...Nadira mintak diri.”

Hardy terus memandang langkah Nadira. Satu-satunya gadis yang pernah dikenali berjalan dengan hujung kaki. Tumitnya tidak berpijak. Kalau dulu dia malu-malu dan menutup mulutnya bila bercakap dengan Hardy, sekarang tidak lagi. Nadira telah menjadi gadis yang petah.

Jika ditanya mengapa, sudah tentu Nadira akan menjawab...itu semua dipelajari daripada Hardy. Jika tidak Hardy akan terus membuli dan menyakitinya. Mengingati itu semua, Hardy semakin rasa bersalah. Nadira terpaksa berubah demi meneruskan hidup yang serba asing buatnya.

Lama kelamaan Hardy tidak pernah lagi mendengar keluh-kesah Nadira yang mahu pulang ke Al-Mustaqim. Itu semua kerana rasa kasihan Nadira terhadap Puan Suzi yang terlalu mengidamkan anak perempuan. Dia bertahan dengan mengorbankan perasaannya sendiri.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku