Kukejar Kau Lari
Bab 23
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1472

Bacaan








Nadira mengeluarkan beg pakaian yang kusam warnanya. Beg itu akan terus disimpan sebagai kenangan. Di dalamnya masih ada pakaian yang dibawa dari Al-Mustaqim 10 tahun yang lalu. Terlipat dan tersusun elok di dalamnya.

Tangannya menyeluk poket beg yang sudah tercabut zipnya. Dia sedang mencari sesuatu yang sangat berharga. Sebuah karung kecil bertali pemberian Zariq yang tidak pernah dilihat kandungannya. Pesan Zariq 10 tahun lalu, karung kecil itu hendaklah dibuka apabila tiba waktu ia diperlukan.

“Tak adalah! Mana aku letak ya?”

Pakaian lama yang bersusun di dalam beg dikeluarkan satu per satu. Dibuka lipatannya. Mana tahu kalau yang dicari ada di celahan pakaian-pakaian itu. Sayangnya Nadira kecewa. Tidak ada apa-apa yang kelihatan. Disandarkan badannya pada almari pakaian lima pintunya. Dia cuba mengingati semula kali terakhir dia melihat-lihat bungkusan itu.

“Arghhh!...kenapa tak boleh ingat ni?”

Pakaian yang sudah berselerak dibiarkan saja. Cip memorinya terus berputar ligat. Terus cuba mengingati tetapi tetap tidak berjaya. Semuanya kabur dari ingatannya. Kemudian Nadira mundar-mandir di sekitar bilik sambil menggigit ibu jarinya.

“Mustahil aku dah terbuangkan benda tu. Sepatutnya mesti ada dalam beg tu juga. Takkan pula ada yang ambil. Hmmm...aku tak boleh kehilangan karung bertali tu. Itu pemberian Zariq.” Nadira buntu.

“Haaa...agaknya aku dah pindahkan ke dalam laci almari tak?”

Tanpa membuang masa dia membuka pintu almari, menarik laci dan melihat ke dalamnya. Yang kelihatan hanyalah keperluan-keperluan asas yang dibelikan oleh Puan Suzi. Fikiran Nadira kacau dan serabut. Badannya berpeluh di dalam kesejukan pendingin hawa.

“Dalam beg tak ada. Dalam laci pun tak ada. Takkan aku dah buang. Mustahil! Aku tak sebodoh tu. Aku sayang sangat pemberian Zariq tu.” Nadira mulai mengomel.

“Apa je benda, kalau dicari memang tak jumpa. Bila tak nak ada je depan mata...hisyyy!”

“Apa yang diomelkan, Nadira?”

Berderau darah Nadira yang sedang bercakap sendiri. Terkejut. Rukiah sudah terpacak di muka pintu. Rambutnya yang serabai dan mukanya nampak lesu. Entah apa yang dibuatnya di tingkat atas pada waktu sepetang itu, Nadira tidak tahu. Kebiasaannya dia hanya akan naik untuk mengemas bilik pada waktu pagi.

“Kak Rukiah buat apa kat sini?”

“Itu...tuan muda suruh kakak panggil Nadira.

“Nak buat apa? Nadira sibuk ni.” Nadira berdalih.

“Katanya mau ajak jalan-jalan, ke tasik.” Rukiah menyandarkan badannya pada tepi pintu. Seperti orang tidak cukup tenaga. Mulutnya menguap beberapa kali.

“Malas.”

“Ermmm...Kak Rukiah pernah tak nampak satu karung kecil bertali, warna biru tua semasa Kak Rukiah kemaskan bilik Nadira ni?” Baru terfikir oleh Nadira akan kemungkinan itu.

“Karung kecil? Warna biru tua?” Tanpa diarahkan Rukiah sudah melangkah masuk ke bilik Nadira. Nadira membiarkan saja walaupun berasa hairan melihat sikap Rukiah yang masuk tanpa kebenaran.

Pembantu rumah itu meletakkan punggungnya di atas katil empuk Nadira. Ternganga mulut Nadira. Berani sungguh dia! Nadira berdiri tegak di hadapannya. Rukiah mendongak sekali lalu kemudian menggaru-garu pipinya.

“Karung kecil?” Mata Rukiah mengecil

“Ya, Kak Rukiah...karung kecil.”

“Warna biru tua?”

“Ya...ya...ya...Nadira dah kata tadi, karung kecil warna biru tua.” Geram pula Nadira melihat Rukiah yang semakin kecil matanya. Apa sudah jadi dengan pembantu rumah itu?

“Ohhh...karung kecilnya warna biru tua...karung keee...” Belum sempat menyudahkan kata-katanya, Rukiah telah berdengkur. Dia tidur duduk di tepi katil.

“Ya Allah! Macam ni pun ada ke?” Nadira menarik nafas. Sah! Dari awal lagi Rukiah dalam keadaan separuh tidur. Gelihati pula Nadira melihat gerakan bibir Rukiah. Ada juga orang yang mengigau di siang hari.

“Rukiah!” Hardy pula yang terpacul di hadapan pintu. Sudah jengkel menunggu Rukiah yang tidak turun-turun.

Sebaik melihat mata Rukiah terpejam dengan gerakan mulut yang menggelikan hati, Hardy tidak jadi marah. Dia menahan ketawa melihat keadaan Rukiah yang tidak terurus. Menyesal pula telah mengejutkan Rukiah yang sedang tidur untuk memanggil Nadira turun.

“Huh, bolehnya menyambung tidur!”

“Abang dah tau dia tidur kenapa kejutkan? Tengok tu sambil duduk pun jadi.” Nadira menahan ketawa. Begitu juga Hardy.

“Abang nak ajak Nadira keluar. Nadira kan tak suka abang datang bilik Nadira, tu abang mintak tolong Rukiah panggil Nadira. Sudahnya dengan dia sekali tak turun.”

Dengan nakal Hardy menggerak-gerakkan tangannya di hadapan muka Rukiah yang tidurnya dalam keadaan mata separuh terbuka. Hardy juga membuat memek muka yang melucukan. Rukiah tetap juga lena. Berderai ketawa Nadira. Cepat-cepat ditekup mulutnya supaya ketawanya tidak kedengaran terlalu kuat.

“Abang ni tak baik tau dajalkan orang.” Tegur Nadira sesudah ketawanya reda.

“Dia ni kalau dah tidur macam orang mati.”

“Uiksss...tak baik abang ni.” Nadira masih dengan baki sengihannya.

“Keluar jom. Boringlah.” Hardy melirik cermin solek sambil membetul-betulkan rambut pacaknya.

“Apa mimpi abang ni...ajak Nadira pulak. Nadira busylah.”

“Yang mimpi Rukiah, bukan abang. Tak salah kan ajak adik sendiri.” Sejujurnya Hardy sendiri tidak pasti mengapa dia mahu membawa Nadira. Hatinya yang mahukan begitu.

“Nadira tak boleh keluar. Cari barang. Esok pagi-pagi kita dah nak ke Ulu Telom.” Mengingati karung kecil bertali berwarna biru tua, hati Nadira rungsing semula. Rukiah yang tidur duduk tidak melucukan lagi.

“Barang apa yang penting sangat tu. Beli jelah yang lain. Jom abang temankan Nadira beli yang baru.” Hardy masih lagi sibuk dengan rambut pacaknya.

Handsome jugak abang ni!” selorohnya

“Weksss...tiba-tiba. Tak payah masuk bakullah abang.” Ejek Nadira pula. Hardy ketawa.

“Macam mana? Keluar ya...abang belikan yang baru.”

“Tak bolehlah abang. Tak boleh beli yang baru. Tak ada gantinya pun. Biar Nadira cari sampai jumpa.” Nadira tidak mengacuhkan.

‘Apa bendanya yang penting sangat tu?’ bisik Hardy.

Nadira mengutip semula pakaian yang telah dikeluarkan dari dalam beg kusamnya. Dilipat dan dimasukkan ke dalam beg itu. Pakaian dan seluar yang berpoket, diseluk semula poketnya. Mana tahu apa yang dicari ada di situ.

“Tak ada juga...hmmm.” keluhnya apabila usahanya masih tidak berhasil. Pipinya dikembungkan dan dikempiskan beberapa kali sambil mengingati di manakah letaknya karung kecil pemberian Zariq itu.

‘Comelnya dia buat muka macam tu.” Bisik Hardy lagi, mengambil kesempatan merenung Nadira yang selama ini tidak begitu diambil peduli.

“Apa tengok-tengok?” marah Nadira apabila tersedar renungan Hardy.

“Tak adalah...abang pelik tangok Nadira ni. Apalah yang penting sangat sampai muka jadi macam tu.” Helah Hardy agar apa yang berada di hatinya tidak dapat dihidu oleh Nadira.

Beg kusamnya dimasukkan semula ke dalam almari pakaian lima pintunya. Biar ia di situ hingga reput. Beg itu tidak akan pernah dibuang. Hardy berjalan ke tingkap kaca lalu menyelak tabirnya. Cahaya masuk terang ke dalam bilik Nadira. Melihat pemandangan di luar terasa segar perasaannya.

Nadira tidak menghiraukan. Kali ini dia menyelak-nyelak pula susunan pakaian di dalam almari. Mana tahu karung itu ada di celahan pakaian. Tiba-tiba hatinya sebal melihat pakaian yang begitu banyak. Menyusahkan pencariannya. Hardy menoleh, melihat Nadira yang beria-ia dengan muka berkerut-kerut.

Dia berfikir mahu membantu Nadira mencari apa yang dicarinya tetapi niatnya dibatalkan. Tidak manis. Mana tahu dia akan terpegang ‘pakaian kecil’ Nadira, sudah tentu gadis itu akan melompat-lompat dan menjerit mahu dia keluar dari bilik itu. Hardy memang sudah masak benar dengan sikap Nadira. Dia tegas dan tidak mengizinkan Hardy meredah masuk jika Nadira sedang seorang diri.

Tiba-tiba Hardy tersengih. Dia mendapat akal. Tingkap besar bilik ditinggalkan. Diam-diam dia menghampiri Rukiah. Dilihatnya kepala Rukiah sudah terkulai tunduk ke lantai. Di tepi bibirnya kelihatan sedikit lelehan air yang keluar dari mulutnya.

“Hiii...yeksss! pengotornya dia ni.” Geli Hardy melihatnya. Nadira tidak mengendahkan. Baginya masa sudah terlalu suntuk.

“Rukiah.” Hardy memanggil perlahan. Dia mahu agar Rukiah bangun dan membantu Nadira mencari barang kesayangannya yang entah apa.

“Rukiah.” Panggilan keduanya juga tidak didengari.

“Rukiah.” Ulangnya untuk kali ketiga.

“Nadira...Ustaz Khaidir ada beritau kan, berlembut tu cukup untuk tiga kali. Betul tak?”

“Yalah tu...rasanya betul.” Balas Nadira. Pertanyaan Hardy antara dengar dan tidak masuk ke telinganya.

“Ok...abang pun rasa betul dah tu.” Balas Hardy pula. Nadira masih tidak acuh. Malas mahu melayan. Sedikit pun Nadira tidak tahu menahu apa yang ada dalam kepala Hardy.

Hardy bergerak lebih dekat lagi. Direnung sekejap muka Rukiah sambil dalam hatinya sedang ketawa terbahak-bahak. Badannya dibongkokkan. Agak rapat ke telinga Rukiah. Sebelum itu dia menjeling Nadira sebentar. Nadira masih sibuk dengan pencariannya dan tidak menghiraukan Hardy. Hardy tersengih lagi. Mulutnya didekatkan ke lubang telinga Rukiah.

“Rukiahhh...!” Nyaring suara Hardy. Nadira terkejut bukan kepalang. Dia berpusing melihat Hardy. Hardy sedang menahan ketawa apabila Rukiah melompat dari katil lalu menari tarian jawa.

“Eee...ahh...eee...ahh.

Putraku si Andhe Andhe Andhe Lumut

Temuruna ana putri kang unggah unggahi

Putrine nnger, sing ayu rupane...eee...ahh...eee...ahhh”

“Adoiii! Sakit perut. Menyanyi lagu jawa pula dia. Dahlah Rukiah! Bangun! Bangun!”

Hardy mengejutkan Rukiah yang masih separuh sedar dek terlalu terperanjat. Hardy menekan-nekan perutnya menahan ketawa. Nadira yang cuba bertahan telah gagal berbuat demikian. Terhambur juga ketawanya apabila melihat memek Rukiah yang melucukan.

“Macam mana Kak Rukiah boleh ada dalam bilik Nadira?” Sebaik matanya betul-betul segar, Rukiah bertanya. Terpinga-pinga dibuatnya.

“Jin toncet yang bawak ke mari.” Hardy masih mahu mengenakan Rukiah. Nadira hanya menggeleng apabila memikirkan Rukiah yang mudah lupa biarpun usianya jauh lebih muda daripada Sulastri.

Selepas itu pandangannya berlari pula melihat Hardy. Nadira sungguh tidak menyangka Hardy boleh bergurau senda seperti itu. Terlalu berbeza dengan Hardy yang telah dikenalinya selama 10 tahun lamanya. Selama ini Hardy adalah seorang yang bengis, baran dan mementingkan diri sendiri. Jika dia tidak melihat perubahan di hadapan matanya, dia tidak akan pernah percaya Hardy boleh bergurau dan ketawa.

“Ai...pandang abang sampai tak berkelip tu kenapa?” Sorotan mata Nadira telah disedari oleh Hardy. Nadira hanya mengangkat bahu.

“Kak Rukiah keluar ya.” Rukiah membetulkan rambutnya.

“Nanti...tolong Nadira cari barang dia yang hilang, kak. Entah apa saya pun tak tau.” Hardy menahan.

“Kalau tak tau apa yang nak dicari, macam mana nak cari?” Rukiah bingung.

“Tau, kak...karung kecik yang bertali. Warnanya biru tua. Yang tak tau cuma isi dalamnya.”

“Ohhh...cari mana Nadira?”

“Sini...dalam almari.”

Nadira menyelak-nyelak lipatan kain. Sulastri melakukan perkara yang sama. Hardy hanya menjadi pemerhati dengan menyimpan baki ketawanya. Setiap kali melihat Rukiah, hatinya seperti digeletek.

Tidak sampai 15 minit mencari, Rukiah berdiri tegak sambil menggigit jari. Mata hitamnya bergerak naik ke atas dan ke bawah. Dahinya berkerut-kerut. Dia mundar-mandir di hadapan almari pakaian lima pintu itu.

“Karung kecil...warna biru...karung kecil...warna biru.” Ucapnya berulang-ulang.

“Haaa...sudah. Mengigau lagi ke Kak Rukiah?”

“Bukan. Kak Rukiah cuba ingat. Rasanya macam pernah kutip satu karung depan almari Nadira ni. Hmmm...dah sebulan.”

“Betul? Cepat ingat kak...cepat ingat!” Dengan tidak sabar lagi Nadira menggoncang bahu Rukiah. Nadira benar-benar tidak senang duduk.

‘Apalah yang penting sangat tu? Sampai macam tu sekali dia.’ Rasa ingin tahu Hardy telah menahannya dari meninggalkan bilik Nadira.

Rukiah merenung satu persatu perabut yang terdapat di dalam bilik itu. Dia cuba untuk terus mengingati. Serentak dengan itu matanya memandang tepat ke meja kecil di tepi katil Nadira. Dia sangat pasti telah menyimpan karung kecil yang dicari di dalam laci meja kecil itu. Cepat-cepat dihampiri meja yang berwarna putih berbunga-bunga ros kecil. Laci meja ditarik perlahan.

“Betul...ini kan Nadira.”

Satu karung kecil bertali diangkat tinggi. Dengan tidak sabar Nadira menyambarnya dari tangan Rukiah. Dibuka ikatan tali lalu Nadira menyeluk ke dalamnya. Terasa sesuatu yang keras dan berbiji. Nadira mengeluarkannya.

“Gelang tangan! Cantiknyaaa.” Gelang tangan bertali direnung lama. Terasa mahu menitis air matanya apabila melihat ukiran nama Zariq tertera pada permukaan gelang tangan itu. Permukaan gelang tangan yang rata itu diusap perlahan. Di tepi permukaan yang rata bersambung dengan manik-manik yang diperbuat daripada kayu.

Hardy menghampiri. Diambil gelang bertali dari pegangan Nadira. Direnung lama nama yang tertera. Ada denyut yang tidak menyenangkan di hatinya. Dia tidak seronok apabila terus melihat ukiran nama Zariq. Gelang bertali itu diberikan kepada Nadira semula.

“Cantik tak?” Nadira yang tidak memahami pergolakan hati Hardy tersenyum senang.

“Cantik.” Balas Hardy lemah.

“Barulah Nadira bersemangat nak ke Ulu Telom esok pagi.”

“Ermmm...yalah. Tidur awal malam ni.”

Hardy berpesan dengan suara datar sebelum melangkah keluar. Nadira terpinga melihat perubahan Hardy tetapi dia tidak mahu memikirkannya. Apa yang sedang berada dalam mindanya adalah Zariq, Haji Embong, Al-Mustaqim dan Ulu Telom.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku